Pensyariatan Zakat Fitrah
Agama Islam adalah agama yang universal dan mempunyai nilai pengajaran yang tinggi yang sentiasa ‘relevan’ dalam kehidupan kita seharian.
Kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan dalam masyarakat adalah asas utama dalam agama Islam. Salah satu cara untuk menjayakan matlamat ini ialah dengan mewajibkan zakat di kalangan masyarakat Islam iaitu dengan mengeluarkan sebahagian harta atau bahan makanan yang utama menurut ketentuan dan ukuran yang ditentukan oleh syara‘.
Memang tidak dapat diragui lagi bahawa hukum mengeluarkan zakat adalah wajib dan ianya merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam. Maka barangsiapa yang tidak mengeluarkan zakat adalah berdosa besar, bahkan jika dia ingkar akan ketetapan hukum tersebut, boleh menyebabkannya terkeluar daripada agama Islam (murtad).
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam kitabNya:
Tafsirnya: Ambillah (ya Muhammad) sebahagian daripada harta mereka untuk dijadikan sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan (mereka daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk). (Surah Al-Taubah: 103)
Zakat itu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu pertama dinamakan zakat harta dan yang kedua dinamakan zakat fitrah.
Yang dimaksudkan zakat harta itu, ialah nama bagi harta yang tertentu, diambil daripada harta yang tertentu, menurut syarat- syarat yang tertentu dan diberikan kepada orang-orang yang tertentu yang berhak menerimanya.
Yang dimaksudkan zakat fitrah pula ialah mengeluarkan sebahagian dari makanan yang utama menurut ukuran yang ditentukan oleh agama, sesudah selesai mengerjakan puasa bulan Ramadhan tiap-tiap tahun.
Pensyariatan Zakat Fitrah
Zakat fitrah disyariatkan pada tahun kedua Hijriyyah, tahun yang diwajibkan padanya puasa Ramadhan.
Kewajipan membayar zakat fitrah ini adalah berdasarkan Al-Qur’an, sunnah dan ijmâ‘ ulama.
Firman Allah dalam Al-Qur’an:
Tafsirnya: Sesungguhnya berjayalah orang yang - setelah menerima peringatan itu - berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang salih) dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya. (Surah Al-A‘lâ: 14-15)
Menurut riwayat Ibnu Khuzaimah, ayat ini diturunkan berkenaan dengan zakat fitrah, takbir Hari Raya puasa dan sembahyang.
Kata ‘Umar Ibn Abdul Aziz: “Zakat yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah zakat fitrah.”
Selain daripada itu, ayat di atas menunjukkan bahawa mengeluarkan zakat fitrah itu satu pekerjaan yang mendatangkan keuntungan dan kemenangan.
Terdapat banyak hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mewajibkan setiap umat Islam membayar zakat fitrah. Antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memfardhukan zakat fitrah di bulan Ramadhan, satu shâ‘ dari tamar atau satu shâ‘ dari sya‘îr (sejenis gandum) ke atas hamba sahaya, orang merdeka, laki-laki, perempuan, kanak-kanak dan orang tua dari segenap orang Islam.” (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebagaimana juga hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah:
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa dari kata-kata dan perbuatan-perbuatan yang keji dan untuk memberi makan golongan miskin.” (Hadits riwayat Abu Daud dan Ibnu majah)
Apakah Tujuan Zakat Fitrah?
Sebenarnya zakat fitrah itu banyak mengandungi rahsia dan hikmat yang tersirat sebagaimana ibadat sembahyang. Di antaranya ialah untuk menampal kekurangan yang tidak diketahui atau tidak senghaja semasa melakukan ibadat puasa, sebagaimana sujud Sahwi gunanya untuk menampal kekurangan-kekurangan di dalam sembahyang.
Berkata Waki‘ bin Al-Jarrah: “Zakat fitrah untuk bulan Ramadhan itu sama seperti sujud Sahwi untuk sembahyang, ia (zakat fitrah) boleh menampal kekurangan-kekurangan dalam berpuasa sebagaimana sujud Sahwi menampal kekurangan dalam sembahyang.”
Orang yang berpuasa ini kadang-kadang terlanjur mengeluarkan kata-kata yang keji, atau melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam dengan tidak senghaja, umpamanya mengumpat, memaki orang, melihat perempuan yang bukan mahram dan sebagainya. Semuanya ini mengotorkan jiwa orang yang berpuasa.
Oleh sebab itu, agama Islam memerintahkan setiap umat Islam supaya mengeluarkan zakat pada penghujung bulan Ramadhan, untuk menyucikan jiwa orang yang berpuasa dan menampal kekurangan-kekurangan yang dilakukan semasa berpuasa.
Antara lain, tujuan zakat fitrah itu bolehlah dilihat dari sudut kemasyarakatan, di mana dengan mengeluarkan zakat akan menimbulkan kasih sayang, kegembiraan dan keharmonian di dalam suatu kelompok masyarakat, terutama sekali bagi orang-orang fakir miskin dan orang yang berhajat padanya.
Dalam pada itu, Hari Raya merupakan hari sukaria dan hari bergembira bagi semua umat Islam, maka sayugilah kegembiraan itu dapat dinikmati dan dikongsi bersama oleh seluruh umat Islam termasuk orang-orang miskin. Bagaimana mereka akan merasai kegembiraan pada Hari Raya itu sedangkan mereka tidak mempunyai makanan yang lazat-lazat dan berpakaian cantik. Maka dengan adanya zakat fitrah yang diterima oleh fakir miskin pada Hari Raya itu mudah-mudahan dapat memenuhi akan hajat mereka dan mengelakkan perbuatan meminta-minta, dengan harapan supaya mereka sama-sama merasakan kenikmatan dan kebahagian berhari-raya.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Al-Daraquthni dan Baihaqi:
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Cukupkanlah keperluan mereka (fakir miskin itu) supaya jangan sampai mereka berkeliling meminta-minta pada hari itu.” (Hadits riwayat Al-Daraquthni dan Baihaqi)
Kedua-dua tujuan zakat fitrah yang disebutkan di atas tadi, ada dinyatakan dalam hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah:
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa daripada kata-kata dan perbuatan-perbuatan yang keji dan untuk memberi makan golongan yang miskin.” (Hadits riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Orang Yang Wajib Mengeluarkan Zakat
Zakat fitrah wajib ke atas setiap individu yang beragama Islam, sama ada kaya mahupun miskin, hamba atau merdeka, laki-laki atau perempuan, tua atau muda, sebagaimana hadits riwayat Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
“Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma dia berkata: “Telah mewajibkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam zakat fitrah satu shâ‘ dari tamar atau satu shâ‘ dari sya‘îr (sejenis gandum), ke atas hamba sahaya dan orang merdeka, laki-laki, perempuan, kanak-kanak dan orang tua dari segenap orang Islam.” (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari hadits di atas menunjukkan bahawa orang kafir tiada wajib berfitrah bagi dirinya, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah ke atas orang Islam sahaja. Bagaimanapun, wajib ke atasnya mengeluarkan zakat bagi hambanya dan kerabatnya yang beragama Islam menurut pendapat yang lebih kuat.
Disyaratkan orang yang wajib membayar zakat fitrah ini ialah orang yang mempunyai harta yang lebih daripada nafkah dirinya dan nafkah orang yang di bawah tanggungannya pada Hari Raya dan malamnya.
Zakat Fitrah Bagi Orang-Orang Di Bawah Tanggungan
Menurut sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Al-Daraquthni dan Baihaqi mereka berkata:
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Bayarkanlah zakat fitrah orang-orang yang kamu belanjai.” (Hadits riwayat Al-Daraquthni dan Baihaqi)
Hadits ini menunjukkan bahawa diwajibkan zakat fitrah ke atas umat Islam bagi dirinya sendiri dan orang-orang yang di bawah tanggungannya. Hukum ini jelas, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah atas kanak-kanak, dan kanak-kanak itu tidak mempunyai harta. Nyatalah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah itu ke atas orang yang membelanjainya. Ini termasuklah ayah dan ibunya yang miskin, isteri dan hambanya.
Perlulah diingat, zakat fitrah itu wajib dikeluarkan lebih dahulu bagi dirinya sendiri, kemudian barulah dikeluarkan bagi orang-orang yang di bawah tanggungannya jika hartanya berlebihan, dengan didahului untuk isterinya, kemudian untuk anaknya yang kecil, kemudian untuk bapanya hingga ke atas seperti bapa bapanya, kemudian ibunya, kemudian anak lelakinya yang dewasa, kemudian barulah untuk tanggungannya yang lain seperti hambanya.
Sebagaimana hadits nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Maksudnya: Daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Mulailah dengan diri engkau sendiri lebih dahulu, maka bersedekahlah untuk dirimu sendiri, maka jika ada lebihnya, sedekahkanlah untuk keluargamu, maka jika masih ada juga lebihnya, sedekahkanlah untuk kaum kerabatmu.” (Hadits riwayat Muslim)
Wajib seseorang itu berniat semasa mengeluarkan zakat fitrah itu, seperti katanya: “Ini zakat fitrahku”, atau: “Ini zakat fitrah isteriku”, atau: “Ini zakat fitrah anakku” dan seumpamanya.
Dan harus berwakil kepada seseorang bagi mengeluarkan zakat bagi dirinya dan tanggungannya setelah masuk bulan Ramadhan atau sebelum masuk bulan Ramadhan. Sebagai contoh lafaz berwakil itu: “Saya berwakil kepada awak mengeluarkan zakat fitrah dan jangan awak keluarkan melainkan dalam bulan Ramadhan.”
Orang Yang Tidak Wajib Dikeluarkan Zakat Untuknya
Menurut Imam Nawawi bahawa sesiapa yang wajib mengeluarkan zakat bagi dirinya, wajib juga ke atasnya mengeluarkan zakat bagi orang yang wajib ke atas dirinya memberi nafkah. Akan tetapi tiada wajib bagi seorang muslim itu mengeluarkan zakat fitrah bagi hambanya yang kafir, kerabatnya yang kafir dan isterinya yang masih kafir. Begitu juga tiada wajib bagi hamba mengeluarkan zakat fitrah bagi isterinya serta tiada wajib bagi anak membayar zakat fitrah untuk isteri bapanya (emak tiri).
Tersebut di dalam kitab I‘ânah Al-Thâlibîn bahawa orang-orang yang tidak wajib dikeluarkan zakat fitrahnya ialah:
i- Isteri yang derhaka (nusyûz), kerana telah gugur kewajipan suami memberinya nafkah disebabkan nusyûz isterinya itu. Bahkan wajib ke atas dirinya sendiri mengeluarkannya kalau dia ada berkecukupan.
ii- Isteri yang kaya, walau dia tidak derhaka sekalipun, yang di bawah tanggungan suami yang susah (mu‘sir). Maka tidaklah wajib ke atas suami mengeluarkan zakat bagi isterinya itu, kerana dia tidak mampu. Begitu juga tidak wajib bagi isteri mengeluarkan zakat bagi dirinya sendiri, sebab dirinya di bawah tanggungan suaminya, akan tetapi disunatkan baginya mengeluarkan untuk dirinya.
iii- Anak kecil yang kaya, maka wajiblah dikeluarkan zakat fitrahnya dari harta kekayaannya itu. Tetapi harus bagi bapa mengeluarkan untuknya daripada hartanya sendiri.
iv- Anak yang sudah dewasa dan sudah pandai berusaha. Sekiranya bapa hendak mengeluarkan juga bagi anaknya itu, bolehlah dia berbuat begitu dengan syarat ada keizinan daripada anak tersebut.
v- Hamba yang kafir.
vi- Murtad (keluar dari Islam).
Zakat Fitrah Bagi Penuntut Yang Belajar Di Luar Negeri
Adapun bagi penuntut-penuntut yang belajar di luar negeri seperti di Eropah, di Timur tengah, di Amerika dan sebagainya, zakat fitrahnya hendaklah dikeluarkan oleh penuntut itu sendiri di mana dia berada, bukan dikeluarkan oleh ibu bapanya yang berada di negeri asalnya.
Sebagai contoh, seorang penuntut yang sedang belajar di United Kingdom maka hendaklah dia mengeluarkan zakat fitrahnya sendiri di situ juga, bukan dikeluarkan oleh bapanya yang berada di Brunei (negeri asal).
Ini disebabkan tahap kemampuan penuntut itu dalam menanggung perbelanjaan untuk dirinya sendiri adalah mencukupi melalui elaun yang diterimanya daripada kerajaan atau lain-lain agensi, atau melalui peruntukan kewangan daripada ibu bapanya. Maka dalam hal ini sudah tentu mereka mempunyai kelebihan makanan Hari Raya dan malamnya, sebagai syarat wajib mengeluarkan zakat fitrah.
Satu perkara yang perlu diambil perhatian juga, bahawa jika zakat fitrah penuntut itu dikeluarkan oleh bapanya (yang berada di negeri asal), ianya bererti memindahkan zakat ke tempat lain, dan itu adalah tidak diharuskan melainkan dengan syarat-syarat yang tertentu.
Zakat Fitrah Bagi Anak Zina Dan Pembantu Rumah (Amah)
Zakat fitrah bagi anak zina (anak luar nikah) wajib dikeluarkan oleh ibunya, kerana nafkah anak zina itu wajib ke atas ibunya.
Mengenai dengan pembantu rumah (amah) pula, menurut Al-Imam Ibnu Hajar bahawa amah yang diberi gaji setiap bulan dan tinggal di rumah majikannya serta diberi makan, tiada wajib dibayar fitrahnya oleh majikannya. Begitu juga amah itu tinggal dan makan berasing, maka tiada wajib majikannya itu mengeluarkan zakat fitrahnya.
Waktu Zakat Fitrah
Sebahagian ulama fiqh berpendapat, bahawa untuk membayar zakat fitrah itu ada lima waktunya iaitu:
i. Waktu wajib: Sesudah terbenam matahari akhir bulan Ramadhan.
ii. Waktu sunat: Selepas sembahyang Shubuh hingga imam mendirikan sembahyang Hari Raya.
iii. Waktu harus: Sejak dari awal bulan Ramadhan.
iv. Waktu makruh: Selepas sembahyang Hari Raya hingga jatuh matahari Hari Raya.
v. Waktu haram: Sesudah jatuh matahari Hari Raya pertama. Bahkan perbuatan ini adalah suatu dosa dan wajib dibayar juga sebagai qadha, kerana dikeluarkan di luar waktu.
Di dalam hadits ada dinyatakan tentang wajibnya mengeluarkan zakat itu, disebabkan mendapati akhir bulan puasa. Maka yang datang sesudah matahari terbenam di akhir bulan Ramadhan itu (malam Hari Raya Pertama) tidaklah wajib atasnya mengeluarkan zakat fitrah, walaupun jaraknya hanya satu minit sekalipun, misalnya:
i. Anak yang lahir. ii. Nikah yang menyebabkan adanya isteri. iii. Memiliki hamba. iv. Kaya (datang kecukupan). v. Islam.
Berapakah Kadar Zakat Fitrah?
Menurut hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar dia berkata:
Maksudnya: Telah mewajibkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam akan zakat fitrah satu shâ‘ dari tamar atau satu shâ‘ dari sya‘îr (sejenis gandum). (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Menurut hadits di atas, kadar yang wajib dikeluarkan zakat fitrah ialah satu shâ‘. Satu shâ‘ bersamaan dengan 3 kati 12 tahil atau 2 kilo 268 gram atau 3.5 liter, menurut yang ditetapkan di Negara Brunei Darussalam.
Jenis yang wajib dikeluarkan untuk zakat fitrah itu ialah makanan asasi yang ghâlib dimakan oleh penduduk sesebuah negeri. Sebagaimana hadits yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Sa‘id Al-Khudri dia berkata:
Maksudnya: Adalah kami (para sahabat) dari semua kalangan sama ada kanak-kanak dan orang besar (dewasa), merdeka atau hamba, mengeluarkan untuk zakat fitrah semasa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masih ada bersama kami, satu shâ‘ makanan atau satu shâ‘ aqith (keju) atau satu shâ‘ sya‘îr (sejenis gandum) atau satu shâ‘ tamar, atau satu shâ‘ zabîb (anggur kering/kismis). Demikianlah kami terus mengeluarkannya hingga datang kepada kami Mu‘awiyah bin Abu Sufyan yang sedang mengerjakan haji atau umrah, lalu berkata kepada orang ramai di atas mimbar, pada masa itu di antara yang dikatakannya kepada orang ramai ialah: “Saya berpendapat, bahawa dua mudd gandum Syam menyamai satu shâ‘ tamar”. Setelah itu manusia pun berbuat demikian, Abu Sa‘id berkata: “Sedang aku tetap mengeluarkan seperti apa yang telah aku keluarkan sejak zaman Nabi sampai akhir hayatku. (Hadits riwayat Muslim)
Hadits ini menunjukkan bahawa yang dikeluarkan zakat fitrah itu, hendaklah makanan yang mengenyangkan penduduk sesebuah negeri. Dengan diqiyâskan kepada kurma dan sya‘îr itu maka semua makanan yang mengenyangkan di sesebuah negeri itu boleh dikeluarkan zakat.
Di Negara kita makanan asasinya ialah beras, dan disyaratkan beras itu sejahtera daripada benda-benda lain seperti bercampur tanah, serta sejahtera daripada ‘aib seperti berulat, basah dan sudah lama sehingga berubah rasanya atau warnanya atau baunya.
Haruskah zakat fitrah itu dikeluarkan menurut nilaian harga makanan tersebut dengan mata wang?
Menurut mazhab Syafi‘e bahawa zakat fitrah itu wajib dikeluarkan daripada makanan yang asasi yang boleh mengenyangkan, tetapi menurut mazhab Hanafi bahawa zakat fitrah itu boleh dikeluarkan menurut nilaian harga makanan tersebut dengan mata wang. Maka tidaklah ada halangan mengeluarkan zakat fitrah itu berupa wang seharga makanan yang diwajibkan fitrah itu, dengan syarat orang itu bertaqlîd pada mazhab Hanafi dan kedua-dua cara itu adalah sah di sisi syara‘.
Orang Yang Berhak menerima Zakat Fitrah
Berdasarkan ayat Al-Qur’an, semua zakat yang dikutip itu diberikan kepada lapan golongan. Golongan-golongan itu ialah:
i. Orang fakir. ii. Orang miskin. iii. ‘Amil (orang yang memungut zakat). iv. Muallaf (orang yang baru masuk Islam). v. Hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya. vi. Orang yang berhutang. vii. Orang yang berjuang pada jalan Allah. viii. Orang-orang musafir, yang keputusan dalam perjalanan.
Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Taubah, ayat 60:
Tafsirnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan ‘amil-‘amil yang menguruskan, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Keputusan yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6192
