Puasa Enam
Puasa bukan hanya sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga, bahkan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa dan apa sahaja yang dapat mengurangi nilai puasa itu seperti melihat atau mendengar perkara-perkara yang diharamkan.
Di antara tujuan puasa itu ialah untuk membentuk manusia menjadi orang-orang yang bertaqwa, sebagaimana yang ditegaskan oleh Al-Qur’an, dan lain-lain sifat mulia yang matlamat akhirnya adalah untuk menjadi insan yang sempurna.
Ini dapat dilihat di mana puasa dapat melatih kita agar bersifat ikhlas dengan merujuk bahawa ibadat puasa itu adalah untuk Allah semata-mata. Kenyataan ini berdasarkan kepada sebuah hadits:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan yang berupa puasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah untukKu (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendirilah yang akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada orang yang berpuasa.” (Hadits riwayat Bukhari)
Puasa bukanlah merupakan amalan yang boleh dilihat, kerana amalan ini berkisar pada keikhlasan seseorang muslim untuk menahan dirinya daripada makan, minum dan melawan hawa nafsunya. Oleh sebab itu, puasa tetap merupakan rahsia di dalam diri seseorang buat selamanya.
Kalau sembahyang dan ibadat-ibadat yang lain dapat dilihat, tetapi bagi ibadat puasa hanya Allah Subhanahu wa Ta‘ala sahaja yang mengetahui lantaran ia merupakan amalan kebatinan yang disertai dengan kesabaran. Justeru itu orang yang berpuasa sudah pasti akan dapat menyemai sikap ikhlas dalam dirinya, kerana jika dia berpura-pura puasa pun nescaya tiada siapapun yang akan dapat mengesan atau mengetahuinya.
Dari sudut kesihatan, dalam istilah menyucikan jasmani, puasa itu merupakan disiplin terhadap pengawalan kesihatan tubuh badan. Berpuasa adalah suatu cara rawatan kepada berbagai jenis penyakit. Hal ini diakui oleh para doktor dan pakar perubatan sejak berabad-abad dahulu. Misalnya, makan dan minum yang berterusan tanpa rehat, lama kelamaan boleh menjejaskan organ-organ tubuh kerana alat penghadaman makanan yang terdapat dalam tubuh manusia adalah ibarat jentera atau mesin. Ia akan rosak jika bekerja terus menerus tanpa henti. Di samping itu juga, puasa boleh menghilangkan racun-racun di dalam limpa. Puasa itu bagi tujuan kesihatan ditegaskan oleh sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Berpuasalah kamu, nescaya kamu akan menjadi sihat. (Hadits riwayat Ibnu Al-Sunni dan Abu Nu‘aim)
Definisi Puasa Enam
Puasa enam ialah puasa yang dikerjakan sebanyak enam hari berturut-turut atau berselang-selang dalam bulan Syawal.
Para ulama berselisih pendapat mengenai masa mengerjakan puasa enam ini. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam dikerjakan secara terus menerus selepas Hari Raya iaitu mulai Hari Raya kedua dan seterusnya. Sebahagian ulama muta’akhirîn pula berpendapat puasa enam itu harus dikerjakan secara berselang-seli atau berasingan sepanjang bulan Syawal. Bagaimanapun mengerjakannya berturut-turut selepas Hari Raya adalah lebih afdhal.
Anjuran Untuk Berpuasa Enam Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, itulah puasa sepanjang masa. (Hadits riwayat Muslim)
Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal diibaratkan kita berpuasa sepanjang masa kerana setiap kebajikan dibalas sepuluh kali ganda. Oleh itu, puasa Ramadhan sebanyak 29 atau 30 hari disamakan dengan 300 hari atau sepuluh bulan puasa, dan puasa enam disamakan dengan 60 hari atau dua bulan puasa. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun.
Kenyataan ini dikuatkan lagi oleh sebuah hadits:
Maksudnya: Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun. (Hadits riwayat Al-Darimi)
Apa yang dimaksudkan dengan penyamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya dari puasa fardhu. Jadi, pahala mengerjakan puasa bulan Ramadhan dan puasa enam adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.
Hukum Puasa Enam
Puasa enam dalam bulan Syawal itu sunat dikerjakan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh. Begitu juga sunat dikerjakan oleh orang yang tidak dapat mengerjakannya sebulan penuh disebabkan sesuatu keuzuran yang diterima syara‘, akan tetapi ganjaran pahalanya berlainan dengan ganjaran pahala orang yang dapat mengerjakan puasa enam berturut-turut selepas mengerjakan puasa penuh di bulan Ramadhan.
Namun begitu, adalah haram mengerjakan puasa enam bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan senghaja, kerana puasa Ramadhan yang ditinggalkannya itu wajib diqadhanya dengan seberapa segera.
Adapun bagi orang yang mengerjakan puasa qadha pada bulan Syawal, maka dia mendapat pahala puasa sunat enam. Ini adalah pendapat yang zhâhir bagi Imam Al-Khatib Al-Syarbini.
Pendapat yang lain pula mengatakan bahawa jika dia mengerjakan puasa qadha pada bulan Syawal, dia tidak mendapat pahala puasa enam, dan sunat dia mengqadha puasa enam itu pada bulan Zulkaedah jika bulan Syawal sudah selesai.
Penutup
Puasa enam bolehlah diumpamakan sebagai sembahyang sunat rawatib yang kita kerjakan selepas sembahyang fardhu untuk menyempurnakan kekurangan-kekurangan yang terdapat sewaktu mengerjakan sembahyang fardhu, kerana kekurangan dalam amalan fardhu dapat ditutup atau ditampal dengan amalan sunat pada Hari Kiamat.
Oleh itu rebutlah peluang yang ada ini demi menyempurnakan ibadat puasa Ramadhan yang kita kerjakan sebelumnya, di samping kita mengharapkan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6200
