Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Harta Pusaka Menurut Islam

Islam telah menjadikan harta pusaka sebagai salah satu ciri daripada ciri-ciri jaminan hidup dalam lingkungan keluarga. Ia juga memainkan peranan di dalam sistem ekonomi dan masyarakat.

Seseorang itu pasti dapat merasakan bahawa segala penat lelah dan titik peluh yang telah dicurahkannya akan kembali kesan atau hasilnya kepada saudara maranya, khususnya kepada zuriatnya. Perasaan ini akan mendorong seseorang itu ke arah melipatgandakan usaha mencari harta kekayaan yang setentunya secara tidak langsung akan mendatangkan kesan yang baik kepada masyarakat, kerana Islam pada prinsipnya tidak memisahkan di antara seorang individu dengan masyarakatnya. Justeru itu segala apa yang dimiliki oleh seorang individu itu, pada kesudahannya akan menjadi milik masyarakat, jika diperlukan. Dari sudut lain, ahli waris adalah sebagai tali penyambung kepada orang yang telah tiada dalam menanggung segala keperluannya jika dia seorang yang mempunyai harta.

Pertalian di antara ahli waris dengan orang yang mewariskannya tidaklah terbatas pada harta sahaja, bahkan meliputi sifat-sifat yang lain; sikap dan penerimaannya terhadap kebaikan dan kejahatan, sakit dan sihat, baik dan buruk, pintar dan bodoh. Kesemua sifat-sifat ini berkait rapat dengan ahli waris dan amat memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Oleh itu adalah suatu keadilan bagi mereka mewarisi harta peninggalan orang-orang yang diwarisi, dan sesiapapun tidak berhak walau dengan apa cara sekalipun menghalang mereka daripada sifat-sifat mewarisi ini.

Bertolak dari sinilah, timbulnya undang-undang atau peraturan pewarisan yang pada prinsipnya bersesuaian dengan fitrah, dan bersesuaian dengan hakikat hidup kekeluargaan dan kemanusiaan pada umumnya. Perkara ini akan menjadi lebih jelas lagi apabila kita bandingkan dengan mana-mana peraturan yang lain yang diketahui manusia pada zaman jahiliah lampau mahupun pada zaman jahiliah moden ini.

Pewarisan merupakan suatu peraturan yang bertujuan sebagai jaminan kekeluargaan yang lengkap dan sempurna, dengan memberikan kepada setiap individu keluarga yang berhak kadar bahagian tertentu kepada mereka.

Ia juga merupakan peraturan yang memelihara asas pembentukan sesebuah keluarga, justeru itu ia tidak mengenepikan ahli waris perempuan mahupun kanak-kanak dan ia tidak membezakan di antara satu bangsa dengan bangsa yang lain.

Definisi Mîrâts (Pewarisan)

Dari segi bahasa ‘Mîrâts’ adalah kata terbitan daripada kata sifat ‘warratsa’ yang mempunyai dua makna:

i. Kekal, misalnya: Salah satu daripada nama Allah Subhanahu wa Ta‘ala ialah ‘Al-Wârits’, maknanya ‘Yang Maha Kekal’.

ii. Peralihan atau perpindahan, sama ada perpindahan yang boleh dirasa (fizikal) seperti contoh ayat: “Si Ahmad mewarisi harta ayahnya”, atau yang tidak boleh dirasa seperti contoh ayat: “Si Ahmad mewarisi kelakuan ayahnya”.

Dari segi istilah pula, terdapat banyak pengertian bagi perkataan ‘mîrâts’, di antaranya: Mengambil alih atau menggantikan si mati pada hartanya dengan satu sebab dari sebab-sebab yang mewajibkannya. Dengan erti kata lain, mîrâts itu ialah satu nama bagi sesuatu yang berhak dimiliki oleh ahli waris daripada orang yang diwarisi.

Di antara maknanya juga ialah harta yang diwarisi, misalnya contoh ayat: “Harta ini adalah mîrâts bagi si Ahmad”.

Definisi Ilmu Mîrâts

Ilmu mîrâts ialah kumpulan kaedah-kaedah dan hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang telah diterangkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Melaluinya dapat diketahui orang-orang yang berhak menerima harta pusaka dan kadar yang mereka dapat.

Hikmat Disyariatkan Pewarisan

Islam mewajibkan umatnya mencari harta dari sumber yang halal, sebagaimana ia mendorongnya untuk bekerja. Oleh kerana itu, Islam menentukan bahawa hasil daripada usaha dan kerja yang telah dilakukannya itu adalah hak miliknya yang boleh digunakan untuk kepentingannya dan juga untuk kemashlahatan orang lain.

Islam juga menerangkan kepada umatnya hak Allah yang ada dalam miliknya. Apabila dia mati, sedang dia ada meninggalkan hartanya, harta itu akan dibahagi-bahagikan kepada orang yang paling dekat kepadanya daripada kalangan keluarganya berdasarkan hukum farâ’idh atau pusaka, atau melalui wasiat kepada sesiapa saja selain daripada ahli waris, yang tidak melebihi satu pertiga daripada harta peninggalannya.

Ahli waris adalah orang-orang yang berhak terhadap si mati, dan yang akan mengusahakan hartanya dan menghasilkan apa yang telah diperjuangkannya selama ini. Zuriatnya atau ahli warisnya adalah juntunan atau untaian daripada asal yang satu, umpama sebatang pokok yang mempunyai satu akar pada mulanya, pada masa akan datang akan bertambah cabang-cabangnya yang baru.

Islam meletakkan peraturan pusaka adalah untuk mendorong manusia agar bekerja dan berusaha sedaya upayanya demi mendapatkan hasil yang melebihi keperluannya dengan menanamkan prinsip bahawa hidupnya tidak akan terhenti oleh kematiannya, bahkan akan terus berpanjangan dan bertali rantai dengan adanya keluarganya dan anak-anaknya yang hidup selepasnya. Dia akan merasa tenteram tanpa merasa khuatir bahawa segala apa yang telah diusahakan itu adalah hak miliknya yang akan dipusakai oleh anak cucunya atau orang-orang yang terdekat dengannya. Mereka itu akan terus hidup tanpa meminta-minta, kerana meninggalkan anak-anak dengan keperluan yang cukup adalah lebih baik daripada membiarkan mereka meminta-minta.

Definisi Harta Pusaka

Dari segi bahasa harta pusaka ialah sesuatu yang ditinggalkan oleh seseorang selepas kematiannya.

Dari segi istilah pula, terdapat banyak pengertian yang telah diberikan dan ringkasnya bolehlah disimpulkan sebagaimana berikut:

i. Harta pusaka ialah sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta dan hak yang berupa harta bersih yang tidak berkaitan dengan hak ‘aini orang lain. Jadi sesuatu yang ada kaitan dengan hak orang lain, tidaklah dikira sebagai harta pusaka mengikut pengertian ini. Contohnya: Seorang yang telah mati membeli sesuatu semasa hidupnya, tetapi dia belum membayar harganya, maka si penjual masih mempunyai kaitan dengan barang yang telah dijualnya itu, di mana dia berhak untuk tidak menyerahkannya sehingga orang yang membeli itu menyelesaikan bayarannya.

ii. Jumhur fuqahâ’ mendefinisikan harta pusaka itu sebagai sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta dan hak secara umum dengan tidak mengira sama ada hak orang lain ada berkaitan dengan harta itu. Maka barang gadaian umpamanya adalah dikira sebagai harta pusaka pada pendapat jumhur meskipun orang yang menerima gadaian itu masih mempunyai kaitan dengan barang yang digadai.

Unsur-Unsur Yang Membentuk Harta Pusaka

Banyak perkara yang disepakati oleh ulama fiqh pada menentukan sesuatu yang tidak dikira sebagai harta pusaka, yang dikira sebagai harta pusaka dan perkara yang mereka berselisih pendapat sebagai harta pusaka.

A. Perkara-perkara yang disepakati para fuqahâ’ sebagai bukan harta pusaka.

Para ulama fiqh tidak bercanggah pada menyatakan bahawa hak peribadi tidak dikira sebagai harta pusaka seperti hak menjawat sesuatu jawatan, begitu juga hak-hak keluarga seperti hak menjadi wali, hak mengurus harta, dan hak penjagaan anak. Semua ini tidak tsabit sebagai harta pusaka melainkan ianya dilakukan hanya sebagai untuk menjaga nama baik orang yang telah tiada.

Antara lain hak-hak yang disepakati oleh para ulama fiqh bukan sebagai harta pusaka ialah seperti hak mengambil balik barang pemberian sebelum adanya qabûl (lafaz menerima) daripada orang yang diberi. Jadi, jika meninggal orang yang memberi sebelum adanya lafaz penerimaan daripada orang yang hendak diberi, maka hak menarik balik pemberian tidak berpindah kepada ahli waris.

Begitu juga hak menggunakan manfaat atau mengambil faedah daripada sesuatu yang dimiliki oleh orang lain seperti manfaat menumpang kereta, manfaat seperti ini tidak berpindah kepada ahli waris,kerana manfaat itu hanya berkaitan dengan si mati.

B. Sesuatu yang disepakati oleh para ulama fiqh sebagai harta pusaka.

(i) Harta yang dimiliki oleh orang yang meninggal dunia semasa hidupnya, sama ada berupa tanah atau sesuatu yang dapat dipindah alih yang mempunyai nilai, atau yang boleh dinilai, atau berupa wang ringgit. Begitu juga harta yang bersifat umum yang berada di bawah kekuasaan orang yang meninggal dunia atau yang ada di dalam simpanan orang lain, seperti barang yang disewakan, barang yang dipinjamkan, wadi‘ah dan barang gadaian, walaupun ia berada di tangan seorang pencuri atau perompak selama mana ia adalah milik orang yang meninggal dunia itu tadi. Begitu juga harta pusaka yang diwarisi oleh orang yang meninggal dunia yang belum dibahagi kepadanya.

(ii) Hak-hak harta bersih yang mana orang yang meninggal dunia berhak ke atasnya, tetapi belum diterimanya, seperti hutang orang lain kepadanya, diyah wajib kerana tersalah bunuh, hak berdamai dengan pembunuh dan arsy jenayah (gantian yang wajib kerana merosakkan anggota orang lain).

C. Harta pusaka yang menjadi perselisihan para ulama fiqh.

(i) Manfaat: Seorang yang meninggal dunia, semasa hidupnya dia mengambil manfaat daripada milik orang lain yang belum selesai tempoh bagi pengambilan manfaat itu sesudah dia meninggal, maka hak mengambil baki manfaat itu menjadi perselisihan pendapat di antara para ulama fiqh sama ada ia dikira sebagai harta pusaka ataupun tidak.

(ii) Hak-hak harta yang berkaitan dengan kehendak: Harta yang bergantung kepada kehendak dan kemahuan orang yang meninggal dunia seperti hak memilih syarat (khiyâr al-syarth) dan sebagainya.

Perwarisan Suatu Kemestian

Perwarisan di dalam Islam adalah suatu peraturan yang mesti diterima oleh orang yang mewariskan dan orang-orang yang mewarisinya. Manusia memiliki kuasa mengendali dan mengurus hartanya semasa hidupnya, akan tetapi dia tidak lagi memiliki kuasa itu sesudah dia meninggal dunia, melainkan pada kadar satu pertiga daripada hartanya dengan syarat-syarat yang tertentu. Pada kadar satu pertiga itu dia boleh berwasiat dan diwajibkan ke atasnya meninggalkan bakinya yang dua pertiga itu kepada ahli warisnya yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Dalam erti kata yang lain, dia boleh memberikan sesuatu pemberian semasa hidupnya secara adil dan dalam keadaan yang mengharuskannya berbuat demikian, seperti bersedekah atau memberikan sesuatu kepada anaknya yang mempunyai ramai anak atau kepada anaknya yang uzur tidak berdaya untuk bekerja. Akan tetapi dia tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan seseorang supaya menyempurnakan segala kemahuannya itu tadi setelah dia meninggal dunia, kerana selepas ketiadaannya dia tidak mempunyai kuasa ke atas keseluruhan hartanya, melainkan pada kadar satu pertiga, dan kadar ini hendaklah diperuntukkan kepada orang yang bukan ahli warisnya. Sebagaimana orang yang mewariskan tidak mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, ahli waris juga tidak mempunyai kuasa penuh ke atas dirinya, maksudnya dia tidak berhak untuk menolak undang-undang perwarisan.

Memang betul, dia boleh menarik diri atau menolak bahagiannya sebagaimana dia boleh menolak pemilikan atau peruntukan yang lain, akan tetapi dia tidak boleh menolak dirinya daripada termasuk di dalam pembahagian harta pusaka, kerana selepas kematian seseorang, segala pengendalian harta adalah menjadi hak agama dan berada di bawah undang-undangnya. Dengan cara ini, pemindahan harta kepada ahli waris akan terlaksana secara teratur.

Keadilan Dalam Pembahagian Harta Pusaka

Pembahagian harta pusaka di dalam Islam adalah menurut pangkat atau darjat seseorang di dalam sesebuah keluarga. Setiap orang semasa hidupnya, sudah tentu amat mengambil berat akan anak-anaknya dan sikap mengambil berat ini lebih ketara atau lebih banyak tertumpu kepada anak-anaknya yang lelaki dengan alasan bahawa mereka ini mempunyai banyak tanggungjawab. Selepas itu barulah perhatian itu ditumpukan kepada isteri yang sering berganding bahu dengannya dalam setiap keadaan, kemudian barulah kepada kedua ibu-bapa sebagai membalas jasa-jasa mereka. Tetapi bagi kedua ibu-bapa ini, mereka hanya mendapat bahagian yang sedikit iaitu satu pertiga jika si mati meninggalkan anak-anak yang ramai. Pembahagian ini memanglah patut dan sesuai, kerana mereka ini pada biasanya tidak akan hidup lebih lama lagi, tambahan pula keperluan-keperluan mereka tidaklah banyak jika dibandingkan dengan keperluan anak-anak yang akan melalui peringkat pembesaran dan pendidikan. Begitulah dapat diperhatikan bahawa sistem peruntukan belanjawan Islam di dalam harta pusaka itu amatlah adil dan dianggap sebagai perintis kepada kemajuan hidup manusia.

Tujuan Pembahagian Harta Pusaka

Peraturan perwarisan di dalam Islam secara umumnya selari dengan pemikiran Islam terhadap harta iaitu pemikiran yang terarah untuk memerangi pengumpulan atau monopoli harta kekayaan di tangan sebilangan orang sahaja. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya daripada kalangan kamu. (Surah Al-Hasyr: 7)

Ayat ini menjelaskan bahawa Islam menggalakkan dan mendorong umatnya ke arah menyebarluaskan kekayaan kepada orang-orang yang tidak mampu.

Tujuan lain, sebagaimana yang dijelaskan terdahulu, seseorang itu berhak untuk berwasiat pada kadar satu pertiga daripada hartanya kepada orang perseorangan yang disukainya yang bukan ahli warisnya, atau kepada persatuan-persatuan yang mengendalikan hal ehwal masyarakat, atau memperuntukkan bahagian yang tertentu kepada ahli keluarganya yang bukan ahli waris, atau memberikan sesuatu untuk kebajikan umum bagi mashlahat orang ramai. Sementara dua pertiga yang lain adalah untuk ahli waris. Prinsip atau dasar Islam dalam ketetapan ini adalah bertujuan untuk menuju sasaran ke arah menghubungkan seseorang dengan masyarakat sekelilingnya dan dengan keluarganya, kerana dia adalah sebahagian daripada masyarakatnya dan dia juga sebahagian daripada keluarganya.

Hak-Hak Yang Berkaitan Dengan Harta Pusaka Terdapat tiga hak yang berkaitan dengan harta pusaka yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pembahagian harta pusaka, iaitu:

(i) Hak menyempurnakan mayat daripada memandikannya, mengkafankannya, mengusungnya sehingga menanamnya. Mengkafankannya hendaklah mengikut kadar keperluan secukupnya, mengikut taraf pakaian yang biasa dipakainya semasa hidupnya atau yang biasa dipakainya semasa hari-hari perayaan. Ini adalah hak atau perbelanjaan yang pertama sekali dikeluarkan daripada harta pusaka.

(ii) Melunaskan hutang-piutangnya yang ada pada orang lain, termasuklah hutang mahar kepada isterinya, hutang bagi barang-barang yang dibelinya, melunasi pinjamannya, hutang bayaran sewa dan lain-lain yang wajib dibayarnya. Menurut Imam Syafi‘e hak-hak Allah juga termasuk di dalam kategori hutang seperti zakat, nazar, kaffârah dan fidyah puasanya yang belum dibayar atau diselesaikannya. Ini berdasarkan kepada sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Maka hutang kepada Allah adalah lebih berhak diselesaikan.” (Hadits riwayat Bukhari)

(iii) Selepas melunasi segala hutang-hutangnya, barulah dilaksanakan wasiatnya dengan syarat-syaratnya.

Sebab-Sebab Perwarisan

Sebab-sebab perwarisan ada tiga:

(i) Sebab perkahwinan iaitu suami dan isteri.

(ii) Sebab pertalian kerabat iaitu asal usul keturunan hingga ke atas dan anak cucu hingga ke bawah.

(iii) Hubungan secara hukum iaitu hubungan keluarga yang lahir di antara tuan dengan hambanya yang dimerdekakannya dengan sebab kemerdekaannya.

Maksudnya, tuan kepada hamba itu jika dia membebaskan hambanya, diberikan keutamaan ke atasnya kerana dia telah memberikan hamba itu kekuatan dan kuasa yang penuh dalam pengurusan semua miliknya. Dia mendapat kelebihan daripada sikapnya yang memerdekakan hamba, kerana itu dia mewarisinya, itupun jika hamba itu tidak mempunyai ahli waris.

Syarat-Syarat Perlaksanaan Harta Pusaka

Ada dua syarat penting yang lazim dan perlu diperhatikan sebelum melaksanakan pembahagian harta pusaka iaitu:

(i) Kematian sebenar orang yang diwarisi atau kematian secara hukum dengan keputusan daripada mahkamah jika dia hilang atau ghaib. Perwarisan boleh dilaksanakan dari tarikh dia meninggal atau tarikh keluar keputusan mahkamah yang menentukan kematiannya.

(ii) Kepastian bahawa ahli waris hidup pada waktu kematian orang yang diwarisi secara hakiki atau hukum. Jika ahli waris tidak dapat dipastikan kewujudannya semasa wafat orang yang diwarisi, secara hakiki atau secara hukum, maka dia tidak berhak mewarisi.

Contoh Pembahagian Harta Pusaka

Siapakah ahli-ahli waris dan kadar bahagian masing-masing telah pun ditentukan oleh syara‘. Pihak-pihak yang mengendalikan pembahagian pusaka bolehlah dirujuk bagi mengetahui pembahagiannya yang sebenar.

Sebagai contoh, isteri yang kematian suami umpamanya adalah wajar menerangkan kepada anak-anaknya harta yang ditinggalkan oleh ayah mereka, sama ada yang terdiri daripada wang, tanah dan lain-lain harta yang boleh alih atau tidak boleh alih, supaya dapat dijalankan pembahagian pusaka terhadap harta itu. Setiap ahli waris akan menerima bahagian yang menjadi haknya masing-masing sebagaimana yang ditentukan oleh syara‘.

Contoh lain, yang meninggal ialah kakak, ahli warisnya yang masih hidup ialah tiga orang adik seibu sebapa (seorang lelaki dan dua orang perempuan) dan dua orang anak saudaranya yang mengasuhnya (anak-anak kepada adik lelakinya). Adalah salah bagi anak-anak saudara si mati membahagi-bahagi harta peninggalan si mati di kalangan mereka dan bapa mereka sahaja, tanpa memberikan bahagian kepada ibu-ibu saudara atau emak-emak saudara mereka itu, semata-mata kerana si mati diasuh oleh anak-anak saudara itu semasa hidupnya. Sebenarnya mereka tidak mendapat apa-apapun bahagian daripada harta pusaka yang ditinggalkan kerana mereka dimahjûbkan (terlindung) oleh bapa mereka. Sepatutnya yang mendapat bahagian adalah adik-beradik si mati (bapa dan emak-emak saudara mereka).

Penentuan pembahagian harta pusaka, hendaklah dirujukkan kepada orang-orang yang ahli dalam hukum farâ’idh atau pihak yang menguruskan harta pusaka, supaya jangan terambil hak atau termakan harta orang lain. Memakan harta orang lain secara sedar adalah berdosa.

Kedudukan harta pusaka akan bertambah rumit jika orang yang berhak itu telahpun meninggal dunia sebelum dia menerima bahagiannya, lebih-lebih lagi jika dipisahkan oleh jarak tahun yang terlalu lama, mungkin permasalahannya akan bertindih-tindih, keturunan demi keturunan. Masalah ini disebut sebagai ‘munasakhat’. Perkara ini perlu kepada penelitian supaya jangan ada orang yang tertinggal hak atau terambil hak orang lain.

Demikian beberapa contoh sebagai gambaran betapa pentingnya perkara perwarisan ini dalam makluman, supaya tiap-tiap ahli menerima dengan adil sebagaimana yang ditentukan oleh syara‘, dan jangan ada perbuatan sengaja oleh ahli-ahli waris yang lain atau lain-lain sebab bahawa ada ahli waris yang berhak dilupakan atau ditinggalkan sehingga tidak mendapat atau memperoleh haknya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6209