Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأخلاق والآداب

Adab Musafir

Pelayaran atau perjalanan jauh disebut dalam bahasa Arab sebagai al-safar dan orang yang membuat pelayaran itu disebut sebagai musâfir, membawa maksud meninggalkan tanah air.

Tujuan ataupun maksud pelayaran itu kadang-kadang berbentuk ibadat, seperti belayar pergi menunaikan haji ke Makkah, kadang-kadang merupakan pelayaran yang diharuskan syara‘, seperti belayar untuk urusan perniagaan atau pekerjaan, dan kadang-kadang juga merupakan pelayaran bagi tujuan yang diharamkan seperti bermusafir kerana kerja-kerja maksiat dan sebagainya, maka perjalanan seperti ini dihukumkan haram.

Syariat Islam selain mengatur kehidupan umat di dalam keadaan bermuqîm yakni tinggal tetap dan tidak bermusafir, ia juga mengatur kehidupan dan menetapkan hukum-hakam serta amalan-amalan tertentu yang boleh diamalkan ketika dalam pelayaran. Setengah daripada hukum-hakam tersebut kadang-kadang terdapat perbezaan di antara dua keadaan tadi; keadaan ketika bermuqîm dan keadaan ketika dalam pelayaran.

Situasi begini berlaku disebabkan terdapatnya keringanan atau kelonggaran yang dipanggil sebagai al-rukhshah dan sebagai rahmat kepada umat. Bertepatan pula bahawa pelayaran itu sendiri sebenarnya suatu masyaqqah iaitu kesusahan yang membebankan. Memang tidak dinafikan bahawa walaupun kemudahan pengangkutan pada zaman sekarang tidak sesusah zaman dahulu, malahan seseorang itu boleh berada di beberapa buah negeri hanya dalam beberapa ketika sahaja, tetapi itu tidaklah bermakna tiada masyaqqah bahkan kesusahan itu tetap ada. Umpamanya dalam pengurusan waktu, kita selalu berebut-rebut mengejar masa ketika dalam pelayaran. Dengan adanya rukhshah atau kelonggaran menjama‘ dan mengqashar sembahyang, kita tidaklah lagi khuatir dari luput waktu untuk menunaikan kewajipan kita terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Banyak tersebut dalam Al-Qur’an contoh-contoh rukhshah atau kelonggaran ketika dalam pelayaran. Di antaranya, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasharkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu. (Surah Al-Nisâ’: 101)

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu, dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah Al-Baqarah: 185)

Daripada kedua-dua ayat ini, jelas adanya perbezaan hukum di antara dua keadaan; bermuqîm dan bermusafir, di mana sembahyang fardhu yang asalnya empat rakaat harus dipendekkan dan dikerjakan menjadi dua rakaat ketika dalam pelayaran. Begitu juga berpuasa di siang hari bulan Ramadhan yang diwajibkan, diharuskan bagi orang yang dalam pelayaran untuk berbuka dan mengqadhanya di hari-hari yang lain. Semua ini tidak lain dan tidak bukan, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menghendaki dan ingin agar hamba-hambaNya mendapat kemudahan dan tidak mahu membebankan mereka kesukaran dengan dan kesusahan.

Sehubungan dengan itu, elok kita memperkatakan tentang adab-adab pelayaran itu, supaya perjalanan yang akan kita lalui bukan semata-mata perjalanan biasa, tetapi merupakan perjalanan ibadat dan moga-moga sentiasa mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Bagi sesiapa yang ingin membuat perjalanan jauh atau pelayaran, khususnya pergi belayar menunaikan ibadat haji, sayugialah dia menjaga adab-adab tertentu seperti berikut:

Adab-Adab Sebelum Memulakan Pelayaran

Setiap amalan mestilah dilakukan dengan niat yang tulus ikhlas kerana Allah Ta‘ala. Oleh itu, setiap pelayaran itu hendaklah disertai dengan niat yang tulus ikhlas kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sebab dengan niat itu akan menjadikan setiap tutur kata, perbuatan dan tingkah laku serta perbelanjaan yang dikeluarkan sebagai taqarrub yakni mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, menambah kebaikan dan menghapus kejahatan serta meninggikan darjat.

Sunat meminta pandangan daripada orang yang dipercayai agamanya, pengalamannya dan ilmunya berkenaan dengan pemergiannya menunaikan haji pada tahun tersebut. Orang yang diminta memberi nasihat itu pula hendaklah memberinya pandangan dan nasihat.

Apabila ada kemahuan dan azam untuk pergi belayar menunaikan haji, maka sunat memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sama ada waktu atau musim itu sesuai baginya untuk pergi menunaikan haji ataupun tidak. Dirikanlah dua rakaat sembahyang sunat Istikharah. Sunat dibaca selepas membaca Al-Fâtihah pada rakaat pertama surah Al-Kâfirûn dan pada rakaat kedua surah Al-Ikhlâsh. Setelah selesai mendirikan sembahyang bacalah doa istikhârah ini, iaitu:

Ertinya: Ya Allah, sesungguhmya aku memohon membuat pilihan kepadaMu dengan ilmuMu, memohon ketetapan daripadaMu dengan kekuasaanMu, aku memohon kurniaMu yang agung, kerana Engkaulah yang berkuasa dan aku tidak ada kuasa, Engkaulah yang Mengetahui dan aku tidak mengetahui, Engaku Maha Mengetahui hal-hal yang ghaib. Ya Allah, jika menurut pengetahuanMu bahawa pemergianku mengerjakan haji pada tahun ini baik bagiku pada agamaku, duniaku, kehidupanku, akhir urusanku, pada cepat dan lambatnya, maka takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah ia bagiku serta berkatilah bagiku di dalamnya. Ya Allah, dan jika menurut pengetahuanMu ianya buruk bagiku pada agamaku, duniaku, kehidupanku, kesudahan urusanku, pada cepat dan lambatnya, maka palingkanlah ia daripadaku dan palingkanlah aku daripadanya, dan tetapkanlah bagiku kebaikan seperti semula, kemudian redhailah aku dengannya.

Akan tetapi bagi sesiapa yang ada keuzuran untuk mendirikan sembahyang memadailah dia membaca doa istikhârah itu sahaja.

Selesai mengerjakan sembahyang dan doa tetapkanlah urusan mengikut kelapangan di hati.

Apabila sudah tetap keazaman dan bulat tekad, wajib ke atasnya bertaubat daripada segala dosa dan maksiat. Walau bagaimanapun, bertaubat itu sebenarnya tidak memilih masa bahkan wajib dilaksanakan dengan segera dan pada setiap ketika.

Syarat sah taubat itu, jika hak-hak yang bersangkutan antara hamba dan Tuhannya, hendaklah seseorang itu meninggalkan dosa dan maksiat dengan segera, menyesali perbuatannya itu dan berjanji tidak akan kembali melakukannya lagi.

Andaikata hak-hak itu bersangkut paut dengan hak anak adam, maka hendaklah memenuhi empat syarat. Tiga daripadanya sebagaimana tersebut di atas, dan ditambah lagi satu syarat, iaitu hendaklah dia membuat pembersihan dirinya daripada hak orang itu. Umpamanya, jika dia mengambil harta benda orang lain hendaklah dia mengambalikannya semula kepada tuannya. Jika dia mencaci atau mengumpat orang maka hendaklah dia meminta maaf kepada orang tersebut.

Selain daripada itu, peranan taubat itu sendiri tidak terhenti setakat membersihkan diri daripada segala dosa dan maksiat, tetapi lebih daripada itu ia juga merupakan suatu cara untuk kita sentiasa berlindung diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan memohon keberkatan ketika kita memulakan dan membuat sesuatu pekerjaan yang berfaedah, dan mengharapkan dikurniakan taufiq serta diselamatkan daripada ditimpa musibah, kesusahan, kesulitan dan sebagainya.

Wajib meninggalkan nafkah ataupun wang belanja bagi ahli keluarganya serta siapa-siapa yang wajib ke atas dirinya memberi nafkah, termasuklah binatang-binatang ternakannya. Hendaklah nafkah itu mencukupi bagi tempoh semasa pemergiannya sehingga kembali ke tanah air. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Alangkah besarnya dosa orang yang menahan-nahan makanan orang yang menjadi tanggungjawabnya. (Hadits riwayat Muslim)

Berusaha meminta restu daripada kedua ibu bapa dan orang-orang yang disuruh berbuat baik dan taat kepada mereka.

Tidak boleh bagi ibu atau bapa menghalang anaknya daripada pergi menunaikan haji fardhu. Namun, jika ibu atau bapa itu memerintahkan supaya melambatkan pemergian ke tahun yang akan datang atas alasan atau tujuan yang boleh diterima di sisi syara‘, maka wajib taat akan perintah itu.

Dalam pada itu, ibu atau bapa boleh menghalangnya daripada pergi menunaikan haji yang sunat.

Bagi isteri hendaklah terlebih dahulu meminta keizinan daripada suaminya. Bagi suami ada hak menahan isterinya daripada pergi menunaikan haji yang sunat. Bahkan pendapat yang azhhar, suami berhak menahan isterinya daripada pergi menunaikan haji fardhu kerana kewajipan ta’at kepada suami itu sesuatu yang mesti dilaksanakan dengan segera, sedangkan haji fardhu itu boleh ditangguhkan ke tahun yang akan datang.

Adalah disunatkan bagi suami membawa isterinya pergi menunaikan haji bersama-sama, sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: Seorang lelaki tidak boleh berada di tempat sunyi dengan seorang perempuan melainkan disertai dengan mahramnya. Dan tidak seorang perempuan itu bermusafir sendirian melainkan ada bersamanya seorang mahramnya. Maka berdiri seorang lelaki seraya berkata: “Wahai Rasulullah, isteriku hendak menunaikan ibadat haji, sedangkan aku ditugaskan pergi berperang ke sana dan ke situ?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Pergilah kamu menunaikan haji bersama isterimu.” (Hadits riwayat Muslim)

Hendaklah nafkah ataupun perbelanjaan yang digunakan untuk menunaikan ibadat haji itu daripada rezeki yang halal dan bersih daripada syubhah atau keraguan kerana yang demikian itu di antara jalan yang terpenting sekali untuk mencapai matlamat dan amal ibadat diterima atau mabrûr.

Hendaklah mengadakan bekalan yang cukup, sama ada yang bersifat kebendaan ataupun bersifat rohani, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma beliau berkata:

Maksudnya: Penduduk Yaman itu pergi menunaikan haji dan mereka tidak menyiapkan bekal apapun untuk perjalanan mereka, bahkan mereka berkata: “Kami semua bertawakkal kepada Allah”. Maka apabila mereka sampai di Makkah, mereka meminta-minta kepada orang. Lalu Allah Ta‘ala menurunkan ayat (yang tafsirnya): “Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa (memelihara diri dari perbuatan hina atau meminta-minta selama dalam perjalanan haji).” (Hadits riwayat Bukhari)

Di antara persediaan yang terpenting yang mesti diambil perhatian bagi orang yang hendak menunaikan ibadat haji itu ialah mempelajari dan menghalusi cara-cara mengerjakan ibadat haji dengan betul. Begitu juga apa-apa jua perkara yang bersangkutan mengenainya kerana merupakan fardhu ‘ain ke atas dirinya. Bukan sahaja wajib disebabkan dia hendak menunaikan haji, bahkan juga kewajipan itu sentiasa terpikul ke atasnya sebagai individu Muslim.

Sebagai contoh, dalam masalah berwudhu’ atau mengambil air sembahyang, walaupun ramai orang tahu tentang wudhu’, tetapi masih ada sebilangan orang yang tidak tahu bagaimana cara mengambil wudhu’ dengan sempurna. Perkara ini nampak mudah, namun perlu diambil perhatian yang sungguh-sungguh, kerana wudhu’ ialah kunci ibadat, sama ada ia sah atau tidak kerananya. Jika ia (wudhu’ itu) betul dan sempurna dilakukan, maka ibadat pun akan jadi sempurna pula. Dengan wudhu’ itulah kita sembahyang dan dengan wudhu’ juga kita mengerjakan thawaf. Apabila wudhu’ tidak sempurna dan tidak sah, maka ibadat sembahyang dan thawaf pun turut tidak sempurna dan tidak sah.

Adalah baik jika perjalanan itu berteman, tidak seorang diri kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri tidak suka bersendirian dalam membuat pelayaran, sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: Andaikata manusia itu mengetahui mengenai bersendirian sebagaimana yang aku ketahui nescaya tidak seorang penunggang pun mahu berpergian seorang diri pada waktu malam. (Hadits riwayat Bukhari)

Selain daripada itu, cari dan pilihlah orang yang baik agamanya dan akhlaknya sebagai teman, supaya dapat membantunya sama ada ketika waktu senang mahupun ketika dalam kesusahan.

Andaikata perjalanan itu disertai oleh tiga orang atau lebih, sunat dilantik seorang yang paling baik akhlaknya dan yang paling bijak dalam banyak perkara, sebagai ketua kumpulan, sebagaimana tersebut dalam sebuah hadits:

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila tiga orang bermusafir maka hendaklah mereka melantik salah seorang daripada mereka sebagai ketua.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Adab-Adab Ketika Dalam Pelayaran

Sunat memulakan pelayaran pada hari Khamis, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri jarang sekali keluar pergi bermusafir kecuali pada hari Khamis. Jika terlepas hari Khamis buatlah pada hari Isnin kerana pada hari Isnin itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar daripada Makkah berhijrah menuju Madinah.

Disunatkan pula keluar pada awal waktu pagi, sebagaimana dalam sebuah hadits:

Maksudnya: Daripada Shakhr Al-Ghamidi Radhiallahu ‘anhu (meriwayatkan) bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda (berdoa): “Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada umatku pada waktu paginya.” (Hadits riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Disunatkan mendirikan dua rakaat sembahyang sunat safar sebelum keluar daripada rumah. Dibaca selepas surah Al-Fâtihah pada rakaat yang pertama surah Al-Kâfirûn dan pada rakaat yang kedua surah Al-Ikhlâsh.

Selesai mendirikan sembahyang, sunat pula membaca Ayat Al-Kursiy, surah Quraisy, surah Al-Ikhlâsh dan Mu‘awwidzatain (surah Al-Falaq dan surah Al-Nâs). Kemudian memanjatkan doa dengan menghadirkan hati dan ikhlas memohon apa yang dihajati, sama ada perkara dunia ataupun akhirat, serta memohon pertolongan dan taufiq ketika dalam pelayaran atau apa-apa sahaja yang bersangkut paut mengenainya.

Apabila bangkit daripada tempat duduknya sayugia membaca, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Ya Allah, aku datang kepadaMu, denganMu aku berpegang. Ya Allah, cukupkanlah bagiku apa-apa yang aku perlukan dan apa-apa yang aku tidak pedulikan dengannya. Ya Allah, perbekalkanlah aku dengan taqwa dan ampunilah dosaku.

Disunatkan bagi orang yang hendak keluar belayar mengucapkan selamat tinggal kepada anak, isteri, ahli keluarga, jiran dan sahabat handainya serta memohon doa restu daripada mereka, dengan membaca sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: (Selamat tinggal), aku titipkan kamu kepada Allah, yang titipan-titipan itu tidak akan sia-sia.

Begitu juga ahli keluarga, jiran dan kawan-kawannya, disunatkan bagi mereka mengucapkan selamat belayar kepadanya, dengan membaca sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam baca ketika Baginda mengucapkan selamat jalan kepada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: Selamat jalan, semoga Allah memelihara agamamu, amanat yang diberikan kepadamu dan kesudahan amalmu. (Hadits riwayat Abu Daud)

Al-Imam Al-Khaththabi menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan ‘amanah’ di sini ialah anak isteri dan orang-orang tanggungannya serta harta bendanya yang diserahkan kepada orang yang dipercayainya.

Selanjutnya beliau menjelaskan, bahawa disebutkan juga ‘agama’ di dalam doa tersebut, sebab pelayaran itu disangkakan banyak kesusahan, maka boleh jadi kerananya sebahagian urusan agama terabai.

Kemudian, doa di atas elok lagi ditambah dengan doa berikut, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Semoga Allah membekalimu dengan taqwa dan mengampuni dosamu serta memudahkan bagimu kebaikan di mana sahaja engkau berada. (Hadits riwayat Tirmidzi)

Doa-doa ucapan selamat tinggal dan ucapan selamat jalan tersebut sayugialah dibaca, kerana dengannya kita mengharapkan semoga Allah mengurniakan pemeliharaanNya kepada semua, sama ada orang-orang yang tinggal dan harta yang ditinggalkan mahupun orang yang pergi belayar. Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah Ta‘ala apabila dititipkan sesuatu nescaya Dia memeliharanya. (Hadits riwayat Ahmad dan lain-lain)

Ketika hendak keluar daripada rumah, disunatkan membaca doa-doa tertentu. Di antaranya, doa yang dibaca oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda keluar daripada rumah, iaitu:

Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada sesat atau disesatkan, terjerumus atau dijerumuskan, menganiaya atau dianiaya dan bodoh atau dibodohkan. (Hadits riwayat Abu Daud)

Di antara bacaan yang dianjurkan juga ialah:

Maksudnya: Dengan nama Allah, aku berserah kepada Allah, tiada ada daya dan upaya melainkan dengan Allah.

Selain daripada itu, Al-Allamah Al-Syeikh Ahmad Al-Shawi Al-Maliki menjelaskan bahawa sayugialah orang yang hendak belayar itu membaca sepotong ayat Al-Quran daripada surah Al-Qashash kerana barangsiapa yang membacanya sebelum berangkat memulakan perjalanan nescaya akan selamat pulang semula ke tanah airnya. Ayat yang dimaksudkan itu ialah:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (mengamal dan menyampaikan) Al-Qur’an (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai. (Surah Al-Qashash: 85)

Selain daripada itu, disunatkan memberi sedekah ketika keluar daripada rumah. Kerana dengan sedekah itu boleh menghapuskan dosa dan melepaskan diri daripada seksa api neraka serta menjauhkan kemurkaan Allah Ta‘ala. Begitu juga, dengan bersedekah dapat menghindarkan daripada kesudahan atau mati yang buruk serta menghindarkan daripada ditimpa bala atau musibah. Tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu beliau berkata:

Maksudnya: Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya sedekah itu memadamkan kemurkaan Allah Ta‘ala dan menolak daripada kematian yang tidak baik.” (Hadits riwayat Tirmidzi dan Ibnu Hibban)

Apabila hendak menaiki kenderaan sunat melangkah dengan mendahului kaki sebelah kanan dengan membaca:

Ertinya: Dengan nama Allah.

Apabila sudah tetap duduk di atas kenderaan dibaca pula:

Maksudnya: Segala puji-pujian bagi Allah, Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya, dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Segala puji-pujian bagi Allah, segala puji-pujian bagi Allah, segala puji-pujian bagi Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah aku, kerana sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa melainkan Engkau.

Elok juga ditambah dengan doa berikut:

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu agar perjalanan kami ini sebagai perjalanan kebaikan dan taqwa, dan (kami memohon kepadaMu) usaha (kami) ini Engkau sukai dan redhai. Ya Allah, mudahkan perjalanan kami ini dan dekatkan bagi kami jarak jauhnya. Ya Allah, Engkaulah yang bersama kami dalam perjalanan, serta yang memelihara keluarga dan harta yang ditinggalkan. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu dari perjalanan yang menyusahkan, tempat kembali yang tidak menyenangkan dan pandangan yang tidak baik pada keluarga, harta dan anak.

Sunat memperbanyakkan doa ketika dalam pelayaran, iaitu memohon apa jua hajat untuk diri sendiri, keluarga, ibu bapa, ahli kerabat serta bagi kaum muslimin, baik yang mengenai dengan keduniaan mahupun yang berkenaan dengan akhirat kerana sesungguhnya doa orang yang dalam pelayaran itu sungguh mustajab. Sebagaimana tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu beliau berkata:

Maksudnya: Ada tiga doa mustajab yang tidak diragukan lagi padanya; doa orang yang teraniaya, doa orang yang dalam pelayaran dan doa ibu bapa terhadap anaknya. (Hadits riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Di dalam perjalanan, apabila melalui atau mendaki tempat yang tinggi, maka disunatkan bertakbîr, iaitu mengucapkan:

Ertinya: Allah Maha Besar.

Dan apabila menuruninya disunatkan pula bertasbîh dengan mengucapkan:

Ertinya: Maha Suci Allah.

Ketika membaca takbîr dan tasbîh tidak perlu meninggikan suara kerana tersebut dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu beliau berkata:

Maksudnya: Kami bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka apabila kami berada di tempat yang tinggi di atas sebuah jurang kami bertahlil dan bertakbîr dengan suara yang nyaring. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pun (menegur dengan) bersabda: “Wahai manusia, rendahkanlah (suara) kamu, kerana kamu tidak memanggil yang tuli dan yang tidak ada. Sesungguhnya Dia bersama kamu, Dia Maha Mendengar lagi Maha Dekat. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila hampir sampai dan melihat negeri yang akan dimasuki, maka bacalah doa sebagaimana yang dibaca oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Ya Allah, Tuhan yang memiliki dan mentadbir langit yang tujuh serta apa yang ia lindungi, Tuhan yang memiliki dan mentadbir bumi serta apa yang ia tanggung, Tuhan syaitan-syaitan dan apa yang mereka sesatkan, Tuhan segala angin dan apa yang ia tiup. Maka kami memohon kepadaMu kebaikan kampung ini dan kebaikan penghuninya. Dan kami memohon perlindungan kepadaMu dari kejahatannya, kejahatan penghuninya serta kejahatan apa yang ada di dalamnya. (Hadits riwayat Nasa’i, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

Apabila mendiami atau menginap di sesuatu tempat, maka sayugialah membaca doa:

Maksudnya: Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada kejahatan yang dijadikan.

Doa tersebut diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Khaulah binti Hakim Radhiallahu ‘anha di mana beliau menceritakan bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, bahawa barangsiapa mendiami atau menginap di suatu tempat, lalu membaca doa yang tersebut di atas, nescaya tidak ada sesuatu yang akan memudaratkannya sehinggalah dia berpindah daripada tempat itu.

Di antara perkara yang mesti dijaga ketika dalam pelayaran ialah, senantiasa memelihara dan menunaikan kewajipan serta menjauhi perkara-perkara yang dilarang.

Umpamanya, sembahyang lima waktu hendaklah dijaga dan ditunaikan pada waktunya. Begitu juga menjauhkan diri daripada segala perkara-perkara yang dilarang, seperti menipu, mengumpat, bergaduh ketika bermuamalah dan sebagainya.

Adab Ketika Pulang Daripada Pelayaran

Sewaktu pulang dari pelayaran menuju ke tanah air sunat membaca sebagaimana yang dibaca oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma menceritakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila pulang dari perjalanan haji, umrah atau peperangan, Baginda akan bertakbîr sebanyak tiga kali setiap kali berada di tempat yang tinggi, kemudian Baginda membaca:

Maksudnya: Tiada tuhan selain Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya segala kekuasaan dan bagiNya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Kami kembali bertaubat, beribadat, bersujud, memuji Tuhan kami. Allah membenarkan janjiNya, menolong hambaNya dan membinasakan pasukan musuh dengan zatNya sendiri. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam Muslim meriwayatkan di dalam Shahihnya daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau (Anas) menceritakan, sewaktu beliau berjalan bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Abu Thalhah, sedang Shafiyah dibonceng di belakang unta Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan apabila kami sudah berada di perbatasan Madinah, Baginda membaca:

Maksudnya: Kami kembali bertaubat, beribadat, memuji Tuhan kami.

Demikianlah sentiasa dibaca oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sehingga kami tiba di Madinah.

Sebelum datang atau balik dari pelayaran elok memberitahu ahli keluarga bila tarikh kepulangan ke tanah air, iaitu dengan mengutus khabar, sama ada melalui seseorang, surat, telefon atau seumpamanya. Ini dilakukan supaya ahli keluarga yang tinggal dapat bersedia menyambut kepulangan orang yang bermusafir.

Apabila sudah dekat hendak sampai dan melihat negeri (tanah air) sunat membaca:

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepadaMu kebaikannya (kampung atau negeri ini) dan kebaikan penghuninya serta kebaikan apa yang ada di dalamnya. Kami memohon perlindungan kepadaMu daripada kejahatannya dan kejahatan penghuninya serta kejahatan apa yang ada di dalamnya. Ya Allah, jadikanlah bagi kami dengannya tempat tinggal dan rezeki yang baik. Ya Allah, kurniakanlah kami rezeki dari kesuburannya, jauhkanlah kami daripada penyakit yang merebak di dalamnya, jadikanlah (hati) kami sayang kepada penduduknya dan jadikanlah orang-orangnya yang salih sayang kepada kami.

Sesudah sampai daripada pelayaran, sunat singgah dahulu ke masjid dan mendirikan dua rakaat sembahyang sunat. Kemudian barulah pulang ke rumahnya dan mendirikan lagi dua rakaat sembahyang sunat, lalu berdoa dan memanjatkan kesyukuran kepada Allah Ta‘ala.

Sunat bagi orang yang menyambut kepulangan orang yang balik daripada mengerjakan haji mengucapkan:

Maksudnya: Semoga Allah menerima ibadat hajimu, mengampuni dosamu dan menggantikan perbelanjaan nafkahmu.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Ya Allah, ampunilah orang yang melaksanakan ibadat haji dan orang yang dipohonkan keampunan baginya oleh orang yang mengerjakan haji. (Hadits riwayat Baihaqi)

Apabila masuk ke dalam rumah bertemu keluarga sunat membaca sebagaimana yang dibaca oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu:

Maksudnya: Berilah kami keampunan, berilah kami keampunan, kepada Tuhan kami jua kami kembali, Dia tidak membiarkan kami berdosa.

Sayugialah kepulangan orang yang telah mengerjakan ibadat haji itu membawa perubahan yang lebih baik pada dirinya, iaitu dari segi akhlak, tutur kata dan perbuatannya, sama ada dalam hubungannya sesama manusia mahupun hubungannya dengan Allah kerana yang demikian itu di antara tanda-tanda ibadat hajinya diterima oleh Allah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6214