Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Beriman Dengan Kitab-Kitab Allah

Iman adalah nikmat yang amat besar nilainya yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hambaNya. Dari itu wajiblah kita menjaganya daripada sebarang anasir yang boleh menggoncang dan menyelewengkannya. Di antara perkara rukun iman yang wajib diimani ialah kitab- kitab Allah. Al- Qur’an adalah di antara kitab-kitab Allah itu. Oleh yang demikian apa jua bentuk kepercayaan yang membawa makna tidak percaya kepada Al-Qur’an atau melakukan sesuatu penghinaan terhadap Al-Qur’an atau membohongi ayat-ayat Al-Qur’an, maka syara‘ menghukum orang-orang yang demikian ini terkeluar daripada Islam.

Mengingkari sesuatu kandungan Al-Qur’an itu dengan sendiri akan merubah keyakinan terhadap syariat yang ditunjukkan oleh Al-Qur’an. Oleh itu adalah munasabah sebelum kita menghuraikan lebih jauh lagi tentang mengimani kitab Allah ini, perlulah terlebih dahulu kita mengetahui bagaimana kitab suci itu boleh sampai kepada manusia.

Kandungan risalah atau perutusan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam merintis jalannya untuk sampai kepada manusia dalam tiga bentuk atau cara. Bentuk atau cara itu adalah apa yang dikatakan sebagai jenis-jenis pewahyuan. Perkara ini ada disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Bijaksana. (Surah Al-Syûrâ: 51)

Bentuk-bentuk yang disebutkan di dalam ayat di atas, itulah wasîlah atau jalan yang menyampaikan wahyu Allah kepada orang yang dipilihNya daripada kalangan hamba-hambaNya. Bentuk-bentuk ini dimaksudkan sebagai pemberitahuan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada rasul-rasul pilihanNya tentang apa yang terkandung di dalam risalahNya.

Pemberitahuan dengan perantaraan utusan malaikat yang ditugaskan iaitu malaikat Jibril ‘Alaihissalam adalah satu cara biasa pada menghubungkan langit dengan bumi. Sementara penyampaian wahyu dengan tiada melalui perantaraan itu ialah percakapan di sebalik hijâb (dinding) atau pengilhaman terus ke dalam hati, dan cara ini adalah khusus bagi sesetengah nabi dalam beberapa keadaan tertentu.

Sebahagian daripada orang-orang yang terpedaya telah menyanggah cara penyampaian wahyu dengan perantaraan malaikat. Mereka mengingkarinya kerana tidak mengakui kewujudan malaikat dari satu sudut. Dari sudut yang lain mereka mengatakan bahawa seandainya malaikat itu wujud pun, nescaya mereka tidak akan dapat menembusi langit yang membolehkan mereka untuk berhubung dengan orang yang diwahyukan.

Pada hakikatnya, pendapat mereka ini tidak berasas sama sekali, jauh lebih rendah dari tahap pengetahuan yang diyakini. Sedangkan malaikat adalah seperti makhluk bernyawa yang lain yang tidak dapat diingkari kewujudannya. Mereka hanya mengakui kewujudan sesuatu yang dapat dirasa (hissi) sahaja. Malahan mereka tidak dapat mendatangkan bukti yang boleh diterima akal yang dapat menyokong pendirian mereka.

Sebenarnya, kewujudan pada pandangan akal ada dua: Kewujudan sesuatu yang dapat dirasa (hissi) dan yang tidak dapat dirasa (ma‘nawi).

Paling kurang, apa yang boleh dikatakan di sini, bahawa tidak ada dalil ilmiah yang dapat membuktikan tentang ketidakwujudan malaikat, jadi kewujudannya adalah suatu perkara yang boleh terjadi pada zatnya selama mana ada nash yang diyakini tsabitnya yang menerangkan tentang kewujudannya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada permulaan surah Fâthir:

Tafsirnya: Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Ia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Fâthir: 1)

Sementara pendapat mereka yang mengatakan bahawa menembusi langit adalah suatu perkara yang tidak harus terjadi, juga merupakan pendapat yang tidak ilmiah. Apa tidaknya, kerana langit menurut pengertiannya yang luas adalah setiap yang tinggi dan di atas. Jadi apabila seseorang itu sudah melimpasi atau menembusi ruang graviti bumi, maka dia sudah dikira sebagai menembusi langit. Kapal-kapal angkasa telah pun berulang-ulang kali menyeberangi ruang angkasa dalam ekspedisinya menjelajah cakerawala. Dalam era kemajuan manusia masa kini, perkara sebegini sudah menjadi tidak asing lagi. Penyelidikan dan penemuan angkasa yang bertambah maju dapat memberikan gambaran yang jelas terhadap suatu kenyataan sebagaimana ia juga dapat membuktikan bahawa langit juga bukan merupakan alam benda yang tidak boleh ditembusi. Di dalam Al-Qur’an ada menyebutkan bahawa penerokaan tepi-tepi langit dan bumi berlaku dengan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala jua:

Tafsirnya: Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)! (Surah Al-Rahmân: 33)

Zahir ayat menunjukkan bahawa yang menjayakan usaha-usaha penerokaan langit dan bumi itu ialah kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Jadi apakah sesudah ini, orang-orang yang mengingkari tentang kemungkinan terjadinya penembusan langit itu masih tetap dengan pendirian mereka? Sesungguhnya pendapat mereka memang tidak dapat diterima, kerana mereka telah meletakkan perbuatan dan pentadbiran Allah Subhanahu wa Ta‘ala di bawah neraca keraguan yang pincang yang mereka anggap sebagai suatu pemikiran yang betul sedangkan sebenarnya tiada sesuatupun yang betul dalam pemikiran mereka.

Kitab-Kitab Samawiyyah (Yang Diturunkan Dari Langit)

Terdapat banyak ayat Al-Qur’an yang menerangkan tentang wajibnya beriman dengan kitab-kitab yang diturunkan dari langit, di samping mengimani rukun-rukun dan unsur-unsur aqidah yang lain. Di antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya (Al- Qur’an) dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan malaikat-malaikatNya, dan kitab-kitabNya, dan rasul-rasulNya. (Surah Al-Baqarah: 285)

Dan firmanNya:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Qur’an yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam), dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. (Surah Al-Nisâ’: 136)

Apa yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada rasul-rasulNya adalah lebih umum daripada hanya berupa sebuah kitab, kerana ia juga meliputi suhuf-suhuf. Ia mengandungi suruhan-suruhan Ilahi yang memimpin manusia ke jalan yang benar dan mengandungi setiap aspek atau bidang pembaikan samada pada peringkat individu mahupun pada peringkat kumpulan. Ia juga merangkumi setiap aspek pemantapan dan pembinaan dalam bidang aqidah, akhlak, perundangan dan muamalat. Secara ringkas bolehlah dikatakan bahawa kandungan kitab-kitab yang diturunkan adalah sebagai punca dan penggerak kepada penghijrahan agung dalam diri manusia, dari kehidupannya yang sia-sia kepada kehidupan yang lebih bermakna.

Untuk lebih jelas lagi, dapat kita perhatikan ayat-ayat Al-Qur’an yang memperkatakan tentang kandungan kitab-kitab Allah yang diturunkan:

Tafsirnya: Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari i‘tiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Qur’an) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syara‘). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (Surah Al-Jumu‘ah: 2)

Begitu juga Al-Qur’an ada menjelaskan tentang kandungan kitab Taurat:

Tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab Taurat, yang mengandungi pertunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan)... (Surah Al-Mâ’idah: 44)

Sebagaimana Allah juga menjelaskan tentang kandungan kitab Injil di dalam firmanNya:

Tafsirnya: Dan Kami utuskan Nabi Isa ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (nabi-nabi Bani Isra’il), untuk membenarkan kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya kitab Injil, yang mengandungi pertunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari kitab Taurat, serta menjadi pertunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa. (Surah Al-Mâ’idah: 46)

Kitab-kitab yang diturunkan dari langit tersusun dengan terang dan jelas dari sudut kefasihan dan maklumat yang disampaikan. Kitab yang terdahulu diturunkan memberitakan khabar gembira tentang kitab yang kemudian diturunkan, sementara itu kitab yang terkemudian menyatakan kebenaran kitab yang terdahulu. Ini menunjukkan akan keshahîhan sandaran atau nisbah kitab-kitab itu kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana yang dijelaskan oleh dua ayat yang disebutkan terdahulu dan ayat berikut:

Tafsirnya: Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: “Wahai Bani Isra’il, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama ‘Ahmad’. Maka tatkala dia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata! (Surah Al-Shaff: 6)

Seolah-olah metode ini iaitu perkaitan, hubungan dan kesatuan dasar kesemua kitab-kitab samawiyyah dan sasarannya yang menjurus kepada pernyataan satu hakikat iaitu tradisi perawatan Ilahi, tidak berbeza di dalam tradisi dan intipatinya sekalipun dengan sebab perbezaan keadaan dan zaman.

Dengan ini jelas terbukti bahawa berbilang-bilangnya agama, tidak akan terjadi melainkan dengan sebab adanya perbezaan masa dan tempat dan lain-lain perkiraan yang bukan dari sebab kandungan kitab-kitab tersebut, kerana kandungan kitab-kitab itu pada hakikat dan tabiatnya adalah satu dan sama. Al- Qur’an ada mengungkapkan rumusan ini dalam firman Allah yang berbunyi:

Tafsirnya: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. (Surah Âli ‘Imrân: 19)

Bagi menguatkan lagi apa yang telah disebutkan di atas, cuba kita perhatikan kisah-kisah di dalam Al-Qur’an yang menceritakan tentang perbualan yang berlaku di antara para nabi ‘Alaihimussalam dengan kaum-kaum mereka. Kita dapati bahawa dakwah yang mereka jalankan adalah menuju kepada kesatuan dasar dalam aqidah, ibadat dan akhlak. Sebagaimana kita juga melihat bahawa penumpuan pada merawat dasar aqidah dengan menyeru kepada tauhid yang betul dan mengubur kepercayaan datuk nenek mereka adalah perkara semulajadi yang diisi oleh peristiwa-peristiwa masyarakat yang pincang. Kepincangan masyarakat yang dapat diterjemahkan sebagai penyakit berbahaya yang banyak dihadapi oleh para nabi ini dan kesudahannya adalah penyelewengan dalam aqidah. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada menceritakan kisah Nabi Nuh ‘Alaihissalam:

Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya! Kami telah utuskan Nabi Nuh lalu dia memberitahu kaumnya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ini seorang Rasul pemberi amaran yang nyata kepada kamu. Iaitu janganlah kamu menyembah melainkan Allah; sesungguhnya aku bimbang (jika kamu menyembah yang lainnya), kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya pada Hari Pembalasan.” (Surah Hûd: 25-26)

Pemesongan Terhadap Al-Qur’an

Al-Qur’an Al-Karim adalah sebuah kitab yang dijamin oleh Allah akan keterpeliharaannya dan keselamatannya daripada sebarang pemesongan orang-orang yang ingin memesongkannya dan daripada pengubahan orang-orang yang mahu mengubahnya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

(Surah Al-Hijr: 9)

Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah memelihara Al-Qur’an di Lauh Mahfudz sebagaimana Dia memeliharanya di dalam hati dan jiwa orang-orang yang bertakwa di kalangan orang- orang yang beriman dengan hafalan-hafalan mereka dan memindahkannya dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Tidak pernah kita melihat sebuah kitab yang disediakan oleh Allah dengan ciri-ciri pemeliharaan dan keselamatan sebagaimana yang disediakanNya untuk Al-Qur’an.

Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam secara beransur-ansur selama lebih kurang dua puluh tiga tahun, dan Baginda sangat-sangat mengambil berat untuk menghafalnya kemudian Baginda membacakan wahyu itu kepada sahabat-sahabatnya.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah seorang Rasul yang ummiy. Oleh kerana itu Baginda hanya bersandarkan kepada kekuatan ingatannya untuk memelihara Al-Qur’an. Kadang-kadang Baginda tergopoh-gopoh membacakan wahyu yang sedang diturunkan kerana takut terlupa sehingga Allah berjanji bahawa Rasulullah dapat menghafalnya dan memahaminya dengan mudah.

Orang-orang Arab semasa Al-Qur’an diturunkan memang terkenal mempunyai daya ingatan yang kuat dan cepat menghafal. Orang Arab ketika itu sanggup menghafal beratus-ratus ribu rangkap syair dan mereka mengetahui salasilah keturunan mereka. Kemudian setelah mereka menerima Al-Qur’an, perhatian mereka berpindah kepada Al-Qur’an dengan menghafalnya pula. Mereka mendapati bahawa Al-Qur’an lebih baik daripada syair Arab kerana di dalamnya ada roh kehidupan.

Bagi pihak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri, cara Baginda mengambil berat tentang Al-Qur’an ialah menghidupkan waktu malam dengan membaca ayat-ayat Al-Qur’an di dalam sembahyang, beribadat dan membaca sambil memahaminya. Maka tidak hairanlah kalau Baginda menjadi penghulu kepada para penghafal Al-Qur’an dan menjadi tempat rujuk umat Islam dalam segala hal yang berkaitan dengan Al-Qur’an. Dengan cara ini Rasulullah telah mengumpulkan Al-Qur’an dalam dada Baginda dan Jibril ‘Alaihissalam menyemak bacaannya setahun sekali dan pada tahun yang penghabisan Jibril menyemak sebanyak dua kali.

Sementara para sahabat pula sangat mengambil berat tentang Al-Qur’an. Mereka berlumba-lumba untuk memahami dan menghafal Al-Qur’an dan mengajarkannya kepada isteri-isteri dan anak-anak mereka di rumah. Mereka tidak tidur pada waktu malam kerana bersembahyang dan membaca Al-Qur’an. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah lalu di rumah seorang sahabat pada waktu malam, lalu Baginda mendengar bunyi seperti dengung lebah. Rupa-rupanya bunyi itu adalah bacaan Al-Qur’an daripada sahabat tersebut. Maka Baginda pun berhenti di rumah sahabat berkenaan untuk mendengarkan bacaannya.

Terlalu ramai sahabat-sahabat yang hafal Al-Qur’an semasa hayat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Di antara mereka ialah Khulafâ’ Al-Râsyidîn, Thalhah, Sa‘id, Ibnu Mas‘ud, Hudzaifah, Salim, Ibnu ‘Umar, Ibnu ‘Abbas, ‘Aisyah, Abu Darda’, Hafshah, Ummu Salamah, Mu‘adz bin Jabal, Zaid bin Tsabit, Mu‘awiyah, Ubai bin Ka‘ab dan lain-lain lagi.

Inilah satu-satunya kemuliaan umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa kitab suci Al-Qur’an terpelihara di dalam dada mereka sebagaimana juga ia terpelihara di dalam mushhaf.

Al-Qur’an Al-Karim telah dipelihara oleh Allah dengan ‘inâyahNya dan menjadikannya mudah untuk dihafal. Allah memeliharanya daripada diresapi oleh sebarang perubahan dengan cara dipeliharanya dalam mushhaf dan dipeliharanya di dalam dada para huffâdz sesuai dengan jaminan Allah itu sendiri.

Keistimewaan yang lain bagi Al-Qur’an itu ialah ia dikumpulkan dan ditulis di dalam mushhaf. Sebagaimana yang telah disebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi perhatian yang lebih dalam pengumpulan Al-Qur’an secara hafalan, namun untuk lebih menjamin keterpeliharaannya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melantik beberapa orang jurutulis wahyu untuk merakamkan wahyu yang diturunkan. Juru-jurutulis itu terdiri daripada sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang terpilih yang layak untuk mengendalikan tugas yang maha besar ini. Mereka itu ialah Zaid bin Tsabit, Khulafâ’ Al-Râsyidîn, Ubai bin Ka‘ab, Mu‘adz bin Jabal, Mu‘awiyah bin Abu Sufyan, Khalid bin Al-Walid, Tsabit bin Qais dan lain-lain lagi.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengarahkan juru-jurutulis itu menulis di pelepah-pelepah pokok kurma, batu-batu, kulit-kulit binatang dan di atas tulang-tulang bahu dan rusuknya, kemudian bahan-bahan yang telah ditulis itu disimpan di rumah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Penyusunan ayat-ayat Al-Qur’an adalah menurut petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam setelah Baginda mendapat perintah daripada Allah. Para ulama telah sepakat mengatakan bahawa susunan Al-Qur’an yang ada sekarang adalah tauqîfi iaitu dengan menurut perintah dan wahyu daripada Allah.

Dengan cara ini Al-Qur’an telah tertulis semuanya pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, cuma Al-Qur’an belum lagi terkumpul dalam satu mushhaf tetapi masih berselerak di rumah sahabat-sahabat.

Setelah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam wafat, umat Islam telah memilih Sayyidina Abu Bakar Al-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu sebagai khalifah. Sebahagian umat Islam menyangka bahawa Islam sudah tidak ada lagi dengan wafatnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu mereka menjadi murtad dan setengahnya enggan membayar zakat.

Memandangkan keadaan yang genting itu, Khalifah Abu Bakar terpaksa mengambil keputusan untuk memerangi mereka. Maka berlakulah peperangan di Al-Yamamah di antara orang-orang Islam dan orang-orang yang murtad.

Peperangan Al-Yamamah merupakan peperangan yang banyak mengorbankan para penghafal Al-Qur’an. Bilangan mereka yang terkorban melebihi daripada tujuh puluh orang.

Peristiwa yang menyayat hati ini menjadi pukulan yang dahsyat kepada orang-orang Islam. Sayyidina ‘Umar merasakan bahawa perkara ini sangat genting lalu beliau berjumpa Khalifah Abu Bakar dan mencadangkan supaya segera dikumpulkan Al-Qur’an di dalam satu mushhaf kerana takut hilang dengan kehilangan para penghafal Al-Qur’an.

Pada mulanya Khalifah Abu Bakar merasa ragu-ragu untuk melaksanakan tugas yang berat itu, lagipun belum pernah dilakukan orang sebelum ini. Tetapi setelah berbincang dan ternyata bahawa perkara tersebut memang baik, maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala melapangkan dada Sayyidina Abu Bakar untuk menerima cadangan Sayyidina ‘Umar itu. Lalu Khalifah Abu Bakar meminta Zaid bin Tsabit supaya mengumpulkan Al-Qur’an di dalam satu mushhaf sahaja.

Dalam masa mengumpulkan Al-Qur’an, Zaid telah mengambil langkah-langkah yang bijak, halus dan teliti demi menjamin kesejahteraan Al-Qur’an. Bagi beliau tidak memadai hanya dengan hafalan dalam dada, catitan yang ada dan dengan yang didengarnya sendiri, malah beliau menggunakan segala tenaga yang ada padanya, memeriksa dan menyelidiki dengan berpegang teguh kepada dua punca; diambil daripada hafalan sahabat dan ayat-ayat yang ditulis di hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri kerana dua perkara ini saling bantu membantu. Bukan setakat itu sahaja, malah beliau tidak mahu menerima sesuatu yang ditulis sahaja, kecuali sehingga ada pengesahan daripada dua orang saksi yang ‘âdil bahawa ayat-ayat itu ditulis di hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Pengumpulan Al-Qur’an menjadi satu mushhaf pada zaman pemerintahan Abu Bakar tidaklah bererti sahabat-sahabat tidak mempunyai mushhaf-mushhaf yang mereka tulis sendiri sebelumnya kerana mereka masih menyimpan mushhaf-mushhaf berkenaan. Tetapi mushhaf-mushhaf yang lain tidak dapat menandingi mushhaf Abu Bakar kerana mushhafnya dikumpulkan setelah diselidiki dengan halus dan rapi.

Pada zaman pemerintahan Sayyidina ‘Utsman, perkembangan Islam telah meluas dan umat Islam telah berpecah ke negeri-negeri lain. Tiap-tiap negeri pula terkenal dengan bacaan Al-Qur’an mereka masing-masing, sehingga perkara ini hampir-hampir menjadi punca perbalahan. Sayyidina ‘Utsman berusaha menghalang perbalahan itu daripada terjadi dengan mengambil keputusan menyalin semula mushhaf Abu Bakar. Beliau menjadikannya dalam beberapa salinan, lalu dikirimkan kepada tiap-tiap negeri dan memerintahkan orang ramai membakar salinan Al-Qur’an yang lain. Dengan cara ini tidak ada jalan lain bagi mereka untuk berbalah dan berselisih faham mengenai bacaan Al-Qur’an.

Jika inilah hakikat sebenar perencanaan asal Al-Qur’an, dan jika kitab inilah yang mengandungi cerita-cerita yang mengisahkan tentang dua buah kitab yang terdahulu daripadanya iaitu Taurat dan Injil bahawa keduanya telah diubah dan ditukar ganti dengan sebab penyelewengan jiwa dan fikiran yang menyelubungi kehidupan Bani Isra’il, maka sudah setentunya kita tidak boleh lari apabila berhadapan dengan hakikat ini dari mendustakan keraguan-keraguan orang yang menentang hakikat ini.

Dari sini dapatlah dirumuskan bahawa Al-Qur’an dengan statusnya sebagai sebuah kitab yang terakhir yang selamat daripada pemesongan dan pengubahan, adalah sesuai dari segi akal menjadi kitab yang membenarkan kitab-kitab yang terdahulu dan dalam waktu yang sama ia merupakan penyelamat dan pembongkar sejauh mana pemesongan dan pengubahan itu berlaku. Dalam hal ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Isra’il (supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya), dan Kami telah utuskan daripada kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan masing-masing); dan Allah berfirman (kepada mereka): “Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat, dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanKu) serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan agama Allah), dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berkhairat pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana ria dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah dia dari jalan yang betul. Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa mengubah kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar, dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian daripada apa yang diperingatkan mereka dengannya. Dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya. Dan di antara orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini orang-orang Nasrani”, Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka juga melupakan (meninggalkan) sebahagian daripada apa yang diperingatkan mereka dengannya, lalu Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka, sampai ke Hari Kiamat; dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang telah mereka kerjakan. (Surah Al-Mâ’idah: 12-14)

Kita tidak dapat menerima bagaimana seorang itu boleh mengatakan bahawa Al- Qur’an yang ada sekarang sudah terpesong atau ditukar ganti isi kandungannya, sedangkan dia berada di depan nash yang jelas nyata membantah setiap pendapat yang mengatakan tentang ketidakaslian Al-Qur’an. Kita juga tidak memahami bagaimana sikap seorang yang mengaku dirinya beriman dengan Al-Qur’an, sedangkan dia mengajukan pandangan yang bertentangan dengan isi kandungan Al-Qur’an.

Ayat kesembilan, dalam surah Al-Hijr yang disebutkan terdahulu, jelas menekankan bahawa kita tidak memerlukan kepada dalil yang lain untuk membuktikan bahawa tidak ada ayat-ayat atau isi kandungan Al-Qur’an yang menerima pemesongan atau tukar ganti daripada sesiapa saja yang berniat ke arah tujuan tersebut. Janji Allah di dalam ayat ini begitu jelas menegaskan bahawa Dia akan menjaga dan memelihara isi kandungan Al-Qur’an daripada sebarang unsur mempermainkannya, pemesongan atau penambahan.

Seorang yang mengatakan bahawa Al-Qur’an itu sudah terpesong telah banyak mendatangkan masalah kepada sebilangan besar para ulama Islam. Di antara mereka yang bersikap demikian ialah para ulama Syi‘ah dan ahli-ahli hadits mereka.

Tidak dapat dinafikan bahawa ada di antara ulama Syi‘ah yang bersetuju dengan pendapat para ulama yang lain dalam mengatakan tiada berlakunya pemesongan. Akan tetapi ada sebahagian mereka dengan penuh keangkuhan dan kedegilan mengatakan berlakunya pemesongan itu. Di antara mereka ialah orang yang bernama Al-Nuri.

Sesiapa yang mengikuti perkembangan Syi‘ah setentunya tidak merasa ragu sama sekali dalam mengatakan bahawa sebab atau punca yang mendorong ahli-ahli hadits Syi‘ah untuk memesongkan Al-Qur’an ialah pengambilan mereka akan dalil-dalil daripada ayat-ayat Al-Qur’an untuk membuktikan kepimpinan Sayyidina Ali Karramallahuwajhah. Menurut mereka, dalil-dalil ini ada disebutkan di dalam surah-surah dan ayat-ayat Al-Qur’an yang pada sangkaan mereka telah dipesongkan.

Pada hakikatnya, pemesongan mereka terhadap Al-Qur’an itu bertembung dengan halangan terbesar yang dihadapi oleh pemimpin-pemimpin Syi‘ah dalam isu pengakuan Sayyidina Ali Karramallahuwajhah tentang Al-Qur’an yang ada sekarang di tangan orang-orang Islam. Seandainya terdapat di sana surah-surah atau ayat-ayat yang terpesong atau ditukar ganti, nescaya Sayyidina Ali dalam pengakuannya itu akan memberitahunya dan mensabitkannya di dalam Al-Qur’an tanpa menyembunyikannya daripada pengetahuan umat Islam. Bertolak dari sini, dapatlah difahami bahawa Al-Qur’an itu masih tetap terpelihara keasliannya tanpa menerima sebarang pemesongan dan pengubahsuaian sehinggalah ke akhir zaman.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6279