Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Pengaruh Harta Terhadap Pemiliknya

Agama Islam sebagai cara hidup yang lengkap tidak hanya sekadar menuntut penganutnya bekerja, berusaha dan beramal untuk mencari kebahagiaan dan kesenangan di akhirat semata- mata. Walaupun akhirat sebagai matlamat utama, tetapi ini tidaklah bererti kita boleh mengetepikan soal kebahagiaan, kemajuan, kejayaan dan kesenangan hidup di alam raya yang kita sekarang ini hidup di dalamnya. Malahan di dunia inilah kita bekerja, beramal, berusaha dan menanam modal atau melabur sebelum menuai hasilnya. Kita akan mendapat sebahagian labanya di dunia ini. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan Hari Akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia. (Surah Al-Qashash: 77)

Pemilikan Harta

Di antara sifat semula jadi manusia yang Allah ciptakan dalam diri manusia itu ialah tabiat suka memiliki sesuatu. Perkara ini memang jelas dapat kita perhatikan sendiri, sehinggakan kanak-kanak kecil pun, dengan tidak payah ditunjuk atau diajar juga ingin memiliki sesuatu untuk dirinya.

Oleh yang demikian, sejajar dengan tabiat semula jadi manusia itu Islam tidak pernah menafikan, malahan mengakui akan wujudnya hak pemilikan secara individu, kerana Islam agama fitrah, yakni yang sesuai dengan tabiat semula jadi manusia dan tidak pernah menyanggahnya.

Pemilikan harta pada pandangan Islam adalah penyebab bagi mengecapi kehidupan yang baik serta seterusnya menyumbang untuk beramal dengan menyalurkannya pada jalan-jalan yang hak.

Oleh sebab itu, Islam menyeru dan meminta penganutnya supaya bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki, sebaliknya melarang daripada berpeluk tubuh, malas dan tidak mahu berusaha. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu yang mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah terhadap kemurkaanNya). (Surah Al-Mulk: 15)

Firman Allah Ta‘ala di dalam ayat yang lain:

Tafsirnya: Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah. (Surah Al-Jumu‘ah: 10)

Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pula pernah menyebutkan di dalam hadits Baginda yang berbunyi:

Maksudnya: Tidak pernah seseorang itu memakan makanan yang lebih baik daripada apa yang dimakannya hasil daripada usaha tangannya sendiri. (Hadits riwayat Bukhari dan Ahmad)

Seorang cendikiawan Islam yang bernama Al-Imam Al-Raghib pernah berkata: “Mencari rezeki di muka bumi walaupun dari satu segi ianya dianggap di antara perkara-perkara yang diharuskan, akan tetapi dari satu segi yang lain ianya termasuk di antara perkara-perkara yang diwajibkan”.

Beliau seterusnya menambah: “Yang demikian itu, ketika mana seorang insan tidak ada kebebasan untuk melakukan ibadat melainkan dengan mencukupkan keperluannya, maka mencukupkan keperluan itu adalah wajib, kerana setiap perkara jika tidak dapat sempurna yang wajib melainkan dengannya maka mengadakan perkara itu adalah wajib”.

Batas-Batas Pengembangan Harta

Islam menyeru penganutnya daripada kalangan pemilik-pemilik aset atau harta benda supaya mengembangkannya dan melarang mereka daripada membekukannya, kerana dengan pengembangan itu akan dapat mempertingkat dan memantapkan lagi tahap ekonomi umat Islam.

Umpamanya, tidaklah wajar bagi pemilik-pemilik tanah membiarkan tanahnya dalam keadaan terbiar tanpa diusahakan, kerana orang ramai berhajat dan memerlukan hasil-hasil tanaman yang dapat dihasilkan dari tanah tersebut.

Begitu juga, tidaklah wajar bagi pemilik-pemilik modal berbentuk wang ringgit umpamanya, menyimpan dan membekukannya tanpa dibuat modal sebagai pelaburan. Ini adalah disebabkan, perlunya orang ramai kepada modal tersebut untuk dibuat pelaburan dengan membuka projek-projek yang mendatangkan manfaat kepada orang awam dan membuka lebih banyak peluang-peluang pekerjaan, seterusnya dapat mengurangkan kadar pengangguran. Dengan demikian dapat menggiatkan lagi kegiatan-kegiatan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup umat.

Dalam hal ini, tidak hairanlah jika Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberi peringatan kepada orang-orang yang membekukan hartanya, yang tidak memanfaatkannya pada saluran-saluran yang sebenar dengan ancaman keseksaan yang akan menimpa ke atas mereka, sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Taubah, ayat 34:

Tafsirnya: Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Namun dalam pada itu juga, Islam meletakkan garis pandu yang berupa larangan sebagai batasan-batasan yang tidak boleh dilampaui.

Secara umumnya, Islam membataskan bagi pemilik-pemilik harta supaya mengembangkan harta mereka dalam bentuk yang diakui oleh syara‘, yang tidak bertentangan dengan nilai-nilai akhlak dan kepentingan umum, kerana sistem perekonomian dalam Islam itu sekali-kali tidak mengetepikan nilai-nilai akhlak yang mulia.

Agama Islam telah menyediakan batasan-batasan tertentu yang melarang umatnya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berakhlak. Perkara-perkara yang dianggap tidak berakhlak itu ialah, apabila terdapat:

i. Unsur-unsur yang membantu kepada perbuatan maksiat.

ii. Unsur-unsur penipuan.

iii. Unsur-unsur eksploitasi, iaitu mengambil kesempatan daripada kelemahan orang lain demi kepentingan diri sendiri.

iv. Unsur-unsur kezaliman yang dilakukan oleh salah satu pihak dalam sesuatu perjanjian, dan sebagainya.

Oleh yang demikian, Islam mengharamkan aktiviti-aktiviti tertentu dalam pengembangan harta, di antaranya:

i. Riba:

Islam menghalalkan pengembangan harta dengan jalan perdagangan, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu. (Surah Al-Nisâ’: 29)

Firman Allah Ta‘ala di dalam ayat yang lain:

Tafsirnya: Dan Allah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. (Surah Al-Baqarah: 275)

Akan tetapi, Islam menutup pintu bagi sesiapa yang berusaha mengembangkan hartanya dengan jalan riba. Pengharamannya adalah dalam segala bentuk, tidak kira sama ada berlipat ganda ataupun tidak, sama ada banyak ataupun sedikit. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya. (Surah Âli ‘Imrân: 130)

Pengharaman riba adalah semata-mata demi melindungi kepentingan manusia sejagat, baik dari segi moral, sosial mahupun perekonomiannya.

Ini dapat ditinjau, bahawa riba itu mengandungi unsur-unsur pemerasan dan kezaliman terhadap orang yang lemah dan miskin demi kepentingan orang kaya, di mana akhirnya menjadikan golongan kaya bertambah kaya dan golongan miskin tetap miskin. Hal ini akan menuju kepada jurang perbezaan yang jauh di antara golongan miskin dan kaya.

Justeru itu, disebabkan bahaya riba terhadap masyarakat sejagat tidak hairanlah Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengisytiharkan perang terhadap golongan yang terus menerus melakukan riba, sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu akan adanya peperangan daripada Allah dan RasulNya (akibatnya kamu tidak menemui selamat). (Surah Al-Baqarah: 279)

Di dalam konteks ayat di atas, penafsiran kalimat “حرب” (peperangan) mempunyai dua maksud, iaitu:

i. Sebagai kiasan sahaja, bukan bermaksud peperangan yang sebenar. Tujuannya ialah sebagai peringatan dan ancaman yang amat keras terhadap orang yang enggan bertaubat daripada melakukan riba.

ii. Membawa maksud peperangan yang sebenar. Maka orang yang terus menerus melakukan riba, bagi pemerintah yang berkuasa ke atasnya, hendaklah menahannya dan menjalankan hukuman ta‘zîr ke atasnya sehingga dia bertaubat.

Sekiranya ia dilakukan oleh orang-orang yang mempunyai kekuatan dan pengaruh, sewajarnya pihak pemerintah memerangi mereka sebagaimana Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu memerangi golongan yang enggan membayar zakat. (Al-Tafsîr Al-Kabîr, Jilid 4, m.s. 88)

ii. Penipuan:

Islam mengharamkan semua bentuk penipuan, baik dalam setiap urusniaga mahupun dalam segala macam muamalah atau urusan di antara sesama manusia.

Adalah menjadi kewajipan bagi setiap individu untuk berlaku jujur dalam setiap urusannya. Namun, bagi individu muslim ada sesuatu perkara lain yang perlu dicapai melalui keikhlasannya dalam beragama kerana berlaku jujur itu lebih mahal, lebih tinggi nilainya daripada seluruh usaha dan kerja duniawinya.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

Maksudnya: Dua orang yang sedang berjual beli boleh khiar (membuat pilihan) selagi keduanya belum berpisah, jika keduanya berlaku jujur dan menjelaskan (ciri-ciri dagangan mereka) maka akan diberkati dalam jual beli mereka. Dan jika keduanya berdusta dan menyembunyikan (ciri-ciri dagangan mereka) maka akan dihapuskan berkat jual beli mereka itu. (Hadits riwayat Bukhari)

Terdapat setengah orang di kalangan masyarakat kita sanggup menipu dan memperdaya orang lain demi mendapat keuntungan. Apabila ditanya apakah barang yang dijualnya itu bagus atau tidak, masih baru atau tidak, mereka akan memberitahu bahawa barang itu bagus, baik, masih baru dan bermacam-macam lagi perkataan menjerat yang diucapkan, walaupun pada hakikatnya barang itu keadaannya tidak seperti apa yang disifatkan.

Tidak kurang juga, terdapat setengah orang melakukan penipuan dengan cara mengabui mata orang lain, iaitu dengan meletakkan atau mencampurkan benda yang bagus, baik, segar dan baru dengan benda yang kurang elok. Apabila pelanggan datang membeli dia akan memberikan termasuk yang tidak elok.

Fenomena ini sebenarnya bukanlah baru. Ia sudah dipraktikkan sejak dahulu lagi. Pernah berlaku bilamana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan lalu di hadapan seorang lelaki yang menjual makanan (biji-bijian), Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangan Baginda ke dalam tompokan makanan tersebut. Apabila didapati oleh Baginda makanan itu basah, lalu bertanyalah Baginda kepada lelaki tersebut: “Apa ini wahai tuan punya makanan?” Lelaki itu menjawab: “Basah terkena hujan”. Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas sehingga dapat dilihat oleh orang lain?”

Baginda seterusnya bersabda:

Maksudnya: (Sebab) barangsiapa yang menipu kami bukanlah dia daripada golongan kami. (Hadits riwayat Muslim)

iii. Memperdagangkan yang haram:

Apa pun bentuk benda apabila ianya dihukumkan haram maka memperdagangkannya juga haram, sekalipun ianya mendatangkan manfaat, kerana di dalamnya terkandung unsur-unsur membantu kepada berlakunya kemaksiatan.

Umpamanya arak, telah jelas di dalam Al-Qur’an Allah mengharamkan arak dan pada masa yang sama Allah juga menjelaskan wujudnya manfaat pada arak. Namun begitu, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjelaskan lagi bahawa dosa dan mudarat yang dibawa oleh arak itu adalah lebih besar dan lebih buruk daripada manfaatnya kepada manusia.

Oleh itu, jikalau arak dibenarkan berlegar di pasaran, tidak syak lagi akan membantu berleluasanya kemaksiatan. Apa yang berlaku pada masa kini, memang terbukti arak banyak menimbulkan berbagai-bagai masalah jenayah dan maksiat bahkan kematian seperti kecelakaan ketika memandu di jalan raya dalam keadaan mabuk.

Dalam konteks ini juga Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah apabila mengharamkan sesuatu, Dia haramkan juga harganya. (Hadits riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Pengagihan Harta

Pengembangan atau pembangunan harta dalam Islam meliputi pelbagai aspek dan salah satu daripadanya ialah pengembangan melalui zakat.

Zakat merupakan konsep yang tepat dalam mewujudkan keseimbangan pengagihan harta di antara sesama manusia. Ianya juga merupakan perhubungan yang asas di antara manusia dengan manusia.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, zakat merupakan ibadat harta yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam dengan syarat- syarat yang tertentu. Ianya adalah antara rukun Islam yang lima. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat. (Surah Al-Baqarah: 43)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Didirikan Islam atas lima rukun: Pengakuan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad pesuruh Allah dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di Baitullah dan puasa pada bulan Ramadhan. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebagai salah satu rukun Islam, zakat mempunyai tujuan dan fungsinya yang tertentu. Di antara tujuan zakat itu tidak hanya terbatas untuk memerangi kemiskinan dan kefakiran dengan menghulurkan bantuan atau pertolongan dengan bersifat sementara, akan tetapi di antara wawasan yang lebih tinggi dan jauh ialah untuk meluaskan kaedah pemilikan, memperbanyakkan jumlah pemilik harta dan mengubah semaksima mungkin bilangan manusia fakir dan miskin supaya menjadi orang yang sentiasa berkecukupan sepanjang hayatnya.

Tegasnya, tujuan zakat itu adalah untuk mengayakan manusia daripada keadaan sentiasa kekurangan dan memerlukan, kepada keadaan yang sentiasa berkecukupan yang bersifat kekal.

Oleh yang demikian, dapatlah dikatakan bahawa zakat berfungsi untuk merealisasikan tujuannya yang agung iaitu meminimumkan jumlah peminta dan memaksimakan jumlah pemilik.

Sebenarnya inilah juga tujuan Islam yang besar dalam lapangan ekonomi dan kemasyarakatan, demi merealisasikan perkongsian antara sesama manusia supaya sama-sama mengecapi nikmat kebaikan dan kemanfaatan yang Allah titipkan di muka bumi ini dan tidak membataskan pengagihannya kepada golongan yang kaya sedangkan golongan yang lain hanya menggigit jari, tidak mendapat apa-apa. Sesuai dengan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi. (Surah Al-Baqarah: 29)

Dari ayat di atas dapat difahami bahawa segala apa yang ada di muka bumi ini diciptakan untuk semua manusia, tidak dikhususkan untuk satu golongan, sementara golongan yang lain tidak.

Di sini dapat disimpulkan bahawa Islam telah menyediakan landasan keadilan dalam pengagihan harta dan meratakan pemilikannya dalam masyarakat. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya daripada kalangan kamu. asyr: 7)H-(Surah Al

Apa yang berlaku, akibat daripada pengagihan harta yang tidak seimbang dan tidak adil di antara manusia, telah menyebabkan berlakunya jenayah sosial seperti penyelewengan, penipuan, pemerasan, penindasan, rasuah dan lain-lain lagi.

Penyusutan Harta Pada Riba Dan Penyuburannya Pada Zakat

Dalam konteks perbincangan ini, kita bawakan dua contoh amalan yang bertentangan secara total, baik dari segi konsep mahupun dari segi hukum iaitu riba dan zakat atau sedekah.

Sebagai natijah pertentangan tersebut, timbul pula berbagai kesan yang berlainan terhadap pelaku antara kedua-dua amalan tersebut. Salah satu daripadanya membawa kesan positif dan yang satu lagi membawa kepada kesan negatif. Ini jelas sebagaimana yang difirmankan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah Al- Baqarah, ayat 276:

Tafsirnya: Allah hapuskan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba, dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa.

Apa yang menarik perhatian pada ayat di atas, pengamal riba atau disebut sebagai lintah darat yang mengambil keuntungan melalui riba, menyangka bahawa hartanya akan berkembang subur dengan cara tersebut.

Demikian juga orang yang enggan mengeluarkan zakat atau bersedekah, menyangka bahawa dengan mengeluarkan zakat akan menyebabkan kesusutan atau kekurangan harta, sebaliknya pula menyangka bahawa dengan keengganannya itu akan menambah, menyubur atau sekurang-kurangnya tidak mengurangkan hartanya.

Namun Allah Subahanhu wa Ta‘ala menafikan dan menyangkal perbuatan tersebut dan menerangkan bahawa dengan pengambilan riba itu walaupun pada zahirnya harta kian bertambah subur akan tetapi riba itulah sebenarnya penyebab kesusutan dan kemusnahan, bukan penyuburan.

Begitu juga halnya zakat atau sedekah, walaupun pada pandangan mata kasar ianya menyebabkan kesusutan, tetapi pada hakikatnya ia adalah penyebab kesuburan dan pengembangan harta itu.

Perihal penyusutan dan penyuburan ini sebenarnya hendaklah ditinjau daripada aspek manfaat dan akibatnya dengan serampang dua mata, iaitu matlamat dunia dan matlamat akhirat.

Adapun di dalam kehidupan dunia ini, kesusutan harta yang dijalankan dengan mengambil riba dapat dilihat daripada beberapa aspek, di antaranya:

i. Orang yang mengambil riba pada kebiasaannya, walaupun dia banyak mengaut keuntungan dan memiliki harta yang banyak namun akibatnya menuju kepada kefakiran dan hilangnya keberkatan pada hartanya itu.

Apabila tiada keberkatan, nikmat yang dikecapi pasti tidak akan sampai ke mana. Ia akan lenyap dan hilang dengan berbagai cara yang tidak disangkakan. Malahan lebih dari itu, sehingga kerugian mengatasi keuntungan. Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Sesungguhnya riba itu walaupun banyak tetapi akibatnya menuju kepada kesusutan. (Hadits riwayat Al-Hakim)

ii. Kalaupun tidak berlaku kesusutan pada hartanya, akan tetapi yang demikian itu akan mengakibatkan dia mendapat celaan, keaiban, hilangnya sifat kemuliaan diri, hilangnya kepercayaan orang terhadap dirinya, melakarkan imej yang buruk dan sebagainya.

iii. Tidak dinafikan bahawa pengamalan riba boleh menyebabkan tercetusnya permusuhan dan kebencian di antara golongan masyarakat. Golongan yang diperas harta mereka untuk mengaut keuntungan riba, terutama golongan miskin, akan mengutuk, memaki, mencerca dan mendoakan sesuatu yang tidak baik terhadap orang yang bergelar lintah darat. Semua ini menyebabkan hilangnya kebajikan dan keberkatan pada diri dan hartanya.

iv. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mendoakan orang yang mengamalkan riba itu dengan mendapat laknat dan jauh daripada mendapat rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Memang tidak diragui bahawa doa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah mustajab. Maka amat malanglah nasib orang yang mengamalkan riba, kerana tidak dapat tidak akan berada jauh daripada naungan perlindungan Allah dan belas kasihanNya.

Sementara itu pula, aspek-aspek kesusutan atau kemerosotan nilai-nilai kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil riba apabila dipandang dari segi akhirat, di antaranya ialah:

i. Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma menegaskan berkenaan pengertian “ْيحق ” (susut, musnah atau hilang) dalam konteks ayat di atas, bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak menerima harta yang bersumber daripada riba apabila dinafkahkan untuk bersedekah, dibelanjakan untuk berjihad, menunaikan haji dan untuk menyambung tali persaudaraan.

Tegasnya, sebagaimana yang ditegaskan oleh beliau itu, bahawa pelaburan yang dibuat untuk saham akhirat tidak akan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala andaikata harta yang dilaburkan itu adalah bersumber daripada hasil yang dijalankan dengan mengambil riba.

ii. Adalah menjadi kerugian yang besar mengaut keuntungan dan harta kekayaan melalui aktiviti riba, kerana harta yang dimiliki itu tidak akan kekal selamanya, ianya akan ditinggalkan apabila seorang itu meninggal dunia.

Nikmat dan manfaat apakah lagi yang boleh dikecapi melalui harta tersebut? Hendak beramal dengannya, tentunya tidak akan diterima. Hendak ditinggalkan untuk anak-anak, apakah kita sanggup menyuapkan ke dalam mulut mereka sesuatu yang haram? Tentunya tidak. Jadinya, tidak lain yang tinggal hanyalah menghadapi akibat dan tanggungjawab di hadapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala di akhirat kelak dan menanti balasanNya.

iii. Sesungguhnya telah tsabit di dalam Al-Qur’an bahawa orang-orang yang memakan riba akan dibangkitkan pada Hari Kiamat dalam keadaan seperti orang gila kerana kerasukan syaitan sebagai alamat atau tanda mereka memakan riba semasa di dunia. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. (Surah Al-Baqarah: 275)

Manakala itu pula, aspek-aspek kesuburan atau berkembangnya nilai kebaikan pada harta yang dikeluarkan zakatnya di dalam kehidupan dunia ini, antaranya ialah:

i. Barangsiapa yang bersedekah atau mengeluarkan zakat semata-mata kerana Allah, maka Allah akan bersamanya dan memberinya pertolongan. Oleh itu, apabila seorang insan membuat kebaikan kepada orang lain dalam keadaannya yang serba kekurangan, maka Allah tidak akan membiarkan kehidupannya dalam keadaan terbiar dan kelaparan. Tersebut dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Tiada hamba itu berada pada suatu hari pada waktu paginya melainkan dua Malaikat turun, lalu salah satunya berkata: “Ya Allah, gantikanlah dengan kebajikan bagi sesiapa yang menafkahkan (harta) pada jalanMu”, dan berkata yang satu lagi: “Ya Allah, hilangkanlah nikmat orang yang bakhil menafkahkan (hartanya) pada jalanMu.” (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

ii. Orang yang mengeluarkan zakat atau sedekah, tidak syak lagi hari demi hari martabat kemuliaannya akan bertambah tinggi, sentiasa menjadi ristaan yang baik, menambat hati manusia dan orang akan merasa senang terhadapnya.

Yang demikian itu adalah lebih baik dan lebih bernilai jika dibandingkan dengan harta yang dikeluarkan.

iii. Dengan mengeluarkan zakat atau sedekah akan dapat melapangkan kesempitan dan kepayahan orang yang berhak menerimanya, khususnya fakir dan miskin. Maka dengan itu, sudah tentu mereka akan mendoakan orang yang mengeluarkan zakat atau sedekah supaya sentiasa dikurniakan kebaikan dan keberkatan, kerana dengan sebab merekalah (orang yang mengeluarkan sedekah), sedikit sebanyak melapangkan kehidupan orang yang menerima sedekah tadi.

Aspek-aspek kesuburan atau berkembangnya nilai kebaikan pada harta yang dikeluarkan zakat atau sedekah apabila dipandang dari segi akhirat, telah disebut di dalam Al-Qur’an serta hadits-hadits Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, di antaranya ialah:

i. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya. (Surah Al-Baqarah: 261)

ii. Sebagaimana tersebut di dalam hadits shahîh yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barangsiapa mengeluarkan sedekah seumpama (beratnya atau nilainya) dengan sebiji tamar daripada hasil usaha yang baik (halal), dan Allah tidak menerima melainkan yang baik, maka Allah akan menerima sedekah orang itu dengan tangan kananNya (diterimaNya dengan penuh reda). Kemudian Allah memeliharakan sedekah itu (menambahkan pahalanya) bagi yang mengeluarkannya, sebagaimana salah seorang kamu memelihara anak kudanya, sehingga apa yang disedekahkan itu menjadi banyak laksana gunung (pahalanya semakin dilipat-gandakan sebanyak-banyaknya). (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

iii. Sebagaimana juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menerima sedekah dan menyambutnya dengan tangan kananNya (dengan penuh reda), maka Allah memeliharakannya bagi salah seorang daripada kamu sebagaimana seorang daripada kamu memelihara anak kudanya, sehingga satu suap itu menjadi seumpama bukit Uhud. Pembenaran yang demikian itu tersebut di dalam Kitab Allah (Al-Qur’an): “Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah, Dialah yang menerima taubat daripada hamba-hambaNya, dan juga menerima sedekah-sedekah (dan zakat serta membalasnya)”, dan “Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba, dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya.” (Hadits riwayat Tirmidzi)

Sebagai kesimpulan, Islam mengajak penganutnya supaya bekerja dan berusaha demi mencapai dua matlamat kehidupan iaitu di dunia dan di akhirat. Bertolak dari sini, Islam mengharuskan pemilikan harta sebagai natijah dari apa yang diusahakan oleh setiap individu, selama mana gaya usahanya itu tidak melanggar batasan-batasan yang ditentukan oleh syara‘ dan seterusnya menafkahkan pada jalan hak.

Dengan suatu kesimpulan lain juga, apabila seseorang dikurniakan harta untuk dimiliki, maka pemilikannya itu bukanlah pemilikan secara mutlak, akan tetapi ianya merupakan satu amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya untuk mentadbir, mengurus dan menjalankannya dengan penuh efisien, jujur dan ikhlas.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6285