Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Berapakah Kadar Nishab Zakat Wang

BERAPAKAH KADAR NISH ÂB ZAKAT WANG?

Mata wang yang digunakan dalam urusan muamalah sekarang ini memang berbeza dengan apa yang digunakan pada zaman dahulu. Sebelumnya, manusia melakukan kegiatan muamalah sesama mereka dengan jalan tukar menukar barang iaitu dengan memberikan sesuatu benda dan menukarnya dengan benda yang lain. Kemudian apabila wang emas dan perak diperkenalkan, maka kegiatan tukar menukar itu dinilai dengan dua jenis mata wang tersebut.

Di kala Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam diutus menjadi rasul, orang-orang Arab telah pun melakukan kegiatan tukar menukar dengan menggunakan wang emas dalam bentuk dinar dan wang perak dalam bentuk dirham. Mereka memperolehinya daripada Kerajaan Romawi dan Kerajaan Parsi yang wujud ketika itu, sehinggalah wang dirham dan dinar itu diwajibkan zakatnya maka emas dan perak diiktibar sebagai mata wang yang diakui oleh syara‘.

Setelah wang dinar dan dirham tidak digunakan lagi dalam urusan muamalah dan diganti dengan mata wang yang ada sekarang ini, maka timbul pertanyaan adakah wajib zakat pada mata wang tersebut dan jika wajib, berapakah kadar nishâb mata wang tersebut?

Jumhûr ulama fiqh telah mengatakan wajib zakat pada mata wang. Mata wang tersebut telah menggantikan mata wang emas dan perak yang digunakan oleh orang-orang Arab terdahulu dalam berurusniaga sebelum kedatangan Islam. Mata wang emas dikenal sebagai dinar dan mata wang perak sebagai dirham.

Dengan itu, nishâb zakat mata wang ialah nishâb zakat perak dan emas, maka dengan yang demikian untuk mengetahui nishâb zakat mata wang sekarang ini, perlu diketahui berapakah nishâb zakat perak dan emas.

Adapun nishâb zakat yang tsabit pada perak itu ialah 200 dirham.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Tidak ada pada harta yang kurang dari lima awqiyah daripada wang perak itu sebarang zakat dan (lima awqiyah) itu ialah dua ratus dirham. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Satu awqiyah bersamaan dengan 40 dirham. Ini bermakna lima awqiyah itu bersamaan dua ratus dirham. Adapun mengikut timbangan sekarang 200 dirham itu bersamaan dengan 595 gram perak.

Adapun kadar yang perlu dikeluarkan zakatnya ialah 1/40 atau 2.5%, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Dan pada wang perak itu (zakatnya) sesuku dari sepersepuluh (1/40 atau 2.5%). (Hadits riwayat Bukhari)

Manakala nishâb zakat emas pula, telah ijmâ‘ ulama mengatakan bahawa nishâb emas itu ialah 20 dinar (mitsqâl) mengikut timbangan Makkah.

Mengenai nishâb zakat emas dan kadar yang perlu dikeluarkan daripadanya, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Tiadalah dikenakan apa-apa (zakat) pada yang kurang daripada dua puluh dinar. Adapun pada dua puluh dinar itu (zakatnya) setengah dinar. (Hadits riwayat Abu Daud)

Dalam hadits yang lain Baginda bersabda:

Maksudnya: Tidak dikenakan ke atasmu apa-apa (zakat) sehingga sampai dua puluh dinar. Jika kamu memiliki dan sampai haulnya, maka padanya (zakat) setengah dinar. (Hadits riwayat Abu Daud dan Baihaqi)

1/2 dinar itu adalah 1/40 (2.5%) daripada 20 dinar. Berdasarkan kiraan sekarang 20 dinar (mitsqâl) emas itu adalah bersamaan dengan 85 gram emas.

Maka dengan ini, kadar yang dikeluarkan bagi zakat perak dan emas itu adalah sama iaitu 2.5%. Manakala nishâb zakat perak ialah 200 dirham yang bersamaan dengan nilai 595 gram perak. Nishâb zakat emas pula ialah 20 dinar yang bersamaan dengan nilai 85 gram emas.

Memandangkan kepada nilai nishâb perak 595 gram jauh berbeza dengan nilai nishâb emas 85 gram. Maka sekarang timbul perbezaan pendapat dalam menetapkan nishâb zakat mata wang itu iaitu sama ada disandarkan kepada nishâb perak iaitu 595 gram atau nishâb emas iaitu 85 gram.

Setengah ulama berpendapat bahawa nishâb mata wang itu disandarkan kepada nilai nishâb perak, yang demikian itu adalah kerana:

(i) Sesungguhnya nishâb perak itu disepakati dan tsabit dengan sunnah yang masyhur lagi shahîh.

(ii) Sesungguhnya pengukuran dengan nishâb perak itu lebih bermanfaat bagi orang-orang fakir, kerana dengan yang demikian itu kewajipan berzakat akan lebih meliputi sebahagian besar bilangan orang-orang Islam. (Fiqh Al-Zakâh 1/263)

Manakala para ulama masa kini dan para pengkaji berpendapat bahawa nishâb mata wang itu adalah mengikut nilai nishâb emas iaitu 85 gram. Perkara ini telah tsabit dengan dalil-dalil yang banyak bahawa nishâb emas dan perak itu sama sahaja nilainya pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan zaman Al- Khulafa’ Al-Rasyidin. Satu dinar sama juga nilainya dengan 10 dirham dan sepakat para ulama bahawa nishâb emas berbentuk dinar ialah 20 dinar dan nishâb perak berbentuk dirham ialah 200 dirham.

Ini dikuatkan lagi bahawa ulama Al-Syafi‘iyyah menjadikan emas sebagai sandaran dalam menilaikan benda yang dicuri bukannya perak, yang mana jika benda yang dicuri itu sampai nilai 1/4 (satu perempat) dinar, maka wajib ke atas pencuri itu dikenakan potong tangan. (Al-Mufashshal fî Ahkâm Al-Mar’ah wa Al- Bait Al-Muslim 1/366-367)

Dalam nash Minhâj Al-Thâlibîn ada disebutkan:

Ertinya: Disyaratkan benda yang dicuri itu bagi mewajibkan dikenakan hukuman potong tangan beberapa perkara: Pertama: Hendaklah benda yang dicuri itu 1/4 dinar tulen atau yang sama nilainya.

Berkata Al-Syeikh Muhammad Al-Khatib Al-Syarbini dalam kitabnya Mughnî Al- Muhtâj 4/196:

Maksudnya: Sesungguhnya hukum asal dalam penilaian ialah nilai emas tulen hingga jika seseorang itu mencuri dalam bentuk dirham atau yang lain, maka dinilai dengan emas.

Ini juga bertepatan dengan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: Tidak dipotong tangan seorang pencuri itu melainkan (apabila mencapai nilai barang yang dicurinya) 1/4 dinar atau lebih. (Hadits riwayat Muslim)

Maka dengan yang demikian, nishâb zakat mata wang yang disandarkan kepada emas itu lebih munasabah. Ini mengambil kira lagi kepada bandingan dengan nishâb zakat yang lain seperti zakat pada unta, lembu atau kambing.

Selain itu kadar mata wang yang disandarkan kepada emas itu juga berpatutan dengan meningkatnya taraf hidup dan tingginya harga barang-barang keperluan zaman sekarang. Ini juga yang telah difatwakan oleh mufti-mufti Mesir sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Fatâwâ Al-Islâmiyyah keluaran Dâr Al- Iftâ, Mesir dan juga menjadi pilihan beberapa buah negeri dirantau ini seperti Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor, Malaysia.

Sebagai contoh, jika mengikut harga pasaran, harga satu gram emas (21 karat) ialah $21.00 dan nilai 85 gram emas ialah $21.00 x 85 = $1,785.00, maka demikianlah juga nishâb zakat mata wang yang berdasarkan kepada nilai 85 gram emas.

Walau bagaimanapun, mestilah diambil perhatian bahawa nilai emas akan berubah dari masa ke semasa dengan sebab perubahan turun naik harga emas di pasaran. Oleh yang demikian, sesiapa yang hendak mengeluarkan zakat mata wang hendaklah mengikut harga pasaran emas dari masa ke semasa bagi mengetahui nilai 85 gram nishâb zakat emas.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6292