Konsep Pakaian Di Dalam Islam
Pakaian adalah di antara tiga perkara terpenting yang perlu dimiliki oleh setiap orang dalam hidupnya selain daripada makanan dan tempat tinggal. Justeru kerana ia merupakan keperluan asasi, pakaian juga boleh menjadi ukuran keperibadian seseorang, sebagai simbol atau tanda dan lain-lain perlambangan. Orang-orang yang hanya memakai cawat dianggap orang primitif. Kalau kaedah ini dipakai, maka orang-orang yang memakai pakaian-pakaian terbuka, terdedah, tiada senonoh dan tiada sopan itu juga boleh dianggap primitif kerana kedua-duanya memberi gambaran tidak bertamadun.
Kriteria berpakaian itu tidak memadai hanya berdasarkan ukuran adat, kerana adat boleh berubah. Oleh yang demikian, pakaian juga boleh berubah. Berapa banyak bentuk atau corak pakaian yang dahulu kalau dipakai dianggap tidak sopan tetapi sekarang ini tidak apa- apa.
Kalau begitu, ukuran agamalah yang dipakai bagi menentukan kriteria berpakaian itu. Corak dan fesyen tetap sahaja berbeza berdasarkan tempat dan zaman, yang penting pakaian itu menurut syara‘ menutup aurat biarpun dalam keadaan bersendirian.
Masalah pakaian bukanlah masalah peribadi sehingga seseorang boleh memakai sesuka hati, bahkan dalam keadaan tertentu pakaian itu ditetapkan begitu rupa. Pakaian semasa mengerjakan ibadat haji atau umrah telah pun ditetapkan kriterianya. Berpakaian sewaktu menunaikan sembahyang Jumu‘ah sangat digalakkan dengan memakai yang indah-indah.
Dalam majlis-majlis biasa pun kita disuruh berpakaian dengan sopan, demikian juga dalam majlis beradat istiadat, kita terikat dengan pakaian yang dimestikan dipakai.
Pendeknya pakaian itu bukan sahaja ada hubungan dengan agama, tetapi juga ada hubungan dengan maruah, budi pekerti dan ketertiban. Ketiadaan pakaian yang layak dan sesuai bagi seseorang yang boleh menjatuhkan maruahnya boleh menggugurkan orang itu dari tuntutan hadir sembahyang berjemaah.
Oleh kerana itu, jangan ada yang mentafsirkan ayat yang berkenaan dengan pakaian, dengan mengatakan bahawa ayat-ayat tersebut tidak meletakkan garis panduan yang tegas mengenai pakaian atau aurat dan ayat-ayat Al-Qur’an yang berkaitan itu cuma dalam bentuk saranan dan hanya sesuai dengan masyarakat Arab ketika ayat itu diturunkan.
Pakaian Yang Menurut Syarat-Syarat Islam
Apabila kita menyentuh tentang pakaian, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan tentang aurat kerana di dalam Islam pakaian dan aurat sangat berkait rapat.
Justeru itu sebelum kita menerangkan bagaimanakah bentuk pakaian menurut syariat Islam, eloklah terlebih dahulu kita mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan aurat itu.
Dari segi bahasa, aurat itu berasal daripada perkataan Arab yang bererti aib atau sesuatu yang memalukan.
Menurut istilah syara‘ pula, aurat ialah bahagian tubuh manusia yang wajib ditutup dan dilindungi daripada pandangan orang ramai. Aurat lelaki ialah anggota yang ada di antara pusat dan dua lutut. Sementara aurat perempuan pula ialah seluruh anggota tubuh badannya melainkan muka dan dua tapak tangan (luar dan dalam) sehingga dua pergelangan tangannya.
Untuk memenuhi tuntutan menutup aurat itu Islam telah menggariskan pakaian yang wajib dipakai oleh setiap Muslim dan Muslimah sebagaimana yang ditetapkan oleh Al-Qur’an dan hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
(i) Bagi lelaki hendaklah pakaian itu menutup seluruh anggota badannya yang ada di antara pusat dan dua lutut. Sebenarnya pusat dan lutut tidak wajib ditutup, tetapi oleh kerana untuk menutup bahagian yang wajib itu agak sukar dilaksanakan dengan sempurna, maka hukum menutup pusat dan kedua lutut menjadi wajib. Tujuannya untuk menyelamatkan anggota yang ada di antara pusat dan kedua lutut itu supaya jangan terdedah.
Bagi perempuan pula, hendaklah pakaian itu menutup seluruh anggota badannya, termasuk kepala, rambut, leher, lengan, melainkan muka dan dua tapak tangan (depan dan belakang) sehingga dua pergelangan tangan. Cara begini adalah dalam keadaan biasa. Adapun dalam keadaan yang boleh membawa fitnah atau mendorong seseorang untuk melakukan sesuatu keganasan terhadapnya, maka menutup muka dan tapak tangan menjadi wajib.
(ii) Hendaklah pakaian lelaki dan perempuan itu tebal, tidak menampakkan warna kulit yang dapat dilihat dari celah-celah sulaman benang pakaian itu.
(iii) Hendaklah pakaian perempuan itu luas, tidak sempit atau tidak ketat sehingga boleh menampakkan bentuk susuk badannya, seperti menampakkan bentuk buah dada, perut punggung dan anggota yang lain yang boleh mendatangkan fitnah.
(iv) Hendaklah pakaian perempuan itu tidak menyerupai atau seakan-akan pakaian lelaki, begitu juga sebaliknya.
(v) Hendaklah pakaian perempuan itu tidak berbau wangi atau harum kerana wangi atau harum itu menarik perhatian orang. Larangan sedemikian berdasarkan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Setiap wanita yang mengenakan wangi- wangian (baik ke badan mahupun pakaiannya), kemudian dia berjalan melintasi sesuatu kaum, agar mereka dapat mencium bau yang wangi itu, maka wanita itu adalah wanita pezina.” (Hadits riwayat Nasâ’i)
(vi) Hendaklah pakaian itu tidak berhias kerana pakaian yang berhias itu boleh menarik pandangan orang, dan boleh membawa fitnah dan kerosakan kepada perempuan dan kepada yang memandangnya.
(vii) Jangan pakaian itu pakaian bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk.
(viii) Mengenai pakaian lelaki pula, jangan diperbuat dari benang sutera.
Dalil Menutup Aurat
Menutup aurat adalah wajib ke atas setiap Muslim, tidak kira lelaki atau perempuan. Kewajipan ini berdasarkan kepada dalil- dalil daripada Al-Qur’an dan hadits. Di antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya. (Surah Al-Nûr: 31)
Sementara itu dalil daripada hadits yang menyentuh tentang kewajipan menutup aurat itu ialah hadits yang diriwayatkan oleh Bahz bin Hakim daripada bapanya dan daripada datuknya:
Maksudnya: Dia berkata: “Saya bertanya: “Wahai Rasulullah! (Kepada siapakah) dari aurat kami boleh kami perlihatkan dan (kepada siapa) kami hindarkan?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Peliharalah aurat kamu melainkan dari isteri kamu atau hamba sahaya perempuan kamu”. Dia berkata: “Saya bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimana pula jika ada orang-orang berhimpun sebahagiannya dengan sebahagian yang lain?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika kamu berdaya agar jangan dilihat aurat kamu oleh seseorang, maka janganlah dia melihat aurat kamu”. Dia berkata: “Saya bertanya: “Bagaimana pula jika seseorang itu bersendirian?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah itu lebih berhak dimalui daripada memalui manusia.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Melalui dalil-dalil yang disebutkan, jelaslah bahawa agama Islam amat mengambil berat terhadap masalah aurat sehingga diterangkan dengan penjelasan yang begitu terperinci sebagaimana disebutkan di dalam ayat 31, surah Al-Nûr tadi, dan lebih daripada itu kita juga digalakkan untuk menutup aurat dalam keadaan kita berseorangan meskipun di suatu tempat yang tertutup.
Hikmah Menutup Aurat
Hukum wajib menutup aurat tidak boleh dipertikaikan lagi dan tidak boleh dimansûkhkan dengan hujah akal walau sehebat mana logiknya hujah itu. Ini kerana hukum itu telah ditetapkan dengan nash yang jelas yang tidak lagi boleh diijtihâdkan.
Nash yang terang dalam epistemologi Islam mengatasi akal rasional, kerana nash itu adalah daripada wahyu yang nyata maksudnya, tidak memerlukan akal rasional untuk menerangkannya, apalagi untuk membatalkan konsepnya yang jelas itu.
Walau bagaimana pintarnya seseorang pemimpin dan walau bagaimana cerdiknya seorang pejuang hak wanita, namun mereka tidak akan dapat menentang dan menukar ketetapan Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Malah sikap mereka yang memperkecil-kecil dan mempersenda-sendakan hukum Allah jelas memperlihatkan kejahilan dan kecetekan akal fikiran mereka dalam menanggapi hikmah di sebalik larangan-larangan Allah yang pada mereka amat mengongkong kebebasan dan pergerakan.
Sungguhpun begitu, akal rasional boleh meneliti hikmah di sebalik kewajipan itu untuk menambah keyakinan terhadap kebenaran hukum yang telah ditetapkan oleh nash. Bukan untuk meminda atau merombak hukum itu dan menggantikannya dengan yang semata-mata berdasarkan hujah rasional.
Di antara hikmah kewajipan menutup aurat itu ialah untuk melindungi diri daripada jenayah seks. Sebagaimana yang kita ketahui jenayah seks adalah di antara jenayah yang sangat berleluasa dan kerap berlaku pada dekad ini. Jenayah-jenayah seperti rogol, zina, sumbang muhrim dan khalwat memang sudah tidak asing lagi pada pendengaran kita. Punca yang banyak menyumbang ke arah berlakunya perkara ini ialah pendedahan aurat. Kenyataan ini boleh dibuktikan daripada berbagai-bagai sudut kajian dan penemuan.
Menurut ilmu tauhid, maklumat yang diperolehi oleh seseorang itu pada dirinya adalah 50% datangnya dari mata yang melihat, yang datang daripada telinga hanya 30% dan anggota yang lain pula 20%. Oleh itu bahaya pertemuan di antara lelaki dan perempuan berpunca daripada mata dan tempat yang paling berbahaya dilihat ialah aurat. Jadi pendedahan aurat sudah pasti menjadi habuan mata. Daripada mata turun ke hati dan hatilah penggerak kepada perlakuan seseorang. Maka terjadilah apa yang akan terjadi tanpa mengira mangsa, asalkan kemahuan hatinya terlaksana.
Pernyataan ini menjelaskan bahawa ada pertalian di antara pendedahan aurat dengan kes-kes rogol, pencabulan dan gejala-gejala sosial yang lain.
Tiada siapapun dapat menyangkal pendedahan aurat berlaku di mana-mana, sama ada di tempat-tempat awam atau di majlis-majlis rasmi. Meskipun di negara kita kejadian seumpama ini masih terkawal, namun ada juga segelintir remaja mahupun orang dewasa yang tidak segan silu mendedahkan auratnya. Lelaki misalnya, ada yang memakai seluar pendek yang menampakkan paha dan memakai seluar ketat yang boleh menampakkan raut anggotanya. Biasanya kita boleh melihat mereka ini semasa mereka menjalankan aktiviti riadah.
Sementara perempuan pula, ada yang tidak memakai tudung, memakai seluar dan baju ketat dan yang lebih dahsyat lagi ada yang memakai baju T hanging yang menampakkan perut. Ada pula yang memakai tudung tetapi masih mempamerkan rambut di atas dahi dan ada pula yang memakainya di atas paras dada.
Semua bentuk pendedahan yang disebutkan ini adalah punca kepada rangsangan syahwat baik bagi lelaki mahupun perempuan yang membawa kepada berlakunya gejala-gejala sosial yang tidak diingini.
Memang benar dalam ajaran Islam, naluri seks seseorang itu harus berjalan seiring dengan kehendak agama dan mempunyai cara-cara tertentu untuk mengawalnya. Tetapi sejauh manakah naluri itu akan dapat dikawal bila berhadapan dengan aurat yang terbuka?
Mungkin orang-orang yang mendedahkan aurat itu beralasan bahawa kulit tidak penting dan yang penting ialah isi. Oleh itu pakaian tidak menunjukkan seorang itu lebih Islamik.
Alasan mereka ini samalah seperti alasan orang-orang Kristian yang mengatakan bahawa pakaian yang dipakai semasa memasuki gereja tidak penting, walau dengan berseluar pendek dan memakai kasut sekalipun, asalkan niat hatinya bersih.
Kulit dan isi sama penting. Tanpa kulit yang mengawal, isi akan menjadi busuk. Begitu juga kulit tanpa isi apalah gunanya. Orang yang menutup aurat dengan kesedaran bahawa pakaian seumpama itu diwajibkan oleh agama, sekurang-kurangnya akan berasa lapang kerana sudah menunaikan salah satu tuntutan agamanya.
Walaupun dengan memakai pakaian menutup aurat itu, bukanlah bermakna Islamnya sempurna dan bebas daripada kemungkinan melakukan dosa, namun dia lebih baik daripada orang yang tidak menutup aurat yang melakukan dosa sepertinya. Memanglah tidak semua lelaki atau perempuan yang menutup aurat itu baik, ada juga yang kena tangkap kerana melakukan bermacam-macam kesalahan, tetapi itu tidak bermakna kita harus meringankan hukum tutup aurat.
Jika kita hanya bersandarkan kepada kebersihan hati sahaja tanpa mengira kebersihan lahiriah, maka tiadalah gunanya penjara diadakan kerana tiada siapa pun yang tahu hati seseorang melainkan Allah. Mungkin si pencuri beralasan bahawa niatnya bersih semasa dia mencuri dan berbagai-bagai spekulasi yang akan timbul akibat daripada pegangan yang keliru ini.
Penutup
Realiti kehidupan manusia dewasa ini memperlihatkan bahawa banyak perkara mungkar sudah menjadi kelaziman malahan sebati di kalangan masyarakat. Ia sudah immune di dalam diari kehidupan sesetengah kelompok manusia sehingga amat sukar untuk dipisahkan.
Tanpa merasa malu, mereka terus bergelumang dengan kemungkaran demi memenuhi hawa nafsu semata-mata. Apa tidaknya, ada yang sanggup dieksploitasi oleh pengiklan yang bertujuan untuk melariskan jualan barangan keluaran mereka. Dedah sini dedah sana, macam barang murahan yang dilelong di pasar-pasar.
Sebagai agama yang mengamalkan keadilan dan kasih sayang, Islam mengamalkan sikap pencegahan bagi punca berlakunya sesuatu. Oleh kerana itulah menghapuskan kemungkaran dan maksiat, menutup puncanya dan menangkap mereka yang melakukan kemungkaran adalah sesuatu yang wajar. Janganlah bercakap terlalu kemaruk dalam bidang yang tidak kita ketahui. Kalau tidak tahu tentang agama, janganlah bercakap tentang agama, nanti lain pula jadinya.
Melanggar sesuatu hukum yang diperintahkan Allah, walaupun mengenai pakaian, bukanlah perkara remeh. Mentaati perkara wajib adalah perkara besar, walaupun dipandang remeh oleh manusia. Allah berfirman:
Tafsirnya: Dan kamu berkata dengan mulut kamu tanpa kamu mempunyai ilmu mengenai perkara yang kamu katakan itu. Kamu menyangka ia perkara remeh, padahal di sisi Allah ia adalah besar. (Surah Al-Nûr: 15)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6300
