Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Mendasari Penghidupan Melalui Peristiwa Isra’ Dan Mi’raj

Kewafatan Sayyidatina Khadijah Radhiallahu ‘anha, isteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan bapa saudaranya Abu Thalib pada tahun kesepuluh selepas kebangkitan dan pengutusan Baginda menjadi rasul, merupakan saat yang paling mendukacitakan bagi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Sebagaimana diriwayatkan bahawa apabila Abu Thalib meninggal dunia maka puak Quraisy memperhebatkan lagi penentangan mereka ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan orang-orang Islam. Penentengan mereka lebih hebat daripada sebelumnya sehinggakan salah seorang daripada puak Quraisy berani berlaku kurang ajar dengan melumur lumpur ke atas kepala Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia itu. Apabila Rasulullah sampai di rumahnya dengan keadaan demikian, salah seorang puteri Baginda bangun membasuh lumpur daripada badan Baginda sambil menangis kerana kasihankan ayahnya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya yang maksudnya: “Tak usahlah menangis hai anakku, sesungguhnya Allah akan menolong ayahmu”.

Setelah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menerima tentangan dan seksaan dari puak Quraisy, Baginda keluar dari Makkah menuju ke Tha’if untuk mencari perlindungan dan sokongan dari suku kaum qabilah Tsaqif. Tapi malangnya sebaik sahaja Baginda menyeru mereka, seruan Baginda ditolak bahkan mereka bertindak dengan penuh kekerasan dan memaki Baginda dengan makian yang bertalu-talu. Tidak memadai setakat itu, malah ada di antara mereka melontar Baginda dengan anak-anak batu hingga luka kedua belah kaki Baginda yang mulia itu.

Begitu pahit sekali saat-saat yang dilalui oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika itu.

Oleh sebab itu, sebagai penawar dan pengubat duka, seterusnya demi memperkuat dan memperbaharui keazaman, Baginda dijemput naik ke langit untuk menghadap Tuhan Rabb Al-‘Izzah.

Sebelum Baginda dibawa naik ke langit Baginda diperjalankan dahulu dari Makkah ke Baitul Maqdis. Inilah yang dikatakan Isra’. Kemudian dari situ Baginda dibawa naik ke langit. Inilah pula yang dikatakan Mi‘raj. Peristiwa ini lebih dikenali sebagai Isra’ Mi‘raj.

Sungguhpun peristiwa Isra’ Mi‘raj itu merupakan kejadian yang hanya berlaku ke atas diri Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, di mana Baginda diperlihatkan tanda-tanda kebesaran Allah Yang Maha Agung, namun di sebalik segala apa yang diperlihatkan itu penuh mengandungi makna yang mendalam lagi halus.

Sebenarnya peristiwa Isra’ Mi‘raj itu mempunyai maksud yang lebih luas dan lebih umum daripada ianya menjadi suatu lipatan dalam sejarah semata. Ia merupakan suatu gambaran beberapa aspek penting dalam kehidupan manusia hari ini dan mengandungi berbagai-bagai pengajaran serta contoh teladan yang hampir-hampir tidak dikenali oleh manusia.

Bermula dengan detik-detik sebelum Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diisra’kan, Malaikat Jibril ‘Alaihissalam turun menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu membelah dada Baginda yang mulia itu dan menyucinya dengan air zamzam. Kemudian diambilnya bejana yang berisi hikmat dan iman, seraya dicurahkannya ke dalam dada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam dan ditutupnya kembali dada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Kejadian ini jika dipadan dan diaplikasikan kepada diri kita, memberi suatu suluhan isyarat bahawa betapa peri mustahaknya pembersihan rohani pada setiap masa. Sebab pembersihan hati ke atas diri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berlaku beberapa kali dalam hidup Baginda.

Adalah lebih tepat, apa yang dimaksudkan dengan pembersihan rohani di sini ialah taubat kerana memang menjadi tuntutan dalam agama supaya setiap diri individu yang sememangnya tidak ma‘shûm melakukan taubat pada setiap ketika. Lebih tegas lagi kita katakan, bahawa hukum taubat itu adalah wajib di segi syara‘, sesuai dengan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha. (Surah Al-Tahrîm: 8)

Melalui ayat di atas, selain ianya mengandungi tuntutan atau perintah taubat, ianya juga mengandungi satu jenis tuntutan dalam taubat itu sendiri, di mana Allah Ta‘ala telah menunjukkan kepada kita bahawa taubat yang dituntut itu ialah taubat yang sebetul-betul taubat dan taubat yang sungguh-sungguh iaitu yang dikatakan taubat nasuha.

Taubat nasuha tidak akan tercapai tanpa mendatangkan terlebih dahulu prasyaratnya yang telah ditentukan. Maka jika dosa itu antara hamba dengan Tuhan, ada tiga syarat:

i) Hendaklah dia meninggalkan dosa atau maksiat itu.

ii) Hendaklah dia benar-benar menyesali dan merasa dukacita atas perbuatan maksiat itu.

iii) Hendaklah dia berjanji, berazam untuk tidak akan kembali melakukannya.

Jika dosa itu bersangkut paut dengan hak orang lain, maka syaratnya ada empat; tiga daripadanya adalah sebagaimana yang tersebut di atas, dan ditambah lagi satu syarat iaitu, hendaklah dia membersihkan dirinya daripada hak orang itu.

Selain daripada itu, peranan taubat itu sendiri tidak terhenti setakat membersihkan diri daripada segala dosa dan maksiat. Lebih daripada itu ia juga merupakan suatu cara untuk kita sentiasa berlindung diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, memohon keberkatan ketika kita memulakan dan membuat sesuatu pekerjaan yang berfaedah dan mengharapkan kurniaan taufiq serta diselamatkan daripada ditimpa musibah, kesusahan, kesulitan dan sebagainya.

Perjalanan Isra’ Mi‘raj yang diberkati itu telah memberikan kepada kita beberapa simbolik yang menggambarkan tentang dosa-dosa kerana meninggalkan suruhan-suruhan Allah dan melakukan apa-apa yang dilarang. Akibat daripada perlakuan dosa-dosa tersebut perkiraan akan dibuat pada Hari Kiamat kelak di hadapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala selagi manusia tidak segera membersihkan dirinya dengan bertaubat iaitu taubat nasuha.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melihat suatu kaum yang dihempap kepalanya dengan batu besar. Setiap kali kepala itu berkecai, ia kembali semula seperti sediakala kemudiannya. Hal ini berlaku terus-menerus tidak henti-hentinya.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya yang maksudnya: “Apa ini wahai Jibril?” Jibril menjawab: “Mereka itulah orang-orang yang sentiasa malas mengerjakan sembahyang fardhu”.

Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melihat suatu kaum yang berpakaian koyak di hadapan dan koyak di belakang. Mereka berlagak seperti binatang ternakan memakan pohon-pohon berduri, daun-daun yang pahit rasanya dan batu-batu Jahannam.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya yang maksudnya: “Siapa gerangan mereka ini?” Jibril menjawab: “Mereka inilah orang-orang yang tiada membayar zakat harta mereka”.

Sebagaimana yang diriwayatkan juga, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melihat suatu hidangan yang tersedia dengan makanan yang baik dan daging yang bagus, tetapi tiada pula orang datang menghampirinya. Manakala suatu hidangan yang lain pula tersedia makanan yang busuk dan daging yang sudah jadi bangkai, tetapi ramai yang berkerumun memakannya. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya Jibril yang maksudnya: “Apa ini?” Jibril menjawab: “Mereka itulah orang- orang yang meninggalkan yang halal dan memakan yang haram”.

Demikianlah di antara kejadian-kejadian yang diperlihatkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kejadian tersebut dan yang lainnya memberikan kepada kita semacam suatu perutusan peringatan bahawa orang-orang yang berbuat dosa itu jika mereka tidak bertaubat maka tempat mereka adalah di neraka, di mana mereka akan menghadapi berbagai-bagai seksa dan azab.

Oleh sebab itu, segala suruhan dan larangan yang diperintahkan kepada kita untuk menjunjungnya, walaupun nampak kecil di mata manusia, bukanlah boleh untuk diremeh-temehkan. Melakukan apa yang diperintahkan dan menghindari apa yang dilarang oleh syara‘ adalah perkara besar dan serius. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan kamu memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, padahal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya. (Surah Al-Nûr: 15)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah Ta‘ala telah memfardhukan beberapa fardhu, maka janganlah kamu mensia-siakannya dan Dia telah menetapkan beberapa batasan, maka janganlah kamu melampauinya dan Dia telah mengharamkan segala sesuatu, maka janganlah kamu mencerobohinya dan Dia telah diamkan segala sesuatu sebagai rahmat bagi kamu bukan kerana lupa, maka janganlah (cuba) menyelidikinya. (Hadits riwayat Al-Daraquthni dan lainnya)

Perjalanan Isra’ Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ke Baitul Maqdis, kemudian dari situ langsung naik ke langit, menunjukkan bahawa Baitul Maqdis itu bukanlah satu tempat biasa, malahan ianya tempat kudus, suci dan mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Di sebaliknya juga tersirat satu hikmat bahawa di situ tersemat satu jalinan dan hubungan kekeluargaan yang kukuh di antara para Nabi seluruhnya di dalam siri pengutusan mereka ke alam ini.

Peristiwa ini jika diaplikasi kepada diri kita semua memberikan satu petunjuk dan pengajaran betapa perlunya mewujudkan hubungan secara mendatar (horizontal), iaitu hubungan antara manusia sesama manusia. Tidak kira sama ada pada ruang lingkup yang luas iaitu secara global ataupun pada ruang lingkup yang terbatas iaitu hubungan kekeluargaan, persaudaraan, persahabatan dan seumpamanya.

Dengan terjalinnya ikatan dan hubungan yang erat sudah tentu akan membina perpaduan dan kesatuan yang kukuh. Selepas itu barulah bertambah kekuatan ummah.

Secara praktikal, amalan hidup saling tolong menolong dalam lapangan kebajikan merupakan salah satu wadah bagi menjalin ikatan dan kekuatan perpaduan umat. Sebaliknya bersekongkol dalam melakukan dan menegakkan perkara kemungkaran tidak sekali-kali akan dapat merapatkan perpaduan, malahan hanya akan memecahbelah dan melemahkan umat. Oleh sebab itu, adalah wajar setiap diri kita menjunjung apa yang difirmankan Allah Ta‘ala dalam Al-Qur’an:

Tafsirnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan (permusuhan). (Surah Al-Mâ’idah: 2)

Selepas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diisra’kan ke Baitul Maqdis, Baginda lalu dimi‘rajkan yakni dinaikkan ke langit. Bermula dari langit dunia, maka Jibril ‘Alaihissalam pun meminta izin untuk menembusinya. Tiba-tiba ada satu suara bertanya: “Siapa gerangan kamu?” Jibril menjawab: “Aku Jibril”. Suara itu bertanya lagi: “Dan siapa bersamamu?” Jibril berkata: “Muhammad”. Bertanya lagi suara itu: “Adakah dia sudah diutus?” Jibril berkata: “Sudah”.

Sesudah itu barulah Jibril bersama-sama Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam dipersilakan masuk. Di situ Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bertemu dengan Nabi Adam ‘Alaihissalam. Kemudian Jibril berkata kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Inilah bapa kamu, maka berilah salam ke atasnya”. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pun memberi salam, lalu dijawab oleh Nabi Adam ‘Alaihissalam dan mengalu-alukan kedatangan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Begitu juga seterusnya, setiap kali naik dari satu tingkat ke tingkat langit yang lain, Jibril ‘Alaihissalam meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk ke pintu langit yang hendak dimasuki dan memperkenalkan kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam para Nabi ‘Alaihimussalam ajma‘in yang datang mengalu-alukan kedatangan Baginda. Demikian juga, setiap kali bertemu dengan para Nabi, Baginda memberi salam ke atas mereka dan salam Baginda itu disambut balik oleh mereka.

Di antara perkara menarik yang dapat kita tonjolkan di sini bahawa tersirat di dalamnya satu etika atau nilai-nilai moral yang amat luhur untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian setiap individu, iaitu etika meminta izin sebelum masuk dan memberi salam.

Tamu yang datang berkunjung ke rumah orang lain sewajarnyalah memperkenalkan diri kepada tuan rumah. Apabila tuan rumah bertanya: “Siapa?” Hendaklah dijawab dengan menyatakan nama dan tidak memadai memperkenalkan diri dengan menjawab: “Saya!”.

Tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, bahawa Abdullah bin Jabir meminta izin kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk masuk. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “Siapa itu?” Abdullah menjawab: “Saya!” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “Saya! Saya!”.

Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “Saya! Saya!”, menunjukkan bahawa Baginda tidak menyukai dengan cara jawapan tersebut.

Manakala itu pula, di antara akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui peristiwa di atas ialah amalan memberi salam. Oleh itu, sebagai ikutan kita kepada sunnah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah sunat memberi salam ketika kita bertemu dengan sesama saudara Islam, lebih-lebih lagi orang yang kita muliakan umpamanya ibu bapa, guru, orang alim, ketua pejabat dan sebagainya. Sementara di pihak yang lain pula wajib menjawab salam tersebut.

Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Kamu tidak akan masuk ke dalam syurga sehingga kamu beriman. Kamu belum beriman (dengan sempurna) sehingga kamu saling sayang menyayangi. Apakah kamu tidak suka aku tunjukkan akan sesuatu yang apabila kamu lakukan, pasti kamu akan saling sayang menyayangi? Sebarluaskanlah salam di antara kamu.

Kemudian ditambah lagi dengan memberikan senyuman, menunjukkan muka yang manis, tidak memalingkan muka ketika berbicara dan mendoakan sesuatu kebaikan baginya. Diriwayatkan oleh Abu Dzarr Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadaku:

Maksudnya: Jangan sekali-kali engkau anggap ringan sesuatu kebaikan, walaupun dengan hanya menunjukkan wajah yang manis ketika engkau bertemu saudaramu. (Hadits riwayat Muslim dalam Al-Adzkâr: 386)

Di antara kemuncak hikmat atau rahsia Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam dijemput naik ke langit menemui Allah ‘Azza wa Jalla ialah untuk menerima suatu perintah atau kewajipan iaitu ibadat sembahyang.

Sungguhpun sembahyang itu merupakan suatu perintah dan kewajipan yang mesti dijunjung dan dilaksanakan oleh setiap individu muslim lima kali sehari semalam, namun ia tidak boleh dilihat sebagai suatu bebanan, kepayahan dan halangan. Akan tetapi adalah selayaknya bagi setiap diri yang beriman untuk lebih menganggapnya sebagai kurniaan yang begitu istimewa dan nikmat yang paling besar.

Diceritakan di dalam Al-Qur’an bahawa salah satu sifat munâfiq itu ialah merasa berat dan malas untuk menunaikan sembahyang. Malas menunaikan sembahyang adalah menjadi tanda kemunduran iman seseorang kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Firman Allah Ta‘ala dalam surah Al-Taubah, ayat 54:

Tafsirnya: Dan mereka (orang-orang munâfiq) tidaklah mengerjakan sembahyang melainkan dengan keadaan malas.

Oleh itu, adalah patut diselidiki jiwa kita sendiri, adakah terdapat pada diri kita gejala-gejala munâfiq kerana rasa malas menunaikan sembahyang? Bagaimana pula kedudukan sembahyang kita, adakah sembahyang yang timbul dari rasa taat kepada Allah atau sebaliknya?

Sembahyang merupakan tiang agama. Barangsiapa mendirikannya bererti dia mendirikan agama dan barangsiapa yang meninggalkannya bererti dia merobohkan agama.

Sebagai melengkapi dan memperkuatkan aspek-aspek kehidupan seorang insan dalam menjalin ikatan dan hubungan secara mendatar (horizontal) iaitu hubungan sesama manusia, maka perlu pula disokong dan diperkuat dengan menjalin hubungan secara menegak (vertikal) iaitu hubungan makhluk dengan Penciptanya yang Maha Agung.

Sembahyang merupakan jalan perantaraan dan perhubungan kita dengan Allah. Mendirikan sembahyang merupakan detik-detik munâjât dan penumpuan diri yang total kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Inilah suatu mi‘raj yang dipilih oleh seorang hamba dalam menuju pendekatan dirinya kepada Tuhan yang Maha Agung.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6305