Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Menjana Ketakwaan Di Bulan Sya’ban

Definisi Sya‘ban

Sya‘ban adalah bulan kelapan dalam taqwim Hijriyyah. Sya‘ban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan itu bertempiaran ke mana-mana tempat untuk mencari air, setengahnya mengatakan bahawa mereka mencari air itu ke gua-gua.

Sebahagiannya pula mengatakan bahawa sebab diertikan demikian kerana ia sebagai pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan bulan Ramadhan.

Sebab dikatakan bulan Sya‘ban kerana pada bulan tersebut sangat banyak amal kebajikan yang dapat diperolehi oleh orang-orang yang mengambil berat dan mengambil kesempatan beramal pada bulan berkenaan.

Menurut Yahya bin Mu‘adz pula: “Sesungguhnya perkataan Sya‘ban itu terbentuk daripada lima huruf, yang mana setiap huruf merupakan singkatan kurnia kepada orang-orang yang beriman. ‘ش’ adalah singkatan ‘وشفاعة شرف’ yang bererti kemuliaan dan pertolongan, ‘ع’ singkatan kepada ‘كرامةو عزة’ yang bererti keperkasaan dan keutamaan, ‘ب’ singkatan kepada ‘بر’ ertinya kebaikan, ‘أ’ singkatan bagi ‘ألفة’ ertinya rasa kasih sayang dan ‘ن’ singkatan bagi ‘نور’ yang bererti cahaya.

Dari berbagai keterangan mengenai pengertian bulan Sya‘ban itu tadi dapatlah disimpulkan bahawa pada bulan itu adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tahukah kamu sekalian, mengapa dinamakan bulan Sya‘ban? Mereka menjawab: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui”. Baginda bersabda: “Kerana di dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudhah Al-‘Ulamâ’)

Keutamaan Bulan Sya‘ban

Diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim daripada Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, dia telah berkata:

Maksudnya: Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Baginda akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan lebih banyak daripada puasanya di bulan Sya‘ban. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Melalui hadits ini dapatlah difahami bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa dalam bulan Sya‘ban lebih banyak daripada bulan-bulan yang lain selain daripada bulan Ramadhan. Ini menunjukkan kelebihan bulan Sya‘ban daripada bulan-bulan yang lain dari segi pemilihan bulan untuk beramal ibadat selain daripada bulan Ramadhan.

Selain dari itu kelebihan bulan Sya‘ban boleh dilihat bilamana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengumpamakan keutamaan bulan ini dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke atas nabi-nabi yang lain. Baginda bersabda:

Maksudnya: Keutamaan bulan Sya‘ban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan saya di atas semua nabi- nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadhan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Ta‘ala ke atas makhluknya. (Hadits ini dishahîhkan oleh beberapa periwayat hadits)

Amalan-Amalan Pada Bulan Sya‘ban

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Sya‘ban adalah:

1- Memperbanyak puasa sunat.

Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Sya‘ban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Sya‘ban itu.

Di dalam kitab Durrah Al-Nâshihîn ada menyebut sebuah hadits yang menyatakan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barangsiapa berpuasa tiga hari daripada permulaan Sya‘ban dan tiga hari pada pertengahan Sya‘ban dan tiga hari pada akhir Sya‘ban, maka Allah Ta‘ala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Ta‘ala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid.

Memang banyak lagi hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyebut tentang galakan Baginda ke arah memperbanyak puasa pada bulan Sya‘ban yang sudah setentunya mempunyai rahsia dan hikmahnya yang tersendiri di samping kebaikan yang dapat kita perolehi daripada ibadat puasa itu sendiri yang sedia kita maklumi.

2- Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barangsiapa yang mengagungkan bulan Sya‘ban, bertakwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Ta‘ala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit. (Dipetik daripada kitab Zubdah Al-Wâ‘izhîn)

3- Bertaubat.

Diriwayatkan daripada Umamah Al-Bahili Radhiallahu ‘anhu, dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: “Manakala masuk bulan Sya‘ban, sucikanlah dirimu dan perbaiki niatmu.”

Sebahagian ahli hikmah pula berkata: “Sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, bulan Sya‘ban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Menghidupkan Malam Nishf Sya‘ban

Malam nishf Sya‘ban adalah satu malam daripada malam-malam yang sunat dirayakan dalam syariat Islam kerana ia merupakan malam yang paling mustajâb dan penuh rahmat.

Kenyataan ini dapat dijelaskan jika kita merenung kepada sebuah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang berbunyi:

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, dia berkata: “Saya telah tiada mendapati Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada suatu malam (malam giliran Sayyidatina ‘Aisyah), maka saya pun keluar. Tiba-tiba saya dapati Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada di Baqi‘, lalu Baginda bersabda: “Adakah kamu takut bahawa Allah dan RasulNya menzalimi kamu?” Saya berkata: “Wahai Rasulullah! Saya menyangka bahawa Tuan hamba pergi ke rumah isteri Tuan hamba yang lain”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla turun rahmatNya (memakbulkan doa) pada malam nishf Sya‘ban ke langit bawah, maka Allah mengampunkan hamba-hambaNya lebih banyak bilangannya daripada bilangan bulu kambing Kabilah Bani Kalb. (Hadits riwayat Tirmidzi)

Dalam sebuah hadits yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy‘ari ada menyebutkan:

Maksudnya: Daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda: “Sesungguhnya rahmat Allah menjenguk datang pada malam nishf Sya‘ban, lalu Dia mengampunkan kesalahan semua makhlukNya melainkan orang musyrik atau orang yang bermusuhan. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Daripada penjelasan hadits-hadits yang disebutkan di atas, maka adalah wajar bagi umat Islam untuk tidak melepaskan peluang mengambil dan merebut rahmat dan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan cara beribadat, bersembahyang, membaca Al-Qur’an, membaca zikir dan membaca doa nishf Sya‘ban dan lain-lain lagi dengan memanjatkan kesyukuran atas limpahan nikmat Allah yang tiada terhingga banyaknya itu.

Oleh yang demikian, merayakan malam nishf Sya‘ban dengan melakukan berbagai-bagai ibadat yang membawa kepada keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan keampunanNya adalah sunat hukumnya.

Sementara itu Al-Imam Ibnu Jarir dan Baihaqi telah meriwayatkan sebuah hadits daripada ‘Utsman bin Al-Mughirah, dia telah berkata bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Ajal-ajal itu telah ditetapkan dari satu Sya‘ban ke satu Sya‘ban sehingga seorang lelaki itu berkahwin dan mendapat anak padahal namanya telah dikeluarkan dalam jadual orang-orang mati.

Melihat kepada zahir hadits ini dan hadits-hadits lain yang seumpamanya, terkandung seruan yang kuat supaya kita bermohon doa pada malam yang berkat itu iaitu malam nishf Sya‘ban dengan memohon meminta kebahagiaan, memohon supaya dihapuskan kecelakaan dan memohon berkat umur, amal, harta, isteri dan anak.

Cara umat Islam sekarang ini menghidupkan malam nishf Sya‘ban adalah dengan membaca surah Yasin tiga kali selepas sembahyang Maghrib dan setiap kali lepas membaca Yasin mereka membaca doa. Pada bacaan Yasin kali pertama diniatkan dengan memohon panjang umur, pada bacaan kali kedua diniatkan dengan memohon agar dijauhkan daripada bala dan pada bacaan kali ketiga diniatkan memohon murah rezeki yang halal. Cara begini memang digalakkan dalam Islam.

Cara lain bagi menghidupkan malam nishf Sya‘ban itu juga ialah dengan berhimpun membaca zikir dan membaca Al-Qur’an. Menurut hadits-hadits yang shahîh, cara begini tidaklah makruh kerana ia dikategorikan dalam perkara-perkara sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Adakah Disunatkan Bersembahyang Nishf Sya‘ban?

Dalam keghairahan kita merayakan malam nishf Sya‘ban itu dengan berbagai cara ibadat, kita perlu berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam melakukan perkara-perkara bid‘ah.

Di antara perkara bid‘ah yang dilakukan itu ialah bersembahyang sunat nishf Sya‘ban. Sembahyang ini sebenarnya tiada tsabit dalam ajaran Islam. Imam Nawawi dan Imam Ibnu Hajar telah menafikan adanya sembahyang sunat nishf Sya‘ban kerana suatu sembahyang itu disyariatkan cukup dengan sandarannya sama ada dari nash Al-Qur’an atau pun hadits.

Jauh lebih sesat dari itu adalah orang yang bermain-main, membuat hiburan, mengadakan konsert dan yang seumpamanya pada malam nishf Sya‘ban. Apatah lagi jika hiburan atau permainan yang diadakan itu melibatkan beribu-ribu orang Islam tidak dapat merebut peluang beribadat dan berdoa pada malam nishf Sya‘ban. Perbuatan seumpama ini setentunya menyumbang kepada suatu dosa besar.

Jika seseorang itu masih juga ingin untuk melakukan sembahyang sunat, maka sayugialah dia mengerjakan sembahyang sunat muthlaq bukan sembahyang sunat nishf Sya‘ban. Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada malam nishf Sya‘ban atau pada malam-malam yang lain.

Doa Malam Nishf Sya‘ban

Selepas membaca surah Yasin pada malam nishf Sya‘ban hendaklah dibaca doa ini:

Ertinya: Allahumma Ya Allah, ya Tuhan yang empunya kurniaan dan tiada siapa mengurniakan kepadaNya, ya Tuhan yang empunya kemuliaan dan kebesaran, ya Tuhan yang empunya kurniaan, tiada tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya dalam wujud ini melainkan Tuhan hamba sahaja, tempat sandaran hamba-hamba Tuhan yang mohon perlindungan dan tempat perlindungan hamba-hamba Tuhan yang mohon keselamatan dan tempat keselamatan hamba-hamba Tuhan yang di dalam ketakutan. Kiranya Tuhan hamba telah ada menulis akan hamba di sisi Tuhan hamba dalam Lauh Mahfudz sebagai seorang yang celaka, maka hamba mohon hapuskan daripada hamba nama kecelakaan itu, dan mohon tetapkan hamba di sisi Tuhan hamba akan seorang yang berbahagia dan kiranya Tuhan hamba telah ada menulis akan hamba di sisi Tuhan hamba dalam Lauh Mahfûdz sebagai seorang yang ditegah daripada kebajikan dan seorang yang disempitkan rezeki, maka hamba mohon hapuskan tegahan itu daripada hamba dan mudahkan rezeki hamba dan mohon tetapkan hamba di sisi Tuhan hamba sebagai seorang yang berbahagia dan seorang yang ditaufiqkan dengan kebajikan kerana bahawasanya Tuhan hamba telah berfirman dalam kitab yang telah Tuhan hamba turunkan (Al-Qur’an): ( ْيحوهللاما يشاء ويثبت وعنده أم الكتاب ), tafsirnya: “Allah Ta‘ala menghapuskan apa yang Dia hendak hapuskan dan Dia tetapkan apa yang Dia hendak tetapkan dalam suatu kitab dan di sisinya Lauh Mahfûdz”).

Setengah para wali Allah menambah selepas dibaca doa ini dengan:

Ertinya: Ya Allah dengan limpah kemurahanMu pada malam nishf Sya‘ban yang mulia, pada malam dinyatakan segala perkara yang dikehendaki Allah dan ditetap dan diputuskan, mohon ya Allah lepaskan hamba dari segala bala yang hamba ketahui dan yang hamba tidak ketahui, mohon ampunkan bagi hamba akan kesalahan-kesalahan hamba yang Tuhan hamba lebih mengetahui daripada hamba, moga-moga selawat dan salam Allah ke atas Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan keluarganya.

Doa ini boleh dibaca pada bila-bila masa dengan tidak ditaqyîdkan dengan waktu doa, sama ada pada malam nishf Sya‘ban atau pada malam-malam yang lain atau ketika thawaf di Ka‘bah, sekalipun doa ini sesuai dibaca pada malam nishf Sya‘ban.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6312