Nazar
Pendahuluan
Nazar merupakan salah satu cara bagaimana seseorang muslim itu mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan sebagai salah satu cara untuk mencari keredhaanNya. Di mana melalui amalan nazar seseorang muslim mewajibkan atau memestikan ke atas dirinya sesuatu amalan kebajikan dengan kerelaan hati serta niat yang tulus ikhlas lagi bersih semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Akan tetapi apa yang kerap berlaku di kalangan umat Islam, mereka beranggapan bahawa dengan bernazar akan dapat menjauhkan, menolak dan memalingkan sesuatu perkara yang tidak diingini yang mungkin menimpa diri mereka, harta, anak dan sebagainya, di samping berharap segala kemungkinan-kemungkinan tersebut bertukar menjadi perkara yang disukai, diingini, menjadi suatu nikmat dan bukan sebaliknya.
Ada juga yang beranggapan bahawa dengan bernazar dia akan cepat mendapat kurnia dan nikmat yang ditakdirkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebelum masanya untuk dia memilikinya. Nazar dikenali juga di kalangan masyarakat kita sebagai ‘berniat’. Apabila ditunaikan perkara yang dinazarkan, maka ia dikatakan ‘membayar niat’ yang membawa erti dari segi bahasa: Janji dengan bersyarat atau mewajibkan perkara yang tidak wajib atau janji berbuat baik atau tidak baik.
Manakala dari segi syara‘ ialah: Mewajibkan amalan kebajikan yang tidak diwajibkan.
Misalnya, bernazar sembahyang sunat, puasa sunat, beri‘tikâf, bersedekah dan sebagainya.
Hukum Nazar Hukum nazar itu pada asalnya adalah makruh. Ini berdasarkan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma dia berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang dari bernazar, lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya nazar itu tidak dapat menolak sesuatu (bahaya), akan tetapi dengan sebab nazar itu ketaatan dilakukan oleh seorang yang bakhil. (Hadits riwayat Bukhari)
Hadits di atas dapat difahami, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang umatnya dari melakukan nazar, akan tetapi larangan tersebut hanyalah di peringkat makruh sahaja.
Adapun sebab mengapa dilarang (makruh) melakukan nazar, kemungkinan akan membebankan orang yang bernazar sehingga dia malas hendak menunaikannya. Sehubungan dengan itu, janganlah hendaknya berlebih-lebihan dalam perkara yang dinazarkan.
Boleh jadi juga, sebab larangan itu ada orang menyangka bahawa nazar itu dapat mengubah takdir, lalu dapat menghalang dari berlakunya apa yang ditakdirkan.
Ataupun tujuan larangan itu bermaksud untuk memperingatkan supaya jangan sampai melakukan sesuatu amalan yang dinazarkan itu dengan mengharapkan balasan.
Umpamanya bernazar supaya disembuhkan dari penyakit, lulus dalam ujian atau supaya dipercepatkan mendapat nikmat yang ditakdirkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebelum tiba masanya untuk dia memilikinya. Perbuatan seperti ini adalah perbuatan orang yang bakhil, kerana orang yang bakhil itu tidak akan mengeluarkan hartanya untuk bersedekah melainkan dengan adanya balasan iaitu sembuh dari penyakit (jika dia bernazar untuk bersedekah setelah dia sembuh dari penyakitnya).
Sehubungan dengan itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya nazar itu tidak dapat mendekatkan seseorang kepada sesuatu yang ditakdirkan Allah yang belum akan menjadi miliknya. Tetapi nazar itu sesuai dengan qadar. Maka dikeluarkan apa yang dinazarkan oleh orang bakhil, yang tadinya dia tidak mahu (bersedia) mengeluarkannya. (Hadits riwayat Muslim)
Sungguhpun hukum bernazar itu makruh, akan tetapi bila seseorang itu bernazar yang berupa ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti sembahyang, puasa, haji, bersedekah dan sebagainya, maka wajib ke atasnya menunaikan apa yang dinazarkannya itu. Apabila ditunaikannya, maka baginya pahala. Ini berdasarkan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka (nazar-nazar yang baik). (Surah Al Hajj: 29)
Begitu juga disebutkan dalam hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha menceritakan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa bernazar untuk melakukan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka taatlah kepadaNya (tunaikanlah nazar itu), dan barangsiapa bernazar untuk melakukan maksiat kepadaNya, maka janganlah dia melakukan maksiat itu (janganlah dia menunaikan nazarnya itu). (Hadits riwayat Jamâ‘ah kecuali Muslim)
Rukun Nazar
Adapun nazar yang dilakukan itu tiada sah dan tiada wajib ditunaikan melainkan setelah cukup rukun-rukunnya. Nazar itu mempunyai tiga rukun, iaitu:
(i) Orang yang bernazar. (ii) Lafaz. (iii) Perkara yang dinazarkan.
Rukun pertama: Orang yang bernazar
Disyaratkan bagi orang yang bernazar itu:
(i) Islam: Maka tidaklah sah nazar orang kafir. Andaikata seseorang itu bernazar semasa dia kafir kemudian dia masuk Islam, tiada wajib baginya menunaikan nazarnya itu bahkan hanya disunatkan sahaja.
(ii) Baligh: Maka tidak sah nazar seorang kanak-kanak sama ada dia mumayyiz ataupun belum mumayyiz.
(iii) Berakal: Tidak sah nazar orang yang gila dan orang yang pengsan, tetapi nazar orang yang mabuk adalah sah hukumnya sebagaimana mengikut pendapat yang shahîh.
(iv) Tidak dipaksa: Tidak sah nazar orang yang dipaksa, sebagaimana hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Diangkatkan (dimaafkan) atas umatku yang tersalah, terlupa dan dipaksa. (Hadits riwayat Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Daraqutni, Thabarani dan Al-Hakim)
(v) Nâfidz al-tasharruf: Iaitu orang yang bernazar itu mempunyai kuasa untuk mengurus atau membelanjakan harta yang dinazarkan.
Maka orang yang tidak berkuasa untuk membelanjakan harta yang dinazarkannya, seperti orang yang ditahan hartanya kerana bodoh (safîh) atau ditahan hartanya kerana muflis:
- Jika harta yang dinazarkan itu ditentukannya, umpamanya dia berkata: “Aku bernazar untuk menyembelih kambingku ini”, maka tidak sah nazarnya itu.
- Akan tetapi, jika harta yang dinazarkan itu tidak ditentukannya dan dijadikannya dalam tanggungannya, seperti dia berkata: “Aku bernazar untuk menyembelih seekor kambing”, maka sah nazarnya itu dan hendaklah ditunaikan selepas hilang (bebas) daripada tegahan ke atasnya.
- Sementara itu, sah nazarnya dan wajib ditunaikan jika tidak berkaitan dengan harta, seperti sembahyang, puasa, i‘tikâf dan sebagainya.
(vi) Berupaya atau berkemampuan melakukan apa yang dinazarkan: Maka tidak sah nazar untuk berpuasa umpamanya, bagi orang yang tidak mampu mengerjakannya.
Rukun kedua: Lafaz
Di antara rukun nazar itu ialah lafaz. Setiap nazar yang dilakukan tidak sah melainkan jika dilafazkan dengan perkataan, seperti katanya: “Kerana Allah wajib ke atasku berpuasa tiga hari jika aku sembuh dari penyakit ini.” Jika dia berlafaz: “Wajib ke atas diriku puasa tiga hari” tanpa berlafaz ‘kerana Allah’ nazarnya tetap sah dan wajib ke atasnya menunaikannya, kerana nazar itu adalah taqarrub, iaitu amal yang mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, dan taqarrub itu tidak lain hanyalah semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Lafaz nazar itu tidak terbatas kepada contoh yang tersebut di atas, malahan nazar itu tetap sah jika dilafazkan dengan perkataan yang membawa maksud kepada mewajibkan sesuatu perkara kebaikan seperti: “Jika aku lulus dalam peperiksaan, aku akan bersedekah sebanyak seribu ringgit” atau “Aku bernazar menunaikan haji ke Makkah jika mendapat seorang cahaya mata” dan sebagainya.
Oleh yang demikian, tidak sah nazar dengan hanya semata-mata berniat di dalam hati tanpa adanya lafaz. Umpamanya, seorang bernazar dengan hanya berniat di dalam hati: “Kerana Allah wajib ke atasku bersedekah seratus ringgit jika aku lulus dalam peperiksaan ini”, tidak sah nazarnya itu melainkan dengan dilafazkannya. Sebaliknya sah nazar itu dengan dilafazkan sahaja walaupun tanpa niat di dalam hati.
Begitu juga tidak sah nazar jika hanya setakat berazam untuk melakukan sesuatu kebajikan, umpamanya berazam menunaikan umrah jika mendapat rezeki yang lebih. Azam seperti itu tidak dikatakan sebagai nazar.
Tegasnya, tidak memadai nazar itu dengan hanya berniat atau berazam di dalam hati, bahkan hendaklah ia dilafazkan dengan perkataan. Selama mana tidak dilafazkan, maka nazar itu tidak sah dan tidak wajib ditunaikan.
Adapun bagi orang yang tidak boleh bercakap iaitu orang bisu bolehlah menggunakan isyarat sahaja ataupun secara bertulis, akan tetapi, dalam hal ini hendaklah disertai dengan niat.
Apakah pula hukumnya jika seseorang itu melafazkan nazarnya, kemudian dalam lafaznya itu disertakannya dengan perkataan ‘Insya Allah’ seperti katanya: “Jikalau aku sembuh dari penyakitku ini aku bernazar bersedekah sebanyak seribu ringgit insya Allah”? Dalam hal seperti ini, tidak wajib ke atasnya menunaikan nazarnya itu.
Rukun ketiga: Perkara yang dinazarkan
Mengenai dengan rukun nazar yang ketiga ini, bolehlah dibahagikan kepada empat kategori iaitu:
(i) Perkara yang berupa dosa atau maksiat. (ii) Perkara yang berupa ketaatan. (iii) Perkara yang mubâh iaitu yang diharuskan.
(iv) Perkara yang makruh.
Keempat-empat perkara di atas, terdapat padanya hukum yang berlainan antara satu sama lain, mengenai dengan sah atau tidak nazar itu.
(i) Perkara yang berupa dosa atau maksiat.
Adapun bernazar pada perkara yang berupa maksiat atau dosa, seperti bernazar minum khamr (arak), melakukan zina, membunuh, menunaikan sembahyang dalam keadaan tidak suci, berpuasa dalam keadaan haidh atau nifas dan apa-apa jua perkara yang dihukumkan haram, maka tidak sah nazar seperti itu, malahan haram hukumnya jika dilaksanakan. Dalam hal ini juga, tidak dikenakan kaffârah ke atas orang yang bernazar itu jika dia tidak menunaikannya bahkan itulah yang lebih elok baginya.
Ini berdasarkan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Maksudnya: Daripada ‘Imran bin Hushain Radhiallahu ‘anhu katanya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak boleh melaksanakan nazar yang berupa maksiat, dan tidak pula pada sesuatu perkara yang tidak dimiliki oleh seorang hamba (manusia).” Dan menurut riwayat Ibnu Hujr: “Tidak boleh bernazar dalam perkara maksiat kepada Allah. (Hadits riwayat Muslim)
Selain daripada itu, bernazar pada perkara yang berupa maksiat akan menyebabkan berlakunya pelanggaran perintah-perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sedang nazar itu gunanya untuk menghampirkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bukan untuk menjauhi daripadaNya.
(ii) Perkara yang berupa ketaatan Dalam hal ini, bolehlah dibahagikan perkara yang berupa ketaatan itu kepada tiga jenis iaitu:
(a) Perkara yang wajib dikerjakan menurut syara‘, umpamanya sembahyang lima waktu, puasa Ramadhan, mengeluarkan zakat dan sebagainya. Maka, seseorang yang bernazar pada perkara-perkara tersebut dihukumkan tidak sah nazarnya itu. Kerana perkara yang diwajibkan ke atas dirinya itu sememangnya sudah diwajibkan oleh syara‘ ke atas dirinya. Begitu juga bernazar pada meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh syara‘, seperti bernazar meninggalkan meminum khamr, tidak sah hukumnya nazar seperti itu, dan tidak dikenakan kaffârah pada meninggalkan atau tidak menunaikan nazar tersebut.
(b) Perkara-perkara sunat yang sangat dituntut oleh syara‘ pada melakukannya, seperti berpuasa sunat, sembahyang sunat, bersedekah, beri‘tikâf dan sebagainya. Maka bernazar pada perkara-perkara sedemikian dihukumkan sah dan wajib ditunaikan.
(c) Perkara-perkara yang dikatakan sebagai amalan-amalan dan akhlak mulia, di mana digalakkan untuk kita melakukannya, seperti menziarahi orang sakit, memberi salam sesama muslim, mendoakan orang bersin dan sebagainya. Maka bernazar pada perkara-perkara yang demikian atau seumpamanya dihukumkan sah dan wajib ditunaikan.
Ini berdasarkan kepada hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha menceritakan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa bernazar untuk melakukan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka taatlah kepadaNya (tunaikanlah nazar itu), dan barangsiapa bernazar untuk melakukan maksiat kepadaNya, maka janganlah dia melakukan maksiat itu (janganlah dia menunaikan nazarnya itu). (Hadits riwayat Jama‘ah kecuali Muslim)
(iii) Perkara yang diharuskan (mubâh)
Mubâh itu ialah apa yang boleh dilakukan dan jika ditinggalkan tidak berdosa, seperti makan, minum, duduk, berdiri, tidur dan sebagainya. Bernazar pada perkara-perkara mubâh itu sama ada bernazar untuk melakukannya atau tidak melakukannya, hukumnya tidak sah dan tidak dikenakan kaffârah pada mengingkarinya, kerana melakukannya atau meninggalkan perkara mubâh itu tidak dikatakan bertaqarrub sebagaimana perkara ini disebutkan di dalam hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada ‘Amr bin Syu‘aib meriwayatkan daripada bapanya, daripada neneknya bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak sah nazar kecuali bernazar pada perkara yang dapat memperolehi keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. (Hadits riwayat Ahmad dan Abu Daud)
(iv) Perkara yang makruh
Tidak sah hukumnya bernazar pada perkara-perkara yang makruh. Umpamanya bernazar untuk berpuasa sepanjang tahun bagi orang yang dikhuatiri akan mendatangkan kemudaratan ke atas dirinya atau boleh menghilangkan hak orang lain seperti hak isterinya yang tertanggung ke atas dirinya.
Jenis-jenis Nazar
Nazar itu dibahagikan kepada dua jenis:
1. Nadzr al-tabarrur, iaitu nazar yang dimaksudkan oleh pelakunya untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Nazar jenis ini dibahagikan lagi kepada dua jenis:
(i) Nadzr al-mujâzâh, iaitu nazar yang dimaksudkan oleh pelakunya, jika dia mendapat sesuatu nikmat atau tertolak daripada bencana, maka wajib ke atas dirinya untuk melakukan sesuatu amalan. Contohnya, seorang bernazar dengan berkata: “Jika Allah menyembuhkan penyakitku ini, wajib ke atas diriku berpuasa selama tiga hari.” Contohnya lagi, seorang bernazar: “Jika aku lulus dalam peperiksaan akhir tahun ini wajib ke atas diriku bersedekah.”
Hukumnya:
Wajib bagi orang yang bernazar seperti itu melaksanakan nazarnya itu sebaik sahaja berlaku atau berhasil apa yang disyaratkannya itu (sembuh daripada penyakit, lulus dalam peperiksaan akhir tahun ini dan seumpamanya). Ini berdasarkan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan sempurnakanlah (tepatilah) perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji. (Surah Al-Nahl: 91)
Harus hukumnya melaksanakan perkara yang dinazarkan jika ia berbentuk harta, walaupun sebelum tercapai hajat atau maksud yang dikaitkan dengan nazar itu. Contohnya, seorang bernazar untuk bersedekah jika dia sembuh dari penyakit. Maka dalam hal ini, harus baginya mendahulukan menunaikan nazar itu iaitu bersedekah, walaupun dia belum lagi sembuh daripada penyakit.
(ii) Nazar yang tidak dikaitkan dengan sesuatu perkara. Umpamanya, seorang itu bernazar dengan berlafaz: “Hak bagi Allah dan wajib ke atas diriku sembahyang sunat dua rakaat.” Hukumnya:
Sah hukumnya nazar yang demikian itu dan wajib dilaksanakan dengan segera.
2. Nadzr al-lajâj. Nazar jenis ini dikatakan juga sebagai yamîn ghalaq atau yamîn ghadhab yang bererti sumpah marah. Dikatakan nazar ini sedemikian rupa kerana ianya terbit atau lahir pada ketika seorang dalam keadaan marah.
Nazar jenis ini membawa erti: Bahawa pelakunya itu mendorong dirinya untuk melakukan sesuatu, atau menegah dirinya dari melakukannya, akan tetapi dia tidak bermaksud daripada perbuatannya itu sebagai nazar dan tidak juga sebagai taqarrub.
Contohnya, berkata seseorang itu: “Jika aku bercakap dengan si Polan, maka hak bagi Allah dan wajib ke atas diriku berpuasa” atau dia berkata: “Jika aku tidak keluar dari rumah ini, wajib ke atas diriku menunaikan haji ke Makkah.”
Hukumnya:
Setelah dia berlafaz dengan lafaz yang demikian, lalu diapun bercakap dengan si Polan bin si Polan atau dia tidak keluar rumah, tertanggunglah ke atas dirinya untuk melakukan salah satu di antara dua perkara:
(i) Sama ada dia melaksanakan apa yang dinazarkannya, iaitu berpuasa, menunaikan haji, bersedekah dan sebagainya menurut apa yang dinazarkan.
(ii) Ataupun membayar kaffârah nazar.
Ini didasarkan kepada hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sabdanya: “Kaffârah (denda) nazar sama dengan kaffârah (denda) sumpah. (Hadits riwayat Muslim)
Kaffârah Nazar
Berdasarkan kepada hadits di atas bahawa kaffârah nazar itu sama dengan kaffârah sumpah. Kaffârah sumpah itu ialah:
(1) Memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan dari jenis sederhana yang biasa diberikan oleh orang yang membayar kaffârah itu (jenis makanan) kepada keluarganya.
(2) Atau memberi pakaian sepuluh orang miskin dengan sesuatu yang dinamakan pakaian, seperti baju, kain sarung, serban dan sebagainya.
(3) Atau memerdekakan hamba.
Ketiga-tiga jenis di atas bolehlah dipilih, mana satu akan dibayar.
(4) Jika tidak berkemampuan untuk membayar mana-mana dari tiga jenis yang tersebut di atas, maka wajiblah dia berpuasa selama tiga hari.
Yang dimaksudkan dengan tidak berkemampuan itu ialah orang yang tidak berdaya untuk mengadakan harta bagi membayar kaffârah tersebut, seperti orang yang mempunyai harta, tetapi hanya mencukupi untuk orang yang di bawah tanggungannya.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah (peliharalah) sumpah kamu. (Surah Al-Mâ’idah: 89)
Mengqadha Nazar Bagi Pihak Orang Yang Telah Meninggal Dunia
Sebagaimana disebutkan terdahulu bahawa bernazar pada perkara ketaatan itu adalah sah dan wajib dilaksanakan, selama mana ia bukan merupakan perkara yang diwajibkan oleh syara‘ seperti sembahyang lima waktu, puasa Ramadhan dan sebagainya.
Bagaimana pula halnya jika seseorang yang telah bernazar kemudian dia mati sebelum dia sempat menyempurnakannya?
Membayar (mengqadha) hak-hak yang wajib ke atas si mati itu adalah dituntut oleh syara‘. Ini berdasarkan kepada hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawasanya dia berkata: “Bahawa Sa‘ad bin ‘Ubadah meminta fatwa kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai dengan nazar ibunya yang meninggal dunia sebelum dia menunaikan nazarnya itu.” Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Bayar (qadha) olehmu nazarnya itu. (Hadits riwayat Muslim)
Menurut mazhab Syafi‘e bahawa hak-hak harta (al-huqûq al-mâliyah) yang wajib (yang tertanggung) ke atas si mati, daripada zakat, kaffârah dan nazar, wajiblah diqadhakan baginya, walaupun dia tidak berwasiat. Hal ini sama seperti hutang si mati terhadap manusia yang belum dilunaskan, maka wajib dilunaskan daripada harta pusakanya.
Adapun mengenai dengan nazar yang bukan berbentuk harta, yang tertanggung ke atas si mati, seperti nazar puasa, sembahyang sunat, i‘tikâf dan seumpamanya, maka menurut pendapat jumhur ulama termasuk mazhab Syafi‘e, bahawa tidak wajib bagi warisnya mengqadhakan nazar si mati itu, bahkan jika si mati tidak meninggalkan harta pusaka, tidaklah diwajibkan ke atas warisnya membayarkan nazar yang berbentuk harta, seperti sedekah, yang belum sempat ditunaikan oleh si mati, akan tetapi disunatkan sahaja bagi ahli waris mengqadhakannya.
Beberapa Masalah Mengenai Nazar
- Barangsiapa yang bernazar untuk mengerjakan puasa dengan tidak menentukan bilangan harinya, seperti dia bernazar: “Hak bagi Allah, wajib ke atas diriku berpuasa”, maka wajib ke atas dirinya berpuasa selama satu hari sahaja.
- Manakala itu, orang yang bernazar untuk mengerjakan puasa selama beberapa hari tetapi tidak menentukan bilangan beberapa hari itu, seperti dia bernazar: “Hak bagi Allah, wajib ke atas diriku berpuasa selama beberapa hari”, maka wajib ke atas dirinya berpuasa selama tiga hari.
- Jika seseorang bernazar untuk berpuasa pada hari tertentu seperti bernazar untuk berpuasa pada hari Khamis minggu pertama bulan ini, maka wajib ke atasnya berpuasa pada hari tersebut. Tidak sah baginya berpuasa pada hari sebelumnya.
Jika dilambat-lambatkannya sehingga luput hari Khamis minggu pertama tersebut, maka wajiblah diqadhanya, tidak kira sama ada luput disebabkan oleh uzur syar‘i atau tidak. Akan tetapi jika dia melambat-lambatkan dengan tiada sebab keuzuran syar‘i, maka berdosalah dia. Sebaliknya tiada berdosa jika dia melambatkannya kerana ada keuzuran syar‘i seperti sakit, datang haidh dan sebagainya.
- Adalah sah hukumnya bernazar menunaikan haji ke Makkah dan wajib ditunaikan. Akan tetapi bagi orang yang bernazar menunaikan haji sedang dia pada masa itu belum lagi menunaikan fardhu haji yang wajib ke atas dirinya sebagai seorang muslim, maka tertanggung ke atas dirinya dua ibadat haji, iaitu haji fardhu dan haji kerana nazar. Tidaklah memadai baginya jika dia menunaikan haji sekali sahaja.
- Barangsiapa yang bernazar menunaikan haji ke Makkah dengan tidak menentukan bila masanya, maka sunat disegerakan nazar tersebut pada mula-mula saat dia berkemampuan.
Jika dia meninggal dunia sebelum ada kemampuan untuk pergi menunaikan haji, tidaklah tertanggung apa-apa ke atas dirinya. Sebaliknya jika dia meninggal dunia setelah ada kemampuan dan belum sempat melaksanakan nazarnya, maka wajib diqadhakan baginya dengan perbelanjaan yang diambil dari harta pusakanya.
- Adapun seseorang yang bernazar untuk berkahwin dalam keadaannya pada masa itu ada kemampuan dan ingin atau mahu untuk berkahwin, maka hukumnya sah nazar tersebut.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6367
