Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Kedudukan Akad Al-Ijarah Apabila Penyewa Atau Pemberi Sewa Meninggal Dunia

KEDUDUKAN ‘AQAD AL-IJÂRAH APABILA PENYEWA ATAU PEMBERI SEWA MENINGGAL DUNIA

Al-ijârah dari sudut bahasa sebagaimana yang disebut oleh Ibn Manzhur dalam Lisan al-‘Arab adalah berasal daripada kata kerja “ajâra” yang bermaksud memberi upah terhadap sesuatu kerja. Dari sudut istilah syara‘ pula, menurut asy- Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, al-ijârah ialah ‘aqad terhadap sesuatu manfaat yang dihajati (maqshûdah), yang diketahui serta boleh dan harus diserah terima dengan tukaran yang diketahui.

Antara dalil pensyariatan al-ijârah yang menjadi sandaran para fuqahâ’ ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah ath-Thalâq:

Tafsirnya: Kemudian jika mereka menyusukan anak kamu, maka berilah upah. (Surah ath-Thalâq: 6)

Manakala dalil daripada sunnah pula, antaranya ialah hadits yang menceritakan tentang Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah memberi upah kepada tukang bekam sebagaimana kata Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah berbekam dan Baginda telah memberi tukang bekam itu upahnya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Al-ijârah itu boleh berlaku ke atas benda yang ada dan boleh dilihat ketika ‘aqad. Ia juga boleh berlaku ke atas sesuatu yang ada dalam tanggungan.

Maksud al-ijârah terhadap benda (‘ain) yang ada dan boleh dilihat ketika ‘aqad itu ialah penyewaan manfaat sesuatu benda yang ada dan boleh dilihat ketika ‘aqad al-ijârah dilakukan. Termasuk juga dalam kategori ini, penyewaan manfaat sesuatu benda yang tidak ada ketika ‘aqad, tetapi kedua-dua orang yang ber‘aqad telah melihatnya sebelum ‘aqad dalam tempoh yang pada kebiasaannya benda itu tidak berubah.

Manakala maksud al-ijârah terhadap sesuatu benda yang ada dalam tanggungan pula ialah penyewaan manfaat sesuatu benda yang tidak ada dilihat ketika ‘aqad dilakukan dan hanya bersandarkan kepada penjelasan sifat-sifat benda yang di‘aqadkan seperti penyewaan kenderaan yang dinyatakan sifat-sifatnya. Termasuk juga dalam kategori ini mengupah seseorang untuk melakukan kerja seperti membina bangunan, menjahit pakaian dan seumpamanya.

Dalam ‘aqad al-ijârah, disyaratkan kedua-dua belah pihak yang ber‘aqad mengetahui dengan jelas tentang benda yang di‘aqadkan manfaatnya dan juga bentuk serta kadar manfaat tersebut.

Maksud mengetahui benda yang di‘aqadkan manfaatnya itu ialah seperti orang yang mempunyai dua buah rumah, maka hendaklah ditentukan rumah yang disewakan. Manakala maksud mengetahui bentuk manfaat benda yang di‘aqadkan ialah seperti penyewaan tanah yang boleh digunakan bagi pelbagai manfaat seperti tanah tersebut boleh digunakan untuk pertanian, membuat bangunan atau ladang ternakan. Maka kedua-dua yang ber‘aqad hendaklah mengetahui dengan jelas bentuk manfaat yang di‘aqadkan.

Adapun maksud mengetahui dengan jelas kadar manfaat benda yang di‘aqadkan ialah seperti penyewaan rumah untuk tinggal selama satu tahun atau memberi upah terhadap kerja menjahit baju. Penentuan kadar penyewaan rumah untuk tinggal selama satu tahun itu dikategorikan sebagai penetapan kadar manfaat berdasarkan tempoh masa. Manakala pemberian upah terhadap kerja menjahit dikategorikan sebagai penetapan kadar manfaat berdasarkan penyiapan kerja yang diupah.

Menyentuh tentang penetapan kadar manfaat yang didasarkan kepada tempoh masa, permasalahan yang mungkin timbul ialah adakah ‘aqad akan terbatal sekiranya salah seorang yang ber‘aqad meninggal dunia atau kedua-duanya meninggal dunia?

Dalam ‘aqad al-ijârah, penyewa dan pemberi sewa adalah disebut sebagai al- ‘âqidân iaitu dua pihak yang ber‘aqad dan ia merupakan rukun dalam ‘aqad al-ijârah.

Apabila rukun-rukun dan syarat-syarat dalam ‘aqad al-ijârah dipenuhi dan sempurna, maka ‘aqad itu menjadi sah dan mengikat kedua-dua pihak yang ber‘aqad untuk melaksanakannya. Dalam keadaan ini, ‘aqad tersebut tidak boleh dibatalkan atau dibubarkan melainkan dengan adanya persetujuan daripada kedua-dua belah pihak yang ber‘aqad.

Selain itu, ‘aqad al-ijârah akan terbubar dengan terjadinya sebab-sebab tertentu seperti barang sewaan rosak atau berlaku kecacatan pada barang sewaan sehingga menjejaskan pengambilan manfaat daripadanya melainkan jika pemberi sewa membaikinya dengan segera.

Adapun dalam masalah berlaku kematian penyewa atau pemberi sewa, ‘aqad al-ijârah tidak terbubar atau terbatal. Imam Ibn Hajar Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan tidak terbubar kedua-dua jenis (‘aqad) al-ijârah (al-‘ain dan adz-dzimmah) dengan kematian kedua-dua orang yang ber‘aqad atau salah seorang daripada kedua-duanya kerana keterikatannya (‘aqad) sepertimana jual beli.

Dalam kitab Mughnî al-Muhtâj, asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menyebut:

Ertinya: Dan tidak terbubar (‘aqad) al-ijârah sekalipun ijârah adz-dzimmah sepertimana yang disebut dalam kitab al-Bâsith, dengan kematian dua orang yang ber‘aqad atau salah seorang daripada kedua-duanya, bahkan kekal sehingga habis tempohnya kerana ia (‘aqad al-ijârah) adalah ‘aqad lazim (mengikat). Maka ia tidak terbubar dengan kematian sebagaimana jual beli.

Dalam keadaan di atas, ahli waris kedua-dua pihak yang ber‘aqad adalah mengambil tempat kedua-dua pihak yang ber‘aqad dalam melaksanakan perkara-perkara yang di‘aqadkan.

Berbeza halnya dengan apabila orang yang diupah melaksanakan kerja meninggal dunia. Dalam keadaan ini, ‘aqad al-ijârah adalah terbubar kerana orang yang diupah adalah sumber kerja yang di‘aqadkan. ‘Aqad tersebut terbubar bukan mengambil kira kedudukannya sebagai orang yang ber‘aqad. Sebagai contoh, seorang tukang jahit diupah untuk menyiapkan sehelai baju dan dia meninggal dunia sebelum baju tersebut siap dijahit. Dalam contoh ini tukang jahit yang diupah itu merupakan sumber kerja yang di‘aqadkan. Maka dengan kematiannya itu akan menyebabkan ‘aqad al-ijârah terbubar.

Demikian penjelasan mengenai kedudukan ‘aqad al-ijârah apabila penyewa atau pemberi sewa meninggal dunia.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6446