Mengiringi Jenazah Orang Bukan Islam
Mengiringi atau mengikuti jenazah yang diusung hingga ke kubur merupakan salah satu hak seorang Islam terhadap seorang Islam yang lain. Hukum mengiringi jenazah orang Islam bagi lelaki adalah sunat mu’akkadah (sangat dituntut) berdasarkan hadits daripada al-Bara’ Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah memerintahkan untuk melakukan tujuh perkara dan salah satunya ialah mengiringi jenazah sebagaimana kata beliau:
Maksudnya: Baginda (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) memerintahkan kami untuk mengiringi jenazah, menziarahi orang sakit, menghadiri undangan orang yang mengundang, membantu orang yang dizalimi, melaksanakan sumpah, menjawab salam dan mendo‘akan orang yang bersin. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Manakala hukum perempuan mengiringi jenazah orang Islam pula adalah makruh berdasarkan hadits daripada Ummu ‘Athiyyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Kami dilarang untuk mengiringi jenazah, (namun) tidak ditekankan ke atas kami. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hukum makruh bagi perempuan mengiringi jenazah itu adalah jika tidak ditakuti akan mendatangkan fitnah baginya. Jika mengiringi jenazah itu ditakuti akan mendatangkan fitnah baginya, maka hukumnya adalah haram.
Mengiringi jenazah orang Islam itu sunat dilakukan dengan berjalan kaki. Sunat juga untuk mengiringinya di hadapan jenazah kerana mengikut perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan kerana orang yang mengiringinya itu memberi syafa‘at kepada jenazah dan pemberi syafa‘at hendaklah mendahului yang diberikan syafa‘at. Sunat juga bagi orang yang mengiringi jenazah itu untuk terus bersama jenazah sehinggalah jenazah dikebumikan.
Tuntutan mengiringi jenazah bagi lelaki yang telah disebutkan di atas itu adalah jika jenazah tersebut daripada kalangan orang Islam. Bagaimana pula hukumnya jika jenazah itu daripada kalangan orang bukan Islam?
Hukum mengiringi jenazah orang bukan Islam adalah bergantung sama ada jenazah orang bukan Islam itu daripada kalangan keluarga orang Islam yang mengiringinya atau tidak. Berikut dijelaskan hukum mengenainya:
1. Jenazah orang bukan Islam daripada kalangan keluarga.
Jika jenazah orang bukan Islam itu daripada kalangan ahli keluarga orang Islam yang mengiringinya, maka harus bagi seorang lelaki Islam itu mengiringi jenazah orang bukan Islam daripada kalangan keluarganya.
Perkara ini adalah berdasarkan hadits daripada Sayyidina ‘Ali Karramallâhu wajhah, beliau berkata:
Maksudnya: Aku berkata kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Sesungguhnya bapa saudaramu (Abu Thalib) orang tua yang sesat (daripada jalan hidayah) telah meninggal dunia”. Baginda bersabda: “Pergilah serta kebumikanlah (mayat) bapamu”. (Hadits riwayat Abu Daud)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut dalam kitab Minhâj ath-Thâlibin:
Ertinya: Dan tidak mengapa (harus) seorang lelaki Islam mengiringi jenazah keluarganya yang kafir.
Menurut para ulama lagi, tidak makruh seorang lelaki Islam mengiringi jenazah orang bukan Islam daripada kalangan keluarganya, bahkan hukumnya adalah harus.
Berbeza hukumnya bagi seorang perempuan Islam, maka makruh hukumnya bagi seorang perempuan Islam mengiringi jenazah orang bukan Islam daripada kalangan keluarganya.
2. Jenazah orang nukan Islam yang bukan daripada kalangan keluarga.
Jika jenazah orang bukan Islam itu bukan daripada kalangan ahli keluarga orang Islam yang mengiringinya, maka haram hukumnya bagi seorang Islam itu mengiringi jenazah orang bukan Islam yang bukan daripada kalangan keluarganya.
Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh menjelaskan dalam kitab Tuhfah al- Muhtâj:
Ertinya: Dan matan (Imam an-Nawawi Rahimahullâh) itu memberi faham akan keharaman seorang Islam mengiringi jenazah orang kafir selain ahli keluarga.
Walau bagaimanapun menurut Imam al-Qalyubi Rahimahullâh, orang bukan Islam yang terdiri daripada jiran tetangga, sahabat, maulâ (tuan bagi hamba sahaya) dan hamba sahaya bagi orang Islam itu adalah terkecuali daripada pengharaman tersebut kerana mereka itu adalah seperti keluarga. Oleh yang demikian, seorang Islam harus mengiringi jenazah-jenazah orang bukan Islam seperti jiran dan sahabatnya meskipun mereka pada hakikatnya bukan daripada kalangan ahli keluarga.
Menurut Imam al-Qalyubi Rahimahullâh lagi, adapun sebab pengharaman mengiringi jenazah orang bukan Islam yang bukan daripada kalangan keluarga ialah kerana pada mengiringi jenazah orang bukan Islam yang bukan daripada kalangan keluarga itu terdapat unsur mengagungkan bagi jenazah tersebut.
Demikian penjelasan mengenai hukum orang Islam mengiringi jenazah orang bukan Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6450
