Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Anjuran Berwudhu’ Ketika Mandi Wajib Dan Mandi Sunat

Mandi yang disyariatkan dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu mandi wajib dan mandi sunat. Mandi wajib ialah mandi yang diwajibkan ke atas seorang Islam kerana mati, haidh, nifâs, melahirkan anak (wilâdah), junub dan keluar air mani. Tidak sah setiap ibadat yang disyaratkan padanya suci daripada hadats melainkan dengan mandi wajib seperti ibadat sembahyang, membaca al-Qur’an, thawaf dan seumpamanya.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman dalam surah al-Mâ’idah ayat 6:

Tafsirnya: Jika kamu berjunub (berhadats besar) maka bersucilah (dengan mandi wajib). (Surah al-Mâ’idah: 6)

Manakala mandi yang disunatkan pula antaranya ialah mandi kerana hendak menghadiri sembahyang Jumaat, sembahyang sunat Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adhha, sembahyang sunat Gerhana Bulan atau Gerhana Matahari, sembahyang sunat Istisqa‘ (meminta hujan), mandi sunat kerana baru memeluk agama Islam, mandi sunat kerana telah memandikan mayat, mandi sunat kerana baru sedar daripada pitam, pengsan dan lainnya.

Terdapat beberapa tuntutan sunat yang dianjurkan ketika mengerjakan mandi wajib dan mandi sunat. Antara tuntutan sunat yang dianjurkan itu ialah berwudhu’.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh berkata ketika menyebut perkara-perkara sunat ketika mandi wajib dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Kemudian selepas menghilangkannya (kotoran), (sunat) berwudhu’ dengan sempurna sebagai ittibâ‘ (mengikut perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) dan ini adalah (perbuatan) yang afdhal daripada mengakhirkan (membasuh) kedua-dua kaki daripadanya (mandi).

Berdasarkan kata-kata Imam ar-Ramli Rahimahullâh di atas, antara tuntutan sunat ketika mandi wajib itu adalah berwudhu’ dengan sempurna setelah membersihkan segala kotoran daripada badan sebelum memulakan mandi. Menurut asy-Syaikh al-Khatib asy-Syarbini Rahimahullâh, maksud berwudhu’ dengan sempurna di sini ialah sempurna segala tuntutan wajib dan sunat wudhu’ termasuk tasmiah (membaca basmalah).

Tuntutan sunat berwudhu’ ketika mandi wajib ini boleh dilaksanakan sama ada ia dikerjakan dengan sempurna sebelum mandi sepertimana yang disebut oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh di atas dan boleh juga dikerjakan semasa mandi atau selepas selesai mandi. Dia juga boleh membasuh atau menyapu sebahagian anggota wudhu’ sebelum mandi lalu membasuh atau menyapu baki anggota wudhu’ yang lain semasa mandi atau selepas mandi. Semua kaifiyyât ini adalah memadai dan dikira tertunai tuntutan sunat berwudhu’ ketika mandi wajib. Walau bagaimanapun, berwudhu’ dengan sempurna sebelum memulakan mandi wajib adalah afdhal.

Berdasarkan penjelasan di atas, berwudhu’ adalah satu tuntutan sunat ketika mengerjakan mandi wajib namun kebanyakan ulama mazhab asy-Syafi‘i antaranya Imam Ibn Hajar al-Haitami, Imam Zainuddin al-Malibari, Imam al-Qalyubi, Imam ‘Umairah, Imam Sulaiman al-Jamal Rahimahumullâh dan lainnya menyatakan bahawa berwudhu’ juga disunatkan ketika mengerjakan mandi sunat.

Menurut ulama, seseorang yang meninggalkan tuntutan sunat berwudhu’ ketika mandi wajib dan mandi sunat hukumnya adalah makruh. Sekiranya dia tidak berwudhu’ sehingga dia selesai mandi, tuntutan sunat berwudhu’ tetap disunatkan mengerjakannya. Perkara ini juga sama hukumnya bagi orang yang meninggalkan tuntutan sunat berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung yang juga merupakan tuntutan-tuntutan sunat yang berasingan selain tuntutan sunat berwudhu’ ketika mandi.

Imam ar-Ramli Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan sekiranya dia meninggalkan wudhu’ atau (meninggalkan) berkumur-kumur atau (meninggalkan) memasukkan air ke dalam hidung, dimakruhkan baginya (meninggalkan perkara-perkara tersebut) dan disunatkan baginya melakukan (perkara-perkara yang ditinggalkannya) itu.

Menurut Imam ar-Ramli, asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahumullâh dan lainnya, seseorang yang berwudhu’ kemudian wudhu’nya itu terbatal sebelum dia mandi, maka dia tidak lagi disunatkan berwudhu’ semula kerana tuntutan sunat berwudhu’ telah tertunai dengan wudhu’nya yang pertama tadi. Imam ar-Ramli Rahimahullâh menyebut dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan sekiranya dia berwudhu’ (dengan sempurna) sebelum mandinya, kemudian dia berhadats sebelum dia (mula) mandi, dia tidak perlu mengulangi wudhu’nya itu kerana telah hasil (tuntutan) sunat berwudhu’.

Walau bagaimanapun, sekiranya dia berhadats sebelum selesai berwudhu’, contohnya wudhu’nya batal ketika berkumur-kumur. Dalam keadaan ini, dia hendaklah mengulangi semula wudhu’nya itu bagi memenuhi tuntutan sunat berwudhu’ ketika mandi.

Adapun Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh pula berpendapat bahawa orang yang batal wudhu’nya sebelum dia mandi adalah disunatkan untuk mengulangi wudhu’nya kerana orang yang mengerjakan mandi wajib atau mandi sunat itu selain disunatkan berwudhu’ sebelum mandi, dia juga disunatkan untuk terus dalam keadaan berwudhu’ sepanjang dia mengerjakan mandi.

Oleh yang demikian, Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh berkata bahawa sebagai mengambil kira kedua-dua pendapat ini, sunat hukumnya mengulang wudhu’ yang batal itu sebagai jalan keluar daripada khilâf. Walau bagaimanapun, jika dia tidak mengulangi wudhu’nya itu dia tetap dikira telah menunaikan tuntutan sunat berwudhu’ ketika mandi dengan wudhu’nya yang pertama.

Khusus dalam perkara mandi wajib, terdapat permasalahan mengenai niat wudhu’ seperti berikut:

a) Jika seseorang dalam keadaan junub tetapi tidak berhadats kecil seperti orang yang keluar air mani disebabkan syahwat apabila melihat isterinya, sekiranya dia hendak berwudhu’ sama ada sebelum atau selepas mandi wajib, maka dia boleh berniat sama ada dengan niat melakukan wudhu’ sunat untuk mandi wajib seperti “Sahaja aku berwudhu’ untuk melakukan perkara sunat mandi” atau dia berniat dengan mengangkat hadats seperti “Sahaja aku mengangkat hadats kecil.”

b) Jika seseorang dalam keadaan berhadats besar dan pada masa yang sama juga berhadats kecil, sekiranya dia hendak berwudhu’ sebelum memulakan mandi wajib, dia hendaklah berniat dengan niat: “Sahaja aku mengangkat hadats kecil.”

Jika dia berwudhu’ di pertengahan atau selepas mandi, dia boleh berniat sama ada dengan “Sahaja aku berwudhu’ untuk melakukan perkara sunat mandi” atau dia berniat dengan “Sahaja aku mengangkat hadats kecil”. Walau bagaimanapun menurut pendapat al-mukhtâr (terpilih) di sisi Imam an-Nawawi Rahimahullâh ialah berniat dengan mengangkat hadats kecil (Sahaja aku mengangkat hadats kecil) sebagai jalan keluar dari khilâf sebahagian ulama yang berpendapat bahawa mandi wajib itu tidak mengangkat hadats kecil.

Demikian penjelasan mengenai anjuran sunat berwudhu’ ketika mandi wajib dan mandi sunat serta perkara-perkara yang berkaitan mengenainya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6454