Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Risiko Sembahyang Di Akhir Waktu

Perintah mengerjakan sembahyang fardhu lima waktu dari Allah Ta‘ala kepada umat Islam terjadi ketika peristiwa Isra’ dan Mi‘raj Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Dalam memperingati peristiwa bersejarah ini, antara perkara yang penting bagi setiap orang Islam ialah untuk menilai semula sejauh mana kesempurnaan pelaksanaan ibadat sembahyangnya dan seterusnya berusaha untuk menyempurnakannya sebaik mungkin.

Sembahyang fardhu lima waktu mempunyai waktu-waktu tertentu yang telah ditetapkan oleh syara‘ sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya sembahyang itu ialah satu kewajiban ke atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya. (Surah an-Nisâ’: 103)

Antara perkara yang utama dalam memelihara ibadat sembahyang ialah mengerjakan sembahyang di dalam waktu yang telah ditetapkan sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Peliharalah (kerjakan dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu. (Surah al-Baqarah: 238)

Dalam perkara mengerjakan sembahyang di dalam waktunya, mengerjakan sembahyang di awal waktu adalah perkara yang afdhal dilakukan. Dalam satu riwayat daripada Ummu Farwah, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah ditanya apakah amalan yang paling utama? Baginda lalu menjawab:

Maksudnya: Sembahyang pada awal waktunya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Berkaitan dengan mengerjakan sembahyang di awal waktu ini, apakah risiko jika sembahyang itu dikerjakan di akhir waktu?

Sembahyang Di Dalam Waktu

Kewajiban untuk mengerjakan sembahyang bermula sebaik sahaja masuk waktu sembahyang tersebut. Perkara yang afdhal ialah menyegerakan sembahyang di awal waktu. Walau bagaimanapun harus juga bagi seseorang itu mengakhirkan sembahyang dari awal waktunya dengan syarat hendaklah dia berazam untuk mengerjakan sembahyang tersebut dalam waktunya. Sekiranya seseorang itu telah berazam untuk mengerjakan sembahyang di dalam waktunya yang ditetapkan namun dia meninggal dunia sebelum sempat mengerjakan sembahyang tersebut, maka dia tidak berdosa walaupun pada hakikatnya dia mempunyai kesempatan untuk mengerjakan sembahyang tersebut.

Keharusan mengakhirkan sembahyang dari awal waktu itu berterusan sehingga baki waktu itu hanya cukup untuk mengerjakan semua rukun sembahyang tersebut. Apabila baki waktu itu hanya cukup untuk mengerjakan semua rukun sembahyang, maka wajib dia mengerjakan sembahyang dengan serta-merta kerana waktu itu sudah menjadi sempit.

Mengakhirkan Sembahyang

Mengakhirkan sembahyang dengan sengaja tanpa keuzuran sehingga menyebabkan sebahagian sembahyang itu dikerjakan di luar daripada waktunya hukumnya adalah haram dan berdosa walaupun bahagian daripada sembahyang yang keluar daripada waktunya itu adalah ketika melakukan salam yang pertama.

Menurut Imam Ibn Hajar Rahimahullâh dalam kitab az-Zawâjir, sengaja mengakhirkan sembahyang sehingga luput waktunya tanpa keuzuran adalah termasuk dalam dosa-dosa besar. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Maka mereka kemudiannya digantikan oleh generasi (jahat) yang mencuaikan sembahyang dan menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat) maka mereka akan menghadapi kecelakaan (azab pada Hari Kiamat). Tetapi orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amalan salih maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dizalimi sedikit pun. (Surah Maryam: 59-60)

Menurut Ibn Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu mencuaikan sembahyang (أضاعوا الصلـوة) dalam ayat di atas bukanlah hanya bermakna meninggalkan sembahyang sama sekali tetapi mengakhirkan sembahyang sehingga keluar daripada waktunya.

Sembahyang Di Akhir Waktu

Jika seseorang memulakan sembahyang di akhir waktu, lalu waktu sembahyang pun berakhir di pertengahan sembahyangnya, maka dalam keadaan ini sembahyangnya tetap sah. Jika dia dapat melakukan satu rakaat yang sempurna atau lebih di dalam waktunya, maka sembahyangnya dikira sebagai sembahyang yang dikerjakan di dalam waktu dan keseluruhan sembahyangnya dikira sebagai tunai. Jika dia tidak dapat melakukan satu rakaat yang sempurna di dalam waktunya, maka sembahyangnya dikira sembahyang di luar waktu dan keseluruhan sembahyangnya dikira sebagai qadha’.

Maksud satu rakaat yang sempurna ialah mengangkat kepala daripada sujud yang kedua dalam sembahyang sebelum waktu sembahyang tersebut berakhir. Ini bererti, bagi orang yang sembahyang di akhir waktu, satu rakaat yang sempurna itu ialah mengangkat kepala daripada sujud yang kedua dalam rakaat yang pertama sebelum waktu sembahyang tersebut berakhir.

Sembahyang Mengikut Imam Di Akhir Waktu

Seorang yang sembahyang di akhir waktu, keharusan mengerjakan sembahyang mengikut imam adalah tertakluk kepada keadaan-keadaan tertentu sebagaimana berikut:

1. Jika dia sembahyang seorang diri dia akan mendapat kesemua rakaat sembahyang itu di dalam waktu berbanding jika dia sembahyang mengikut imam dia hanya akan mendapat sebahagian sahaja atau satu rakaat sahaja daripada sembahyang itu di dalam waktu, maka dalam keadaan begini hukum sembahyang seorang diri adalah wajib baginya supaya sembahyang itu keseluruhannya dikerjakan di dalam waktunya dan haram baginya sembahyang mengikut imam.

Demikian juga, orang yang memulakan sembahyang di akhir waktu dan pada ketika itu dia nampak seorang imam sedang duduk tahiyyat akhir dalam sembahyang. Dia tahu jika dia sembahyang seorang diri, dia akan mendapat satu rakaat di dalam waktu akan tetapi jika dia sembahyang mengikut imam tersebut dia mendapat kurang daripada satu rakaat dalam waktu. Dalam keadaan begini, hukum sembahyang mengikut imam adalah haram baginya.

2. Jika dia hendak memulakan sembahyang di akhir waktu dan pada ketika itu dia melihat seseorang sedang melakukan ruku‘ serta dia tahu jika dia sembahyang dengan berimamkan orang tersebut dia akan mendapat satu rakaat di dalam waktu kerana bacaan surah al-Fâtihahnya adalah ditanggung oleh imam berbanding jika dia sembahyang seorang diri dia tidak akan mendapat satu rakaat di dalam waktu kerana dia wajib membaca surah al- Fâtihah. Dalam keadaan begini, hukum sembahyang mengikut imam dan ruku‘ bersama-samanya adalah wajib baginya supaya dia mendapat satu rakaat di dalam waktu.

Demikianlah penjelasan mengenai risiko sembahyang di akhir waktu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6466