Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Perkara Khusus Bagi Perempuan Dalam Mendirikan Sembahyang

Sembahyang lima waktu merupakan ibadat fardhu ‘Ain yang diwajibkan ke atas setiap orang Islam sama ada lelaki mahupun perempuan yang bâligh dan berakal. Perintah untuk mendirikan sembahyang disebut dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan dirikanlah sembahyang dan bayarlah zakat. (Surah al-Baqarah: 43)

Dalam melaksanakan sembahyang, terdapat beberapa perkara yang disunatkan khusus bagi perempuan. Menurut para ulama mazhab Syafi‘i, perempuan adalah sama seperti lelaki dalam perkara menunaikan tuntutan rukun dan syarat sembahyang. Demikian juga dalam perkara sunat ab‘adh.

Adapun dalam perkara sunat hai’ah, terdapat perbezaan di antara perempuan dan lelaki dalam melaksanakannya. Perbezaan di antara lelaki dan perempuan ini dapat dilihat melalui beberapa perkara yang disunatkan khusus bagi perempuan dalam melaksanakan sembahyang.

Perbuatan Khusus Bagi Perempuan

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ telah menukil pendapat Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh tentang beberapa perkara yang disunatkan bagi perempuan dalam perbuatan sembahyang sebagaimana berikut:

Ertinya: Dan tidak ada perbezaan di antara lelaki dan perempuan dalam perbuatan sembahyang melainkan seorang perempuan itu disunatkan baginya untuk merapatkan sebahagian anggota badannya dengan sebahagian yang lain dan merapatkan perutnya dengan kedua-dua pahanya dalam sujud sebagai cara menutup dirinya sedaya upaya yang mungkin. Aku (Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh) menyukai yang demikian itu bagi perempuan dalam ruku‘ dan keseluruhan perbuatan sembahyang. Dan (disunatkan) ke atas perempuan untuk menebalkan jilbabnya, merenggangkannya (daripada badan ketika) ruku‘ dan sujud supaya pakaiannya itu tidak menampakkan (bentuk tubuhnya) serta (disunatkan juga) untuk merendahkan suaranya. Jika (berlaku) sesuatu yang menarik perhatiannya dalam sembahyang, dia menepuk tangannya (untuk perhatian orang lain).

Huraian mengenai perkara-perkara khusus bagi perempuan sebagaimana yang disebut di atas adalah seperti berikut:

(1) Merapatkan sebahagian anggota badan dengan anggota yang lain.

Disunatkan bagi perempuan untuk merapatkan sebahagian anggota badannya dengan anggota yang lain ketika ruku‘ dan sujud, bahkan pada keseluruhan perbuatan sembahyang kerana cara sedemikian lebih menutup dan melindungi anggota badan daripada terdedah. Maka kedua-dua belah siku dirapatkan dengan kedua-dua belah rusuk ketika ruku‘ dan perut dirapatkan dengan kedua belah paha ketika ruku‘ dan sujud. Demikian juga dalam perbuatan sembahyang yang lain seperti ketika melakukan takbîratul-ihrâm.

(2) Memakai pakaian yang tebal dan labuh.

Disunatkan bagi perempuan menebalkan pakaian sehingga menutup seluruh badannya dan tidak menampakkan bentuk badannya iaitu dengan memakai pakaian seperti tudung yang menutup kepala dan leher, baju labuh atau jubah yang menutup seluruh badan termasuk kedua-dua kaki serta memakai kain tebal yang melapis pakaian tersebut. Di samping itu, disunatkan juga untuk merenggangkan kain tebal yang dipakai di sebelah luar itu daripada badan ketika ruku‘ dan sujud sehingga tidak menampakkan pakaiannya di sebelah dalam.

(3) Merendahkan suara ketika iqâmah.

Iqâmah disunatkan ke atas perempuan apabila mendirikan sembahyang fardhu sama ada ketika sembahyang bersendirian mahupun berjemaah sesama perempuan. Tujuan iqâmah adalah untuk mengajak jemaah yang hadir pada ketika itu mendirikan sembahyang, manakala azan adalah sebagai pemberitahuan kepada orang yang tidak hadir bersama pada ketika itu tentang waktu sembahyang. Azan tidak disunatkan ke atas perempuan kerana dikhuatiri suara yang nyaring ketika azan boleh menimbulkan fitnah, sedangkan iqâmah tidak perlu kepada suara yang nyaring.

Iqâmah disunatkan bagi perempuan dengan suara perlahan yang boleh didengar oleh jemaah perempuan yang lain jika iqâmah itu dilakukan bagi mengajak jemaah perempuan bangkit mendirikan sembahyang. Iqâmah dilakukan dengan suara yang lebih rendah jika tidak bertujuan demikian apabila sembahyang bersendirian.

(4) Merendahkan suara ketika membaca bacaan dalam sembahyang.

Sunat membaca surah al-Fâtihah dan ayat-ayat al-Qur’an dengan suara jahr (nyaring) dalam sembahyang Shubuh dan dua rakaat awal sembahyang Maghrib dan ‘Isya’. Khusus bagi perempuan, dibolehkan baginya membaca dengan suara jahr jika tidak ada lelaki ajnabiy (bukan mahram) berdekatan tempat dia menunaikan sembahyang itu. Walau bagaimanapun, bacaan jahr bagi perempuan itu adalah lebih rendah atau ringan daripada bacaan jahr bagi lelaki. Oleh yang demikian, sunat bagi perempuan merendahkan suaranya atau tidak membaca ayat-ayat al-Qur’an dengan suara jahr dalam sembahyang-sembahyang yang disunatkan padanya bacaan jahr jika ada lelaki bukan mahram pada ketika itu.

(5) Menepuk tangan (tashfîq).

Disunatkan bagi perempuan menepuk tangannya apabila terjadi sesuatu perkara dalam sembahyangnya untuk menarik perhatian orang lain seperti untuk memberi peringatan kepada imam yang terlupa atau melakukan kesilapan dalam sembahyang, memberi peringatan kepada orang buta yang ditakuti akan tertimpa perkara buruk jika tidak diberi amaran atau yang seumpamanya. Perbuatan menepuk tangan ini dikenali dengan istilah tashfîq. Dalam sebuah hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: (Cara untuk menarik perhatian orang lain ketika melakukan sembahyang ialah) bertasbîh bagi lelaki dan menepuk tangan bagi perempuan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Cara menepuk tangan ini hanya boleh dilakukan dengan cara-cara berikut:

1. Tapak tangan kanan menepuk belakang tangan kiri. 2. Belakang tangan kanan menepuk tapak tangan kiri. 3. Belakang tangan kanan menepuk belakang tangan kiri. 4. Belakang tangan kiri menepuk tapak tangan kanan. 5. Tapak tangan kiri menepuk belakang tangan kanan. 6. Belakang tangan kiri menepuk belakang tangan kanan.

Selain daripada perkara khusus mengenai perbuatan dalam melaksanakan sembahyang yang disebut di atas, terdapat juga beberapa perkara khusus yang disunatkan bagi perempuan mengenai sembahyang berjemaah:

(1) Mendirikan sembahyang di rumah.

Sembahyang di rumah adalah afdhal bagi seorang perempuan berbanding sembahyang di masjid dan melakukan sembahyang di rumah itu merupakan perkara sunat bagi perempuan. Dalam sebuah hadits daripada Ibn ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jangan kamu tegah isteri-isteri kamu (mendatangi) masjid-masjid dan rumah-rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka (mendirikan sembahyang). (Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits di atas menjelaskan bahawa sekiranya isteri-isteri meminta kebenaran untuk hadir sembahyang berjemaah di masjid, maka sewajarnya tidak dilarang oleh para suami. Namun tempat yang afdhal ialah di rumahnya.

Dalam hadits lain, Ummu Humaid Radhiallâhu ‘anhâ meriwayatkan bahawa dia telah datang kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan berkata:

Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku menyukai untuk sembahyang (berjemaah) bersama Tuan. (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) bersabda: “Aku mengetahui bahawa engkau menyukai untuk sembahyang bersamaku, namun sembahyangmu di ruang paling terpencil dan tersembunyi dalam rumahmu lebih baik daripada sembahyangmu di ruang tengah rumahmu. Sembahyangmu di ruang tengah rumahmu lebih baik daripada sembahyangmu di kawasan tempat tinggalmu. Sembahyangmu di kawasan tempat tinggalmu lebih baik daripada sembahyangmu di masjid kaummu dan sembahyangmu di masjid kaummu lebih baik daripada sembahyangmu di masjidku.” (Hadits riwayat Ahmad)

Hadits di atas pula menjelaskan bahawa bagi seorang perempuan, afdhal mendirikan sembahyang di rumahnya atau tempat kediamannya berbanding mendirikannya di masjid termasuk sembahyang di Masjid Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Keutamaan sembahyang di rumah bagi perempuan adalah kerana keadaannya yang lebih tertutup. Menurut para ulama antaranya Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, sembahyang bagi perempuan afdhal didirikan dalam keadaan berselindung dan tertutup kerana yang demikian itu lebih menjamin keamanan daripada berlaku fitnah.

(2) Berdiri di pertengahan shaf apabila menjadi imam.

Disunatkan bagi imam perempuan untuk berdiri di pertengahan shaf bersama ma’mum perempuan. Maksud pertengahan shaf dalam situasi ini ialah imam perempuan itu hendaklah berada dalam shaf bersama ma’mum perempuan dan tidak berdiri di hadapan mereka sebagaimana kedudukan imam lelaki berdiri di hadapan ma’mum. Walau bagaimanapun menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, imam perempuan itu berdiri ke hadapan sedikit sekira-kira untuk membezakan imam dengan ma’mum perempuan.

(3) Kelebihan shaf terakhir ketika sembahyang berjemaah dengan lelaki.

Apabila perempuan sembahyang berjemaah di belakang jemaah lelaki, shaf yang terakhir adalah shaf yang afdhal bagi perempuan sebagaimana hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sebaik-baik shaf bagi lelaki ialah shaf yang pertama dan seburuk-buruknya ialah shaf yang terakhir. Sebaik-baik shaf bagi perempuan pula ialah shaf yang terakhir dan seburuk-buruknya ialah shaf yang pertama. (Hadits riwayat Muslim)

Demikian penjelasan mengenai perkara yang khusus dilakukan oleh perempuan ketika mendirikan sembahyang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6470