Implikasi Melambatkan Atau Tidak Membayar Upah Atau Gaji Pekerja
Negara Brunei Darussalam berhasrat untuk menjadi sebuah negara yang maju menjelang tahun 2035 dengan perencanaan Wawasan Brunei 2035. Wawasan tersebut mempunyai tiga matlamat iaitu:
1. Rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya. 2. Rakyat yang mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi. 3. Ekonomi negara yang dinamik dan berdaya tahan.
Usaha untuk mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 dilakukan dengan pendekatan senegara (whole of nation approach). Melalui pendekatan senegara itu, pihak kerajaan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat dan individu akan bekerjasama untuk menjayakan wawasan negara kerana setiap pihak mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuai atau mengabaikan peranan dan tanggungjawab mereka atau melakukan perkara-perkara yang tidak wajar seperti menindas dan menzalimi pihak yang lain, usaha untuk mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 tersebut akan terjejas. Antara perkara yang akan menjejaskan wawasan negara itu ialah perbuatan majikan tidak membayar atau melambatkan bayaran upah kepada pekerja.
Upah menurut Kamus Dewan bermaksud wang dan lain-lain yang diberikan kepada orang yang disuruh mengerjakan sesuatu atau bayaran sebagai pembalas jasa atau ganjaran untuk tenaga orang yang telah digunakan. Termasuk dalam perkara pembayaran upah itu ialah pembayaran gaji kerana gaji merupakan upah yang tetap atau bayaran yang tetap untuk pekerjaan.
Membayar upah kepada pekerja setelah pekerja menyelesaikan tugasnya merupakan salah satu tanggungjawab majikan terhadap pekerjanya. Begitu juga halnya, pekerja menjalankan tugas yang diberikan oleh majikan kepadanya dengan penuh amanah merupakan salah satu tanggungjawab pekerja terhadap majikannya.
Perkara membayar upah kerana melakukan suatu pekerjaan adalah disyariatkan dalam Islam dan para ulama membicarakannya di bawah bab al-ijârah. Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj, al-ijârah ialah pemberian milik terhadap manfaat dengan imbalan serta memenuhi syarat-syarat tertentu. Keharusannya adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Kemudian jika mereka menyusukan anak kamu maka berilah mereka upah. (Surah ath-Thalâq: 6)
Keharusan ‘aqad al-ijârah juga ada disebut dalam banyak hadits, antaranya hadits daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah berbekam dan Baginda memberi pembekam itu upahnya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn menjelaskan bahawa perintah memberi upah kepada perempuan yang menyusukan anak sepertimana yang disebutkan dalam ayat di atas merupakan perintah berbentuk wajib sekiranya penyusuan itu dilakukan dengan ‘aqad al-ijârah. Manakala penyusuan yang dilakukan tanpa ‘aqad al-ijârah merupakan perbuatan tabarru‘ yang tidak wajib bayaran upah padanya.
Tidak Membayar Upah Pekerja
Pada kebiasaannya, pembayaran upah atau gaji telah ditetapkan tempoh masanya mengikut tarikh tertentu. Tarikh penerimaan gaji juga telah diketahui oleh kedua-dua majikan dan pekerja. Penentuan ini ada kalanya dinyatakan dalam kontrak yang dipersetujui oleh majikan dan pekerja atau mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh sesebuah negara. Oleh itu, majikan berkewajiban untuk membayar upah atau gaji pada tarikh yang telah pun ditetapkan. Keengganannya membayar upah atau gaji yang dijanjikannya itu akan membawa kepada akibat buruk yang akan menimpanya di akhirat kelak.
Terdapat hadits yang menyebutkan ancaman pada Hari Kiamat kelak bagi orang yang tidak membayar upah kepada pekerja, iaitu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan menjadi penentang mereka sepertimana yang disebutkan dalam hadits Qudsi daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman: “Tiga orang yang Aku akan menjadi penentang mereka pada Hari Kiamat: Seorang lelaki yang bersumpah dengan (nama)Ku kemudian dia melanggar (sumpahnya), seorang lelaki yang menjual orang merdeka lalu dia memakan harganya (harta yang diperolehi daripada penjualannya) dan seorang lelaki yang mengupah pekerja lalu dia (lelaki yang mengupah itu) memintanya menyelesaikan (tugasnya) dan dia tidak memberi upahnya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Ibn at-Tin Rahimahullâh berkata bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sememangnya menentang kesemua orang yang melakukan kezaliman dan bukan hanya khusus kepada tiga golongan yang disebutkan dalam hadits di atas. Adapun sebab Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menyatakan dengan jelas ketiga-tiga golongan ini adalah sebagai penegasan terhadap keburukan perbuatan mereka.
Menurut Imam al-‘Aini Rahimahullâh dalam kitab ‘Umdah al-Qâri’, tidak membayar upah kepada pekerja adalah kezaliman yang mengundang azab yang dahsyat. Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitab Fath al- Bâri, perbuatan tidak membayar upah kepada pekerja adalah sama dengan perbuatan golongan kedua yang disebut dalam hadits di atas iaitu orang yang menjual orang merdeka lalu dia memakan hasil penjualannya, kerana dia mendapat manfaat tanpa imbalan seolah-olah dia memakan manfaat iaitu hasil kerja itu dan kerana dia menggunakan khidmat pekerja tanpa upah seolah-olah dia memperhambakannya.
Imam as-Subki Rahimahullâh ada menjelaskan bahawa perbuatan tidak membayar upah kepada pekerja akan mengundang dosa yang besar sebagaimana katanya dalam kitab Fâtâwa as-Subki:
Ertinya: Dan lelaki yang mengupah pekerja (lalu pekerja tersebut) menyelesaikan tugasnya dan dia tidak memberikan upahnya, dia adalah menempati kedudukan orang yang memperhambakan orang merdeka dan menghalangnya daripada memperbanyak ibadat-ibadat sunat, maka dia menyerupai orang yang menjual orang merdeka lalu dia memakan harga penjualannya, oleh kerana itu dosanya adalah besar.
Maka perbuatan tidak membayar upah kepada pekerja sedangkan pekerja itu telah melaksanakan tugasnya adalah suatu bentuk kezaliman dan dosa besar yang akan menerima azab yang dahsyat di akhirat kelak.
Melambatkan Pembayaran Upah Pekerja
Adapun perbuatan melambatkan pembayaran upah pula, Imam Ibn Hajar al- Haitami Rahimahullâh telah mengkategorikannya sebagai salah satu daripada dosa-dosa besar sepertimana juga perbuatan tidak membayar upah kepada pekerja setelah dia menyelesaikan tugasnya. Perkara ini beliau nyatakan dalam kitabnya az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir.
Bahkan risiko melambatkan pembayaran upah boleh membawa kepada dosa kerana tidak membayar upah seperti majikan jatuh muflis sebelum sempat membayar upah. Oleh itu, Islam menganjurkan para majikan untuk membayar upah kepada pekerjanya sesegera mungkin sebagaimana hadits daripada ‘Abdullah Ibn ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Kamu berikanlah pekerja upahnya sebelum kering peluhnya. (Hadits riwayat Ibn Majah)
Menurut Imam al-Munawi Rahimahullâh dalam kitab Faidh al-Qadir, perintah membayar upah sebelum kering peluhnya dalam hadits di atas merupakan kinayah terhadap kewajiban menyegerakan pembayaran upah selepas pekerja selesai melaksanakan tugasnya jika pekerja itu meminta bayaran walaupun dia tidak berpeluh atau dia berpeluh dan sudah kering peluhnya.
Di Negara Brunei Darussalam, perbuatan tidak membayar gaji pekerja adalah suatu kesalahan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Bab 52, Perintah Pekerjaan, 2009:
“52. Mana-mana majikan yang tidak membayar gaji seseorang pekerja menurut peruntukan-peruntukan Bahagian ini adalah melakukan suatu kesalahan”.
Kesan Terhadap Wawasan Brunei 2035
Melambatkan bayaran upah atau gaji atau tidak membayarnya boleh memberi kesan yang negatif kepada Wawasan Brunei 2035. Upah atau gaji sepertimana yang kita sedia maklum akan dimanfaatkan oleh pekerja untuk menyara keluarganya serta menanggung kos kehidupan. Manakala kerja yang dilakukan oleh pekerja pula akan memberi manfaat kepada majikan, kelangsungan operasi perniagaan majikan dan secara tidak langsung menjana perkembangan ekonomi negara.
Apabila majikan tidak membayar atau melambatkan bayaran upah atau gaji, maka pekerja pasti akan menghadapi kesukaran untuk menyara keluarganya. Bahkan ia pasti akan menambah kesusahan kepada pekerja terutama jika dia dibebani oleh hutang atau masalah kesihatan. Jika perkara ini berlaku, tentu sahaja ia akan menjejaskan kualiti kehidupan pekerja dan sekaligus akan memberi kesan negatif kepada matlamat kedua bagi Wawasan Brunei 2035 iaitu rakyat yang mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi.
Perbuatan majikan yang tidak membayar atau melambatkan bayaran upah atau gaji kepada pekerjanya juga boleh mengakibatkan kualiti produk perniagaannya atau perkhidmatan yang disediakannya terjejas kerana ia akan melemahkan semangat dan komitmen pekerja untuk melakukan tugasnya dengan baik. Pekerja yang tidak mempunyai semangat dan komitmen yang tinggi dalam pekerjaan tentunya akan menjejaskan perkembangan ekonomi negara dan menjadikannya tidak dinamik dan berdaya tahan yang berlawanan dengan Wawasan Brunei 2035.
Dari penjelasan di atas, tidak diragukan lagi bahawa melambatkan atau tidak membayar upah atau gaji itu selain mengundang dosa bagi orang yang melakukannya, ia juga boleh menjejaskan Wawasan Brunei 2035 yang mensasarkan kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi dan negara mempunyai ekonomi yang dinamik serta berdaya tahan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6474
