Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام

Perkara Yang Memutuskan Kaffarah Puasa Dua Bulan Berturut-Turut

PERKARA YANG MEMUTUSKAN PUASA KAFFÂRAH DUA BULAN BERTURUT-TURUT

Berpuasa selama dua bulan berturut-turut merupakan salah satu jenis kaffârah yang wajib ditunaikan oleh lelaki yang sengaja melakukan jimâ‘ di siang hari bulan Ramadhan, suami yang menzhihâr isterinya dan orang yang membunuh tanpa hak jika mereka tidak mampu untuk memerdekakan seorang hamba.

Maksud berturut-turut itu ialah puasa kaffârah yang wajib itu hendaklah ditunaikan secara berterusan selama dua bulan tanpa terputus. Menurut as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh dalam kitabnya I‘ânah ath-Thâlibîn, jika batal puasa orang yang diwajibkan puasa kaffârah dua bulan itu pada satu hari walaupun pada hari yang terakhir bagi tempoh dua bulan tersebut, maka dia hendaklah memulakan puasa kaffârah dua bulan dari awal.

Maksud dua bulan itu adalah mengikut kiraan dua bulan Hijriyyah sama ada bulan Hijriyyah itu dua puluh sembilan hari atau tiga puluh hari bagi orang yang memulakan puasanya pada awal bulan (hari pertama bulan). Sekiranya dia tidak memulakan puasanya pada awal bulan, maka kiraan puasanya itu hendaklah disempurnakan pada bulan ketiga agar jumlah kiraan harinya menjadi tiga puluh hari, dan kiraan puasa pada bulan kedua adalah mengikut kiraan hari bulan tersebut sama ada dua puluh sembilan hari atau tiga puluh hari.

Sebagai contoh bagi orang yang memulakan puasa kaffârah pada 5 hari bulan Muharram dan bulan Muharram pada tahun itu adalah dua puluh sembilan hari, ini bererti kiraan hari puasanya pada akhir bulan Muharram adalah berjumlah dua puluh lima hari. Maka untuk memenuhi tuntutan puasa dua bulan berturut-turut, dia hendaklah meneruskan puasanya pada bulan Safar sepenuhnya dan seterusnya pada 1 hari bulan Rabi‘ul Awwal hingga 5 hari bulan Rabi‘ul Awwal.

Namun persoalannya, apakah perkara-perkara yang boleh memutuskan syarat berturut-turut itu?

Menurut para ulama, perkara yang memutuskan syarat berturut-turut dalam puasa kaffârah dua bulan ada kalanya berlaku bukan disebabkan keuzuran dan ada kalanya berlaku disebabkan keuzuran. Berikut dijelaskan perkara tersebut serta hukumnya:

1. Putus Bukan Disebabkan Keuzuran.

Menurut Imam al-Qalyubi Rahimahullâh dalam Hâsyiyahnya, haram hukumnya bagi seseorang memutuskan syarat berturut-turut bagi puasa kaffârah dua bulan tanpa ada sebarang keuzuran kerana tempoh dua bulan itu adalah seperti tempoh satu hari dalam perkara kaffârah puasa.

Apabila terluput satu hari daripada dua bulan yang bukan disebabkan keuzuran seperti lupa berniat puasa kaffârah di malam hari atau melakukan perkara yang membatalkan puasanya di siang hari, maka perbuatan sedemikian adalah memutuskan syarat berturut-turut. Begitu juga orang yang membatalkan puasa tanpa sebarang keuzuran sedangkan dia tahu akan keharaman membatalkan puasa kaffârah itu sekalipun dalam keadaan dia jahil bahawa perbuatannya itu memutuskan syarat berturut-turut, juga adalah dikira memutuskan syarat berturut-turut.

Selain itu, jika seseorang berpuasa sunat, nazar atau qadha’ pada ketika dia berpuasa kaffârah dua bulan, maka ia juga adalah memutuskan syarat berturut-turut.

Begitu juga halnya jika seseorang memulakan puasa kaffârah dua bulan pada suatu waktu tertentu yang dia tahu bahawa dalam tempoh dua bulan daripada waktu yang dimulakannya itu akan ada satu hari yang tidak sah berpuasa pada hari tersebut seperti Hari Raya Adhha atau diselangi bulan Ramadhan, maka jika dia teruskan untuk berpuasa juga dengan pengetahuannya itu, maka menurut Imam al-Qalyubi Rahimahullâh, puasanya dari awal dihukumkan batal kerana dia mempermainkan puasanya. Walau bagaimanapun, jika dia jahil tentang adanya tempoh yang tidak sah berpuasa pada hari tersebut dan dia telah memulakan puasanya, maka puasanya itu tidaklah dikira sebagai puasa kaffârah dan dia hendaklah memulakan semula puasa kaffârahnya, namun puasa yang telah dilakukannya akan berubah menjadi puasa sunat.

2. Putus Disebabkan Keuzuran.

Syarat berturut-turut bagi puasa kaffârah dua bulan itu akan dikira putus dalam keadaan-keadaan berikut sekalipun ia disebabkan oleh keuzuran:

a. Seseorang yang berbuka puasa ketika dalam pelayaran yang diharuskan baginya berbuka puasa.

b. Perempuan yang menyusukan anak damit dan perempuan hamil yang berbuka puasa sama ada kerana takut akan berlaku mudharat pada dirinya sahaja atau mudharat terhadap anaknya.

c. Seseorang yang berbuka puasa kerana sakit.

d. Seseorang yang berbuka puasa kerana merasa sangat lapar.

Oleh itu, apabila syarat berturut-turut itu dikira putus, maka seseorang itu hendaklah memulakan semula puasa kaffârah dua bulan.

Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa keuzuran yang tidak memutuskan syarat berturut-turut sepertimana dalam keadaan-keadaan berikut:

a. Perempuan yang kedatangan haidh jika ia daripada kalangan perempuan yang tempoh sucinya tidak sampai dua bulan kerana pada kebiasaannya perempuan didatangi haidh pada setiap bulan dan jika dia dituntut bersabar untuk melaksanakannya sehingga dia putus haidh, maka perkara itu merupakan sesuatu kepayahan bagi diri perempuan tersebut.

Oleh yang demikian, apabila haidhnya terhenti, maka dia hendaklah menyambung puasanya bagi mengelak terputus syarat berturut-turut puasa dua bulan.

Berbeza halnya jika perempuan itu pada kebiasaannya suci daripada haidh selama dua bulan atau lebih. Dalam keadaan ini menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam ar-Ramli Rahimahumullâh, jika dia berpuasa kaffârah semasa dia suci daripada haidh (ketika tempoh dua bulan itu) lalu dia didatangi haidh, maka syarat berturut-turut itu akan terputus.

b. Perempuan nifâs.

c. Orang yang gila sama ada gilanya itu hanya sehari atau lebih. Berlainan halnya jika sekiranya pada waktu malam, dia dengan sengaja meminum ubat yang menyebabkannya menjadi gila, maka ia akan memutuskan syarat berturut-turut.

d. Orang yang pengsan sepanjang hari. Namun jika dia sempat sedar pada waktu siang walaupun sekejap, maka ia tidak membatalkan puasanya.

Kedudukan Puasa Kaffârah yang Terputus Syarat Berturut-Turut

Jika seseorang melakukan perkara yang memutuskan syarat puasa kaffârah dua bulan berturut-turut, apakah kedudukan puasa yang telah dilakukannya?

Imam ar-Ramli Rahimahullâh menjelaskan bahawa apabila syarat berturut-turut puasa kaffârah itu terbatal dan dia wajib memulakan puasa kaffârah dua bulan dari awal, maka puasa kaffârah yang telah dilakukannya itu akan bertukar menjadi puasa sunat, sama ada syarat berturut-turut itu terbatal disebabkan suatu keuzuran atau bukan disebabkan keuzuran. Imam ar-Ramli Rahimahullâh berkata dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan hilang (kiraan) berturut-turut dengan luput satu hari daripada dua bulan itu walaupun (yang terluput itu hari) terakhir (daripada) dua bulan itu tanpa keuzuran seperti dia lupa berniat kerana (terlupa niat itu) dinisbahkan ia kepada suatu jenis kecuaian, dan bertukar (puasa kaffârah) yang telah lalu itu menjadi puasa sunat, sekalipun dia merosakkannya (puasa dua bulan berturut-turut itu) tanpa keuzuran dan begitu juga (hilang kiraan berturut-turut dengan luput satu hari daripada dua bulan itu walaupun yang terluput itu hari terakhir daripada dua bulan itu) dengan keuzuran.

Demikianlah penjelasan mengenai perkara yang memutuskan puasa kaffârah dua bulan berturut-turut.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6478