Adakah Harus Bagi Amil Menerima Lebihan Bayaran Zakat
ADAKAH HARUS BAGI ‘ÂMIL MENERIMA LEBIHAN BAYARAN ZAKAT?
Menurut Dr. Muhammad az-Zuhaili Rahimahullâh dalam kitabnya al-Mu‘tamad, ‘âmil zakat ialah petugas-petugas, pegawai-pegawai, pengutip-pengutip, pengumpul-pengumpul dan pembantu-pembantu yang ditugaskan oleh pemerintah bagi mengira harta zakat di samping menyimpan, mengumpul, menjaga dan membahagi-bahagikannya selepas mengenal pasti orang-orang yang berhak menerimanya.
Seorang ‘âmil perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sesuai dengan saham zakat yang diberikan kepada mereka. ‘Âmil merupakan salah satu dari lapan golongan yang berhak menerima zakat yang disebut dalam al- Qur’an. Allah Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan ‘âmil-‘âmil dan orang-orang yang dijinakkan hatinya dengan Islam (mu’allaf) dan untuk memerdekakan hamba sahaya dan orang-orang yang berhutang dan (untuk pejuang-pejuang yang berjihâd) pada jalan Allah dan orang-orang musâfir yang terlantar dalam perjalanannya (yang terputus perbelanjaannya). Itulah ketetapan daripada Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah at-Taubah: 60)
Menyentuh mengenai pengutipan harta zakat sama ada zakat harta ataupun zakat fitrah, pada kebiasaannya pengeluar zakat akan membayar zakat mereka kepada ‘âmil-‘âmil yang dilantik. Dalam pembayaran zakat, ada kalanya pengeluar zakat memberi lebihan wang bayaran zakat mereka kepada ‘âmil yang antaranya disebabkan pengeluar zakat sendiri yang mahu memberikannya kepada ‘âmil sebagai sedekah, hadiah atau hibah. Selain itu, ada juga ia disebabkan oleh ‘âmil tidak mempunyai wang kecil untuk menjadi wang songsongan (baki). Persoalannya, adakah ‘âmil boleh menerima pemberian tersebut?
Dalam sebuah hadits daripada Abu Humaid as-Sa‘idi Radhiallâhu ‘anhu, bahawa dia berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengutus seorang lelaki dari Bani al-Asd yang bernama Ibn al-Lutbiyyah. (‘Amr dan Ibn Abu ‘Umar berkata: “Atas tugas mengutip zakat)”. Ketika dia datang (kembali), dia berkata: “Ini untuk kamu dan ini untukku yang dihadiahkan kepadaku”. Dia (Abu Humaid as-Sa‘idi Radhiallâhu ‘anhu) berkata: “Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berdiri di atas mimbar seraya memuji Allah dan menyanjungNya dan Baginda bersabda: “Apakah halnya seorang ‘âmil yang saya mengutusnya dan dia berkata: “Ini untuk kamu dan ini dihadiahkan untukku. Tidakkah (kalau) dia duduk (saja) di rumah bapanya atau di rumah ibunya sehingga dia menunggu (melihat), adakah dihadiahkan (sesuatu) kepadanya atau tidak? Demi Zat (Allah) yang jiwa Muhammad berada di tanganNya (kekuasaanNya), tidak ada seorang pun dari kamu memperoleh sesuatu daripadanya melainkan dia datang dengannya pada Hari Kiamat membawanya di atas lehernya unta yang merengus, sapi yang menguak atau kambing yang mengembek.” (Hadits riwayat Muslim)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Syarh Shahîh Muslim, hadits ini menjelaskan bahawa perbuatan para petugas (yang antara mereka ‘âmil zakat) menerima hadiah adalah haram kerana perbuatan tersebut mengkhianati bidang tugas dan amanah yang diberikan kepadanya.
Menurut para ulama, hadiah yang diberikan kepada para ‘âmil itu tidak menjadi miliknya kerana dia hanya berhak mendapat saham zakat sebagai upah dari tugas ‘âmil yang diamanahkan kepadanya. Maka hadiah yang diterimanya itu hendaklah dikembalikan kepada pemberinya. Jika ada kesukaran untuk mengembalikannya maka hendaklah diserahkan kepada Baitul-Mal.
Melihat kepada isu lebihan bayaran zakat yang diberikan oleh pengeluar zakat kepada ‘âmil, ia adalah sama kedudukan hukumnya dengan penerimaan hadiah oleh ‘âmil dalam hadits di atas. Maka haram bagi ‘âmil mengambil wang lebihan bayaran pengeluar zakat walaupun ia sebagai hadiah, pemberian ataupun sedekah kerana ia merupakan suatu pengkhianatan kepada tugas dan amanah yang diberikan kepadanya.
Jika dia sebelum ini telah menerima wang lebihan bayaran zakat maka hendaklah dia memulangkannya kepada pengeluar zakat tersebut. Jika sukar untuk dipulangkan kerana seperti tidak ditemui pemiliknya maka hendaklah wang lebihan bayaran zakat itu diserahkan kepada Baitul-Mal.
Bagi mengelak permasalahan mengenai pemberian lebihan bayaran zakat, beberapa langkah perlu dilaksanakan oleh ‘âmil, antaranya adalah seperti berikut:
(i) ‘Âmil menyediakan wang kecil untuk wang songsongan (baki).
(ii) ‘Âmil secara berhemah menolak hadiah, pemberian atau sedekah pengeluar zakat.
(iii) ‘Âmil menasihatkan pengeluar zakat untuk menyalurkan wang lebihan tersebut ke dalam tabung masjid yang disediakan atau seumpamanya.
Demikian huraian mengenai kedudukan hukum ‘âmil menerima lebihan bayaran zakat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6498
