Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Menulis Ayat Al-Qur’an Dengan Selain Rasm ‘Usmani

MENULIS AYAT AL-QUR’AN DENGAN SELAIN RASM ‘UTSMANI

Al-Qur’an ialah Kalâmullâh yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melalui perantaraan malaikat Jibril ‘Alaihi as-salâm dalam bahasa Arab, bermula dari surah al-Fâtihah dan berakhir dengan surah an- Nâs. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan demikianlah Kami mewahyukan kepadamu al-Qur’an dalam bahasa Arab supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk Ummal-Qurâ (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di sekitarnya dan memberi peringatan mengenai hari perhimpunan (Hari Kiamat) yang tidak ada keraguan padanya. (Pada hari itu) segolongan masuk syurga dan segolongan lagi masuk neraka. (Surah asy-Syûrâ: 7)

Di zaman pemerintahan Sayyidina ‘Utsman Radhiallâhu ‘anhu, panji-panji Islam tersebar luas ke merata tempat. Para sahabat telah dihantar ke negeri-negeri berkenaan bagi menyebarkan kalimah Allah dan menjalankan tanggungjawab mereka mendidik dan mengajarkan al-Qur’an serta ajaran-ajaran Islam dan mereka mengajarkan al-Qur’an dengan cara bacaan masing-masing. Penduduk Syam contohnya, membaca al-Qur’an dengan qirâ’ât Ubay bin Ka‘ab Radhiallâhu ‘anhu. Penduduk Iraq pula membaca al-Qur’an dengan qirâ’ât ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu.

Berikutan dengan berlakunya perbezaan cara membaca al-Qur’an maka timbul kekecohan di kalangan orang ramai dari sudut qirâ’ât kerana penduduk Syam contohnya tidak pernah mendengar bacaan penduduk Iraq dan begitu juga sebaliknya. Perkara ini membawa kepada pertelingkahan sehingga ada yang menyalahkan bacaan antara satu sama lain bahkan ada yang mengkafirkan sesama sendiri.

Apabila perkara ini diketahui oleh Hudzaifah bin al-Yaman Radhiallâhu ‘anhu maka beliau tidak senang dengan keadaan itu dan mengadukan kepada Khalifah Sayyidina ‘Utsman Radhiallâhu ‘anhu kerana beliau khuatir perselisihan itu akan mengakibatkan perpecahan dan perselisihan sepertimana yang berlaku kepada kaum Yahudi dan Nashrani. Mendengar aduan tersebut, Sayyidina ‘Utsman Radhiallâhu ‘anhu memerintahkan supaya dipinjam Mushhaf yang ada dalam simpanan Sayyidatina Hafshah Radhiallâhu ‘anhâ untuk dibuat salinan. Lalu dia menugaskan sekumpulan beberapa orang sahabat iaitu Zaid bin Tsabit, ‘Abdullah bin az-Zubair, Sa‘id bin al-‘Ash dan ‘Abdurrahman bin al-Harits bin Hisyam Radhiallâhu ‘anhum, untuk membuat beberapa salinan naskhah Mushhaf berkenaan dan menyusunnya mengikut aturan surah-surah serta menulisnya dalam lahjah (dialek) suku Quraisyh menurut bacaan dan sebutan yang diperakui dan disahkan betul.

Setelah selesai membuat salinan berkenaan, beliau mengirimkan naskhah-naskhah Mushhaf berkenaan ke negeri-negeri Islam dan menyimpan satu naskhah untuk dirinya sendiri. Beliau juga mengutus seorang sahabat bersama setiap naskhah Mushhaf berkenaan untuk mengajarkan bacaannya kepada orang ramai. Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh peristiwa ini berlaku sekitar awal tahun dua puluh lima Hijriyyah. Mushhaf inilah yang dikenali sebagai Mushhaf ‘Utsmani yang digunapakai secara meluas oleh umat Islam seluruh dunia hingga ke hari ini. Mengenai dengan penulisan al-Qur’an atau Mushhaf ini, para ulama telah ijmâ‘ bahawa wajib hukumnya menulis al-Qur’an dengan rasm ‘Utsmani kerana ia adalah kaifiyyah lafaz al-Qur’an dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri memerintahkan supaya membaca al-Qur’an menurut kaifiyyah lafaz tersebut.

Namun ada juga sebahagian orang yang menulis ayat al-Qur’an dengan tulisan selain rasm ‘Utsmani seperti tulisan rumi bagi tujuan memudahkan dia membaca al-Qur’an. Persoalannya adakah terdapat rukhshah (keringanan) untuk menulis ayat-ayat al-Qur’an itu dalam tulisan rumi untuk memudahkan dia membacanya?

Dalam menghuraikan perkara ini, para ulama mengaitkan hukum menulis al- Qur’an dalam tulisan selain rasm ‘Utsmani ini dengan hukum menulisnya dalam tulisan hija’iyyah. Walaupun al-Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab, tulisan al- Qur’an dalam Mushhaf ‘Utsmani adalah tidak sama pada sebahagian hurufnya dengan kaedah penulisan hija’iyyah yang ditetapkan oleh para ulama bahasa Arab.

Mengenai hukum menulis ayat al-Qur’an dengan tulisan hija’iyyah ini, Imam Malik Rahimahullâh pernah ditanya mengenainya, beliau menjawab: “Tidak, (tidak boleh ditulis) melainkan sepertimana keadaan penulisan yang pertama (rasm al-‘Utsmani).”

Imam Malik Rahimahullâh ditanya lagi mengenai huruf-huruf tambahan dalam rasm ‘Utsmani yang tidak ada pada tulisan hija’iyyah seperti huruf ‘و’ dan huruf ‘ا’ dalam perkataan ‘الربوا’ adakah boleh dihilangkan huruf-huruf tersebut dari Mushhaf? Beliau menjawab: “Tidak boleh.” Imam Ahmad Rahimahullâh juga memfatwakan bahawa haram menyalahi khat Mushhaf ‘Utsmani dalam perkara yang sedemikian itu.

Imam al-Baihaqi Rahimahullâh pula berkata dalam kitabnya Syu‘ab al-Iman bahawa sesiapa yang menulis Mushhaf maka sayugialah dia menjaga huruf-huruf al-Qur’an itu mengikut seperti yang ditulis oleh para sahabat (Mushhaf ‘Utsmani) dan tidak menyalahi atau merubah sedikitpun kerana para sahabat yang menulis al-Qur’an itu adalah orang-orang yang ilmunya lebih banyak, hati dan lisannya lebih benar dan lebih amanah daripada kita.

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Fatâwâ al- Kubrâ al-Fiqhiyyah, hukum haram mengubah tulisan asal al-Qur’an kepada tulisan hija’iyyah adalah pendapat yang disepakati oleh para imam mazhab yang empat dan disepakati oleh umat Islam. Dengan mengekalkan al-Qur’an sepertimana tulisan asalnya, umat Islam dapat mempelajarinya mengikut kaedah penulisannya yang disepakati para sahabat serta para ulama salaf dan khalaf.

Walaupun sebahagian para ulama berpendapat bahawa menulis al-Qur’an itu harus dengan selain rasm ‘Utsmani dan juga dalam bahasa lain bagi tujuan memudahkan membacanya, namun menurut Ibn Hajar Rahimahullâh alasan tersebut adalah satu pembohongan dan bertentangan dengan realiti dan kenyataannya.

Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Doktor Awang Haji Ismail Umar Abdul Aziz Rahimahullâh, mantan Mufti Kerajaan Brunei berfatwa dengan berkata:

“Tulisan al-Qur’an dengan al-khat al-‘Utsmani adalah suatu perkara yang mesti (wajib) bagi al-Qur’an sebagai suatu sifat dzatiyyah bagi al-Qur’an, yang wajib digunakan pada menulis al-Qur’an sebagaimana wajib disebutkan sifat-sifat lafaz al-Qur’an pada membaca al-Qur’an.”

Oleh yang demikian, bagi orang-orang yang hendak menulis al-Qur’an adalah wajib mengikut kaedah penulisan rasm ‘Utsmani. Begitu juga dengan pihak penganjur peraduan tulisan jawi atau khat yang mengandungi ayat-ayat al-Qur’an adalah menjadi tanggungjawab mereka mensyaratkan supaya kaedah penulisan adalah mengikut kaedah penulisan rasm ‘Utsmani bagi mencapai matlamat sebenar penulisan ayat-ayat al-Qur’an.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6502