Sambutan Hari Raya Fitrah Bukan Adat Tetapi Ibadah
SAMBUTAN HARI RAYA FITRAH BUKAN ADAT TETAPI IBADAT
Apabila Hari Raya Fitrah menjelang tiba, pada kebiasaannya pelbagai persediaan dan persiapan dilakukan bagi meraikan kedatangannya. Sebahagian orang beranggapan bahawa sambutan Hari Raya Fitrah hanyalah semata-mata suatu sambutan yang dilakukan setiap tahun setelah umat Islam selesai melaksanakan ibadat puasa selama sebulan. Pada hakikatnya menyambut kedatangan Hari Raya Fitrah itu adalah sesuatu yang disyariatkan dalam Islam dan menjadi syi‘âr agama Islam. Bahkan, hari tersebut juga menjadi peluang bagi mereka yang menyambutnya untuk mengaut laba yang berbentuk ganjaran pahala daripada Allah Ta‘ala dari ibadat yang dilakukannya kerana hari tersebut merupakan kurnia daripada Allah Ta‘ala kepada umat Islam sebagai hari perayaan, hari kegembiraan dan hari yang perlu diperbesarkan. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah tiba di Madinah dan bagi mereka (penduduk Madinah) ada dua hari mereka bersuka ria menyambutnya (iaitu hari Nairuj dan Mehrajan). Lalu Baginda bertanya: “Apakah yang ada pada dua hari ini?” Mereka menjawab: “Kami bersuka ria pada dua hari tersebut di zaman jahiliyyah”. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari tersebut kepada hari yang lebih baik dari kedua-duanya iaitu Hari Raya Adhha dan Hari Raya Fitrah.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Hari Raya Fitrah merupakan hari yang perlu disambut oleh umat Islam dengan penuh kesyukuran iaitu dengan memperbanyakkan ibadat khususnya ibadat-ibadat yang ditetapkan pada waktu-waktu tertentu bermula dari tsabitnya penglihatan bulan Syawwal. Antaranya ialah:
1) Bertakbîr.
Umat Islam disunatkan bertakbîr bermula pada malam Hari Raya Fitrah sehingga imam mengangkat takbîratul-ihrâm sembahyang sunat Hari Raya. Takbîr itu sunat dilaungkan secara jahr atau nyaring oleh golongan lelaki sebagai menzahirkan syi‘âr hari raya sementara golongan perempuan hendaklah bertakbîr dengan suara perlahan. Takbîr itu sunat dilakukan di mana-mana tempat sama ada di rumah-rumah, di jalan-jalan, di masjid-masjid dan sebagainya dan dalam apa juga keadaan seperti ketika berjalan, memandu, berdiri, duduk atau berbaring kerana takbîr itu adalah sebagai syi‘âr menandakan waktu Hari Raya Fitrah telah tiba.
2) Menghidupkan malam Hari Raya.
Sunat bagi umat Islam menghidupkan malam Hari Raya dengan melakukan ibadat seperti berzikir, mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat terutama sembahyang sunat Tasbih, membaca al-Qur’an, memperbanyakkan do‘a dan lain-lainnya.
Imam al-Qalyubi Rahimahullâh menyebut:
Ertinya: Sunat menghidupkan dua malam Hari Raya Fitrah dan malam Hari Raya Adhha dengan berzikir atau sembahyang (sunat) terutamanya sembahyang sunat Tasbih. Adalah memadai (menghidupkan) sebahagian besar malamnya dan sekurang-kurangnya dengan menunaikan sembahyang fardhu ‘Isya’ secara berjemaah, dan (demikian juga) berazam untuk menunaikan sembahyang Shubuh seperti demikian (secara berjemaah). Seperti kedua-duanya (malam Hari Raya Fitrah dan malam Hari Raya Adhha) ialah malam Nisfu Sya‘ban, malam pertama daripada bulan Rejab dan malam Jumaat kerana sesungguhnya (pada) malam-malam tersebut waktu dimakbulkan do‘a.
3) Mandi sunat Hari Raya.
Pada kebiasaannya, kita akan mandi untuk membersihkan diri pada pagi Hari Raya terutama bagi mereka yang hendak pergi ke masjid. Menurut hukum syara‘, umat Islam disunatkan mandi kerana Hari Raya bermula dari pertengahan malam Hari Raya. Namun afdhal melakukannya setelah masuk waktu Shubuh sama ada seseorang itu hendak menghadiri sembahyang sunat Hari Raya ataupun tidak kerana Hari Raya merupakan hari berhias.
Mandi sunat Hari Raya itu hendaklah disertai dengan niat ketika melakukannya supaya ia menjadi ibadat. Lafaz niat mandi sunat Hari Raya Fitrah ialah:
Ertinya: Sahaja aku mandi sunat Hari Raya Fitrah kerana Allah Ta‘ala.
Maka adalah suatu kerugian bagi orang yang mandi pada Hari Raya jika tidak disertai dengan niat mandi sunat Hari Raya kerana mandi yang tidak disertai dengan niat tidak menjadi ibadat yang menjadikan pelakunya mendapat ganjaran pahala. Imam as-Suyuthi Rahimahullâh dalam kitab al- Asybâh wa an-Nazhâ’ir menyebut bahawa niat itu disyariatkan antaranya adalah untuk membezakan perbuatan yang dilakukan sama ada ia ibadat atau adat.
4) Berhias dan memakai wangi-wangian.
Maksud berhias pada Hari Raya di sini ialah memakai sebaik-baik pakaian yang dimiliki, memotong kuku dan menghilangkan bau-bauan yang tidak elok. Berhias itu sunat bagi lelaki sama ada dia hendak keluar mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya atau tidak. Begitu juga dengan memakai wangi-wangian.
Manakala bagi perempuan pula, perkara tersebut di atas hanya disunatkan jika mereka tidak keluar rumah.
5) Makan sebelum mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya.
Makan sebelum keluar rumah untuk mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah adalah sunat dilakukan kerana mengikut amalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam makan beberapa biji kurma pada hari (raya) Fitrah sebelum keluar ke masjid. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Menurut al-Muhallab bin Abu Shufrah Rahimahullâh, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam makan sebelum keluar untuk mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah bagi menolak fahaman golongan yang menyangka bahawa puasa masih diwajibkan pada hari itu sehingga sembahyang sunat Hari Raya didirikan.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, sunat makan pada Hari Raya Fitrah sebelum sembahyang dan yang afdhal dimakan itu adalah kurma dalam bilangan yang ganjil sama ada di rumahnya atau dalam perjalanan atau di tempat sembahyang.
6) Sembahyang sunat Hari Raya.
Sembahyang sunat Hari Raya merupakan salah satu syi‘âr Islam. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tidak pernah meninggalkan sembahyang sunat Hari Raya di sepanjang usia Baginda dan ini terus dilakukan oleh para sahabat Baginda walaupun selepas kewafatan Baginda.
Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam keluar pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adhha menuju ke tempat sembahyang. Maka perkara pertama yang dimulakan oleh Baginda ialah mengerjakan sembahyang (sunat Hari Raya) kemudian Baginda beredar dan berdiri menghadap orang ramai dan orang ramai sedang duduk dalam shaf-shaf mereka, lalu Baginda (berkhutbah) memberi peringatan, menyampaikan nasihat dan perintah kepada mereka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hukum mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya adalah sunat mu’akkadah. Ia sunat dikerjakan oleh setiap lelaki atau perempuan termasuk yang sedang musafir. Sembahyang sunat Hari Raya boleh dikerjakan secara bersendirian namun adalah lebih afdhal mengerjakannya secara berjemaah dan mengerjakannya secara berjemaah ini juga merupakan satu syi‘âr.
7) Mengucapkan tahniah.
Sunat bagi sesama muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dan bersalaman antara lelaki dan lelaki dan perempuan dengan perempuan dengan mengucapkan seperti:
Ertinya: Semoga Allah menerima (amal ibadat) daripada kita dan menerimanya daripada kamu.
Manakala ucapan tahniah itu dijawab dengan mengucapkan seperti:
Ertinya: Semoga Allah menerima (amal ibadat) daripada kamu, menghidupkan kamu sama sepertinya (hari ini) sepanjang tahun dan tahun-tahun mendatang dan kamu (sentiasa berada) dalam kebaikan.
Menurut jumhûr ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyariatkan di dalam Islam. Ia merupakan satu do‘a atas kedatangan kebahagiaan dan kegembiraan.
8) Memperbanyakkan sedekah.
Waktu yang paling afdhal untuk bersedekah ialah di bulan Ramadhan lebih-lebih lagi pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan dan kemudian diikuti dengan hari-hari kebesaran dan kemuliaan Islam yang lain seperti pada hari Jumaat, sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah termasuk dua Hari Raya.
Sedekah afdhal diberikan kepada saudara terdekat walaupun saudara terdekat itu merupakan orang yang wajib diberikannya nafkah. Abu Sa‘id al-Khudriy Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda kepada Zainab Radhiallâhu ‘anhâ, isteri ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Suamimu dan anakmu adalah orang yang lebih berhak untuk engkau berikan sedekah kepada mereka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Salman bin ‘Amir Radhiallâhu ‘anhu pula, Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
Maksudnya: Bersedekah kepada orang miskin itu mendapat satu (pahala) sedekah dan bersedekah kepada saudara mara itu mendapat dua (pahala): (Iaitu pahala) sedekah dan (pahala) menyambung silaturrahim. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)
Selepas kaum kerabat, golongan yang diutamakan untuk diberikan sedekah ialah jiran. Semakin dekat rumah jiran itu, maka semakin layak dan semakin utama untuk diberikan sedekah kepadanya. Menurut Imam Ibn Hajar al- Haitami Rahimahullâh, kaum kerabat yang tinggal jauh, tetapi masih di dalam negeri orang yang bersedekah itu adalah lebih diutamakan daripada jiran yang tiada hubungan kerabat. Bagaimanapun, jika kaum kerabat itu berada di luar negeri, maka dalam hal ini jiran adalah diutamakan.
Selain amalan-amalan yang disebutkan di atas, satu adat atau kebiasaan yang biasa kita lakukan ketika menyambut Hari Raya ialah amalan saling ziarah-menziarahi terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai. Amalan ziarah-menziarahi ini sebenarnya termasuk di dalam perkara yang disyariatkan di dalam Islam. Tujuannya ialah untuk mempereratkan silaturrahim yang merupakan suatu yang dituntut dalam Islam. Selain itu ketika ziarah-menziarahi ini, ada juga wujud amalan bersedekah terutama kepada kanak-kanak, orang-orang kurang upaya dan orang-orang tua. Amalan ini juga digalakkan dan suatu yang dituntut dalam Islam. Walau bagaimanapun, bagi orang yang berziarah hendaklah menjaga adab-adab ketika berziarah dan yang paling penting ialah menjaga waktu sembahyang fardhu agar tidak terabai.
Berdasarkan penjelasan di atas, adalah tidak betul menurut syara‘ menyambut Hari Raya Fitrah itu hanya sekadar memenuhi adat atau kebiasaan yang dilakukan setiap tahun kerana ia adalah perayaan yang disambut bagi merayakan kemenangan umat Islam setelah sempurna melaksanakan ibadat yang ditentukan kepada mereka iaitu berpuasa di bulan Ramadhan. Oleh kerana itu apabila Hari Raya tiba, yang paling utama kita lakukan ialah menyambutnya dengan pengisian yang berupa ibadat-ibadat dan amalan-amalan yang disyariatkan Islam dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala. Janganlah kita cemarkan sambutan Hari Raya Fitrah itu dengan perkara-perkara yang dilarang dan mungkar seperti pembaziran dalam menyediakan persiapan berhari raya, meninggalkan sembahyang fardhu kerana sibuk ziarah atau leka melayan tetamu, tidak menjaga aurat dengan sempurna, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bersalaman dengan orang yang bukan mahram.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6509
