Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Siapa Perempuan Yang Haram Dinikahi Secara Mu‘Aqqat

Rukun nikah ada lima perkara iaitu suami (lelaki), isteri (perempuan), wali, dua orang saksi (lelaki) dan shîghah (îjâb dan qabûl). Setiap rukun nikah itu mempunyai syarat-syarat yang perlu dipenuhi agar rukun nikah itu menjadi sempurna umpamanya syarat bagi rukun dua saksi antaranya ialah hendaklah kedua-duanya beragama Islam. Apabila suatu pernikahan itu sempurna rukun-rukunnya dan memenuhi syarat-syarat bagi rukun nikah itu, maka pernikahan tersebut menjadi sah. Namun apabila salah satu rukun nikah tidak sempurna atau salah satu syarat rukun tidak dipenuhi, maka pernikahan itu akan menjadi batal. Salah satu contoh syarat dalam rukun nikah ialah perempuan yang hendak dinikahi hendaklah bebas daripada sebarang larangan bernikah dengannya.

Pada dasarnya, perempuan yang haram dinikahi itu dikenali sebagai muharramât an-nikâh dan ia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:

1. Haram untuk selama-lamanya (tahrîm mu’abbad).

Perempuan yang haram dinikahi oleh seorang lelaki untuk selama-lamanya ialah perempuan yang ada hubungan nasab (keturunan) dengannya seperti ibunya dan adik-beradik kandungnya, perempuan yang ada hubungan sesusuan seperti adik perempuan susuannya dan perempuan yang ada hubungan persemendaan (mushâharah) seperti isteri anak lelakinya (menantu).

2. Haram untuk sementara (tahrîm mu’aqqat).

Perempuan yang haram dinikahi oleh seorang lelaki untuk sementara waktu ialah perempuan yang haram dinikahi kerana sesuatu sebab atau larangan menikahinya. Apabila sebab atau larangan tersebut hilang, maka hilanglah juga pengharaman tersebut dan halal bagi lelaki tersebut untuk menikahinya.

Oleh kerana terdapat beberapa kekeliruan mengenai golongan perempuan yang haram dinikahi untuk sementara waktu atau golongan yang diistilahkan sebagai haram mu’aqqat ini, maka berikut adalah penjelasan mengenainya.

Golongan Perempuan Haram Mu’aqqat

Perempuan-perempuan yang haram dinikahi secara mu’aqqat itu ada tujuh golongan:

1. Adik-beradik perempuan kepada isteri.

Haram hukumnya bagi seorang lelaki menikahi adik-beradik perempuan kepada isterinya dengan maksud menghimpunkan antara dua adik-beradik perempuan dalam pernikahan, sama ada kedua-dua adik-beradik perempuan tersebut daripada hubungan nasab atau susuan dan sama ada kedua-duanya itu adik beradik seibu sebapa, sebapa atau seibu. Pengharaman ini adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan (diharamkan) kamu (berkahwin dengan) menghimpunkan antara dua beradik (pada nasab atau susuan termasuk ibu saudara daripada sebelah ibu atau bapa) kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. (Surah an-Nisâ’: 23)

Berdasarkan ayat di atas, menurut para ulama, jika pernikahan yang menghimpunkan dua adik-beradik dilakukan dengan satu ‘aqad, maka pernikahan tersebut adalah batal. Jika pernikahan dilakukan bukan dalam satu ‘aqad, umpamanya seorang lelaki bernikah dengan seorang perempuan, kemudian setelah sempurna dan sah ‘aqad pernikahan tersebut, dia bernikah lagi kali kedua dengan kakak atau adik isterinya, maka dalam keadaan ini ‘aqad pernikahannya yang kedua itu adalah batal manakala ‘aqad pernikahannya yang pertama masih tetap sah.

Pengharaman ini terangkat apabila perempuan pertama yang dinikahinya itu meninggal dunia atau dicerai dengan thalaq raj‘i dan selesai tempoh ‘iddahnya atau dicerai dengan thalaq bâ’in. Maka dalam keadaan sedemikian, dia harus bernikah dengan kakak atau adik perempuan kepada bekas isterinya.

2. Emak saudara dan anak saudara (kemanakan) isteri.

Haram hukumnya bagi seorang lelaki menikahi emak saudara isterinya sebelah bapa atau sebelah ibunya dengan maksud menghimpunkan antara isterinya dengan emak saudara isteri dalam pernikahan, sama ada hubungan isterinya dengan bapa dan ibu saudara isterinya itu daripada hubungan nasab atau susuan.

Begitu juga haram hukumnya bagi seorang lelaki menikahi anak saudara (kemanakan) isterinya dengan maksud menghimpunkan antara isterinya dengan anak saudara isteri dalam pernikahan, sama ada hubungan isterinya dengan anak saudara isterinya itu daripada hubungan nasab atau susuan.

Pengharaman ini adalah berdasarkan hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang untuk dinikahi (dimadukan) seorang perempuan itu dengan emak saudaranya sebelah bapa, atau (dinikahi) seorang emak saudara sebelah bapa dengan anak perempuan saudara lelakinya (kemanakan), atau (dinikahi) seorang perempuan itu dengan emak saudaranya sebelah ibu, atau (dinikahi) seorang emak saudara sebelah ibu dengan anak perempuan saudara perempuannya (kemanakan). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Hikmah daripada pengharaman tersebut ialah supaya menghalang daripada menimbulkan perasaan marah dan benci di kalangan keluarga disebabkan kecemburuan yang boleh memutuskan hubungan kerabat antara isteri-isterinya berdasarkan hadits daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya jika kamu itu melakukan sedemikian (bermadu antara emak saudara dan kemanakan), kamu akan memutuskan (hubungan) kerabat kamu. (Hadits riwayat Ibn Hibban)

Pengharaman ini terangkat apabila isterinya itu meninggal dunia atau dicerai dengan thalaq raj‘i dan selesai tempoh ‘iddahnya atau dicerai dengan thalaq bâ’in. Dalam keadaan sedemikian, dia harus bernikah dengan emak saudara atau anak saudara (kemanakan) bekas isterinya.

3. Isteri kelima.

Haram hukumnya bagi seorang lelaki yang sudah mempunyai empat orang isteri menikahi perempuan yang kelima selama mana ia masih mempunyai empat orang isteri kerana agama Islam telah membataskan bagi seorang lelaki itu kepada empat orang isteri sahaja berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Maka kahwinilah sesiapa yang baik bagi kamu daripada perempuan-perempuan (lain), dua, tiga atau empat. (Surah an-Nisâ’: 3)

Qais bin al-Harits Radhiallâhu ‘anhu pernah berkata bahawa ketika beliau memeluk agama Islam, beliau mempunyai lapan orang isteri. Lalu beliau menceritakan perkara tersebut kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Engkau pilihlah daripada mereka (lapan orang isteri) itu empat orang (sahaja). (Hadits riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

Sekiranya ‘aqad pernikahan dilakukan ke atas lima orang perempuan sekaligus (dalam satu ‘aqad pernikahan), maka haram hukumnya ke atas seorang lelaki itu untuk melakukan sedemikian dan kesemua ‘aqad pernikahannya itu adalah batal. Manakala jika ‘aqad pernikahan dilakukan ke atas lima orang perempuan secara satu persatu, maka ‘aqad pernikahan yang batal ialah ‘aqad pernikahannya yang kelima.

Pengharaman bernikah lebih daripada empat orang isteri itu kekal sehinggalah salah seorang daripada empat isterinya meninggal dunia atau dicerai dengan thalaq bâ’in atau selesai tempoh ‘iddah thalaq bagi perempuan yang dicerai dengan thalaq raj‘i.

4. Perempuan musyrik.

Haram hukumnya bagi seorang lelaki Islam menikahi perempuan musyrik (kafir) yang tidak ada Kitab Samâwi seperti kaum penyembah berhala (al- Watsaniyyah) dan kaum penyembah api (al-Mâjûsiyyah). Pengharaman ini termasuk juga bagi setiap aliran kepercayaan yang kufur dan juga orang yang murtad. Perkara ini adalah berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: (Wahai orang-orang Islam) Janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan musyrik sehingga mereka beriman (memeluk agama Islam). (Surah al-Baqarah: 221)

Oleh yang demikian, apabila perempuan musyrik (kafir) memeluk agama Islam atau perempuan murtad kembali kepada agama Islam, maka harus bagi seorang lelaki Islam untuk menikahinya.

5. Perempuan yang bersuami.

Haram hukumnya bagi seorang lelaki menikahi perempuan yang masih bersuami kerana antara syarat sah pernikahan itu hendaklah perempuan yang hendak dinikahi itu tidak ada ikatan perkahwinan dengan lelaki lain berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan (diharamkan kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan yang bersuami. (Surah an-Nisâ’: 24) Perempuan yang bersuami hanya boleh dikahwini setelah suaminya meninggal dunia atau setelah dia diceraikan dan selesai menjalani tempoh ‘iddah.

6. Perempuan yang menjalani tempoh ‘iddah.

Haram hukumnya bagi seorang lelaki menikahi perempuan yang sedang menjalani tempoh ‘iddah, sama ada ‘iddah tersebut disebabkan penceraian atau kematian suaminya sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu berazam (untuk) ber‘aqad nikah (dengan menetapkan waktunya) sebelum habis ‘iddah yang ditentukan. (Surah al-Baqarah: 235)

Oleh yang demikian, apabila seorang perempuan itu selesai menjalani tempoh ‘iddahnya, maka harus bagi seorang lelaki itu untuk menikahinya.

7. Perempuan yang diceraikan dengan thalaq tiga.

Haram hukumnya bagi seorang suami menikahi semula isteri yang diceraikannya dengan thalaq tiga sekaligus atau dia menceraikannya dengan tiga kali thalaq.

Ini bermaksud bekas suami adalah tidak boleh kembali kepada isteri yang diceraikannya dengan thalaq tiga semasa ‘iddahnya dan tidak juga boleh melakukan ‘aqad pernikahan yang baharu dengan isterinya yang dithalaq dengan thalaq tiga itu sehingga berlaku kepada isteri perkara-perkara berikut:

▪ Isteri yang dithalaq dengan thalaq tiga itu berkahwin lagi dengan lelaki lain dengan perkahwinan yang sah;

▪ Berlaku persetubuhan antara isteri yang dithalaq dengan thalaq tiga dengan suaminya yang baharu (kedua);

▪ Berlaku thalaq (perceraian) antara isteri yang dithalaq dengan thalaq tiga dengan suaminya yang baharu itu; dan

▪ Selesai ‘iddah daripada perceraian dengan suami yang baharu itu.

Apabila kesemua perkara di atas berlaku, maka harus bagi suami yang pertama berkahwin semula dengan bekas isterinya dengan mengadakan ‘aqad pernikahan yang baharu. Perkara ini ada disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Kemudian jika suami menceraikan isterinya (dengan thalaq tiga), maka tidaklah halal perempuan itu baginya melainkan sesudah dia bernikah dengan suami yang lain (dan melakukan jimâ‘ dengannya). Kemudian setelah suami yang lain itu menceraikannya (dan setelah habis ‘iddahnya), maka tidaklah mengapa kedua-duanya (si isteri dan bekas suaminya yang lama) untuk kembali (bernikah semula dengan ‘aqad yang baharu) jika kedua-duanya merasa akan dapat menegakkan hukum-hakam Allah. Dan demikianlah hukum-hakam Allah diterangkanNya kepada golongan yang (mahu) mengetahui. (Surah al-Baqarah: 230)

Demikian penjelasan mengenai perempuan-perempuan yang haram dinikahi secara mu’aqqat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6514