Menanggalkan Rambut Atau Kuku Yang Tidak Dikenakan Dam
Seseorang yang dalam ihrâm haji atau umrah atau kedua-duanya sekali dilarang melakukan beberapa perkara yang disebut sebagai muharramât al-ihrâm sebelum selesai bertahallul. Melanggar larangan-larangan tersebut ketika dalam ihrâm adalah haram dan berdosa di samping wajib membayar fidyah atau dam. Antara perkara yang dilarang semasa seseorang itu dalam keadaan berihrâm ialah menanggalkan rambut atau kuku.
Persoalannya adakah semua orang berihrâm yang menanggalkan rambut atau kukunya dikenakan dam dan menanggalkannya itu adalah berdosa atau ada pengecualiannya?
Menanggalkan Rambut dan Kuku Ketika Berihrâm
Hukum asal menanggalkan rambut ketika dalam ihrâm adalah haram dan berdosa ke atas setiap lelaki dan perempuan. Maksud rambut di sini ialah rambut yang tumbuh di kepala atau selainnya seperti bulu yang tumbuh di muka, badan atau anggota yang lain walaupun sedikit. Maksud menanggalkan pula ialah sama ada menanggalkan dengan mencabut, memotong, mencukur, menggunting atau membakarnya. Larangan menanggalkan ini termasuk juga menggunakan ubat bagi tujuan menggugurkan rambut dan bulu daripada badan atau apa juga cara lain yang mempunyai tujuan yang sama. Larangan tersebut adalah jelas sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk tujuan bertahallul) sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. (Surah al-Baqarah: 196)
Larangan mencukur rambut dan juga bulu yang ada di badan ketika berihrâm adalah disebabkan perbuatan tersebut termasuk dalam maksud at-taraffuh. Termasuk dalam makna at-taraffuh ialah berseronok, berhias dan bercantik-cantik.
Sekiranya orang yang berihrâm melakukan demikian, maka dia diwajibkan membayar fidyah atau dam.
Adapun larangan menanggalkan atau memotong kuku kaki dan tangan ketika dalam ihrâm adalah berdasarkan qiyâs kepada hukum menanggalkan rambut sebagaimana disebut oleh asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: Dan adapun (larangan memotong) kuku, maka ia qiyâs kepada (larangan menanggalkan) rambut kerana padanya terdapat (unsur) at-taraffuh.
Pengecualian Dam
Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al- Muhtâj membawakan gambaran mengenai keadaan rambut dan kuku yang tanggal dari badan orang yang dalam ihrâm namun tidak dikenakan ke atasnya dam, katanya:
Ertinya: Sesungguhnya dikecualikan gambaran-gambaran (keadaan) yang tidak ada fidyah (dam) padanya. Antaranya apabila (seseorang) menanggalkan bulu yang tumbuh pada matanya dan dia merasa sakit dengannya (tumbuh bulu), dan antaranya (lagi) apabila seseorang menanggalkan rambut bahagian hadapan kepalanya atau bulu dua keningnya yang menutupinya (mata) jika ia panjang (rambut atau bulu tersebut) ia akan menutup penglihatannya, dan antaranya (lagi) jika (seseorang itu) pecah kukunya lalu dia memotong bahagian kuku yang menyakitinya itu sahaja.
Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj pula menyebut:
Ertinya: Ya! (harus) baginya mencabut bulu yang tumbuh di dalam kelopak matanya dan dia merasa sakit dengannya walaupun rasa sakit yang sedikit menurut pendapat yang zhahir dan (harus baginya) memotong bulu yang panjang daripada bulu dua keningnya atau (rambut) kepalanya yang menutup kedua-dua matanya seperti (hukum harus) menolak haiwan yang menyerang (untuk menghindari kesakitan) dan (harus baginya memotong) apa yang pecah dari kukunya dan dia juga merasa sakit dengannya (kuku yang pecah) dan tidak dikenakan fidyah (ke atasnya) sebagaimana jika dia memotong jarinya dan padanya (jari yang dipotong itu) terdapat bulu atau kuku, ataupun dia mengopek kulit kepalanya dan di atasnya (kulit kepala yang dikopek itu) terdapat rambut kerana (kedudukan rambut itu) mengikut (hukum jari yang dipotong atau kulit yang dikopek).
Ibn ar-Rif‘ah Rahimahullâh di dalam kitabnya Kifâyah an-Nabîh pula menyebut:
Ertinya: Dan tiada khilâf (di kalangan ulama) bahawasanya jika (seseorang) memotong anggota dari badannya atau mengopek kulit badannya dan padanya (anggota atau kulit tersebut) terdapat rambut, (maka) tidak wajib fidyah ke atasnya kerana sesungguhnya rambut itu (kedudukannya) mengikut pada (anggota atau kulit) yang binasa.
Berdasarkan nash-nash di atas, orang berihrâm yang menanggalkan rambut atau kukunya dan tidak dikenakan dam adalah seperti berikut:
1. Orang berihrâm yang mencabut rambut atau bulu yang tumbuh pada mata dan ia menyakitinya sekalipun kesakitan itu sedikit.
2. Orang berihrâm yang memotong rambut hadapan kepalanya atau bulu keningnya yang panjang dan ia menutup penglihatannya.
3. Orang berihrâm yang memotong bahagian kukunya yang pecah dan kuku itu menyakitinya.
4. Orang berihrâm yang memotong jarinya atau mana-mana anggota padanya terdapat bulu atau kuku atau dia mengopek kulit kepalanya sehingga kulit kepala itu tanggal dan di atas kulit kepala itu terdapat rambut.
Demikian beberapa keadaan orang berihrâm yang tidak dikenakan dam kerana menanggalkan rambut atau kukunya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6518
