Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Iktihal Ketika Ihram Dan Ihdad

IKTIHÂL KETIKA IHRÂM DAN IHDÂD

Iktihal ialah memakai celak mata. Selain untuk berhias, iktihâl juga dilakukan untuk berubat. Antara manfaat yang diperolehi dari iktihâl ialah menerangkan penglihatan mata, menambah sinar mata, membersih dan melindungi mata daripada habuk atau kotoran yang menjejaskan kesihatan mata. Iktihâl adalah suatu perkara yang digalakkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana dalam hadits daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Bercelaklah kamu dengan itsmid (jenis celak dari serbuk batu hitam), sesungguhnya ia menerangkan penglihatan mata dan menumbuhkan bulu (mata). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri bercelak mata setiap malam dengan bilangan yang ganjil bahkan Baginda juga memiliki alat celak mata. Menurut para ulama yang antaranya Imam an-Nawawi, asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini dan Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahumullâh, memakai celak tiga kali pada setiap mata adalah sunat iaitu tiga kali pada mata kanan kemudian tiga kali pada mata kiri sebagai ittibâ‘ (mengikut perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam).

Iktihâl adalah sunat sebagaimana juga perkara-perkara lain yang disunatkan ke atas setiap orang Islam seperti memotong kuku dan menanggalkan bulu ketiak serta bulu ari-ari. Walau bagaimanapun iktihâl tidak disunatkan ke atas orang yang sedang berihrâm atau ke atas perempuan yang dilarang berhias dan memakai wangi-wangian dalam masa ‘iddah kerana kematian suami yang disebut sebagai ihdâd atau berkabung.

Iktihâl Ketika Berihrâm

Dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn, Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: (Ketika berihrâm) haram bercelak mata dengan apa yang ada padanya wangian dan harus (bercelak mata) dengan apa yang tidak ada padanya wangian.

Berdasarkan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas, hukum iktihâl ketika berihrâm adalah haram jika celak yang digunakan mengandungi wangian dan harus hukumnya jika celak tersebut tidak mengandungi wangian. Walau bagaimanapun, iktihâl dengan celak seperti celak itsmid yang tidak ada wangian dihukumkan makruh kerana padanya ada unsur berhias melainkan jika ada keperluan seperti mengubat mata. Hukum makruh dalam perkara ini adalah lebih kuat ke atas perempuan.

Adapun jika terdapat hajat atau keperluan seperti untuk mengubat radang atau sakit mata dan seumpamanya, maka hukumnya adalah harus. Walaupun diharuskan, sekiranya celak itu mengandungi wangian, maka orang yang bercelak mata dengannya dikenakan fidyah.

Iktihâl Ketika Ihdâd

Kewajiban ihdâd ada disebut dalam sebuah hadits daripada Ummu ‘Athiyyah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak (harus) berkabung bagi seorang perempuan atas orang yang meninggal dunia lebih daripada tiga hari melainkan berkabung atas (kematian) suami, (iaitu) empat bulan sepuluh hari dan dia tidak (harus) memakai pakaian yang dicelup warna kecuali pakaian ‘ashb (pakaian Yaman yang tidak menarik perhatian), tidak (harus) bercelak mata dan tidak (harus) memakai wangian kecuali apabila dia suci (daripada haidh dengan menggunakan) sedikit daripada qusth atau azhfâr (dua jenis wangian yang digunakan untuk menghilangkan bau darah haidh dan bukan tujuan berwangi-wangian). (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas adalah jelas bahawa haram bagi perempuan yang berkabung bercelak mata sama ada celak yang digunakan itu mengandungi wangian ataupun tidak kerana pada bercelak mata itu ada unsur berhias.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn pula menjelaskan:

Ertinya: Maka jika dia (perempuan yang berkabung) memerlukan untuk bercelak mata dengannya (itsmid) kerana sakit mata atau selainnya, dia (harus) bercelak dengannya pada waktu malam dan dia mencucinya pada waktu siang. Jika terdapat dharurat kepada penggunaan (celak) pada waktu siang adalah juga harus.

Berdasarkan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâh di atas, haram ke atas perempuan bercelak mata ketika ihdâd melainkan jika ada hâjah (keperluan) seperti bercelak untuk mengubati matanya yang sakit.

Demikian penjelasan tentang hukum iktihâl ketika ihrâm dan ihdâd.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6522