Larangan Melakukan Persetubuhan Ketika Dalam Ihram Haji
LARANGAN MELAKUKAN PERSETUBUHAN KETIKA DALAM IHRÂM HAJI
Antara perkara yang dilarang ketika ihrâm semasa mengerjakan haji ialah jimâ‘ atau bersetubuh. Larangan ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Baqarah, ayat 197:
Tafsirnya: (Musim untuk mengerjakan ibadat) haji itu adalah pada beberapa bulan yang dimaklumi. Oleh itu sesiapa yang telah mewajibkan atas dirinya (dengan niat ihrâm mengerjakan) ibadat haji pada bulan-bulan itu maka dia tidak boleh mencampuri isterinya dan tidak boleh berbuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji. (Surah al-Baqarah: 197)
Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ mentafsirkan perkataan رفث (mencampuri isteri) dalam ayat di atas sebagai melakukan persetubuhan. Menurut para ulama, persetubuhan yang dimaksudkan di sini ialah memasukkan hasyafah (kepala) zakar atau kadarnya (bagi orang yang tidak mempunyai hasyafah) ke dalam qubûl atau dubur sama ada manusia atau haiwan. Dalam hal ini, tidak ada bezanya dari segi hukum walaupun persetubuhan itu dilakukan dengan berlapik sekalipun lapik itu tebal.
Para ulama ijmâ‘ terhadap keharaman melakukan persetubuhan ketika dalam ihrâm sama ada persetubuhan tersebut merosakkan haji atau tidak merosakkannya. Keharaman ini tidak hanya ke atas orang yang sedang dalam ihrâm, tetapi ia juga diharamkan ke atas pasangannya yang tidak dalam ihrâm. Contohnya, suami yang telah melakukan tahallul tsâni adalah diharamkan menyetubuhi isterinya yang belum melakukan tahallul tsâni atau isteri yang telah melakukan tahallul tsâni membenarkan suaminya yang belum melakukan tahallul tsâni melakukan persetubuhan dengannya, kerana perbuatan tersebut dikira sebagai membantu melakukan maksiat.
Apabila seseorang yang sedang dalam ihrâm melakukan persetubuhan, maka kedudukan hajinya sama ada rosak ataupun tidak adalah tertakluk kepada bila berlakunya persetubuhan itu kerana persetubuhan itu boleh berlaku sebelum tahallul awwal atau berlaku setelah tahallul awwal sebelum tahallul tsâni.
Tahallul bermaksud keluar daripada ihrâm haji atau umrah. Apabila seseorang yang mengerjakan ibadat haji atau umrah bertahallul, maka halal bagi orang yang haji atau umrah itu melakukan perkara-perkara yang diharamkan sewaktu berihrâm.
Tahallul awwal terhasil apabila seseorang itu selesai melakukan dua daripada tiga perkara berikut:
a. Melontar jamrah al-‘Aqabah. b. Mencukur atau menggunting rambut. c. Mengerjakan thawaf ifâdhah dan diikuti dengan sa‘i.
Manakala tahallul tsâni pula terhasil setelah seseorang itu selesai melakukan ketiga-tiga perkara di atas.
Persetubuhan Sebelum Tahallul Awwal
Orang yang berihrâm, sama ada lelaki atau perempuan yang sengaja melakukan persetubuhan sebelum tahallul awwal, sama ada sebelum wuqûf atau selepasnya, secara sukarela (tanpa dipaksa), dalam keadaan dia mengetahui akan hukum haramnya, maka hajinya menjadi rosak (fâsid) walaupun orang itu adalah seorang hamba atau kanak-kanak yang sudah mumayyiz. Hajinya tetap rosak sekalipun tidak keluar air mani ketika melakukan persetubuhan itu.
Adapun kanak-kanak yang belum mumayyiz, orang gila, lupa, jahil (tidak tahu hukum) seperti orang yang baru masuk Islam atau tinggal jauh daripada ulama atau orang yang dipaksa melakukan persetubuhan sebelum tahallul awwal, persetubuhan itu tidak merosakkan hajinya.
Walaupun haji seseorang itu rosak kerana melakukan persetubuhan, dia tidak diharuskan untuk keluar daripada ihrâmnya. Bahkan wajib dia menyempurnakan hajinya seperti biasa serta menjauhi larangan-larangan lain yang dikenakan ke atas orang yang mengerjakan haji. Selain itu, dia dikenakan fidyah sekiranya dia melanggar larangan-larangan lain tersebut. Menurut Imam Syihabuddin ar-Ramli Rahimahullâh, dia juga diberikan pahala kerana menyempurnakan hajinya yang rosak itu. Ketetapan ini disepakati para sahabat Radhiallâhu ‘anhum tanpa sebarang perselisihan antara mereka berdasarkan keumuman firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Baqarah, ayat 196:
Tafsirnya: Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah semata-mata. (Surah al-Baqarah: 196)
Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh, perintah untuk menyempurnakan haji dan umrah dalam ayat di atas tidak membezakan antara haji dan umrah yang sah dengan haji dan umrah yang rosak.
Dia juga diwajibkan menqadha’ haji yang rosak itu dengan segera pada tahun berikutnya mengikut pendapat yang al-ashah, sekalipun haji yang dikerjakan itu adalah haji sunat seperti haji kanak-kanak yang sudah mumayyiz.
Sekiranya haji qadha’ yang dikerjakannya pada tahun berikutnya itu juga rosak kerana persetubuhan, maka haji qadha’ yang rosak itu tidak perlu diqadha’. Dia hanya wajib menqadha’ haji pertama yang rosak itu sahaja. Sebagai contoh, seseorang telah mengerjakan haji pada tahun 1442 Hijriyyah lalu hajinya itu rosak kerana bersetubuh. Pada tahun 1443 Hijriyyah, dia pergi menqadha’ hajinya lalu hajinya itu rosak sekali lagi kerana bersetubuh. Dalam hal ini, pada musim haji tahun berikutnya iaitu tahun 1444 Hijriyyah, dia hanya wajib menqadha’ hajinya yang pertama iaitu hajinya pada tahun 1442 Hijriyyah sahaja dan tidak perlu menqadha’ haji qadha’nya yang telah dikerjakannya pada tahun 1443 Hijriyyah itu.
Selain wajib menyempurnakan haji yang rosak sehingga selesai dan wajib menqadha’nya, dia juga dikenakan dam at-tartîb dan at-ta‘dîl. Dam at-tartîb dan at-ta‘dîl tersebut ialah menyembelih badanah iaitu seekor unta dan jika tidak mampu, maka menyembelih seekor lembu dan jika tidak mampu, maka menyembelih tujuh ekor kambing dan jika tidak mampu juga, maka wajib dia memberi makan fakir miskin tanah haram dengan nilai seekor unta, iaitu dengan makanan yang sah untuk dikeluarkan sebagai zakat fitrah. Dalam perkara memberi makan fakir miskin tanah haram ini, sunat pemberian itu tidak melebihi dua mudd (cupak) dan tidak kurang daripada satu mudd bagi setiap seorang fakir miskin. Sekiranya dia tidak mampu juga menunaikannya menurut susunan tersebut, maka wajib dia mengerjakan puasa mengikut jumlah mudd nilai seekor unta iaitu satu hari puasa bagi setiap satu mudd.
Sekiranya dia melakukan persetubuhan sekali lagi setelah hajinya rosak kerana persetubuhan yang pertama itu, maka diwajibkan atasnya dam at-takhyîr dan at-taqdîr iaitu memilih sama ada menyembelih seekor kambing, atau bersedekah kepada enam orang fakir miskin iaitu setiap seorang setengah mudd atau berpuasa tiga hari. Dam ini akan dikenakan secara berulang bagi setiap kali berulangnya persetubuhan yang dilakukan selepas itu.
Kewajiban membayar dam kerana melakukan persetubuhan ini adalah khusus untuk lelaki. Walau bagaimanapun, menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh, perempuan yang dalam ihrâm juga akan dikenakan dam jika melakukan persetubuhan dalam keadaan berikut:
i. Perempuan itu melakukan persetubuhan dengan suaminya yang tidak dalam ihrâm dan perempuan itu mencukupi syarat untuk dikenakan kaffârah iaitu berakal, bâligh, melakukannya secara sukarela, sengaja dan mengetahui akan keharamannya.
ii. Perempuan itu melakukan persetubuhan dengan suaminya yang dalam ihrâm akan tetapi suaminya tidak mencukupi syarat untuk dikenakan kaffârah dan perempuan itu mencukupi syarat untuk dikenakan kaffârah.
iii. Perempuan itu melakukan zina dalam keadaan dia mencukupi syarat untuk dikenakan kaffârah.
Adapun melakukan muqaddimah jimâ‘ pula, sekalipun ia diharamkan, tetapi perbuatan tersebut tidak merosakkan haji. Walau bagaimanapun, melakukan muqaddimah jimâ‘ tetap dikenakan dam at-takhyîr dan at-taqdîr iaitu memilih sama ada menyembelih seekor kambing atau bersedekah kepada enam orang fakir miskin iaitu setiap seorang setengah mudd atau berpuasa tiga hari.
Perbuatan muqaddimah jimâ‘ yang dikenakan dam itu ialah perbuatan-perbuatan berikut jika dilakukan dengan sengaja:
i. Menyentuh atau memeluk dengan syahwat walaupun dengan berlapik dan tanpa keluar air mani.
ii. Mencium dengan syahwat tanpa berlapik, walaupun tidak keluar air mani.
iii. Melakukan istimnâ‘ sehingga keluar air mani.
Adapun selain tiga perkara yang disebut di atas, iaitu melihat walaupun dengan syahwat, mencium dengan berlapik walaupun keluar air mani, atau melakukan istimnâ‘ tanpa keluar air mani adalah tidak dikenakan dam sepertimana yang disebut oleh Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj.
Sekiranya orang yang dikenakan dam kerana melakukan muqaddimah jimâ‘ itu melakukan persetubuhan selepasnya, maka gugur daripadanya tuntutan dam muqaddimah jimâ‘ kerana dam tersebut sudah termasuk dalam dam kerana melakukan persetubuhan walaupun jarak di antara persetubuhan dengan muqaddimah jimâ‘ tersebut adalah jauh.
Persetubuhan Selepas Tahallul Awwal Sebelum Tahallul Tsâni
Orang berihrâm haji yang melakukan persetubuhan di antara kedua-dua tahallul, iaitu selepas tahallul awwal sebelum tahallul tsâni, maka hajinya tidak rosak. Walau bagaimanapun, dia berdosa melakukannya dan dikenakan dam at-takhyîr dan at-taqdîr iaitu memilih sama ada menyembelih seekor kambing atau bersedekah kepada enam orang fakir miskin iaitu setiap seorang setengah mudd atau berpuasa tiga hari. Dam ini akan dikenakan secara berulang bagi setiap kali berulangnya persetubuhan yang dilakukan selepas persetubuhan yang pertama.
Adapun melakukan muqaddimah jimâ‘ seperti mencium, melihat, menyentuh dan memeluk isteri atau melakukan istimnâ‘ di antara kedua-dua tahallul, maka hukum dan kedudukannya adalah sama seperti hukum orang yang melakukannya sebelum tahallul awwal sebagaimana yang dijelaskan di atas.
Demikian penjelasan mengenai hukum dan permasalahan melakukan persetubuhan ketika dalam ihrâm haji.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6526
