Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Melakukan Nafar Awal Setelah Matahari Terbenam

MELAKUKAN NAFAR AWWAL SETELAH MATAHARI TERBENAM

Salah satu dari perkara-perkara wajib haji ialah bermalam (mabît) di Mina pada hari-hari tasyrîq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Orang mengerjakan haji yang bermalam di Mina pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah dan meninggalkan Mina setelah melontar ketiga jamrah pada 13 Zulhijjah adalah dikategorikan sebagai orang yang melakukan nafar tsâni. Manakala orang mengerjakan haji yang bermalam di Mina pada 11 dan 12 Zulhijjah dan meninggalkan Mina setelah melontar ketiga jamrah pada 12 Zulhijjah adalah dikategorikan sebagai orang yang melakukan nafar awwal. Kedua-dua perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang mengerjakan haji mengikut pilihan masing-masing berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan berzikirlah mengingat Allah (dengan mengucapkan takbîr) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya (iaitu pada hari-hari tasyrîq). Kemudian sesiapa yang bersegera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua (dan selepas dia melontar jamrah pada hari itu) maka tidaklah dia berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina dan melontar hingga hari ketiga belas) maka dia juga tidaklah berdosa, (ketiadaan dosa bagi kedua-duanya itu adalah) bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka bertaqwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadaNya. (Surah al-Baqarah: 203)

Menyentuh mengenai orang haji yang melakukan nafar awwal, terdapat sebahagian orang yang melakukan nafar awwal itu keluar dari Mina setelah matahari terbenam tanpa sebarang keuzuran. Adakah nafar awwal yang mereka lakukan setelah matahari terbenam itu menepati syarat sah nafar awwal dan apakah yang perlu mereka lakukan?

Maka sebagai menjawab persoalan itu, akan dihuraikan dengan lebih lanjut mengenai kedudukan orang haji yang keluar dari Mina setelah terbenam matahari untuk melakukan nafar awwal dan perkara yang berkaitan dengannya.

Bermalam Di Mina

Bermalam di Mina pada malam hari-hari tasyrîq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah adalah salah satu daripada perkara-perkara wajib haji. Orang haji yang bermalam di Mina wajib berada pada setiap malam di Mina melebihi sebahagian besar waktu malam walaupun lebihan tersebut hanya sebentar sahaja.

Orang haji yang melakukan nafar tsâni, dia wajib bermalam di Mina pada ketiga-tiga hari tasyrîq dan juga wajib melontar ketiga-tiga jamrah pada ketiga-tiga hari tersebut. Melakukan nafar tsâni adalah lebih utama dan afdhal sebagai ittibâ‘ iaitu mengikut perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.

Manakala bagi orang haji yang melakukan nafar awal pula, dia wajib bermalam di Mina pada 11 dan 12 Zulhijjah sahaja dan hanya wajib melontar ketiga-tiga jamrah pada kedua-dua hari tersebut. Setelah selesai melontar jamrah pada hari tersebut maka hendaklah melakukan perkara-perkara berikut:

1. Berangkat meninggalkan Mina pada hari tasyrîq kedua (12 Zulhijjah) setelah matahari tergelincir. 2. Berniat melakukan nafar awwal ketika meninggalkan Mina.

3. Berangkat meninggalkan Mina hendaklah sebelum matahari terbenam walaupun belum melepasi perbatasan.

4. Tidak berazam untuk kembali semula ke Mina untuk bermalam.

Kewajiban bermalam di Mina dan melontar jamrah pada hari tasyrîq ketiga (13 Zulhijjah) bagi orang haji yang melakukan nafar awwal telah gugur. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menjelaskan dalam kitabnya Mughnî al- Muhtâj:

Ertinya: Maka apabila dia telah melontar (ketiga-tiga jamrah) pada hari kedua (12 Zulhijjah) dan dia hendak melakukan nafar (awwal) sebelum matahari terbenam adalah harus dan gugur (kewajiban) bermalam (di Mina) pada malam ketiga (13 Zulhijjah) dan (gugur kewajiban) melontar (ketiga-tiga jamrah) pada harinya.

Melakukan Nafar Awwal Setelah Matahari Terbenam

Antara syarat-syarat orang haji yang melakukan nafar awwal itu hendaklah dia berangkat meninggalkan Mina sebelum matahari terbenam pada 12 Zulhijjah. Jika dia tidak keluar sehingga matahari terbenam pada hari tersebut maka wajib dia melakukan nafar tsâni iaitu meneruskan bermalam di Mina pada malam tasyrîq ketiga dan wajib melontar ketiga-tiga jamrah pada 13 Zulhijjah. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menjelaskan dalam kitabnya Mughnî al- Muhtâj:

Ertinya: Jika dia tidak keluar (dari Mina) sehingga matahari terbenam (maka) wajib dia bermalam (pada)nya dan (wajib) dia melakukan lontaran pada hari esok.

Jika orang haji itu keluar dari Mina setelah matahari terbenam untuk meneruskan nafar awwalnya dan dia tidak meneruskan bermalam di Mina pada malam tasyrîq ketiga dan tidak melontar ketiga-tiga jamrah pada 13 Zulhijjah maka wajib ke atasnya membayar dua dam iaitu dam kerana meninggalkan kewajiban bermalam di Mina pada malam tasyrîq ketiga dan dam kerana meninggalkan kewajiban melakukan lontaran pada 13 Zulhijjah tersebut.

Adapun dam kerana meninggalkan bermalam di Mina satu malam ialah 1 mudd (cupak) beras dan dam kerana tidak melakukan lontaran jamrah pada 13 Zulhijjah ialah menyembelih seekor kambing. Jika dia tidak mampu wajib ke atasnya berpuasa sepuluh hari iaitu tiga hari semasa berada di Makkah dan tujuh hari setelah pulang ke tanah air.

Berlainan halnya, jika orang haji yang melakukan nafar awwal tersebut sibuk dengan urusan pemergiannya ketika berangkat keluar dari Mina sehingga matahari terbenam atau jika dia dalam perjalanan keluar dari Mina dan dia belum melepasi sempadan lalu matahari terbenam, maka nafar awwal yang dilakukannya itu adalah dikira sah.

Demikian juga, jika orang haji itu melakukan nafar awwal dan keluar dari Mina sebelum matahari terbenam, kemudian dia kembali semula ke Mina sama ada sebelum atau setelah matahari terbenam maka nafar awwal yang dilakukannya adalah sah.

Begitulah huraian mengenai kedudukan orang haji yang melakukan nafar awwal setelah matahari terbenam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6538