Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Takbiratulihram Makmum Mendahului Takbiratulihram Imam

TAKBÎRATUL-IHRÂM MA’MUM MENDAHULUI TAKBÎRATUL-IHRÂM IMAM

Sembahyang berjemaah mempunyai kelebihan daripada sembahyang seorang diri kerana sembahyang secara berjemaah menjanjikan ganjaran yang berlipat ganda iaitu ganjaran sebanyak dua puluh tujuh darajah. Ganjaran tersebut tsabit berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sembahyang berjemaah adalah afdhal daripada sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darajah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Muhammad al-Mubarakfuri Rahimahullâh, pengarang kitab Tuhfah al- Ahwadzi maksud darajah dalam hadits di atas ialah sembahyang, maka satu sembahyang berjemaah itu sebanding dengan dua puluh tujuh sembahyang.

Sembahyang berjemaah juga mengandungi beberapa kelebihan, antaranya ialah:

i. Merapatkan hubungan di antara para jemaah.

ii. Diampunkan dosa.

iii. Meningkatkan pengetahuan seseorang mengenai hukum-hakam sembahyang yang tidak diketahuinya daripada orang lain yang ada pengetahuan mengenainya.

iv. Menjadi sebab sembahyang yang dikerjakan oleh seseorang itu sempurna dan diterima Allah Ta‘ala kerana apabila terdapat kekurangan pada sembahyang seseorang, kekurangan tersebut ditampung oleh berkat kesempurnaan sembahyang jemaah yang lain.

Niat Sembahyang Mengikut Imam

Seseorang yang hendak sembahyang mengikut imam atau sembahyang berjemaah, hendaklah memenuhi beberapa syarat supaya sembahyangnya mengikut imam itu dikira sah. Antaranya ialah niat iaitu niat mengikut imam atau niat berjemaah. Jika seseorang itu hendak sembahyang mengikut imam dari permulaan sembahyangnya, maka niat sembahyang mengikut imam itu wajib dilakukan seiringan dengan lafaz takbîratul-ihrâm ma’mum. Ma’mum yang meninggalkan niat mengikut imam pada permulaan sembahyangnya dengan sengaja atau kerana lupa atau jahil, selain daripada sembahyang Jumaat, maka sembahyangnya itu dikira sebagai sembahyang seorang diri. Adapun sembahyang Jumaat, jika ma’mum meninggalkan niat mengikut imam pada permulaan sembahyangnya, maka tidak sah sembahyang Jumaatnya.

Syarat Takbîratul-Ihrâm Ma’mum

Menurut as-Syaikh asy-Syarwani Rahimahullâh ketika mensyarahkan perkataan Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh, takbîratul-ihrâm ma’mum yang berniat sembahyang mengikut imam disyaratkan untuk dilafazkan setelah yakin atau dengan sangkaan (zhann) bahawa imam telah selesai melafazkan keseluruhan takbîratul-ihrâmnya. Perkara ini adalah berdasarkan hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Apabila imam telah bertakbîr maka bertakbîrlah kamu (setelah sempurna takbîr imam). (Hadits riwayat Imam Ahmad)

Maksud takbîr di dalam hadits di atas ialah takbîratul-ihrâm.

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam ar-Ramli Rahimahumullâh takbîratul-ihrâm ma’mum yang berniat mengikut imam akan menjadi tidak sah jika berlaku perkara-perkara yang disebutkan di bawah ini:

i. Ma’mum melafazkan takbîratul-ihrâm seiring dengan lafaz takbîratul-ihrâm imam atau dengan mana-mana bahagian lafaz takbîratul-ihrâm imam.

ii. Ketika melafazkan takbîratul-ihrâm atau setelah selesai melafazkan takbîratul-ihrâm, ma’mum syak sama ada dia melafazkan takbîratul-ihrâmnya seiring dengan lafaz takbîratul-ihrâm imam atau tidak dan syaknya itu berlarutan untuk tempoh yang lama iaitu kadar berlalu satu rukun dalam sembahyang.

iii. Ma’mum melafazkan takbîratul-ihrâm dahulu daripada lafaz takbîratul-ihrâm imam.

iv. Ma’mum yakin atau berdasarkan sangkaannya bahawa dia melafazkan takbîratul-ihrâm setelah takbîratul-ihrâm imam. Walau bagaimanapun setelah itu ternyata lafaz takbîratul-ihrâm ma’mum telah mendahului lafaz takbîratul-ihrâm imam.

Oleh itu, ma’mum yang melafazkan takbîratul-ihrâm sebagaimana yang disebutkan di atas, maka hukum takbîratul-ihrâmnya adalah tidak sah dan sembahyangnya juga tidak sah, sama ada dari sudut sembahyang mengikut imam mahupun sembahyang seorang diri. Ini bererti, jika ma’mum masih hendak sembahyang mengikut imam, maka ma’mum perlu mengulang semula takbîratul-ihrâmnya yang disertai niat mengikut imam.

Mendahului Takbîratul-ihrâm Imam

Berdasarkan penjelasan di atas adalah jelas takbîratul-ihrâm ma’mum yang dilafazkan mendahului takbîratul-ihrâm imam dihukumkan tidak sah dan menyebabkan sembahyangnya juga tidak sah. Walau bagaimanapun dalam keadaan-keadaan tertentu, sembahyang ma’mum tersebut masih dikira sah sebagaimana berikut:

i. Seorang memulakan sembahyangnya secara bersendirian (munfarid) dan di pertengahan sembahyangnya dia hendak berjemaah dengan orang yang baru memulakan sembahyang di hadapannya. Lalu dia berniat sembahyang jemaah dengan berimamkan orang tersebut. Dalam hal ini, sembahyang ma’mum mengikut imam tersebut adalah sah walaupun pada hakikatnya lafaz takbîratul-ihrâm ma’mum telah mendahului lafaz takbîratul-ihrâm imam.

ii. Seorang hendak sembahyang berjemaah dan setelah yakin bahawa imam telah selesai melafazkan keseluruhan takbîratul-ihrâm, maka ma’mum tersebut berniat sembahyang mengikut imam dan melafazkan takbîratul-ihrâm. Walau bagaimanapun setelah ma’mum selesai daripada takbîratul-ihrâm, imam tersebut menyedari bahawa takbîratul-ihrâm yang dilafazkannya (imam) tidak sah kerana terdapat kekurangan pada syarat-syarat takbîratul-ihrâm atau imam tersebut syak sama ada takbîratul-ihrâm yang dilafazkannya itu sah atau tidak, lalu imam tersebut memperbaharui lafaz takbîratul-ihrâmnya yang hanya didengar oleh dirinya sendiri tanpa diketahui oleh ma’mum di belakangnya.

Dalam keadaan seperti ini, jika ma’mum tidak menyedari atau tidak tahu mengenai takbîratul-ihrâm kedua imam dan ma’mum meneruskan sembahyangnya mengikut imam, maka sembahyang ma’mum tersebut tetap sah akan tetapi menjadi sebagai sembahyang secara bersendirian.

Jika ma’mum tersebut menyedari mengenai takbîratul-ihrâm kedua imam dan ma’mum tersebut tidak membaharui takbîratul-ihrâmnya, maka dalam keadaan seperti ini sembahyang ma’mum adalah batal kerana takbîratul-ihrâm ma’mum itu ternyata mendahului takbîratul-ihrâm imam.

Demikian penjelasan mengenai kedudukan takbîratul-ihrâm ma’mum yang mendahului takbîratul-ihrâm imam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6546