Melafazkan Ila’ Lebih Dari Sekali
MELAFAZKAN ÎLÂ’ LEBIH DARI SEKALI
Îlâ’ dari sudut bahasa bermaksud sumpah. Adapun dari sudut istilah syara‘ pula, îlâ’ bermaksud sumpah seorang suami yang sah thalaqnya untuk tidak menyetubuhi isterinya sama ada tanpa penetapan tempoh (mutlak) atau berserta tempoh yang melebihi empat bulan.
Îlâ’ dikira sah apabila suami melafazkannya dengan bersumpah dengan nama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau dengan salah satu daripada sifat-sifatNya, ataupun dengan mengaitkan îlâ’ dengan mewajibkan suatu amalan ke atas dirinya atau dengan mengaitkan îlâ’ dengan thalaq.
Amalan îlâ’ sudah diamalkan sejak zaman jahiliyyah lagi. Pada zaman tersebut, apabila seorang suami marah kepada isterinya, dia akan bersumpah untuk tidak menyetubuhinya untuk suatu tempoh yang sangat panjang sehingga membawa kepada beberapa tahun bahkan ada yang langsung tidak lagi menyetubuhi isterinya. Kesan daripada amalan tersebut, isteri yang dikenakan îlâ’ itu tergantung statusnya, iaitu tidak sebagai seorang isteri yang wajib mendapat hak seorang isteri dan tidak juga sebagai isteri yang diceraikan yang membolehkan dia berkahwin dengan lelaki lain.
Setelah kedatangan agama Islam, syara‘ menyelamatkan golongan wanita daripada amalan yang zalim ini lalu mengubah îlâ’ zaman jahiliyyah itu kepada îlâ’ sepertimana istilah syara‘ di atas dengan menggariskan beberapa hukum tertentu yang bertujuan untuk melepaskan golongan wanita daripada kezaliman atau kemudharatan yang berterusan disebabkan îlâ’ zaman jahiliyyah.
Dalil bagi ketentuan hukum îlâ’ ini ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Bagi orang-orang yang melakukan îlâ’ (bersumpah tidak akan menyetubuhi) isteri-isteri mereka, diberi tempoh selama empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (menyetubuhi mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan thalaq, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah: 226-227)
Menurut hukum syara‘, îlâ’ adalah haram kerana perbuatan tersebut menyakiti, menzalimi dan melakukan mudharat terhadap isteri serta menghalang daripada istimtâ‘ (bergaul antara suami isteri) yang dibenarkan syara‘.
Kesan Îlâ’
Sekiranya suami bersumpah untuk tidak menyetubuhi isterinya sama ada tanpa penetapan tempoh (mutlak) atau berserta tempoh yang melebihi empat bulan, maka dalam kedua-dua keadaan tesebut îlâ’ adalah tsabit. Tempoh îlâ’ bermula pada waktu ia dilafazkan.
Sepanjang tempoh îlâ’ yang dilafazkan suami itu, sama ada secara mutlak atau suatu tempoh tertentu umpamanya enam bulan atau satu tahun, si suami boleh memilih sama ada hendak:
(i) Melakukan fai’ah iaitu kembali menyetubuhi isterinya, atau (ii) Menjatuhkan thalaq.
Jika si suami memutuskan untuk melakukan salah satu daripada dua pilihan ini dalam tempoh îlâ’ yang dilafazkannya, maka dengan sendirinya îlâ’ itu terlerai.
Sekiranya dalam tempoh îlâ’ yang dilafazkan suami itu dia tidak kembali menyetubuhi isterinya serta tidak juga menjatuhkan thalaq, maka selepas berlalu empat bulan dari tempoh îlâ’ yang dilafazkan oleh suami tersebut, si isteri berhak untuk mengadu kepada qadhi atau hakim untuk melepaskan dia daripada mudharat yang dikenakan ke atasnya oleh suaminya itu dengan salah satu daripada perkara di bawah ini:
(i) Menuntut suami untuk melakukan fai’ah iaitu kembali menyetubuhi isterinya.
(ii) Meminta dijatuhkan thalaq sekiranya suaminya tetap dengan pendiriannya untuk tidak menyetubuhinya.
Sekiranya suami memilih untuk melakukan fai’ah, sama ada atas kemahuan sendiri, atau setelah berlaku tuntutan daripada isteri, maka hendaklah diperhatikan perkara berikut:
(i) Si suami diwajibkan untuk menunaikan kaffârah sumpah sekiranya dia bersumpah dengan nama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau sifat-sifatNya.
Ini bererti, kaffârah sumpah itu tetap perlu dibayar dan ditunaikan sama ada perbuatannya kembali menyetubuhi isterinya itu berlaku dalam waktu empat bulan dari bermulanya îlâ’ atau sesudah berlalu tempoh tersebut selagimana masih dalam tempoh sumpah.
Kaffârah sumpah itu adalah berbentuk pilihan sama ada dengan memerdekakan seorang hamba sahaya atau memberi makan sepuluh orang miskin atau fakir atau memberi pakaian kepada mereka dan jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari.
(ii) Jika suami mengaitkan îlâ’ dengan mewajibkan suatu amalan ke atas dirinya, umpamanya dia berkata: “Sekiranya aku menyetubuhimu, maka demi Allah wajib atasku mengerjakan puasa” maka dia boleh memilih untuk melaksanakan amalan tersebut iaitu berpuasa atau menunaikan kaffârah sumpah.
(iii) Manakala jika suami mengaitkan îlâ’ dengan thalaq umpamanya dia berkata: “Jika aku menyetubuhimu nescaya terthalaqlah engkau”, maka dengan sendirinya jatuhlah thalaq.
Sekiranya suami masih enggan melakukan fai’ah serta enggan juga menjatuhkan thalaq setelah isteri mengadu kepada qadhi atau hakim, maka qadhi atau hakim akan mentsabitkan jatuh satu thalaq berdasarkan tuntutan isteri berkenaan.
Îlâ’ yang Lebih Daripada Sekali
Apabila suami melafazkan îlâ’ lebih daripada sekali, contohnya suami berkata kepada isterinya: “Demi Allah aku tidak akan menyetubuhimu selama enam bulan” kemudian selepas beberapa ketika dia berkata sekali lagi: “Demi Allah aku tidak akan menyetubuhimu selama enam bulan” kekeliruan akan timbul iaitu adakah îlâ’ yang kedua itu dikira sebagai îlâ’ yang baharu, iaitu îlâ’ yang berlainan daripada îlâ’ yang pertama atau ia sekadar penekanan terhadap îlâ’ yang pertama tadi.
Sekiranya îlâ’ yang kedua itu dikira sebagai îlâ’ yang berlainan daripada îlâ’ yang pertama, ia akan mendatangkan kemusykilan serta perselisihan mengenai tempoh îlâ’ serta isu-isu lain yang juga berbangkit daripadanya seperti jumlah kaffârah dan sebagainya.
Para ulama membahagikan permasalahan berkenaan kepada tiga keadaan:
1) Suami mendakwa bahawa îlâ’ yang kedua itu adalah sebagai ta’kîd semata-mata, iaitu sebagai penekanan terhadap îlâ’ yang pertama dan tidak bermaksud untuk menjatuhkan îlâ’ yang baharu.
Dalam hal ini, sekiranya suami membenarkan dakwaannya itu dengan bersumpah di hadapan qadhi atau hakim, maka menurut hukum syara‘, dakwaan suami itu diterima dan ia dikira sebagai satu îlâ’ sahaja walaupun isterinya mendakwa bahawa kedua-dua îlâ’ suaminya itu adalah dua îlâ’ yang berlainan.
Sumpah suami terhadap kebenaran dakwaannya itu tetap diterima walaupun îlâ’ dilafazkan dalam dua waktu yang berlainan sekalipun jarak waktu antara îlâ’ yang pertama dengan yang kedua itu adalah jauh.
Maka dalam kes seumpama ini, tempoh îlâ’ adalah kekal enam bulan sepertimana îlâ’ yang dilafazkannya.
2) Suami mendakwa bahawa îlâ’ yang kedua itu adalah îlâ’ yang baharu iaitu tambahan kepada îlâ’ yang pertama.
Dalam permasalahan ini, dakwaan suami itu diterima dan îlâ’ yang kedua itu dikira sebagai îlâ’ yang kedua.
Maka dalam kes seumpama ini, tempoh îlâ’ menjadi dua belas bulan, iaitu dicampurkan tempoh îlâ’ yang pertama (enam bulan) dengan tempoh îlâ’ yang kedua (enam bulan).
Sekiranya suami melakukan fai’ah iaitu kembali menyetubuhi isterinya dalam tempoh îlâ’, maka kedua-dua îlâ’ tersebut terlerai dengan satu persetubuhan dan hanya wajib menunaikan satu kaffârah.
3) Suami melafazkan îlâ’ yang kedua bukan dengan maksud ta’kîd dan bukan juga bermaksud îlâ’ yang baharu.
Dalam hal ini, perlu dilihat sama ada kedua-dua îlâ’ itu dilafazkan dalam satu majlis (waktu dan tempat yang sama) atau dalam dua majlis (waktu dan tempat yang berlainan).
Sekiranya kedua-dua îlâ’ itu dilafazkan dalam satu majlis, maka ia dikira sebagai ta’kîd. Adapun jika dilafazkan dalam dua majlis, maka îlâ’ yang kedua itu dikira sebagai îlâ’ tambahan kepada îlâ’ yang pertama kerana pada kebiasaannya, îlâ’ yang dilafazkan dalam majlis yang berlainan jauh sekali kemungkinannya untuk membawa maksud ta’kîd.
Demikian penjelasan mengenai permasalahan melafazkan îlâ’ lebih daripada sekali dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6578
