Membeli Semula Binatang Yang Dikeluarkan Sebagai Zakat
Binatang ternakan termasuk antara harta yang wajib dikeluarkan zakat apabila cukup syarat-syaratnya. Jenis binatang ternakan yang wajib dikeluarkan zakat itu ialah unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri. Zakat yang dikeluarkan untuk binatang ternakan itu ialah daripada jenis binatang itu sendiri dan adakalanya pula daripada jenis binatang lain yang ditentukan, di samping syarat-syarat tertentu sebagaimana yang disebutkan dalam kitab-kitab fiqh.
Permulaan nishâb bagi unta ialah 5 ekor. Seorang yang memiliki unta sebanyak 5 hingga 9 ekor dan cukup syarat-syarat mengeluarkan zakat, maka wajib mengeluarkan seekor kambing (معز) jantan atau betina yang umurnya 2 tahun sebagai zakat atau kambing biri-biri (ضأن) jantan atau betina yang umurnya setahun atau yang telah gugur gigi hadapannya sebelum umur setahun. Apabila jumlah unta tersebut mencapai 25 hingga 35 ekor, maka wajib mengeluarkan seekor unta betina yang umurnya setahun (بنت خماض) sebagai zakat.
Permulaan nishâb bagi lembu ialah 30 ekor. Pemilik lembu sebanyak 30 hingga 39 ekor wajib mengeluarkan seekor lembu yang umurnya setahun, sama ada jantan (تبيع) atau betina ( تبيعة ), sebagai zakat. Walau bagaimanapun yang afdhal ialah yang betina.
Permulaan nishâb bagi kambing atau biri-biri ialah 40 ekor. Pemilik kambing sebanyak 40 hingga 120 ekor wajib mengeluarkan seekor kambing (معز) jantan atau betina yang umurnya 2 tahun sebagai zakat atau kambing biri-biri (ضأن) jantan atau betina yang umurnya setahun atau yang telah gugur gigi hadapannya sebelum umur setahun.
Setelah pemilik binatang ternakan mengeluarkan zakat binatang ternakannya, adakah boleh dia memiliki semula binatang tersebut dengan cara membeli daripada penerima zakat? Berikut adalah penjelasan mengenainya.
Membeli Semula Harta Zakat
Hukum memiliki semula binatang yang dikeluarkan sebagai zakat dengan cara membelinya daripada orang yang menerima zakat tersebut adalah termasuk di bawah perbincangan mengenai hukum seseorang yang memiliki semula sedekahnya dengan cara membelinya daripada orang yang menerima sedekah tersebut.
Dalam satu riwayat bahawa Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu pernah bersedekah seekor kuda yang bagus kepada seseorang yang berperang di jalan Allah (fî sabîlillâh). Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu mendapati bahawa tuannya tidak mampu memeliharanya dengan baik dan Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu menjangkakan bahawa tuannya mungkin akan menjual kuda tersebut dengan harga yang rendah. Lalu Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bolehkah dia membelinya. Baginda bersabda:
Maksudnya: Jangan engkau membelinya (kuda itu) dan jangan engkau menarik balik sedekahmu. Sesungguhnya orang yang menarik balik sedekahnya adalah seperti seekor anjing yang kembali semula kepada muntahnya (lalu memakannya). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh tegahan dalam hadits di atas adalah tegahan makruh bukan tegahan haram. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah bersedekah dengan sesuatu atau dia mengeluarkan sesuatu daripada hartanya sebagai zakat, kaffârah, nazar atau seumpamanya daripada perkara-perkara berupa ketaatan dan kebajikan, lalu dia membeli semula harta tersebut daripada penerimanya, maka hukumnya adalah makruh. Walau bagaimanapun jika dia berhasil membeli harta sedekah itu daripada penerimanya, maka hukum pembelian itu adalah sah dan menjadi miliknya.
Berdasarkan penjelasan di atas, orang yang memiliki semula zakatnya dengan cara membelinya daripada orang yang menerima zakatnya itu hukumnya adalah makruh.
Pengecualian Hukum Makruh Dalam Membeli Semula Harta Zakat
Seseorang yang mengeluarkan zakat dan memiliki semula harta zakatnya daripada penerima zakat tersebut melalui cara yang disebutkan di bawah ini adalah tidak dihukumkan makruh:
i. Memiliki semula harta zakat daripada pihak ketiga.
Contohnya jika seseorang mengeluarkan seekor lembu sebagai zakat binatang ternakannya dan telah menyerahkannya kepada penerima zakat. Setelah menerima zakat tersebut, penerimanya menjual lembu tersebut kepada orang ketiga. Ini bererti lembu itu menjadi milik orang ketiga. Kemudian orang yang mengeluarkan zakat itu membeli lembu tersebut daripada orang ketiga, maka perkara ini tidak dihukumkan makruh.
ii. Memiliki semula harta zakat melalui perwarisan.
Contohnya jika penerima zakat meninggal dunia dan orang yang mengeluarkan zakat tersebut adalah waris yang layak menerima harta pusaka penerima zakat yang meninggal, maka pengeluar zakat tidak dihukumkan makruh menerima semula zakatnya.
Demikianlah penjelasan mengenai hukum membeli semula binatang yang dikeluarkan sebagai zakat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6590
