Wanita Menutup Aurat Dengan Pakaian Ketat
Allah Ta‘ala memuliakan umat manusia dan menganugerahi mereka dengan ni‘mat-ni‘mat yang tidak terhitung banyaknya. Antara ni‘mat kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah Ta‘ala kepada manusia ialah penciptaan bahan-bahan yang boleh dijadikan pakaian untuk menutup aurat mereka di samping dapat mengindahkan dan mengelokkan mereka dari keburukan kerana tidak berpakaian sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (menciptakan bahan-bahan) pakaian untuk menutup aurat kamu dan pakaian indah (untuk perhiasan). Dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Allah supaya mereka mengambil peringatan (dan bersyukur). (Surah al-A‘râf: 26)
Menurut kebanyakan ulama, ayat di atas merupakan antara dalil tentang kewajiban menutup aurat dan tidak ada khilâf di kalangan ulama tentang kewajiban menutup aurat dari dilihat oleh orang lain. Batasan aurat wanita ialah seluruh anggota tubuh badan kecuali muka dan kedua-dua telapak tangan. Manakala aurat lelaki pula batasannya ialah di antara pusat dengan lutut.
Bagi golongan wanita, Allah Ta‘ala memerintahkan mereka untuk tidak menampakkan aurat mereka sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan (aurat) mereka kecuali yang zahir daripadanya (muka dan kedua-dua telapak tangan) dan hendaklah mereka menutupkan tudung ke dada mereka. (Surah an-Nûr: 31)
Ini menunjukkan bahawa dalam Islam, tujuan dari memakai pakaian adalah untuk menutup aurat dari pandangan orang lain. Maka adalah wajib bagi umat Islam untuk memilih pakaian yang menepati kehendak syara‘ iaitu pakaian yang melindungi aurat seseorang secara sempurna sehingga tidak dapat dilihat oleh orang lain.
Menyentuh mengenai pemakaian pakaian yang menepati kehendak syara‘, timbul persoalan tentang kedudukan pakaian ketat yang dianggap menutup aurat. Sebagai contoh seorang wanita yang memakai tudung dan kebaya ketat atau memakai tudung dan berbaju labuh tetapi berseluar ketat. Adakah pakaian seumpama ini menepati kehendak syara‘?
Wanita Berpakaian Ketat
Seseorang itu tidak dianggap berpakaian sempurna menurut syara‘ jika auratnya masih terdedah kepada pandangan orang lain. Dalam satu hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Dua golongan penghuni neraka yang aku tidak pernah melihat kedua-duanya, (pertama) satu kaum yang bersama mereka cambuk seperti ekor lembu yang mereka (gunakan untuk) memukul orang dengannya (cambuk), dan (kedua) wanita yang berpakaian (tetapi) telanjang mengajak (orang) berbuat perbuatannya (yang dicela dan menyimpang daripada mentaati Allah) serta berjalan dengan bergaya (lenggang-lenggok). Kepala (sanggul) mereka seperti bonggol unta yang berlenggok-lenggok (ketika berjalan). Mereka ini (wanita tersebut) tidak masuk syurga dan mereka tidak dapat mencium bau syurga, sedangkan bau syurga itu boleh dicium sejauh perjalanan begini dan begini. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam kitab Syarh an-Nawawi ‘alâ Shahîh Muslim, Imam an-Nawawi Rahimahullâh membawakan beberapa pendapat ulama mengenai maksud “wanita yang berpakaian (tetapi) telanjang”. Antaranya ia bermaksud wanita yang menutup sebahagian badannya tetapi mendedahkan sebahagian yang lain dengan tujuan untuk menonjolkan kecantikannya. Pendapat yang lain pula menyebut bahawa ia bermaksud wanita memakai pakaian tipis yang menampakkan warna badannya. Disebut juga maksudnya ialah wanita yang memakai pakaian tipis yang menggambarkan apa di sebalik pakaiannya. Perbuatannya ini mempamerkan kecantikan dan perhiasannya dan membuat lelaki tertarik hati kepadanya. Menurut Imam al-Baghawi Rahimahullâh, mereka ini berpakaian pada zahirnya, namun pada hakikatnya mereka bertelanjang iaitu tidak berpakaian.
Imam al-Qurthubi Rahimahullâh menyebut dalam kitab al-Mufhim limâ Asykal min Talkhîsh Kitâb Muslim bahawa terdapat pendapat menyebut bahawa “wanita yang berpakaian (tetapi) telanjang” ialah wanita yang memakai pakaian tipis yang tidak menutup bentuk auratnya atau menampakkan keindahan dirinya yang tidak boleh dilihatkannya kepada orang lain sedangkan dia dalam keadaan berpakaian.
Menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi Rahimahullâh dalam kitabnya Fatâwâ Mu‘âsharah, menampakkan bahagian bentuk tubuh badan itu adalah dilarang dalam Islam dan pakaian yang menampakkan bentuk tubuh badan itu adalah termasuk dalam maksud “wanita yang berpakaian (tetapi) telanjang” yang disebut dalam hadits di atas.
Dr. Abdul Karim Zaidan Rahimahullâh pengarang kitab al-Mufashshal fî Ahkâm al-Mar‘ah pula menyebut bahawa tujuan berpakaian bagi wanita ialah menutup dan menghalang badan wanita dari pandangan orang lain demi menegah fitnah dan kerosakan. Tujuan tersebut tidak akan tercapai dengan berpakaian ketat kerana pakaian ketat akan menampakkan bentuk dan lekuk anggota badan wanita. Pada hakikatnya, pakaian sedemikian tidak menutup bentuk badan dan tidak menghalang dari pandangan orang lain serta tidak menegah fitnah dan kerosakan. Menurut beliau lagi pakaian yang ketat itu tetap dilarang sekalipun ia tebal berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang pernah menyuruh Usamah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu supaya memerintahkan isterinya memakai pakaian lapis di bawah qubthiyyah (baju cotton) yang dihadiahkan kepadanya bagi mengelakkan kelihatan bentuk tubuh badannya sebagaimana katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memberi kepadaku qubthiyyah (baju cotton) tebal yang dihadiahkan kepadanya oleh Dihyah al- Kalbiy lalu aku memberinya (qubthiyyah) kepada isteriku. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Kenapa engkau tidak memakai qubthiyyah?” Aku berkata: “Aku telah memberinya (qubthiyyah) kepada isteriku”. Lalu Baginda bersabda: “Suruhlah dia (isterimu) untuk memakai baju lapis di bawahnya (qubthiyyah) kerana sesungguhnya aku takut ia (qubthiyyah itu) menggambarkan bentuk tulangnya (susuk tubuh).” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Maka berdasarkan pendapat Dr. Yusof al-Qardhawi dan Dr. Abdul Karim Zaidan Rahimahumallâh di atas adalah jelas bahawa berpakaian ketat sekalipun tebal tidak menepati tuntutan menutup aurat sebagaimana larangan berpakaian tipis dan jarang yang disebut dalam hadits yang menyebut “wanita yang berpakaian (tetapi) telanjang”.
Demikian penjelasan kedudukan wanita yang menutup aurat dengan pakaian ketat menurut hukum syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6602
