Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Berdiri Untuk Menyambut Kedatangan Seseorang

Berdiri untuk menyambut orang yang datang atau orang yang masuk ke suatu tempat seperti rumah, bilik dan sebagainya terutama sekali orang yang dimuliakan dalam suatu kaum atau suatu tempat, merupakan antara adat dan kebiasaan yang diamalkan dalam masyarakat kita. Salah satu contoh yang paling ketara ialah di sekolah-sekolah, penuntut akan berdiri sambil mengucap salam untuk menghormati guru yang masuk ke dalam kelas mereka.

Mengenai perkara berdiri menyambut kedatangan seseorang ini, terdapat sebahagian golongan berfahaman bahawa perbuatan tersebut tidak ada kaitannya dengan tuntutan syara‘. Bahkan ia hanya adat sesuatu kaum semata-mata.

Perkara berdiri untuk menyambut orang yang datang ini ada disebut dalam beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, beliau menceritakan bahawa ketika Sa‘ad bin Mu‘adz Radhiallâhu ‘anhu datang kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan bersama Baginda ketika itu beberapa orang sahabat, Baginda memerintahkan para sahabat supaya berdiri menyambut kedatangan Sa‘ad bin Mu‘adz Radhiallâhu ‘anhu itu. Baginda bersabda:

Maksudnya: Berdirilah kamu untuk (menyambut) pemimpin kamu (Sa‘ad bin Mu‘adz) atau Baginda bersabda: “(Berdirilah kamu untuk menyambut) orang yang terbaik di kalangan kamu.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maksud “pemimpin” dalam hadits di atas ialah golongan yang tinggi kedudukannya dalam sesuatu kaum kerana sifat-sifatnya yang terpuji. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengarahkan para sahabat Baginda untuk berdiri menyambut kedatangan Sa‘ad bin Mu‘adz Radhiallâhu ‘anhu sebagai mengalu-alukan dan memuliakan beliau.

Al-Qadhi ‘Iyadh dan Imam an-Nawawi Rahimahumullâh membuat kesimpulan dengan hadits di atas bahawa adalah sunat berdiri menyambut kedatangan orang-orang yang mulia bagi menghormati mereka.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh ketika mengulas hadits riwayat Abu Sa‘id al- Khudri Radhiallâhu ‘anhu di atas berkata:

Ertinya: Dalam hadits ini (terdapat anjuran untuk) memuliakan orang yang mulia dan menyambut mereka dengan (cara) berdiri untuk mereka apabila mereka datang. Demikian jumhûr ulama berhujjah dengannya (hadits ini) mengenai sunat berdiri (untuk menghormati orang yang mulia).

Dalam kitab al-Adzkâr, Imam an-Nawawi Rahimahullâh ada juga menyebut bahawa berdiri menyambut kedatangan orang yang mempunyai kelebihan dan keutamaan yang nyata dari segi ilmu, kemuliaan, kuasa, orang yang melahirkannya iaitu ibu bapa, atau saudara yang lebih tua dan sebagainya adalah sunat dengan syarat mereka ini adalah orang-orang yang memelihara tuntutan agama iaitu bukan orang-orang yang fâsiq, zalim dan sebagainya. Adapun tujuan melakukannya adalah atas dasar menghormati dan memuliakan orang-orang yang disambut kedatangannya, bukan atas dasar riya’ atau kerana mengagung-agungkan mereka. Ini adalah pegangan dan amalan para ulama salaf dan khalaf.

Imam al-Qurthubi Rahimahullâh pula menyebut dalam kitabnya al-Mufhim li mâ Asykala min Talkhîsh Kitâb Muslim bahawa menurut ‘Abdul Malik Rahimahullâh, diharuskan seorang isteri untuk berdiri menyambut kedatangan suaminya. Selain itu, menurut al-Qadhi Husain Rahimahullâh, diharuskan berbuat demikian untuk orang-orang tua dan jiran tetangga.

Imam ‘Izzuddin bin Abdussalam Rahimahullâh turut memfatwakan bahawa tidak menjadi kesalahan berdiri menyambut kedatangan mana-mana orang Islam yang diharapkan kebaikannya dan ditakuti kejahatannya.

Imam al-Muhallab Rahimahullâh menambah bahawa hadits riwayat Abu Sa‘id al- Khudri Radhiallâhu ‘anhu yang disebut sebelum ini juga menunjukkan bahawa pihak pemerintah diharuskan untuk memerintahkan orang ramai untuk memuliakan dan menghormati para pemimpin serta orang-orang yang dimuliakan dalam kalangan orang-orang Islam, termasuk dengan cara berdiri bagi menyambut kedatangan mereka. Pendapat beliau ini juga dinukil oleh beberapa ulama mazhab asy-Syafi‘i antaranya Imam Ibn al-Mulaqqin dan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahumullâh.

Menurut Imam Ibn al-Mulaqqin Rahimahullâh lagi, amalan berdiri untuk memuliakan dan menghormati orang mulia ini tsabit dilakukan sendiri oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam serta para sahabat Baginda. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah berdiri menyambut Shafwan bin ‘Umayyah, ‘Adiy bin Hatim, Zaid bin Haritsah Radhiallâhu ‘anhum dan sahabat lain yang datang kepada Baginda. Bahkan Baginda juga pernah berdiri menyambut kedatangan anak Baginda Fathimah Radhiallâhu ‘anhâ dan Fathimah Radhiallâhu ‘anhâ juga melakukan sedemikian untuk Baginda.

Dari penjelasan para ulama yang disebut tadi, dapat difahami bahawa adalah harus berdiri menyambut kedatangan orang-orang yang mulia seperti pemerintah, ketua atau orang atasan, ulama, guru, orang-orang salih, ibu bapa, suami, ahli keluarga, orang yang lebih tua serta jiran tetangga dengan syarat mereka ini adalah orang-orang yang memelihara tuntutan agama. Begitu juga tidak menjadi kesalahan berbuat demikian untuk orang Islam yang diharapkan kebaikannya dan ditakuti kejahatannya sepertimana yang difatwakan oleh Imam ‘Izzuddin bin Abdussalam Rahimahullâh.

Walau bagaimanapun, adakalanya berdiri menyambut kedatangan seseorang ditegah dalam beberapa keadaan. Antaranya ialah:

i. Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh, makruh berdiri menyambut orang yang datang dengan niat mengagungkan orang tersebut. Beliau berkata:

Ertinya: Dan berdiri (menyambut kedatangan seseorang) adalah makruh atas dasar mengagungkan, tidak makruh atas dasar memuliakan.

Berdiri kerana mengagungkan seseorang itu ialah berdiri untuk membesar-besarkan seseorang bukan berdiri kerana memuliakannya sebagai penghormatan.

Pendapat ini disokong oleh para ulama, antaranya Imam al-Munawi Rahimahullâh yang berkata bahawa berdiri kerana mengagung-agungkan seseorang sebagaimana adat beberapa kaum adalah ditegah. Manakala berdiri kerana memuliakan seseorang sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah diharuskan.

ii. Menurut Imam al-Khaththabi Rahimahullâh dalam kitabnya Ma‘âlim as- Sunan, makruh berdiri untuk menyambut pemimpin atau pemerintah yang tidak adil dan tidak berakhlak mulia. Sebaliknya, disunatkan berdiri untuk menyambut pemimpin atau pemerintah yang adil dan berakhlak mulia.

iii. Imam ‘Izzuddin bin ‘Abdussalam Rahimahullâh memfatwakan bahawa tidak harus berdiri menyambut kedatangan orang kafir.

Walaupun terdapat tegahan untuk berdiri dalam beberapa keadaan yang disebutkan di atas, jika ditakuti dengan perbuatan tidak berdiri itu akan mendatangkan mudharat besar atau perbuatan berkenaan dianggap satu penghinaan dan memperlekehkan orang yang datang itu, maka menurut Imam ‘Izzuddin bin Abdussalam Rahimahullâh, dalam keadaan seumpama ini tidak ditegah melakukannya.

Ini bermakna, keharusan seseorang itu berdiri dalam keadaan-keadaan yang ditegah itu ialah untuk mengelak berlaku kemudharatan, benci membenci dan pertelingkahan di antara satu dengan yang lain, khususnya sesama orang Islam sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Janganlah kamu saling memutuskan (silaturrahim), saling memusuhi, saling membenci dan saling mendengki dan jadilah kamu bersaudara sepertimana yang Allah perintahkan kepada kamu. (Hadits riwayat Muslim)

Tegahan-tegahan di atas adalah bagi orang yang menyambut kedatangan seseorang. Adapun bagi orang yang disambut kedatangannya pula, perasaan suka orang lain berdiri untuknya merupakan satu sikap yang dicela bahkan dijanjikan neraka sepertimana disebut dalam hadits yang diriwayatkan daripada Mu‘awiyah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang suka (bangga) orang berdiri baginya (untuk mengagungkannya), maka hendaklah dia mempersiapkan tempat tinggalnya di neraka. (Hadits riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Hadits di atas menjelaskan tentang ancaman terhadap orang yang berasa bangga dan takbur apabila orang lain berdiri untuk mengagungkan dirinya dan orang yang marah apabila orang lain tidak berdiri untuk mengagungkannya iaitu masuk neraka.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, perkara yang dilarang itu ialah perasaan bangga dan takbur apabila orang berdiri untuknya. Sekiranya tidak ada perasaan sedemikian, sama ada orang berdiri untuknya ataupun tidak, maka yang demikian itu tidak ada celaan baginya. Jika dia ada perasaan sedemikian, dia telah melakukan satu perkara yang haram sama ada orang berdiri untuknya ataupun tidak. Apatah lagi sekiranya dia menyuruh orang lain berdiri untuknya kerana perbuatan ini menunjukkan sikap sombong dan bangga diri. Perbuatan sebegini juga termasuk dalam ancaman yang terkandung dalam hadits riwayat Mu‘awiyah Radhiallâhu ‘anhu tersebut.

Demikian penjelasan mengenai hukum berdiri untuk menyambut kedatangan seseorang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6606