Pengiraan Hari Dalam Safar Yang Mengharuskan Qasar Dan Jama‘
PENGIRAAN HARI DALAM SAFAR YANG DIHARUSKAN MELAKUKAN SEMBAHYANG QASHAR DAN JAMA‘
Orang yang dalam safar diberikan rukhshah oleh Allah Ta‘ala untuk melakukan sembahyang fardhu secara qashar dan jama‘. Safar bermaksud keluar dengan niat menuju ke suatu tempat yang jaraknya mengharuskan seseorang melakukan sembahyang qashar dan jama‘ iaitu 89.04 kilometer atau lebih. Tujuan diberikan rukshah ini adalah untuk memberi kemudahan kepada orang yang dalam safar kerana pada kebiasaannya mereka menghadapi kesusahan dan keletihan sepanjang safar.
Sembahyang qashar bererti sembahyang fardhu yang empat rakaat iaitu Zhuhur, ‘Ashar dan ‘Isya’ ditunaikan dengan memendekkannya kepada dua rakaat sahaja. Manakala sembahyang jama‘ pula bererti dua sembahyang fardhu yang dihimpunkan dalam satu waktu, sama ada secara jama‘ taqdîm iaitu menghimpunkan Zhuhur dan ‘Ashar pada waktu Zhuhur atau menghimpunkan Maghrib dan ‘Isya’ pada waktu Maghrib atau secara jama‘ ta’khîr iaitu menghimpunkan Zhuhur dan ‘Ashar pada waktu ‘Ashar atau menghimpunkan Maghrib dan ‘Isya’ pada waktu ‘Isya’.
Orang yang diberi rukhshah untuk melakukan sembahyang qashar dan jama‘ dalam safar itu hendaklah memenuhi syarat-syarat tertentu. Antaranya, dia berniat untuk tinggal di tempat yang ditujunya kurang dari empat hari.
Namun timbul kekeliruan kepada sebahagian orang mengenai cara pengiraan empat hari tersebut. Maka berikut penjelasan mengenainya.
Tempoh Safar Yang Diharuskan Sembahyang Qashar dan Jama‘
Orang yang dalam safar itu diharuskan melakukan sembahyang qashar dan jama‘ di tempat yang ditujunya jika dia berniat tinggal di tempat tersebut kurang daripada empat hari tidak termasuk hari tiba dan hari pulang. Ini bermakna, sekiranya dia berniat untuk tinggal di tempat yang ditujunya dalam tempoh empat hari atau lebih, tidak termasuk hari tiba dan hari pulang, maka dia tidak diharuskan melakukan sembahyang qashar dan jama‘ sebaik-baik sahaja tiba di tempat yang ditujunya.
Walau bagaimanapun jika orang yang dalam safar itu bertujuan membuat urusan di tempat yang ditujunya serta berniat untuk segera pulang sebaik-baik sahaja urusannya selesai dan setiap waktu dia mengharapkan urusannya itu akan selesai, maka diharuskan dia melakukan sembahyang qashar dan jama‘ sehingga lapan belas hari. Begitu juga orang yang berniat untuk segera pulang sebaik-baik sahaja urusannya selesai dan dia menjangkakan urusannya itu akan selesai kurang daripada empat hari, maka diharuskan dia melakukan sembahyang qashar dan jama‘ sehingga empat hari. Apabila urusan berkenaan tidak juga selesai dalam tempoh empat hari dan setiap waktu dia mengharapkan urusannya itu akan selesai, maka diharuskan dia melakukan sembahyang qashar dan jama‘ sehingga lapan belas hari juga.
Sekiranya urusannya belum juga selesai selepas lapan belas hari, maka dia tidak lagi diharuskan melakukan sembahyang qashar dan jama‘.
Manakala jika dia tahu bahawa urusannya itu tidak akan selesai dalam empat hari, maka dia tidak diharuskan melakukan sembahyang qashar dan jama‘ sebaik-baik sahaja tiba di tempat yang ditujunya kerana safar terputus dengan ketibaannya di tempat tersebut. Walau bagaimanapun dia diharuskan melakukan sembahyang qashar dan jama‘ semasa dalam perjalanan pergi ke tempat itu dan perjalanan pulang dari tempat itu.
Pengiraan Tempoh Empat Hari
Tempoh empat hari itu bermaksud empat hari tidak termasuk hari tiba dan hari pulang.
Pengiraan satu hari ialah satu siang dan satu malam. Maka empat hari bermaksud empat siang dan empat malam.
Pengiraan siang pula ialah bermula daripada terbit fajar (masuk waktu Shubuh) sehingga terbenam matahari (masuk waktu Maghrib), manakala pengiraan malam ialah bermula daripada terbenam matahari (masuk waktu Maghrib) sehingga terbit fajar (masuk waktu Shubuh).
Maksud hari tiba ialah waktu tiba sama ada siang atau malam dan maksud hari pulang ialah waktu pulang sama ada siang atau malam.
Berikut adalah cara pengiraan empat hari iaitu empat siang dan empat malam yang tidak diharuskan melakukan sembahyang qashar dan jama‘ di tempat yang ditujunya.
Contoh 1: Jika seseorang belayar pada hari Ahad jam 4 petang (siang Ahad) dan tiba di tempat yang ditujunya pada hari Ahad jam 9 malam (malam Isnin) dan dia akan pulang pada hari Jumaat jam 2 petang (siang Jumaat), maka pengiraan empat hari bermula daripada terbit fajar hari Isnin dan berakhir ketika terbit fajar hari Jumaat. Berdasarkan pengiraan tersebut, tempoh tinggalnya ialah empat siang dan empat malam. Rajah Contoh (1)
Isnin Hari tiba Tidak dikira
Selasa Malam pertama
Rabu Malam kedua
Khamis Malam ketiga Khamis Siang keempat Jumaat Malam keempat Jumaat Hari pulang Tidak dikira Jumlah Hari Empat hari Contoh 2: Jika seseorang belayar pada hari Ahad jam 10 pagi dan tiba di tempat yang ditujunya pada jam 4 petang pada hari tersebut (siang Ahad) dan dia akan pulang pada Khamis jam 9 malam (malam Jumaat), maka pengiraan empat hari itu bermula daripada terbenam matahari pada hari Ahad dan berakhir ketika terbenam matahari hari Khamis. Berdasarkan pengiraan tersebut, tempoh tinggalnya ialah empat siang dan empat malam. Rajah Contoh (2)
Ahad Hari tiba Tidak dikira Isnin Malam pertama
Selasa Malam kedua
Rabu Malam ketiga
Khamis Malam keempat Khamis Siang keempat Jumaat Hari pulang Tidak dikira Jumlah Hari Empat hari
Kiraan Tempoh Kurang Empat Hari Tempoh kurang daripada empat hari adalah tempoh yang diharuskan bagi orang yang dalam safar melakukan sembahyang qashar dan jama‘ di tempat yang ditujunya. Berikut adalah cara pengiraan kurang daripada empat hari. Contoh 1:
Jika seseorang belayar pada hari Ahad jam 4 petang dan tiba di tempat yang ditujunya pada hari tersebut jam 10 malam (malam Isnin) dan dia akan pulang pada hari Khamis jam 9 malam (malam Jumaat), maka pengiraan empat hari itu bermula daripada terbit fajar hari Isnin dan berakhir ketika terbenam matahari hari Khamis (malam Jumaat). Berdasarkan pengiraan tersebut, tempoh tinggalnya ialah empat siang dan tiga malam iaitu kurang daripada kiraan empat siang dan empat malam.
Rajah Contoh (1)
Isnin Hari tiba Tidak dikira
Selasa Malam pertama
Rabu Malam kedua
Khamis Malam ketiga
Khamis Siang keempat Setengah hari
Jumaat Hari pulang Tidak kira Jumlah Hari Tiga hari setengah
Contoh 2:
Jika seseorang belayar pada hari Ahad jam 2 petang dan tiba di tempat yang ditujunya pada hari tersebut jam 5 petang (siang Ahad) dan dia akan pulang pada hari Khamis jam 12 tengahari (siang Khamis), maka pengiraan empat hari itu bermula daripada terbenam matahari pada hari Ahad dan berakhir ketika terbit fajar hari Khamis. Berdasarkan pengiraan tersebut, tempoh tinggalnya ialah empat malam dan tiga siang iaitu kurang daripada kiraan empat siang empat malam.
Rajah Contoh (2)
Ahad Hari tiba Tidak dikira Isnin Malam pertama
Selasa Malam kedua
Rabu Malam ketiga
Khamis Malam keempat Setengah hari Khamis Hari pulang Tidak dikira Jumlah Hari Tiga hari setengah Demikian cara pengiraan hari dalam safar bagi menentukan sama ada seseorang itu diharuskan atau tidak untuk melakukan sembahyang qashar dan jama‘ di tempat yang ditujunya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6610
