Ghurrah Dan Tahjil Keistimewaan Umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam
GHURRAH DAN TAHJÎL KEISTIMEWAAN UMAT NABI MUHAMMAD SHALLALLÂHU ‘ALAIHI WA SALLAM
Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam diutus sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam. Rahmat yang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kurniakan dengan pengutusan Baginda itu pula lebih luas dan lebih istimewa kepada umat Baginda. Antara kelebihan dan keistimewaan khusus umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang tidak dikurniakan ke atas umat-umat yang lain itu ialah ghurrah dan tahjîl.
Keistimewaan ini disebut dalam beberapa hadits antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya umatku dipanggil pada Hari Kiamat dalam keadaan (mempunyai tanda) ghurrah dan tahjîl dari kesan-kesan wudhu’. Maka sesiapa daripada kamu yang mampu memanjangkan ghurrahnya (serta tahjîlnya) itu, hendaklah dia melakukannya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut ahli bahasa Arab, ghurrah adalah kilauan putih yang terdapat pada dahi kuda. Perkataan ghurrah ini digunakan sebagai melambangkan keindahan, kemasyhuran dan yang seumpamanya. Manakala tahjîl pula adalah warna putih yang ada pada kaki kuda. Menurut ulama, perkataan ghurrah dan tahjîl ini kemudian dijadikan nama atau gelaran bagi cahaya yang terdapat pada anggota wudhu’ umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pada Hari Kiamat kelak. Ghurrah dan tahjîl ini merupakan keistimewaan yang hanya dimiliki oleh umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang pernah berwudhu’ ketika di dunia.
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh, ghurrah dalam hadits berkenaan merujuk kepada kadar basuhan wajib ketika membasuh muka, termasuk sebahagian daripada kepala, dua telinga, rahang bawah dan bahagian leher yang berdekatan dengan had muka kerana ia juga wajib dibasuh bagi memastikan seluruh anggota muka sempurna basuhannya.
Manakala tahjîl pula merujuk kepada kadar basuhan wajib ketika membasuh tangan dan kaki, termasuk basuhan pada bahagian yang berdekatan dengan had siku dan buku lali kerana ia juga wajib dibasuh bagi memastikan seluruh anggota tangan dan kaki sempurna basuhannya.
Adapun maksud memanjangkan kedua-dua ghurrah dan tahjîl itu pula ialah melebihkan basuhan muka, tangan dan kaki dari kadar basuhan wajib yang disebut di atas.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata bahawa hadits di atas menunjukkan dengan jelas bahawa memanjangkan ghurrah dan tahjîl adalah sunat.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh lagi, perbuatan memanjangkan ghurrah dan tahjîl ini tsabit dilakukan sendiri oleh Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan sahabat Baginda seperti Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh menyebut bahawa Ibn ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ juga melakukannya.
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam ar-Ramli Rahimahumullâh, memanjangkan ghurrah terhasil sekurang-kurangnya dengan melebihkan sedikit basuhan daripada kadar basuhan wajib yang disebut sebelum ini. Manakala yang paling sempurna pula ialah dengan basuhan yang meliputi bahagian hadapan kepala, kedua-dua telinga dan kedua-dua sisi leher.
Manakala memanjangkan tahjîl pula terhasil sekurang-kurangnya dengan melebihkan sedikit basuhan dari kadar basuhan wajib yang disebut sebelum ini. Adapun yang paling sempurna pula ialah dengan basuhan yang meliputi semua bahagian lengan atas dan semua bahagian betis.
Memanjangkan ghurrah dan tahjîl tetap disunatkan walaupun bahagian anggota fardhu itu tidak ada, seperti kudung atau terpotong kerana kaedah fiqh ada menyebut:
Ertinya: Sesuatu yang mudah (dilakukan) tidak gugur dengan sesuatu yang sukar (dilakukan).
Menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh, ghurrah dan tahjîl juga disunatkan ketika bertayammum.
Ghurrah dan tahjîl ini akan membezakan umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada umat-umat yang lain pada Hari Kiamat. Pada hari tersebut, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam akan menunggu di telaga Baginda lalu memanggil mereka yang mempunyai tanda ghurrah dan tahjîl ini menuju ke telaga Baginda dan mengusir orang-orang lain daripadanya sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Umatku akan datang kepadaku di telaga (telaga Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) dan aku mengusir manusia (umat lain) daripadanya sepertimana seorang (penggembala) mengusir unta orang (lain) dari untanya. (Hadits riwayat Muslim)
Lalu para sahabat Baginda bertanya: “Wahai Nabi Allah, adakah Tuan mengenali kami (pada waktu itu)?”
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Ya, kamu mempunyai tanda yang tidak dipunyai oleh mana-mana orang lain selain kamu. Kamu akan datang kepadaku dalam keadaan (mempunyai tanda) ghurrah dan tahjîl dari kesan-kesan wudhu’. (Hadits riwayat Muslim)
Telaga Baginda yang disebut dalam hadits di atas adalah tsabit secara mutawwatir. Dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, Baginda menyifatkan keluasan telaga Baginda itu panjangnya menyamai sebulan perjalanan dan begitu juga dengan lebarnya. Airnya pula lebih putih daripada perak dan baunya lebih harum daripada misk (kasturi) dan bejananya lebih banyak daripada bilangan bintang di langit. Sesiapa yang minum daripada telaga Baginda ini tidak akan merasa haus selama-lamanya.
Sungguhpun demikian, tidak semua orang yang mempunyai tanda ghurrah dan tahjîl akan mampu sampai kepada Baginda walaupun mereka itu telah diseru oleh Baginda. Menurut para ulama, orang-orang yang terhalang dari sampai kepada Baginda itu adalah orang-orang munâfiq, orang-orang murtad, ahli bid‘ah dan pelaku maksiat walaupun mereka itu pada hakikatnya juga mempunyai tanda ghurrah dan tahjîl kerana ketika di dunia mereka pernah berwudhu’.
Walaupun keistimewaan ini adalah keistimewaan umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, ia adalah khusus ke atas mereka yang pernah berwudhu’ ketika di dunia sahaja.
Adapun kanak-kanak belum mumayyiz yang hanya pernah diwudhu’kan oleh penjaga mereka pula, menurut Imam Sulaiman al-Jamal Rahimahullâh mereka juga diberikan tanda ghurrah dan tahjîl dengan wudhu’ tersebut. Manakala kanak-kanak yang meninggal dunia ketika kecil yang belum pernah melaksanakan wudhu’ pula, menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh ada kemungkinannya mereka juga mempunyai tanda ghurrah dan tahjîl kerana mereka meninggalkan wudhu’ atas sebab keuzuran yang dimaafkan.
Adapun orang Islam yang hanya bertayammum sepanjang hayatnya kerana tidak dapat melaksanakan wudhu’, menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh dia juga akan mempunyai tanda ghurrah dan tahjîl kerana syara‘ telah menetapkan bahawa tayammum itu menggantikan tempat wudhu’ apabila ada keuzuran.
Demikian penjelasan mengenai ghurrah dan tahjîl yang menjadi keistimewaan umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6614
