Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Nazhir Waqaf Mengubah Syarat Pewaqaf

NÂZHIR WAQAF MENGUBAH SYARAT PEWAQAF

Waqaf merupakan perkara yang disunatkan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Satu keistimewaan yang diperolehi oleh orang yang berwaqaf ialah pahala yang berterusan sekalipun dia telah meninggal dunia.

Dalam kehidupan bermasyarakat, waqaf boleh membantu dalam memberi kemudahan awam dan memenuhi keperluan sebahagian orang. Di samping itu, waqaf juga boleh membantu menjana pertumbuhan ekonomi sesebuah masyarakat dan negara. Pelbagai bentuk kemudahan boleh diwujudkan melalui sarana waqaf seperti tanah untuk tapak masjid, sekolah, pusat kebajikan atau perkuburan, kenderaan untuk pengangkutan dan lain-lain kemudahan seperti kerusi roda, komputer dan buku.

Salah satu rukun waqaf ialah barang waqaf (al-mauqûf). Antara perkara yang disyaratkan pada barang waqaf hendaklah barang waqaf itu mempunyai faedah atau manfaat yang boleh diambil daripadanya oleh penerima waqaf kerana itulah sebenarnya maksud atau tujuan waqaf. Waqaf tidak sah sekiranya barang waqaf tidak mempunyai faedah atau manfaat kerana tidak mencapai maksud atau tujuan sebenar waqaf. Sebagai contoh, mewaqafkan tanah yang tidak boleh dimanfaatkan atau baju koyak yang tidak boleh dipakai, maka waqaf seperti ini adalah tidak sah.

Namun timbul persoalan tentang barang waqaf yang tidak lagi boleh dimanfaatkan mengikut sepertimana yang disyaratkan oleh pewaqaf. Adakah harus nâzhir (pengelola waqaf) mengubah perkara yang disyaratkan oleh pewaqaf terhadap barang waqafnya itu?

Kedudukan Barang Waqaf

Apabila waqaf seseorang itu sah, iaitu memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat waqaf yang telah ditetapkan oleh syara‘, maka pewaqaf tidak lagi mempunyai hak terhadap barang yang diwaqafkannya itu dan dia tidak ada hak untuk membatalkan waqafnya. Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Dan (hukum) waqaf tidak akan batal atas apa juga keadaan bahkan ia (hukum waqaf) akan berterusan ke atasnya.

Hak milik terhadap harta yang sah menjadi barang waqaf berpindah menjadi milik Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Barang waqaf sama ada berupa harta tidak alih seperti tanah atau harta alih seperti kereta tidak lagi menjadi hak milik sesiapa, tidak menjadi milik pewaqaf dan tidak juga menjadi milik penerima waqaf sekalipun penerima waqaf berhak memiliki manfaat barang waqaf tersebut.

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn menyebut:

Ertinya: Menurut pendapat al-azhhar, bahawasanya hak milik pada barang yang diwaqafkan berpindah kepada Allah Ta‘ala iaitu terlucut (hak milik tersebut) daripada kuasa manusia, maka (barang waqaf itu) tidak lagi (menjadi milik) pewaqaf dan tidak juga (menjadi milik) penerima waqaf.

Oleh yang demikian, barang waqaf tidak boleh dijual, dijadikan pemberian dan diwariskan kepada sesiapa pun sebagaimana hadits daripada Ibn ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:

Maksudnya: Bahawasanya Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu memperoleh sebidang tanah di Khaibar, lalu beliau datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam meminta nasihat (petunjuk) tentangnya. (Sayyidina ‘Umar) berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah memperoleh sebidang tanah di Khaibar, aku tidak pernah mempunyai harta yang lebih berharga daripada tanah itu. Oleh itu apa yang engkau perintahkan kepadaku dengan tanah itu?” (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) menjawab: “Jika engkau mahu, engkau tahan (waqafkan) tanah itu dan engkau bersedekah dengannya (manfaatnya)”. (Ibn ‘Umar) berkata: Maka Sayyidina ‘Umar bersedekah dengannya, (dengan syarat) tanah itu tidak dijual beli, tidak diberi (sebagai hibah) dan tidak diwariskan. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mengubah Syarat Pewaqaf

Apabila pewaqaf meletak syarat-syarat tertentu dalam waqafnya seperti dalam perkara pelantikan nâzhir waqaf, ciri atau golongan penerima waqaf, cara pembahagian dan pengambilan manfaat waqaf, maka syarat pewaqaf itu wajib diikut. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn berkata:

Ertinya: Tidak harus mengubah waqaf daripada keadaannya (yang asal). Maka waqaf rumah tidak boleh dijadikan kebun ataupun tempat mandi dan tidak boleh juga sebaliknya, kecuali apabila pewaqaf menyerahkan kepada nâzhir (kuasa mengubah waqaf) menurut apa yang dilihatnya ada mashlahat bagi waqaf.

Imam Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-Mu‘în menyebut:

Ertinya: Jika dia yakni pewaqaf mensyaratkan sesuatu yang dia kehendaki seperti pensyaratan supaya tidak disewakan waqafnya itu secara mutlak atau kecuali (disewakan) dengan tempoh sebegini seperti setahun atau (disyaratkan) supaya diutamakan (dilebihkan) sebahagian penerima waqaf daripada sebahagian yang lain sekalipun yang diutamakan itu perempuan ke atas lelaki atau (disyaratkan) supaya disamaratakan antara mereka atau (disyaratkan) pengkhususan umpama masjid seperti juga sekolah dan tanah perkuburan untuk golongan (tertentu) seperti pengikut mazhab asy-Syafi‘i (sahaja), (maka hendaklah) diikut syarat pewaqaf itu dalam keadaan bukan dharurat, sebagaimana (diikuti) segala syarat-syaratnya yang tidak bertentangan dengan syara‘. Yang demikian itu kerana wujud di dalamnya mashlahat atau kepentingan (kepada pewaqaf).

Dari penjelasan di atas adalah jelas bahawa syarat pewaqaf hendaklah diikuti dan tidak boleh diubah melainkan terdapat dharurat padanya. Sekiranya terdapat dharurat, contohnya waqaf akan terbengkalai sekiranya diikuti syarat yang ditetapkan oleh orang yang berwaqaf, maka dalam keadaan ini harus ditinggalkan syarat pewaqaf itu kerana pada zahirnya pewaqaf tidak mahu waqafnya itu terbengkalai.

Contoh lain bagi dharurat itu ialah pewaqaf mewaqafkan sebuah rumah dengan mensyaratkan rumah tersebut tidak boleh disewakan melebihi tempoh setahun. Kemudian rumah tersebut roboh dan tidak ada pihak yang mahu membangunnya semula melainkan jika rumah tersebut disewakan untuk tempoh melebihi setahun. Maka dalam situasi ini rumah tersebut harus disewakan untuk tempoh melebihi setahun kerana tindakan menegah daripada menyewakannya melebihi daripada setahun akan membawa waqaf menjadi terbengkalai dan perkara ini bertentangan dengan mashlahat pewaqaf.

Oleh yang demikian, berdasarkan penjelasan ulama di atas, nâzhir waqaf tidak boleh mengubah syarat pewaqaf kecuali dalam keadaan dharurat bagi menjaga mashlahat waqaf daripada terbengkalai.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6621