Sembahyang Sunat Hajat Dilakukan Pada Waktu-Waktu Terlarang
Salah satu sembahyang sunat yang disyariatkan dalam Islam ialah sembahyang sunat Hajat. Sembahyang sunat Hajat ialah sembahyang dua rakaat yang didirikan oleh seseorang dengan niat memohon agar hajatnya sama ada yang berkaitan dengan urusan dunia mahupun akhirat tertunai. Sebagai contoh, sembahyang sunat Hajat bagi memohon agar lulus dalam peperiksaan.
Suatu hajat kadang kala datang secara mendadak dan seseorang itu berhasrat untuk melakukan sembahyang sunat Hajat dengan segera. Namun adakah sembahyang sunat Hajat itu boleh dilakukan pada bila-bila masa termasuk pada waktu-waktu yang dilarang mengerjakannya?
Waktu Dilarang Sembahyang
Terdapat lima waktu yang dilarang mengerjakan sembahyang. Tiga daripada waktu tersebut ialah yang berkaitan dengan waktu iaitu:
1. Waktu matahari terbit sehingga matahari naik pada kadar satu galah iaitu kira-kira tujuh hasta pada pandangan mata.
2. Waktu al-istiwâ’ iaitu ketika matahari berada di tengah langit sehingga matahari tergelincir.
3. Waktu warna matahari menjadi kekuning-kuningan sehingga matahari terbenam.
Ketiga-tiga waktu ini ada disebut di dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam daripada ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani Radhiallâhu ‘anhu, dia berkata:
Maksudnya: (Terdapat) tiga waktu yang Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang kami mengerjakan sembahyang padanya atau kami mengebumikan mayat padanya (dengan sengaja melambatkan pengebumian sehingga ke waktu-waktu ini), iaitu ketika matahari terbit sehingga meninggi (segalah), ketika unta berdiri (disebabkan kepanasan bumi iaitu ketika matahari berada di tengah langit) sehingga matahari tergelincir dan ketika matahari condong (kekuning-kuningan dan menghampiri) untuk terbenam sehingga ia terbenam. (Hadits riwayat Muslim)
Manakala dua daripada waktu yang dilarang padanya mengerjakan sembahyang lagi ialah yang berkaitan dengan perbuatan, iaitu:
1. Selepas seseorang menunaikan sembahyang fardhu Shubuh sehingga matahari terbit.
2. Selepas seseorang menunaikan sembahyang fardhu ‘Ashar sehingga matahari terbenam.
Kedua-dua waktu ini pula ada disebut dalam hadits daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu bahawa dia telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ada sembahyang selepas sembahyang Shubuh sehingga matahari meninggi (segalah) dan tidak ada sembahyang selepas sembahyang ‘Ashar sehingga matahari terbenam. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hukum melakukan sembahyang pada lima waktu yang disebutkan di atas adalah haram dan tidak sah. Walau bagaimanapun hukum ini terkecuali pada dua perkara iaitu waktu al-istiwâ’ pada hari Jumaat dan ketika berada di tanah haram Makkah. Sembahyang yang dilakukan pada hari Jumaat ketika waktu al-istiwâ’ adalah harus sama ada bagi orang yang hadir menunaikan sembahyang Jumaat ataupun tidak.
Demikian juga sembahyang yang dilakukan di tanah haram Makkah pada waktu-waktu terlarang berdasarkan satu riwayat daripada Jubair bin Muth‘im Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Jangan kamu larang seseorang thawaf di rumah ini (Baitullah) dan mengerjakan sembahyang pada bila-bila masa yang dia mahu, malam atau siang. (Hadits riwayat Abu Daud)
Sembahyang Sunat Hajat Pada Waktu yang Dilarang
Sembahyang-sembahyang yang ditegah melakukannya pada waktu-waktu yang dilarang itu ialah sembahyang-sembahyang yang tidak mempunyai sebab seperti sembahyang sunat muthlaq dan sembahyang sunat Tasbih. Demikian juga, sembahyang yang mempunyai sebab tetapi sebabnya datang kemudian setelah sembahyang seperti sembahyang sunat Istikharah dan sembahyang sunat Ihram.
Sembahyang yang tidak mempunyai sebab atau sembahyang yang mempunyai sebab tetapi sebabnya datang kemudian adalah tidak sah jika dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang.
Menurut asy-Syaikh Sa‘id bin Muhammad Ba‘ashin Rahimahullâh dalam kitabnya Busyrâ al-Karîm bi Syarh Masâ’il at-Ta‘lîm, sembahyang sunat Hajat adalah antara sembahyang yang mempunyai sebab kemudian.
Oleh yang demikian, sembahyang sunat Hajat tidak boleh dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang melakukan sembahyang dan jika dilakukan sembahyang sunat Hajat tersebut adalah tidak sah.
Berbeza halnya dengan sembahyang-sembahyang yang mempunyai sebab yang terdahulu daripada sembahyangnya seperti sembahyang sunat Wudhu’ dan sembahyang yang mempunyai sebab beriringan seperti sembahyang sunat gerhana.
Perkara yang menjadi sebab dalam sembahyang sunat Wudhu’ ialah wudhu’ dan wudhu’ itu dilakukan terlebih dahulu dari sembahyang sunat Wudhu’. Manakala perkara yang menjadi sebab dalam sembahyang sunat gerhana pula ialah gerhana matahari atau gerhana bulan. Permulaan gerhana itu mendahului sembahyang sunat gerhana sekalipun gerhana itu masih berlaku ketika sembahyang sunat gerhana dilakukan.
Sembahyang-sembahyang yang mempunyai sebab terdahulu dan yang mempunyai sebab beriringan seperti kedua-dua sembahyang yang dinyatakan di atas tidak ditegah jika dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang, bahkan sah dilakukan pada waktu-waktu tersebut. Selain kedua-dua sembahyang tersebut, antara sembahyang yang juga tidak ditegah melakukannya pada waktu-waktu dilarang ialah sembahyang qadha’ sama ada qadha’ sembahyang fardhu atau qadha’ sembahyang sunat, sembahyang sunat yang dinazarkan, sembahyang sunat Hari Raya, sembahyang sunat Dhuha, sembahyang sunat Thawaf dan lain-lain kerana kesemuanya mempunyai sebab terdahulu atau beriringan dengan sebabnya.
Demikian penjelasan mengenai sembahyang sunat Hajat yang dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang sembahyang.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6626
