Melakukan At-Takhlil Pada Jari Jemari Ketika Berwudhu’
MELAKUKAN AT-TAKHLÎL PADA JARI-JEMARI KETIKA BERWUDHU’
Perkara-perkara sunat dalam wudhu’ adalah perkara-perkara yang diberikan pahala apabila mengerjakannya dan tidak berdosa apabila meninggalkannya. Apabila semua perkara sunat dalam wudhu’ ditinggalkan atau hanya dilakukan sebahagiannya sahaja, wudhu’ tetap sah. Walau bagaimanapun, mengerjakan perkara sunat dalam wudhu’ adalah afdhal dan wudhu’ menjadi lebih sempurna.
Salah satu perkara yang sunat dilakukan dalam wudhu’ ialah melakukan at-takhlîl pada jari-jemari kedua-dua tangan dan kaki.
At-takhlîl di sini bermaksud merenggangkan jari-jemari kedua-dua tangan dan kaki untuk menyampaikan air wudhu’ pada celah-celah jari. Melakukan at-takhlîl pada jari-jemari kedua-dua tangan dan kaki ketika berwudhu’ hukumnya sunat berdasarkan hadits daripada Laqith bin Shabrah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sempurnakanlah wudhu’ (dengan turut mengerjakan perkara-perkara sunatnya), dan lakukanlah at-takhlîl di antara jari-jemari. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Begitu juga hadits daripada Ibn ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Jika engkau berwudhu’, maka lakukanlah at-takhlîl antara jari-jemari kedua-dua tanganmu dan (jari-jemari) kedua-dua kakimu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Kaifiyyah Melakukan At-Takhlîl Pada Jari-jemari
Kaifiyyah melakukan at-takhlîl pada jari-jemari kedua-dua tangan dan kaki ketika berwudhu’ adalah sepertimana berikut:
1. Kaifiyyah Melakukan At-takhlîl Pada Jari-jemari Tangan.
Kaifiyyah melakukan at-takhlîl pada jari-jemari kedua-dua tangan ketika berwudhu’ boleh dilakukan dengan apa cara sekalipun yang dapat menyampaikan air ke celah-celah jari. Namun kaifiyyah at-takhlîl yang afdhal dan lebih sempurna ialah kaifiyyah at-tasybîk.
Menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Nihâyah al-Muhtâj, at-tasybîk ialah perbuatan seseorang memasukkan jari-jemari salah satu tangannya ke celah-celah jari-jemari tangannya yang lain, sama ada ia dilakukan dengan meletakkan salah satu tapak tangannya ke atas tapak tangannya yang lain atau meletakkan salah satu tapak tangannya ke atas belakang tangannya yang lain.
Menurut Imam asy-Syaubari Rahimahullâh sebagaimana yang dinukil oleh Imam asy-Syibramallisi Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Nihâyah al-Muhtâj, kaifiyyah at-tasybîk yang lebih utama dilakukan ialah seseorang meletakkan tapak tangannya yang kiri ke atas belakang tangannya yang kanan dan melakukan at-takhlil pada jari-jemarinya, kemudian dia meletakkan tapak tangannya yang kanan ke atas belakang tangannya yang kiri dan melakukan at-takhlil pada jari-jemarinya.
Adapun sebab kaifiyyah at-tasybîk lebih diutamakan ialah kerana dengan melakukan kaifiyyah tersebut, at-takhlîl pada jari-jemari kedua-dua tangan ketika berwudhu’ dapat dilakukan dengan cepat dan senang. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya al-Minhâj al-Qawîm sepertimana berikut:
Ertinya: Dan lebih utama ia (perbuatan at-takhlîl) pada jari-jemari kedua-dua tangan (dilakukan) dengan (kaifiyyah) at-tasybîk bagi mencapai maksud (at-takhlîl) dengan cepat dan senang.
2. Kaifiyyah Melakukan At-Takhlîl Pada Jari-jemari Kaki.
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, kaifiyyat melakukan at-takhlil pada jari-jemari kedua-dua kaki ketika berwudhu’ boleh dilakukan dengan apa cara sekalipun yang dapat menyampaikan air ke celah-celah jari.
Walau bagaimanapun, kaifiyyah melakukan at-takhlîl pada jari-jemari kedua-dua kaki yang afdhal dan lebih sempurna ialah dengan menggunakan jari kelingking tangan kiri untuk membasuh celah-celah jari-jemari kakinya dan hendaklah membasuhnya dengan menggunakan jari kelingking tersebut dengan memasukkan jari kelingkingnya ke celah-celah jari kaki itu dari arah bawah kakinya. Imam asy-Syarwani Rahimahullâh dalam Hâsyiyah Tuhfah al-Muhtâj menukil dari syarah kitab al-‘Ubab bahawa menggunakan anggota kiri adalah lebih sesuai untuk menghilangkan kotoran dan pada kebiasaannya di celah-celah jari-jemari kaki itu selalu terdapat kotoran.
Apabila hendak melakukan at-takhlîl pada jari-jemari kaki, adalah lebih utama dimulakan dari jari kelingking kaki kanannya dan meneruskan at-takhlîl pada jari-jemari yang lain hingga berakhir pada jari kelingking kaki kirinya.
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya al-Minhâj al- Qawim, kaifiyyah sedemikian adalah senang dilakukan dan dapat memelihara tuntutan untuk mendahulukan anggota sebelah kanan sepertimana katanya:
Ertinya: Dan adalah lebih utama (at-takhlîl pada jari-jemari kaki itu) dengan memulakan dari bawah jari kelingking kaki kanan dan dia meneruskan (at-takhlîl tersebut) secara berurutan sehingga jari kelingking kaki kiri kerana pada (kaifiyyah) yang demikian itu (terdapat) kesenangan (bagi mencapai maksud at-takhlîl) di samping dapat memelihara tuntutan untuk mendahulukan (anggota) sebelah kanan.
Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al- Muhtâj, melakukan at-takhlîl pada jari-jemari kedua-dua kaki dan tangan ketika berwudhu’ sunat dilakukan sebanyak tiga kali.
Hukum sunat melakukan at-takhlîl ini adalah bagi jari-jemari yang air dapat sampai ke celah-celahnya tanpa melakukan at-takhlîl. Sekiranya air tidak dapat sampai ke celah-celah jari-jemarinya melainkan dengan melakukan at-takhlîl, maka dalam hal ini wajib dilakukan at-takhlîl pada bahagian jari-jemari tersebut bagi menunaikan tuntutan wajib menyampaikan air ke seluruh bahagian anggota wudhu’ tersebut.
Demikian penjelasan mengenai melakukan at-takhlîl pada jari-jemari ketika berwudhu’.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6630
