Pembahagian Harta Pusaka Secara Sama Rata
Apabila seseorang meninggal dunia, harta yang dimiliki semasa hidupnya akan menjadi at-târikah (harta pusaka). Harta pusaka tersebut pula akan berpindah kepada ahli waris si mati setelah mereka menyelesaikan perbelanjaan pengurusan jenazah, membayar segala hutang si mati sama ada hutang kepada Allah Ta‘ala atau kepada manusia dan menjalankan wasiatnya jika ada.
Pembahagian Harta Pusaka
Pembahagian harta pusaka kepada ahli waris yang berhak menerimanya telah ditentukan dan dihuraikan secara terperinci dalam al-Qur’an sepertimana dalam surah an-Nisâ’ ayat 7, 11, 12, 13 dan 14, surah al-Anfâl ayat 75 dan surah al-Ahzâb ayat 6.
Ilmu yang menjelaskan tentang pembahagian harta pusaka ini menurut disiplin ilmu dalam Islam dikenali sebagai ilmu farâ’idh. Dalam ilmu tersebut dijelaskan tentang orang yang berhak menjadi ahli waris dan berapa bahagian atau kadar yang didapat oleh setiap ahli waris daripada harta pusaka tersebut.
Pembahagian harta pusaka wajib dilaksanakan menurut sebagaimana yang dijelaskan dalam ilmu farâ’idh. Orang yang redha dengan pembahagian yang telah ditetapkan oleh Allah Ta‘ala kepadanya akan diberkati hartanya dan dia mendapat ganjaran syurga serta kejayaan yang sangat besar di dunia dan akhirat. Manakala orang yang tidak mengikut ketetapan ini pula adalah melakukan dosa besar dan mengambil harta ahli keluarganya secara zalim. Perbuatannya ini juga akan membawanya kepada kebinasaan dan mendapat azab di akhirat kelak. Perkara ini dijelaskan sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Segala hukum yang tersebut itu adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya nescaya (Allah) memasukkannya ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah kejayaan yang sangat besar. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya dan melanggar batas-batasNya (hukum pembahagian harta pusaka) nescaya (Allah) memasukkannya ke dalam neraka, dia kekal di dalamnya dan baginya azab yang menghinakan. (Surah an-Nisâ’: 13-14)
Ahli waris yang berhak mendapat harta pusaka itu terdiri daripada orang-orang yang ditentukan oleh syara‘, sama ada lelaki atau perempuan dan sama ada dia mendapat harta pusaka secara fardh (kadar tertentu) atau secara ‘ashabah iaitu mendapat baki harta setelah pembahagian harta kepada ahli waris secara fardh.
Sebagai contoh, seseorang meninggal dunia dan dia meninggalkan ibu, bapa, seorang isteri, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Maka ibu, bapa dan isterinya mendapat bahagian secara fardh. Manakala kedua-dua anaknya mendapat ‘ashabah. Pembahagian harta pusaka si mati adalah seperti berikut:
Ahli Waris Bahagian
Ibu 1/6
Bapa 1/6
Isteri 1/8
Anak lelaki ‘Ashabah (baki harta)
Anak perempuan
Adapun pembahagian ‘ashabah (baki harta) kepada anak lelaki dan anak perempuan adalah dengan nisbah dua bahagian bagi lelaki dan satu bahagian bagi perempuan berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Allah memerintahkan kamu dalam hal (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu. Bahagian untuk seorang anak laki-laki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. (Surah an-Nisâ’: 11)
Hukum Pembahagian Harta Pusaka Secara Sama Rata
Sebagaimana dijelaskan di atas, pembahagian harta pusaka itu wajib dilaksanakan mengikut ilmu farâ’idh. Walau bagaimanapun setelah mengetahui bahagian masing-masing, ahli waris harus menyerahkan atau menggugurkan haknya secara suka rela terhadap bahagian yang didapatnya dari harta pusaka sama ada keseluruhan atau sebahagiannya untuk tujuan tabarru‘ (tanpa sebarang imbalan).
Ini bererti, pembahagian harta pusaka secara sama rata itu harus dilakukan setelah setiap ahli waris mengetahui bahagian masing-masing daripada harta pusaka mengikut farâ’idh. Keharusan pembahagian harta pusaka secara sama rata itu pula tertakluk kepada keadaan-keadaan berikut:
i. Jika kesemua ahli waris itu kâmil al-ahliyyah li at-ta‘âqud (berakal, bâligh dan rasyîd) bersetuju dengan pembahagian harta pusaka secara sama rata, maka harus dilaksanakan pembahagian secara sama rata. Dalam hal ini, setiap seorang daripada ahli waris akan menerima bahagian yang sama rata, sama ada lelaki atau perempuan.
ii. Jika ada di kalangan ahli waris itu orang yang tidak kâmil al-ahliyyah (tidak berakal, belum bâligh atau tidak rasyîd), maka tidak harus dilaksanakan pembahagian secara sama rata kerana persetujuannya adalah tidak sah menurut syara‘.
iii. Jika sebahagian ahli waris bersetuju dengan pembahagian harta pusaka secara sama rata, manakala sebahagian lagi tidak bersetuju, maka ahli waris yang tidak bersetuju itu tetap diberikan hak dan bahagian masing-masing mengikut kiraan farâ’idh. Oleh yang demikian, harta pusaka tersebut dibahagikan terlebih dahulu mengikut pembahagian ilmu farâ’idh kepada ahli waris yang tidak bersetuju dan bakinya dibahagikan kepada ahli waris yang bersetuju secara sama rata.
Sebagai contoh, jika kedua-dua ibu bapa si mati dan kedua-dua anaknya bersetuju dengan pembahagian secara sama rata, manakala isteri kepada si mati pula tidak bersetuju dengan cara pembahagian tersebut, maka bahagian isteri berkenaan tetap dibahagi mengikut farâ’idh iaitu satu perlapan daripada harta pusaka. Setelah pembahagian untuk isteri berkenaan, baki daripada harta pusaka tersebut dibahagi secara sama rata di kalangan ibu bapa dan kedua-dua anak si mati, sama ada anak lelaki atau perempuan.
Demikian penjelasan mengenai pembahagian harta pusaka secara sama rata.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6634
