Darah Ikan Dan Air Basuhan Ikan Yang Berdarah: Adakah Najis?
Menurut hukum syara‘, ikan adalah binatang yang halal dimakan sebagaimana binatang laut yang lain. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut. (Surah al-Mâ’idah: 96)
Dalam sebuah hadits daripada Ibn ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, dia berkata:
Maksudnya: Dihalalkan bagi kami dua jenis bangkai dan dua jenis darah iaitu (bangkai) belalang, (bangkai) ikan, hati dan limpa. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Tidak seperti bangkai binatang lain, bangkai ikan adalah halal untuk dimakan. Halal memakan ikan yang telah mati sama ada mati dengan sendirinya ataupun disebabkan perkara lain seperti dihempap batu, dipukul nelayan atau mati disebabkan keadaan air yang surut. Halal memakan ikan yang telah mati sama ada yang terapung di permukaan air ataupun yang tenggelam di dalamnya. Demikian juga, tidak seperti bangkai binatang lain yang dihukumkan najis, bangkai ikan adalah suci. Namun adakah darah ikan dan air basuhan ikan yang berdarah dihukumkan suci?
Hukum Darah Ikan Darah adalah najis sama ada darah manusia atau darah binatang. Ia termasuk dalam kategori najis mutawassithah seperti tahi, air kencing, nanah dan selainnya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai (binatang yang mati tanpa disembelih) dan darah (yang mengalir). (Surah al-Mâ’idah: 3)
Menurut pendapat al-ashah darah ikan adalah najis. Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Majmû‘ menyebut:
Ertinya: Adapun dua wajh (pendapat) mengenai darah ikan, dua pendapat yang masyhur dan telah dinaqal oleh ulama al-Ashhâb kedua pendapat tersebut dalam (permasalahan) darah belalang. Imam ar-Rafi‘i juga menaqal dua pendapat tersebut dalam perkara darah yang keluar dari hati dan limpa. Menurut pendapat al-ashah, kesemuanya adalah najis.
Oleh yang demikian, apabila darah ikan terkena pada badan atau pakaian seseorang yang hendak menunaikan sembahyang atau pada tempat sembahyang, maka hendaklah dihilangkan darah itu terlebih dahulu kerana salah satu syarat sah sembahyang adalah suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat.
Menurut hukum syara‘, cara membersihkan tempat yang terkena najis mutawassithah adalah memadai dengan menjirus atau mengalirkan air yang suci lagi menyucikan pada tempat berkenaan. Jika ada kelihatan ‘ain (mata benda) najis pada tempat berkenaan, maka wajib dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu dan wajib dihilangkan sifat-sifatnya iaitu rasa, warna dan baunya. Wajib dihilangkan rasa najis itu walaupun sukar kerana rasa najis yang masih ada menunjukkan ‘ain najis masih ada dan wajib berusaha untuk menghilangkan warna dan baunya. Walau bagaimanapun, tidak mengapa jika masih terdapat salah satu daripada dua sifat iaitu warna najis seperti sedikit warna darah ataupun bau najis seperti bau darah kerana sukar untuk dihilangkan. Ini bererti tempat yang terkena najis itu menjadi suci apabila rasa najis telah hilang sekalipun salah satu sifat najis sama ada warna ataupun bau masih ada kerana sukar untuk dihilangkan. Sebaliknya, tempat yang terkena najis masih tidak suci jika kedua-dua sifat iaitu warna dan bau masih ada sekalipun rasa najis telah hilang.
Air Basuhan Ikan
Air basuhan ikan iaitu air yang telah digunakan untuk membasuh ikan itu boleh dibahagikan kepada dua keadaan:
1. Jika kadar air basuhan itu sedikit dan bercampur dengan darah ikan yang dibasuh, maka air itu dihukumkan najis. Air basuhan yang sedikit itu hanya dihukumkan suci apabila memenuhi tiga syarat berikut, iaitu:
i. Ikan yang dibasuh itu telah suci seperti ikan tersebut telah dibersihkan dan dibasuh sehingga hilang darahnya.
ii. Sifat air basuhan iaitu rasa, bau dan warnanya tidak berubah.
iii. Timbangan air basuhan setelah digunakan tidak bertambah beratnya sesudah diambil kira kadar yang diserap oleh ikan yang dibasuh dan kadar kotoran yang suci yang keluar di dalamnya.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya al-Minhâj ada menyebut:
Ertinya: Dan menurut pendapat al-azhhar adalah suci air basuhan (yang sedikit) yang terpisah (dari tempat najis yang dibasuh) tanpa ada sebarang perubahan (pada air basuhan tersebut) dan tempat yang dibasuh itu telah suci.
Sekalipun air basuhan ikan itu suci namun ia tidak menyucikan.
2. Jika kadar air basuhan ikan itu banyak, maka air basuhan itu dihukumkan suci selagi sifat air iaitu bau, rasa dan warna tidak berubah walaupun ikan yang dibasuh belum suci daripada najis (darah).
Maksud kadar air yang sedikit itu ialah kadar yang kurang dari dua qullah iaitu kira-kira 216 liter atau dalam ukuran isi padu empat segi 60 x 60 x 60 sentimeter. Manakala kadar air yang banyak pula ialah kadar yang sampai dua qullah atau lebih.
Demikian penjelasan mengenai hukum darah ikan dan air basuhan ikan yang berdarah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6642
