Menulis Nama Atau Ayat Al-Qur’an Di Batu Nisan
Meletakkan batu nisan di atas perkuburan hukumnya adalah sunat. Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat untuk meletakkan batu nisan di atas kubur ahli keluarga yang telah meninggal dunia sebagai penanda atau pengenalan bagi si mati. Batu nisan tersebut ada yang ditulis padanya nama, tarikh lahir dan tarikh kematian si mati. Selain nisan, tulisan tersebut juga adakalanya dibuat pada tambak kubur atau plak (papan tanda). Bahkan kadang-kadang selain pengenalan si mati, disertakan pula dengan ayat-ayat al- Qur’an seperti basmalah, surah al-Fâtihah dan kalimat istirjâ‘ ( َ َِّنَّ إِلَيْه ِ رَاجِعُوْن َِّنَّ ِلَِِّ وَإ إ).
Menulis Sesuatu di Batu Nisan
Perbuatan menulis sesuatu di batu nisan secara mutlak adalah salah satu daripada perkara-perkara yang dilarang untuk dilakukan sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang dari mengapur kubur, menulis padanya, membuat binaan di atasnya dan duduk di atasnya. (Hadits riwayat al-Hakim)
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn bahawa hukum menulis sesuatu di atas kubur adalah makruh sebagaimana katanya:
Ertinya: Makruh mengapur kubur, membuat binaan (di atas kubur) dan menulis di atasnya.
Para ulama seperti Imam Ibn Hajar al-Haitaimi, Imam ar-Ramli dan asy-Syaikh al- Khathib asy-Syarbini Rahimahumullâh menjelaskan maksud perkataan “menulis di atasnya (kubur)” ialah seperti menulis nama si mati atau selainnya dan termasuk menulis ayat-ayat al-Qur’an sama ada tulisan itu pada papan yang diletakkan pada bahagian kepala mayat atau pada.
Maka jelas bahawa hukum menulis sesuatu di atas batu nisan atau selainnya secara mutlak atau tanpa sebab adalah makruh.
Menulis Nama di Batu Nisan Kerana Hajat
Menulis sesuatu di batu nisan itu dihukumkan makruh jika tidak ada apa-apa keperluan padanya. Jika penulisan nama itu ada keperluan padanya seperti bertujuan untuk pengenalan kubur si mati bagi keperluan orang yang menziarahinya maka tidak makruh hukumnya bahkan sunat dengan syarat tulisan itu sekadar yang diperlukan sahaja, lebih-lebih lagi pada kubur para wali, para ulama dan orang-orang salih. Tanpa tulisan tersebut kubur mereka tidak akan diketahui setelah berlalu tempoh yang lama.
Menulis Ayat Al-Qur’an di Batu Nisan
Hukum menulis ayat-ayat al-Qur’an di batu nisan adalah makruh sebagaimana yang disebut oleh asy-Syaikh al-Bujairimi Rahimahullâh. Beliau menyebut:
Ertinya: Dan dihukumkan makruh menulis di atasnya iaitu di atas kubur sekalipun (menulis) ayat al-Qur’an.
Begitu juga makruh menulis ayat-ayat al-Qur’an pada papan yang diletakkan di atas kubur pada bahagian kepala mayat ataupun pada selainnya selagi ia tidak terdedah kepada penghinaan seperti dipijak atau terkena najis. Jika ia terdedah kepada penghinaan, maka hukumnya adalah haram.
Oleh itu, adalah lebih baik ditinggalkan menulis ayat al-Qur’an di atas kubur terutama sekali di kubur musabbalah (tanah bagi perkuburan awam) kerana kesukaran memelihara kesucian ayat al-Qur’an tersebut daripada dicemari najis, kotoran serta perbuatan-perbuatan yang menghinakannya seperti dilangkahi, diduduki dan sebagainya. Tambahan pula, tidak ada keperluan untuk menulis ayat-ayat tersebut pada kubur seseorang kerana ayat-ayat berkenaan tidak diperlukan untuk dijadikan sebagai penanda atau pengenalan bagi si mati.
Demikian penjelasan mengenai hukum menulis nama si mati atau ayat-ayat al-Qur’an di batu nisan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6646
