Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Mengerjakan Sembahyang Sunat Rawatib Ketika Sembahyang Jamak’

MENGERJAKAN SEMBAHYANG SUNAT RAWÂTIB KETIKA SEMBAHYANG JAMA‘

Sembahyang-sembahyang sunat rawâtib itu antaranya ialah sembahyang sunat yang mengiringi sembahyang fardhu lima waktu. Jika dilakukan sebelum menunaikan sembahyang fardhu ia disebut sebagai sembahyang sunat qabliyyah, manakala jika dilakukan selepas sembahyang fardhu ia disebut sebagai sembahyang sunat ba‘diyyah.

Sembahyang sunat rawâtib yang mengiringi sembahyang fardhu sunat dilakukan sama ada ketika muqîm (tinggal menetap di suatu tempat) ataupun ketika dalam pelayaran. Akan tetapi, mengerjakannya ketika muqîm adalah lebih dituntut. Jika seseorang itu muqîm, sembahyang sunat rawâtib dilakukan mengikut sebagaimana waktunya yang ditetapkan iaitu sebelum sembahyang fardhu bagi sembahyang sunat qabliyyah atau selepas sembahyang fardhu bagi sembahyang sunat ba‘diyyah.

Walau bagaimanapun, timbul kemusykilan tentang cara pelaksanaannya ketika dalam pelayaran sekiranya seseorang itu mengambil rukhshah (keringanan) untuk mengerjakan sembahyang secara jama‘.

Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang jama‘, cara pelaksanaan sembahyang sunat rawâtib yang mengiringi sembahyang fardhu tertakluk pada sembahyang jama‘ yang dilakukannya sama ada secara jama‘ taqdîm atau jama‘ ta’khîr.

Sembahyang Sunat Rawâtib Ketika Jama‘ Taqdîm

Jama‘ taqdîm ialah mengerjakan sembahyang fardhu Zhuhur dan ‘Ashar dalam waktu Zhuhur atau mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib dan ‘Isya’ dalam waktu Maghrib.

Antara perkara yang disyaratkan dalam sembahyang jama‘ taqdîm ialah tertib dan muwâlâh. Tertib bermaksud memulakan sembahyang fardhu yang pertama terlebih dahulu daripada sembahyang fardhu yang kedua. Ini bererti, seseorang yang hendak mengerjakan sembahyang secara jama‘ taqdîm hendaklah mengerjakan dua sembahyang itu secara tertib dengan memulakan sembahyang yang pertama iaitu sembahyang fardhu Zhuhur atau Maghrib kemudian diikuti selepas itu mengerjakan sembahyang fardhu ‘Ashar atau ‘Isya’. Jika dia mengerjakan sembahyang jama‘ taqdîm tanpa tertib seperti dia mendahulukan sembahyang fardhu ‘Ashar daripada sembahyang fardhu Zhuhur, maka tidak sah sembahyang fardhu ‘Ashar itu dan hendaklah dia mengulang sembahyang fardhu ‘Ashar itu selepas sembahyang fardhu Zhuhur jika dia ingin meneruskan jama‘ dengan sembahyang fardhu Zhuhur.

Manakala muwâlâh pula bermaksud berturut-turut iaitu tidak memisahkan antara dua sembahyang fardhu yang dijama‘ dengan jarak waktu yang panjang.

Oleh yang demikian bagi memenuhi tuntutan syarat muwâlâh dalam sembahyang jama‘ taqdîm, sembahyang sunat rawâtib hendaklah dilakukan sama ada dengan cara:

i. Mendahulukan sembahyang sunat qabliyyah bagi sembahyang fardhu yang pertama ke atas kedua-dua sembahyang fardhu yang dijama‘, kemudian selepas mengerjakan kedua-dua sembahyang fardhu yang dijama‘, barulah mengerjakan sembahyang sunat ba‘diyyah bagi sembahyang fardhu yang pertama dan diikuti sembahyang sunat qabliyyah dan ba‘diyyah bagi sembahyang fardhu yang kedua.

ii. Mengerjakan kedua-dua sembahyang fardhu yang dijama‘ terlebih dahulu, kemudian selepas mengerjakan kedua-dua sembahyang fardhu yang dijama‘, barulah mengerjakan semua sembahyang sunat qabliyyah dan ba‘diyyah bagi kedua-dua sembahyang fardhu.

Sebagai contoh, sembahyang sunat rawâtib bagi sembahyang jama‘ taqdîm Maghrib dan ‘Isya’ boleh dilakukan dengan dua cara berikut:

Cara pertama:

a. Mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah Maghrib. b. Kemudian mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib. c. Kemudian mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’. d. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat ba‘diyyah Maghrib. e. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah ‘Isya’. f. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat ba‘diyyah ‘Isya’ (Contoh dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj 2/397 dan Mughnî al-Muhtâj).

Cara kedua:

a. Mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib. b. Kemudian mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’. c. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah Maghrib. d. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat ba‘diyyah Maghrib. e. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah ‘Isya’. f. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat ba‘diyyah ‘Isya’.

Sembahyang Sunat Rawâtib Ketika Jama‘ Ta’khîr

Jama‘ ta’khîr ialah mengerjakan sembahyang fardhu Zhuhur dengan ‘Ashar di dalam waktu ‘Ashar atau mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib dengan ‘Isya’ di dalam waktu ‘Isya’.

Berbeza halnya dengan sembahyang jama‘ taqdîm, sembahyang jama‘ ta’khîr tidak disyaratkan tertib dan muwâlâh. Walau bagaimanapun, mengerjakan dua sembahyang yang dilakukan secara jama‘ ta’khîr itu secara tertib dan muwâlâh hukumnya adalah sunat. Adapun cara mengerjakan sembahyang sunat rawâtib ketika mengerjakan sembahyang jama‘ ta’khîr secara tertib dan muwâlâh adalah sama sebagaimana cara mengerjakannya ketika jama‘ taqdîm.

Oleh kerana tertib dan muwâlâh tidak disyaratkan dalam sembahyang jama‘ ta’khîr, maka sembahyang sunat rawâtib dalam jama‘ ta’khîr boleh dikerjakan dengan beberapa cara selagi sembahyang sunat ba‘diyyah tidak mendahului sembahyang fardhunya. Sebagai contoh, sembahyang sunat rawâtib bagi sembahyang jama‘ ta’khîr Maghrib dan ‘Isya’ boleh dilakukan dengan beberapa cara, antaranya:

Cara pertama:

a. Mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah Maghrib. b. Kemudian mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib. c. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat ba‘diyyah Maghrib. d. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah ‘Isya’. e. Kemudian mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’. f. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat ba‘diyyah ‘Isya’.

Cara kedua:

a. Mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib. b. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah Maghrib. c. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat ba‘diyyah Maghrib. d. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah ‘Isya’. e. Kemudian mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’. f. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat ba‘diyyah ‘Isya’.

Cara ketiga:

a. Mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah ‘Isya’. b. Kemudian mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’. c. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat ba‘diyyah ‘Isya’. d. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah Maghrib.

e. Kemudian mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib. f. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat ba‘diyyah Maghrib.

Cara keempat:

a. Mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’. b. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah ‘Isya’. c. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat ba‘diyyah ‘Isya’. d. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat qabliyyah Maghrib. e. Kemudian mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib. f. Kemudian mengerjakan sembahyang sunat ba‘diyyah Maghrib.

Demikian penjelasan kaifiyyah atau cara mengerjakan sembahyang sunat rawâtib ketika mengerjakan sembahyang jama‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6650