Hibah Dengan Lafaz ‘Umra
Hibah bermaksud pemberian milik terhadap suatu barang tanpa imbalan yang dilakukan semasa hidup secara sukarela. Hibah merupakan ‘aqad yang sunat dilakukan berdasarkan ijmâ‘ para ulama. Hibah adalah salah satu bentuk kebajikan dan berbuat kebajikan itu dituntut dalam agama sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan. (Surah al-Mâ’idah: 2)
Hibah juga merupakan antara sebab yang membawa kepada kasih sayang sesama manusia sebagaimana yang disebut dalam hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Saling memberi (hibah) antara kamu, (nescaya) kamu akan saling mengasihi. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hibah mempunyai tiga rukun iaitu dua orang yang ber‘aqad hibah (pemberi dan penerima), shîghah (îjâb dan qabûl) dan barang hibah. Setiap rukun hibah mempunyai syarat-syarat yang perlu dipenuhi agar ‘aqad hibah menjadi sah. Jika salah satu daripada syarat itu tidak dipenuhi, maka ‘aqad hibah tersebut menjadi tidak sah.
Salah satu syarat dalam shîghah ‘aqad hibah itu ialah orang yang melakukan shîghah ‘aqad hibah hendaklah tidak menetapkan tempoh dalam shîghah. Jika dia menetapkan tempoh dalam shîghah, maka ‘aqad hibahnya menjadi tidak sah.
Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian bagi perkara menetapkan tempoh dalam shîghah yang menjadikan ‘aqad hibah tetap sah, salah satu daripadanya ialah beberapa keadaan dalam menetapkan tempoh dengan lafaz ‘umrâ.
Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al- Muhtâj, perkataan ‘umrâ diambil daripada perkataan al-‘umr yang bermaksud umur. Ia dipanggil ‘umra kerana seseorang itu menjadikan pemilikan hibah itu bertempoh mengikut umur seseorang, umpamanya seseorang berkata: “Aku hibahkan barang ini kepadamu seumur hidupmu”, “Aku jadikan barang ini untukmu seumur hidupmu”, “Aku jadikan barang ini untukmu sepanjang hayatmu”, “Aku jadikan barang ini untukmu selama engkau hidup” atau seumpamanya.
Hukum hibah dengan lafaz ‘umrâ tertakluk kepada penetapan tempoh dengan umur seseorang iaitu sama ada penetapan tempoh dikaitkan dengan umur penerima, umur pemberi atau umur orang selain penerima dan pemberi.
Lafaz ‘Umrâ Dengan Umur Penerima Hibah
Penetapan tempoh umur penerima dengan lafaz ‘umrâ boleh berlaku dalam tiga keadaan seperti berikut:
1. Pemberi melakukan ‘aqad hibah dengan lafaz ‘umrâ serta menyatakan barang hibah akan menjadi milik waris penerima jika penerima itu meninggal dunia, contohnya pemberi berkata kepada penerima: “Aku jadikan rumah ini untukmu seumur hidupmu. Apabila kau meninggal dunia, maka rumah tersebut akan menjadi milik warismu atau keturunanmu”. Maka sah hibah dengan shîghah sedemikian tanpa khilâf. Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj, shîghah sedemikian dikira sebagai hibah, maka ia perlu kepada lafaz qabûl dan sah hibah tersebut dengan penerimaan (qabdh) barang hibah. Barang hibah itu akan menjadi milik waris penerima jika penerima itu meninggal dunia. Jika penerima tersebut tidak mempunyai waris, maka barang hibah itu akan menjadi harta Baitul- Mal dan tidak kembali pemilikannya kepada pemberi berdasarkan hadits daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Siapa pun lelaki yang dihibahkan secara ‘umrâ baginya (penerima) dan bagi keturunannya, maka ia (barang hibah itu) adalah (milik) bagi orang yang diberikan (bagi penerima dan keturunannya), tidak kembali (barang hibah itu)
kepada orang yang memberikannya kerana dia memberi suatu pemberian yang jatuh padanya harta perwarisan. (Hadits riwayat Muslim)
2. Pemberi melakukan ‘aqad hibah dengan lafaz ‘umrâ sahaja tanpa menyatakan barang hibah akan menjadi milik waris penerima setelah kematian penerima, contohnya pemberi berkata kepada penerima: “Aku jadikan rumah ini untukmu seumur hidupmu”.
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj dan Imam ar-Ramli Rahimahullâh dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj, lafaz pemberi menjadikan pemilikan hibah itu bertempoh mengikut jangka hayat penerima tanpa menyatakan barang hibah akan menjadi milik waris penerima, tidak menafikan perpindahan milik barang hibah kepada waris penerima apabila penerima tersebut meninggal dunia kerana semua pemilikan itu mengikut jangka hayat pemilik. Maka hibah dengan lafaz ‘umrâ sedemikian adalah sah berdasarkan hadits daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: (Barang hibah dengan lafaz) ‘umrâ adalah harta waris bagi ahli keluarganya (penerima). (Hadits riwayat Muslim)
3. Pemberi melakukan ‘aqad hibah dengan lafaz ‘umrâ serta menyatakan syarat bahawa barang hibah akan menjadi milik pemberi atau warisnya jika penerima itu meninggal dunia, contohnya pemberi berkata kepada penerima: “Aku jadikan rumah ini untukmu seumur hidupmu, jika kau meninggal dunia maka rumah ini kembali menjadi milikku atau menjadi milik warisku jika aku meninggal dunia”. Hibah dengan lafaz sedemikian adalah sah menurut pendapat al-ashah, akan tetapi syarat yang dinyatakan oleh pemberi tidak diambil kira kerana ia merupakan syarat yang fâsid.
Ini bererti hibah itu sah menjadi milik penerima dan apabila penerima tersebut meninggal dunia, barang hibah akan menjadi milik waris penerima dan tidak akan menjadi milik pemberi atau waris pemberi.
Lafaz ‘Umrâ Dengan Umur Pemberi Hibah atau Umur Ajnabiy (Orang Selain Penerima dan Pemberi)
Jika pemberi melakukan ‘aqad hibah dengan lafaz ‘umrâ mengikut umur pemberi, contohnya pemberi berkata kepada penerima: “Aku jadikan rumah ini untukmu seumur hidupku”, atau mengikut umur ajnabiy, contohnya pemberi berkata kepada penerima: “Aku jadikan rumah ini untukmu seumur hidup kawanku yang bernama Zaid,” maka batal ‘aqad hibah tersebut kerana boleh jadi pemberi atau ajnabiy meninggal dunia lebih awal daripada penerima sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullâh.
Sekiranya pemberi atau ajnabiy itu meninggal dunia sebelum penerima, lalu barang hibah tersebut dikembalikan kepada pemberi atau waris pemberi sebagaimana yang disyaratkan, maka ia bertentangan dengan tujuan dan maksud hibah yang sebenar iaitu pemberian milik kepada penerima. Oleh itu, menetapkan tempoh pemilikan hibah mengikut umur pemberi atau umur ajnabiy merupakan syarat yang membatalkan ‘aqad hibah.
Demikian penjelasan mengenai hibah dengan lafaz ‘umrâ.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6654
