Bila Bermula Rukhshah Sembahyang Qasar dan Jama‘?
BILA BERMULA RUKHSHAH SEMBAHYANG QASHAR DAN JAMA‘?
Islam memberikan rukhshah (keringanan) kepada orang-orang yang dalam safar untuk melakukan sembahyang fardhu secara qashar jika jarak perjalanan ke tempat yang hendak ditujunya mencapai 2 marhalah iaitu kira-kira 89.04 kilometer. Qashar ialah memendekkan sembahyang fardhu empat rakaat seperti Zhuhur, ‘Ashar dan ‘Isya’ kepada dua rakaat. Keharusan melakukan sembahyang secara qashar bagi orang yang dalam safar ini adalah berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi maka bukanlah suatu dosa ke atas kamu mengqasharkan (memendekkan) sembahyang. (Surah an-Nisâ’: 101)
Selain itu, mereka juga diharuskan melakukan sembahyang fardhu secara jama‘ iaitu dengan menghimpunkan dua sembahyang fardhu dalam satu waktu, sama ada secara jama‘ taqdîm iaitu menghimpunkan Zhuhur dan ‘Ashar pada waktu Zhuhur atau menghimpunkan Maghrib dan ‘Isya’ pada waktu Maghrib atau secara jama‘ ta’khîr iaitu menghimpunkan Zhuhur dan ‘Ashar pada waktu ‘Ashar atau menghimpunkan Maghrib dan ‘Isya’ pada waktu ‘Isya’. Imam al-Bujairimi Rahimahullâh dalam kitab Hâsyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khathib menyebut:
Ertinya: Dan harus bagi orang musafir (dalam) pelayaran yang (membolehkan) qashar sembahyang untuk menjama‘ dua sembahyang iaitu Zhuhur dan ‘Ashar, pada salah satu waktu antara kedua-duanya yang dia kehendaki (sama ada secara) taqdîm atau ta’khîr dan menjama‘ dua sembahyang iaitu Maghrib dan ‘Isya’ pada salah satu waktu antara keduanya yang dia kehendaki (sama ada secara) taqdîm atau ta’khîr.
Sembahyang qashar dan jama‘ itu hanya harus dilakukan dari bermula safar sebagaimana yang dinyatakan oleh as-Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jurdani Rahimahullâh dalam kitabnya Fath al-‘Allâm, katanya:
Ertinya: Harus bagi orang musafir dari permulaan safarnya, apabila ia safar yang panjang dengan (jarak) dua marhalah atau lebih (pelayaran) yang diharuskan iaitu (pelayaran) yang dibolehkan kerana tujuan berkaitan agama seperti (melaksanakan) haji atau (kerana tujuan) berkaitan duniawi seperti berniaga, untuk dia mengqashar sembahyang empat rakaat dari (sembahyang fardhu) yang lima, iaitu Zhuhur, ‘Ashar dan ‘Isya’ dengan melakukannya dua rakaat jika sembahyang itu tunai (bukan sembahyang yang luput ketika muqîm).
Menyebut mengenai “permulaan safar” yang mengharuskan sembahyang secara qashar dan jama‘ ini, timbul kekeliruan di kalangan orang awam mengenai bila bermulanya rukhshah mengerjakan sembahyang qashar dan jama‘. Adakah ia bermula di rumah atau sebaik sahaja keluar rumah atau setelah sampai perjalanan 2 marhalah atau sebaik sahaja dia melewati perbatasan kampung tempat tinggalnya?
Permulaan Safar
Dalam kitab Syarh Musykil al-Wasîth, Imam Ibn ash-Shalah Rahimahullâh menyatakan bahawa safar itu dikira bermula apabila seorang musafir keluar dari tempat kediamannya yang tetap atau tempat tinggalnya sebagaimana katanya:
Ertinya: Adapun permulaan (safar) ialah keluar dari tempat kediaman yang tetap atau tempat tinggal.
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh dalam kitabnya al-Wasîth fi al-Madzhab, tempat tinggal yang menurut Imam Ibn ash-Shalah Rahimahullâh termasuk kediaman yang tetap, terbahagi kepada tiga iaitu bandar, kampung dan shahrâ’ (padang pasir).
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Minhâj, permulaan safar bagi orang yang menetap atau tinggal di bandar ialah melewati perbatasannya sebagaimana katanya:
Ertinya: Dan sesiapa yang belayar dari bandar, maka permulaan safarnya (ialah) melewati perbatasannya (bandar itu).
Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh menjelaskan perkataan Imam an- Nawawi Rahimahullâh di atas dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj pula menyatakan bahawa orang yang belayar dari bandar yang mempunyai perbatasan, maka permulaan safar dikira setelah melewati perbatasan yang dikhususkan bagi bandar itu.
Manakala bandar yang tidak mempunyai perbatasan khusus pula, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menjelaskan:
Ertinya: Sekiranya ia tidak mempunyai perbatasan, maka permulaannya (safar) ialah melewati bangunan, bukan (melewati) bangunan yang tidak didiami atau kebun-kebun.
Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh lagi, sekiranya bandar itu tidak mempunyai perbatasan atau tempat laluan itu tidak mempunyai perbatasan atau ada perbatasan namun perbatasan itu bukan khusus untuk bandar seperti perbatasan yang menghimpunkan kampung-kampung yang ada dalam bandar atau berhampiran dengannya, maka permulaan safar dikira setelah melewati bangunan atau rumah kediaman terakhir sekalipun ia diselangi oleh sungai, kebun-kebun dan bangunan yang tidak didiami.
Manakala permulaan safar bagi orang yang menetap atau tinggal di kampung samalah seperti permulaan safar bagi orang yang menetap atau tinggal di bandar sebagaimana disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Dan (pengiraan perbatasan) kampung adalah seperti (pengiraan perbatasan) bandar.
Sekiranya dua kampung itu berdekatan menurut ‘urf dan bersambung antara satu dengan yang lain serta tidak ada perbatasan di antara kedua-duanya, maka hukumnya adalah seperti satu kampung walaupun berbeza namanya. Permulaan safar itu adalah setelah melewati kedua-dua kampung tersebut. Akan tetapi sekiranya dua kampung berdekatan itu tidak bersambung antara satu dengan yang lain walaupun pemisahan itu sedikit, maka permulaan safar adalah setelah melewati mana-mana kampung berkenaan.
Bagi orang yang menetap atau tinggal di shahrâ’ seperti suku Badwi yang tinggal di padang pasir, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebut:
Ertinya: Dan permulaan safar orang yang tinggal di perkhemahan (adalah dengan) melewati hillah.
Hillah ialah binaan atau tempat yang digunakan oleh orang yang tinggal di perkhemahan tersebut untuk berkumpul di malam hari. Maksud melewati hillah ialah melewati binaan tersebut dan tempat-tempat yang ada di sekitarnya seperti tempat kanak-kanak bermain, tempat unggun api, tempat unta berehat dan sebagainya.
Berdasarkan penjelasan di atas, maka dalam konteks Negara Brunei Darussalam, kategori penentuan permulaan safar boleh dibahagikan kepada tiga iaitu bandar, pekan dan kampung. Penjelasannya sebagaimana berikut:
1. Bandar.
Bandar Seri Begawan merupakan ibu negeri bagi Negara Brunei Darussalam. Bandar tersebut mempunyai sempadan khusus yang merangkumi kampung-kampung dan mukim-mukim sebagaimana yang ditetapkan oleh Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, Negara Brunei Darussalam. Menurut penjelasan di atas, jika tempat itu ialah bandar, maka permulaan safar dikira setelah melewati sempadan bandar tersebut. Maka permulaan safar bagi orang-orang yang tinggal di Bandar Seri Begawan termasuk kampung dan mukim yang ada di dalamnya ialah setelah melewati sempadan Bandar Seri Begawan.
Sebagai contoh: Permulaan safar bagi orang di Kampong Pulaie yang hendak pergi ke Miri ialah sebaik sahaja melewati sempadan Bandar Seri Begawan kerana Kampong Pulaie termasuk dalam Bandar Seri Begawan. Ini bermakna dia tidak boleh melakukan sembahyang qashar dan jama‘ selagi belum melewati sempadan Bandar Seri Begawan.
2. Pekan.
Pekan termasuk dalam istilah bandar (بلدة). Di Negara Brunei Darussalam terdapat beberapa buah pekan seperti Pekan Muara, Pekan Kuala Belait, Pekan Seria, Pekan Tutong dan Pekan Bangar. Pekan-pekan ini mempunyai sempadannya yang khusus.
Maka permulaan safar bagi orang-orang yang tinggal di pekan tersebut ialah setelah melewati sempadan pekan berkenaan.
Sebagai contoh: Permulaan safar bagi orang yang tinggal di kawasan perumahan Jalan Lorong Satu Barat yang hendak pergi ke Kota Kinabalu ialah sebaik sahaja melewati sempadan Pekan Seria. Ini bermakna dia tidak boleh melakukan sembahyang qashar dan jama‘ selagi belum melewati sempadan Pekan Seria.
Contoh lain: Orang yang tinggal di Kampong Petani yang hendak pergi ke Kuching, permulaan safar baginya ialah sebaik sahaja melewati sempadan Pekan Tutong.
3. Kampung.
Kategori kampung di sini bermaksud kampung-kampung yang berada di luar sempadan Bandar Seri Begawan dan sempadan pekan-pekan. Maka permulaan safar bagi orang-orang yang tinggal di kampung tersebut ialah sebaik sahaja melewati sempadan kampung berkenaan.
Sebagai contoh: Orang yang tinggal di Kampong Tanah Jambu yang hendak pergi ke Miri, permulaan safar baginya ialah sebaik sahaja melewati sempadan Kampong Tanah Jambu. Ini bermakna dia tidak boleh melakukan sembahyang qashar dan jama‘ selagi belum melewati sempadan Kampong Tanah Jambu.
Contoh lain: Orang yang tinggal di Kampong Selapon yang hendak pergi ke Kota Kinabalu, permulaan safar baginya ialah sebaik sahaja melewati sempadan Kampong Selapon.
Contoh-contoh di atas adalah contoh melewati sempadan melalui jalan darat. Adapun safar seseorang yang melalui jalan air atau jalan udara, yang tempatnya berlepas, sama ada pantai atau tebing tasik atau tebing sungai, terletak di dalam bandar, pekan atau kampung tempat tinggalnya, maka permulaan safar baginya adalah seperti berikut:
a. Jika kapal atau perahu yang dinaiki itu bergerak menyusuri pantai, tasik atau sungai yang terletak di dalam bandar, pekan atau kampung tempat tinggalnya, maka permulaan safar baginya ialah sebaik sahaja kapal atau perahu yang dinaikinya melewati tempat yang sejajar atau selari dengan sempadan bandar, pekan atau kampung tempat tinggalnya.
Sebagai contoh: Orang yang tinggal di Bandar Seri Begawan yang menggunakan perahu untuk keluar bermusafir dengan menyusuri sungai yang terletak di dalam Bandar Seri Begawan, maka permulaan safar baginya bermula setelah perahu yang dinaikinya itu melewati tempat yang sejajar atau selari dengan sempadan Bandar Seri Begawan. Ini bermakna dia tidak boleh melakukan sembahyang qashar dan jama‘ selagi belum melewati tempat yang sejajar atau selari dengan sempadan Bandar Seri Begawan.
Begitulah juga kedudukan safar melalui udara, yang tempatnya berlepas terletak di dalam bandar, pekan atau kampung tempat tinggalnya, maka permulaan safar baginya ialah sebaik sahaja kapal terbang yang dinaikinya melewati tempat yang sejajar atau selari dengan sempadan bandar, pekan atau kampung tempat tinggalnya.
Sebagai contoh: Orang yang tinggal di Bandar Seri Begawan yang menggunakan kapal terbang untuk keluar bermusafir, maka permulaan safar baginya ialah sebaik sahaja kapal terbang yang dinaiki melewati kedudukannya yang sejajar atau selari dengan sempadan Bandar Seri Begawan.
b. Jika kapal atau perahu yang dinaikinya bergerak bukan secara menyusuri pantai, tasik atau sungai, tetapi ia bergerak dari pantai ke tengah laut atau dari tebing tasik ke tengah tasik atau dari tebing sungai ke tengah sungai, maka permulaan safar baginya ialah sebaik sahaja kapal yang dinaikinya bergerak meninggalkan pantai, tebing tasik atau sungai tempat tinggalnya atau sebaik sahaja perahu yang berulang-alik menuju ke kapal bergerak meninggalkan pantai, tebing tasik atau tebing sungai tempat tinggalnya buat kali terakhir.
Sebagai contoh: Orang yang tinggal di sebuah kampung yang terletak di tepi pantai yang menggunakan kapal untuk keluar bermusafir dengan perjalanan menuju ke tengah laut, maka permulaan safar baginya ialah sebaik sahaja kapal yang dinaikinya bergerak meninggalkan pantai tempat tinggalnya. Jika kapal yang dinaikinya itu belum bergerak kerana masih berlabuh, maka safar baginya masih belum bermula.
Demikian penjelasan mengenai bila bermula rukhshah sembahyang qashar dan jama‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6661
