FAHAMI MAKSUD AIR MUSTA’MAL
Salah satu daripada kepentingan sumber air ialah fungsinya sebagai alat untuk bersuci seperti untuk berwudhu, mandi kerana mengangkat hadas, mencuci najis dan membasuh kotoran, dengan syarat air tersebut mestilah suci lagi menyucikan. Disebut suci kerana air itu bersih pada zatnya dan disebut menyucikan kerana air tersebut dapat digunakan untuk bersuci pada yang lain seperti berwudhu dengannya.
Apa Dia Air Musta‘mal?
Menurut ulama asy-Syafi‘iyyah, air musta‘mal adalah air yang telah digunakan dan kurang daripada dua qullah. Apakah yang dimaksudkan dengan air yang telah digunakan dan kurang daripada dua qullah itu?
Maksudnya ialah air yang kurang daripada dua qullah yang sudah digunakan untuk bersuci pada fardhu thahârah seperti wudhu, mandi mengangkat hadas besar dan juga digunakan untuk menghilangkan najis, di mana sifat-sifat yang terdiri daripada bau, warna dan rasa tidak mengalami perubahan dan tidak bertambah timbangannya setelah digunakan.
Apa yang dimaksudkan dengan fardhu thahârah itu ialah cucian yang wajib seperti basuhan yang pertama pada setiap anggota wajib dalam wudhu iaitu muka, kedua tangan sehingga siku, sebahagian kepala dan kedua kaki ataupun basuhan yang pertama pada seluruh badan serta pangkal-pangkal rambut dan kulit ketika mengangkat hadas besar.
Kadar Dua Qullah
Kadar air yang sedikit menurut mazhab asy-Syafi‘e adalah kadar yang kurang daripada dua qullah. Kadar air yang digunakan ketika melakukan fardhu thahârah jika kurang daripada dua qullah, maka air yang sudah digunakan itu sama ada bertujuan untuk mengangkat hadas atau menghilangkan najis, adalah dianggap air musta‘mal.
Namun bersuci dengan air yang sampai kadar dua qullah atau lebih, tidaklah menjadikan air tersebut sebagai air musta‘mal. Ini kerana, apabila air tersebut mencapai kadar dua qullah, ia dapat menghalang najis yang boleh merosakkan sifat air tersebut, apalagi jika ia melebihi daripada kadar dua qullah.
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wassalam bersabda:
Maksudnya: Apabila sampai (kadar) air dua qullah, tidaklah ia menanggung kekotoran. (Hadits riwayat Abu Daud)
Hadits di atas menunjukkan bahawa air yang sampai kadar dua qullah tidak akan menjadi najis dengan syarat tidak berubah bau, warna atau rasanya.
Jika air musta‘mal yang tidak berubah bau, warna atau rasanya dikumpulkan sehingga mencapai kadar dua qullah, maka air tersebut adalah suci dan menyucikan.
Kadar dua qullah ialah:
• Sukatan – lebih kurang 216 liter • Ukuran isi padu empat segi – 60 x 60 x 60 sentimeter
Hukum Menggunakan Air Musta‘mal
Air musta‘mal adalah air yang suci tetapi tidak menyucikan. Maksudnya, ia suci pada dirinya, namun tidak lagi dapat digunakan untuk menyucikan pada fardhu thahârah yang lain seperti tidak boleh melakukan fardhu wudhu atau mandi wajib dengannya. Begitu juga tidak boleh menghilangkan najis mengunakan air musta‘mal, kerana jika air tersebut tidak dapat mengangkat hadas seperti mengangkat hadas junub, maka ia juga tidak dapat menghilangkan najis.
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wassalam dan para sahabat Radhiallâhu ‘anhum tidak menggunakan air musta‘mal walaupun di dalam keadaan dharurat. Mereka berhajat pada air yang banyak dalam perjalanan mereka, namun mereka tidak mengumpulkan air musta‘mal untuk dipakai kali kedua. Ini adalah disebabkan mereka amat menitikberatkan soal-soal ibadat pada sudut yang sempurna.
Kenapa air musta‘mal tidak dapat digunakan untuk menyucikan fardhu thahârah yang lain?
Air yang sedikit dan telah digunakan untuk mengangkat hadas atau menghilangkan najis itu tidak boleh digunakan untuk menyucikan fardhu thahârah yang lain, kerana niat menggunakan air tersebut adalah untuk menghilangkan tegahan, umpamanya tegahan orang yang berhadas daripada melakukan sembahyang. Maka dianggap kesan hadas atau najis itu berpindah pada zat air setelah ia digunakan dan ini tidak lagi dianggap air muthlaq.
Air basuhan yang pertama pada setiap anggota wajib dalam wudhu umpamanya, tidak boleh digunakan untuk menyucikan yang lain sebab basuhan pertama adalah untuk mengangkat hadas agar dapat mengerjakan ibadat. Inilah ‘illah (alasan) kenapa air musta‘mal tidak boleh digunakan untuk menyucikan fardhu thahârah yang lain.
Cabang Permasalahan
• Air yang digunakan untuk sunat thahârah seperti basuhan yang kedua dan ketiga dalam wudhu, tidaklah dianggap air musta‘mal kerana hadas yang sebelumnya sudah terangkat dengan basuhan yang pertama, sementara basuhan yang kedua dan ketiga itu adalah sunat sahaja.
Begitu juga air yang digunakan untuk memperbaharui wudhu sedangkan wudhu yang sebelumnya masih lagi ada, maka air yang digunakannya itu tidaklah dianggap air musta‘mal kerana dia tidak berhadas ketika melakukan wudhu yang baru.
• Air yang digunakan untuk membasuh seluruh kepalanya sebagai ganti menyapu sebahagian kepala juga dianggap sebagai air musta‘mal. Walaupun dalam mazhab Syafi‘e, kadar fardhu ialah menyapu sebahagian kepala, namun menambah kadar basuhan pada anggota fardhu seperti membasuh seluruh kepala, tidak menghalang daripada menjadikan air tersebut sebagai air musta‘mal.
• Air yang sudah bercerai daripada anggota dianggap sebagai air musta‘mal. Namun jika air yang digunakan masih mengalir meratai pada satu anggota fardhu dan tidak berpindah kepada anggota yang lain, umpamanya air yang mengalir dari tapak tangan menuju ke lengan tangan atau dari lengan tangan menuju ke tapak tangan, maka tidaklah dianggap air musta‘mal. Ini kerana air tersebut masih mengalir pada anggota yang sama.
• Seandainya air yang digunakan mengalir dari satu anggota fardhu kepada anggota fardhu yang lain, umpamanya air yang digunakan untuk membasuh muka mengalir menuju pada tangan, maka air tersebut sudah menjadi air musta‘mal dan tidak boleh lagi digunakan untuk membasuh tangan.
Jika seseorang mencedok air dari bekasnya dengan tujuan berwudhu, maka perbuatan memindah air dari bekas yang airnya kurang daripada dua qullah dengan menggunakan tangan perlu disertakan dengan niat mencedok air tersebut.
• Apabila niat mencedok disertakan seiring dengan perbuatan memindah air dari bekas air, maka air di dalam bekas tersebut tidak akan menjadi air musta‘mal. Namun jika perbuatan tersebut diniatkan untuk mengangkat hadas, maka air di dalam bekas tersebut akan menjadi air musta‘mal.
Akan tetapi jika air dalam bekas tersebut kadarnya sampai dua qullah atau lebih, maka perbuatan mencedok yang dilakukan tanpa niat mencedok itu tidaklah menjadikan air tersebut musta‘mal.
• Mengenai dengan mandi wajib pula, apabila orang yang berhadas seperti orang junub memasukkan tubuhnya ke dalam air yang sedikit - kurang daripada dua qullah - tetapi air tersebut dapat meratai seluruh badan dan kemudiannya dia berniat, maka terangkat hadasnya. Air yang telah digunakannya itu dianggap air musta‘mal apabila sudah bercerai dari seluruh anggota tubuhnya kerana seluruh tubuh badannya adalah seperti satu anggota. Maka air tersebut tidak dapat digunakan oleh orang lain untuk fardhu thahârah.
• Air yang terpercik, kemudian masuk ke dalam bekas atau baldi penadah air ketika mandi wajib, tidaklah menjadikan air dalam bekas atau baldi itu air musta‘mal. Air dalam baldi itu tetap air muthlaq atau air suci lagi menyucikan. Dengan itu air yang ditadah dalam baldi tersebut masih boleh digunakan untuk mandi wajib.
Jika air dari lantai terpercik masuk ke dalam bekas atau baldi itu, sekiranya lantai itu suci, maka hukumnya sama seperti hukum air dari tubuh yang terpercik masuk ke dalam baldi atau bekas itu. Jika sekiranya pada lantai itu terdapat najis dan air dari lantai tersebut terpercik masuk ke dalam baldi itu maka air di dalam baldi itu adalah najis atau air kena najis.
Tegahan menggunakan air musta‘mal bukanlah sebagai satu pembaziran, tetapi sebagai langkah berhati-hati dalam mengangkat hadas yang merupakan perkara wajib sebelum melakukan ibadat sembahyang atau menyentuh al-Qur’an.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6678
