Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Bila Disunatkan Berwudhu?

Wudhu mempunyai manfaat yang sangat besar dan oleh kerana itu kita sangat dituntut melakukannya. Kita diwajibkan mengambil wudhu untuk mengangkat hadas bagi membolehkan kita melaksanakan ibadat-ibadat yang menjadikan wudhu itu sebagai syarat sah untuk melaksanakannya, seperti sembahyang sama ada fardhu atau sunat, thawaf sama ada wajib atau sunat, sujud syukur atau tilawah dan seumpamanya. Walau bagaimanapun, tuntutan berwudhu bukan hanya untuk tujuan ibadat-ibadat tersebut semata-mata, bahkan kita juga boleh melakukannya pada keadaan-keadaan lain, malah hukumnya adalah sunat, sekalipun kita masih berada dalam keadaan berwudhu.

Apakah keadaan yang menyebabkan seseorang itu disunatkan berwudhu?

Terdapat beberapa keadaan di mana disunatkan seseorang itu berwudhu atau memperbaharui wudhu sekalipun wudhunya yang pertama masih ada, iaitu belum batal. Selain daripada tujuan untuk memperbaharui wudhu, dikatakan terdapat sebanyak 78 perkara yang disunatkan berwudhu kerananya. Namun yang disebutkan di sini hanyalah sebahagiannya sahaja yang telah dinukil daripada beberapa buah kitab fiqh.

Adapun wudhu yang disunatkan untuk dilaksanakan bagi perkara-perkara di atas; yang akan diterangkan di bawah ini, niatnya adalah sama dengan niat wudhu biasa, iaitu seperti berwudhu kerana mengangkat hadas kecil, mengharuskan sembahyang dan sebagainya. Di bawah ini akan dijelaskan beberapa keadaan atau sebab yang disunatkan bagi seseorang itu berwudhu. Antaranya:

1. Memperbaharui wudhu.

Antara keadaan di mana disunatkan bagi seseorang itu berwudhu ialah bagi tujuan memperbaharui wudhunya yang sedia ada.

Ulama mazhab Syafi‘e telah sepakat mengatakan bahawa memperbaharui wudhu adalah satu amalan yang dituntut. Maksud memperbaharui wudhu itu ialah seseorang itu masih dalam keadaan berwudhu kemudian dia berwudhu lagi, sedangkan dia tidak berhadas dan wudhunya yang pertama tadi tidak batal. Akan tetapi bilakah masanya perbuatan sedemikian dituntut?

Menurut pendapat yang ashah, memperbaharui wudhu itu disunatkan hanya apabila dia telah mengerjakan sembahyang fardhu atau sunat dengan wudhunya yang pertama tadi. Al-Qadhi Abu ath-Thaiyib di dalam kitabnya Syarh al-Furu‘, al-Baghawi, al-Mutawalli, ar-Ruyani dan lain-lain ulama mazhab memutuskan bahawa jika seseorang itu belum menggunakan wudhunya yang pertama dengan melakukan apa jua ibadat, maka hukum memperbaharui wudhu itu adalah makruh. Ibnu Hajar Rahimahullâh pula menegaskan bahawa tuntutan sunat memperbaharui wudhu itu ialah apabila dia telah mengerjakan apa jua sembahyang sekalipun yang hanya satu rakaat. Jika dia tidak bersembahyang, walaupun telah melakukan sujud (sajdah atau syukur) ataupun thawaf tidaklah disunatkan memperbaharui wudhu, bahkan hukumnya adalah makruh.

Adapun amalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menunjukkan bahawa perbuatan ini hanyalah tuntutan sunat sahaja, berdasarkan hadits daripada ‘Amr bin ‘Amir al-Anshari bahawa beliau pernah mendengar Anas Radhiallâhu ‘ahnu menceritakan:

Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengambil wudhu untuk setiap kali sembahyang. Aku (‘Amr bin ‘Amir) berkata kepada Anas: “Maka kamu, apa (pula) yang kamu lakukan?” (Anas) menjawab: “Kami mengerjakan kesemua sembahyang itu dengan satu wudhu (sahaja) selama mana kami tidak berhadas.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Begitu juga hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jikalau tidak kerana aku akan menyusahkan (memberatkan) ke atas umatku, nescaya aku perintahkan mereka supaya mengambil wudhu untuk setiap kali sembahyang atau dengan setiap wudhu (hendaklah) bersiwak. (Hadits riwayat Ahmad)

2. Ketika marah.

Sunat berwudhu ketika marah sekalipun marah itu kerana Allah seperti marah kerana perkara yang mencemarkan syariat Allah. Menurut ‘Urwah bin Muhammad bin as-Sa‘di, seorang lelaki telah mengatakan sesuatu kepadanya yang membuatkannya marah. Lalu ‘Urwah pun berdiri dan mengambil wudhu. Setelah itu dia kembali dalam keadaan berwudhu lalu dia pun meriwayatkan sebuah hadits daripada bapanya daripada datuknya ‘Athiyyah bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya marah itu daripada syaitan, dan sesungguhnya syaitan itu dicipta daripada api. Dan sesungguhnya api itu dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kamu marah, maka berwudhulah. (Hadits riwayat Abu Daud)

Oleh sebab itu, dianjurkan kepada orang yang sedang marah mengambil wudhu sekalipun pada masa itu dia masih mempunyai wudhu, kerana dengan berbuat demikian boleh memadamkan api kemarahannya atau paling kurang dapat mengawalnya daripada bertindak mengikut nafsunya. Selain itu disunatkan juga berwudhu setelah mengeluarkan perkataan keji, kesat, bohong dan kata-kata maksiat.

3. Membaca al-Qur’an atau mendengar bacaan al-Qur’an.

4. Membaca, mendengar atau meriwayatkan hadits.

5. Memegang kitab-kitab tafsir, hadits, fiqh dan untuk menulis ilmu-ilmu tersebut. Memegang atau menulis kitab-kitab tersebut dalam keadaan berhadas hukumnya adalah makruh.

6. Membaca atau belajar ilmu-ilmu syara‘ (agama) dan membacakannya.

7. Melaungkan azan dan iqâmah.

8. Duduk atau masuk dalam masjid (beri‘tikâf).

9. Wuqûf di ‘Arafah.

10. Sa‘i di antara Shafa dan Marwah.

11. Ziarah makam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan ziarah kubur.

12. Berkhutbah selain khutbah Jumaat.

Antara hadits yang menyokong bahawa wudhu itu disunatkan bagi perkara-perkara atau sebab-sebab di atas ialah hadits riwayat al-Muhajir bin Qunfudz Rahimahullâh mengenai amalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Di samping sentiasa menjaga kesinambungan wudhu Baginda, Baginda juga merasa lebih selesa berada dalam keadaan suci dengan berwudhu ketika Baginda menyebut kata-kata yang ada di dalamnya nama Allah atau zikir dan seumpamanya. Al-Baihaqi Rahimahullâh ada meriwayatkan:

Maksudnya: Bahawa dia (al-Muhajir) memberi salam kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan (pada ketika itu) Baginda sedang berwudhu, maka Baginda tidak membalas salamnya. Apabila Baginda telah selesai mengambil wudhu Baginda pun bersabda: “Sesungguhnya tiada yang menghalangku daripada membalas salammu, akan tetapi aku tidak suka menyebut nama Allah ‘Azza wa Jalla kecuali (aku) dalam keadaan suci.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)

13. Ketika hendak tidur.

Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berdasarkan hadits riwayat ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha:

Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila Baginda hendak (masuk) tidur, Baginda mengambil wudhu sebagaimana wudhu Baginda untuk sembahyang. (Hadits riwayat Ahmad)

14. Bagi orang yang berjunub atau berhadas besar.

Dalam keadaan tertentu sunat bagi orang yang berjunub mengambil wudhu, antaranya ialah:

i. Sebelum tidur.

‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata:

Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila Baginda hendak tidur dan Baginda dalam keadaan junub, Baginda membasuh kemaluan Baginda dan mengambil wudhu (sebagaimana wudhu) untuk sembahyang. (Hadits riwayat al-Bukhari)

ii. Apabila hendak makan atau minum.

Dalam satu riwayat daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:

Maksudnya: Apabila Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam keadaan junub, lalu Baginda hendak makan atau tidur, Baginda mengambil wudhu sebagaimana wudhu Baginda untuk sembahyang. (Hadits riwayat Muslim)

Hal yang serupa juga sunat dilakukan oleh perempuan yang haidh dan nifas apabila telah kering darahnya iaitu sebelum dia mandi mengangkat hadas.

iii. Apabila ingin mengulangi persetubuhan.

Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu mendatangi (menyetubuhi) isterinya, kemudian ingin mengulangi lagi, maka (sebaiknya) hendaklah dia mengambil wudhu. (Hadits riwayat Muslim)

iv. Sebelum mandi wajib.

Disunatkan berwudhu sebelum mandi wajib. Ia boleh juga dilakukan semasa mandi atau setelah selesai mandi, tetapi yang lebih afdhal ialah melakukannya sebelum mandi.

Adapun niat wudhu bagi orang yang semata-mata berjunub yang tidak didatangi sebarang hadas kecil seperti seorang yang keluar mani kerana melihat perkara yang merangsang nafsunya ialah dengan niat sunat wudhu untuk mandi. Tetapi jika dia telahpun didatangi hadas kecil sebagaimana yang biasa berlaku niat wudhunya ialah mengangkat hadas kecil atau seumpamanya.

15. Mengangkat jenazah dan memegangnya.

Perkara ini adalah berdasarkan kepada hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesiapa yang memandikan mayat, maka (disunatkan dia) mandi, dan sesiapa yang membawa jenazah, maka (disunatkan dia) berwudhu. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Disunatkan juga untuk berwudhu sebelum mengangkat atau memegang jenazah kerana tujuannya supaya orang yang hendak mengangkat jenazah itu berada dalam keadaan suci daripada hadas.

Penutup

Berdasarkan keterangan di atas, nyatalah bahawa berwudhu itu tidak semestinya dilaksanakan hanya untuk mengangkat hadas bagi mengharuskannya melakukan ibadat yang menuntutnya berwudhu terlebih dahulu seperti sembahyang, thawaf, mengangkat al-Qur’an dan seumpamanya. Bahkan ia sunat dilakukan untuk perkara dan tujuan yang lain dan dalam keadaan tertentu dia akan diberi ganjaran pahala di samping manfaat dan fadhilat yang lain.

Malahan sentiasa berada dalam keadaan berwudhu itu hukumnya adalah sunat dan merupakan amalan yang digalakkan oleh syara‘. Adapun hikmah dan faedah mengekalkan wudhu itu antaranya ialah meluaskan rezeki, disukai oleh malaikat Hafazhah, menjadi benteng (pendinding) dan juga pemelihara bagi orang yang mengamalkannya daripada perkara dan perbuatan maksiat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6683