Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Perbuatan-Perbuatan Yang Boleh Dan Dilarang Ketika Khatib Menyampaikan Khutbah Jumaat

Khutbah pada hari Jumaat adalah cara terbaik untuk menyampaikan maklumat, peringatan serta mesej-mesej ukhrawi dan duniawi kepada masyarakat Islam kerana pada hari Jumaat inilah kaum Muslimin tidak kira bangsa, pangkat ataupun rupa duduk berhimpun dan sembahyang bergandingan di antara satu dengan yang lain.

Khutbah merupakan salah satu daripada lima syarat sah sembahyang Jumaat. Sungguhpun demikian besarnya peranan khutbah Jumaat itu, terdapat sebilangan orang yang tidak begitu memandang endah akan kepentingannya sehinggakan ada di antara mereka ini yang masih mahu berbual ketika khutbah Jumaat disampaikan. Sebilangannya pula sibuk melakukan amalan-amalan ibadat lain seperti membaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya. Apakah hukum melakukan perbuatan-perbuatan seumpama ini ketika khutbah Jumaat sedang disampaikan? Adakah ia dibolehkan oleh syara‘ ataupun sebaliknya?

Berikut adalah perbincangan mengenai permasalahan yang bersangkut-paut dengan perkara-perkara yang dibolehkan dan perkara-perkara yang dilarang ketika khatib menyampaikan khutbah.

1. Membaca Al-Qur’an, Berselawat dan Berzikir Ketika Khutbah

Sunat bagi orang yang menghadiri sembahyang Jumaat menghadapkan muka ke arah imam (ke arah qiblat) kerana menurut Imam Khatib asy-Syarbini Rahimahullâh, ini adalah adab dan selain itu ia sekaligus membolehkan mereka tetap menghadap qiblat.

Disunatkan juga kepada jemaah untuk diam dan mendengar khutbah dan makruh bagi mereka berkata-kata. Ini sepertimana hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu pada hari Jumaat: “Dengarkanlah (khutbah)”, padahal imam pada waktu itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar telah berkata sia-sia. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maksud “sia-sia” di sini ialah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang Jumaat itu walaupun sembahyangnya masih dikira sah.

Akan tetapi tidak makruh ke atas orang yang mendengar khutbah itu berkata-kata jika terdapat dharurat, misalnya kerana ingin menyelamatkan orang buta yang hampir terjatuh ke dalam parit atau ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri seseorang. Dalam hal seperti ini tidaklah dilarang orang yang mendengar khutbah itu berkata-kata, bahkan wajib baginya melakukan demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk menggunakan isyarat sahaja jika dia mampu mengelakkan daripada berkata-kata.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, bagi mereka yang dapat mendengar khutbah, diam mendengarkan khutbah itu adalah lebih utama daripada membaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya. Ini kerana terdapat qaul yang mengatakan diam mendengarkan khutbah itu adalah wajib. Bagi orang yang tidak dapat mendengar khutbah pula, misalnya kerana duduk jauh dari imam atau suara imam tidak dapat didengar, adalah lebih utama baginya pada ketika itu membaca al-Qur‘an terutamanya surah al-Kahfi, berselawat, bertasbîh, berzikir dan sebagainya dengan suara yang perlahan supaya tidak mengganggu jemaah-jemaah yang lain.

2. Hukum Orang Yang Baru Masuk Masjid Memberi Salam

Ulama-ulama mazhab Imam asy-Syafi‘e Rahimahumullâh bersependapat bahawa orang yang baru masuk ke masjid, tidak makruh baginya berkata-kata walaupun pada ketika itu khutbah sedang disampaikan selagi dia belum mengambil tempatnya. Apabila dia telah mengambil tempatnya barulah makruh baginya berkata-kata walaupun pada ketika itu dia belum lagi duduk.

Bagaimanapun, makruh ke atas orang yang baru masuk ke masjid itu memberi salam kepada jemaah yang sedang mendengarkan khutbah dan makruh juga memberi salam kepada khatib yang sedang menyampaikan khutbah walaupun orang tersebut belum lagi mendapatkan tempatnya. Ini kerana perbuatannya memberi salam itu boleh mengganggu orang yang diberi salam sama ada pendengar mahupun pembaca khutbah. Bagaimanapun, jika diberi salam juga ke atas mereka ketika khutbah, maka menurut pendapat yang paling shahîh wajiblah juga dijawab salam tersebut.

3. Mentasymît Orang Yang Bersin

Sunat mentasymît iaitu mengucapkan “ ُ َر َْحَُ ك َ هللا ي ” kepada orang yang bersin setelah dia mengucapkan tahmîd ( ِا ْلَْمْ د ُ ل) walaupun ketika khutbah sedang disampaikan. Bagaimanapun, ulama mensyaratkan supaya tasymît tersebut mestilah dilakukan jika orang yang bersin itu mengucapkan tahmîd. Jika orang yang bersin itu tidak mengucapkannya maka tidak sunat mentasymîtkannya.

Daripada Abu Musa al-Asy‘ari Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Jika salah seorang daripada kamu bersin lalu dia bertahmîd, maka kamu ucapkanlah tasymît kepadanya. Jika dia tidak mengucapkan bertahmîd maka jangan kamu ucapkan tasymît kepadanya (Hadits riwayat Muslim)

Disunatkan juga bagi orang yang bersin ketika khutbah disampaikan itu membalas tasymît tersebut dengan ucapan:

Ertinya: Semoga Allah memberi hidayat dan mensejahterakan keadaan kamu.

Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu katanya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Jika salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah dia mengucapkan “ ِ ا ْلَْمْ د ُ ّلِلِه” (segala puji bagi Allah). Dan hendaklah saudaranya ataupun sahabatnya mengucapkan kepadanya “ ُ memberi rahmat kepadamu). Dan apabila dia (sahabatnya) mengucapkan َر َْحَُ ك َ هللا ي” maka hendaklah (orang yang bersin itu) mengucapkan “ ُ ُ َبَلَكُ م وَيَصْ لِح” (semoga Allah memberi hidayat dan mensejahterakan keadaan kamu). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Bagaimanapun, jika orang yang ditasymît itu (yang diucapkan “ َُر َْحَُ ك َ هللا ي” ke atasnya) bersin lebih daripada tiga kali, maka dalam hal ini tidak lagi disunatkan mentasymîtkannya. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Mengucapkan tasymît kepada orang yang bersin itu setakat tiga kali (dia bersin). Adapun jika lebih daripada itu maka dia diserang selesema. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

4. Mengucapkan Selawat Ketika Nama Nabi Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam Disebut dan Menta’minkan Do‘a Khatib

Sunat mengucapkan selawat apabila khatib menyebut nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Dalam hal ini, menurut ulama, sunat mengangkat suara ketika berselawat itu secara tidak berlebihan walaupun ketika mendengar khatib membaca ayat berikut:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam). (Surah al-Ahzâb: 56)

Jika nama-nama para sahabat Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam pula disebutkan, maka menurut ulama, sunat juga mengucapkan “ ْ ِ ََ هللا ُ ع َ ْ ْهُم رَض ”, akan tetapi tidak disunatkan untuk mengangkat suara.

Sunat juga menta’minkan (mengaminkan) do‘a khatib dengan tidak mengangkat suara sepertimana yang disebutkan dalam kitab I‘ânah ath- Thâlibîn. Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh, adapun sebab tidak digalakkan mengangkat suara ketika ta’min ini adalah kerana ia mengganggu pendengaran dan jemaah-jemaah yang lain.

5. Mendirikan Sembahyang Ketika Khutbah Disampaikan Bagi Orang Yang Sudah Duduk

Sebahagian ulama berpendapat bahawa orang yang sudah duduk dalam masjid, lalu dia bangun mengerjakan sembahyang sunat atau qadha sembahyang fardhu, walaupun qadha sembahyang fardhu yang wajib disegerakan. Misalnya jika ditinggalkan tanpa keuzuran, padahal khatib sudahpun duduk di atas mimbar, maka hukumnya adalah makruh tahrîm (makruh yang hampir kepada peringkat haram), walaupun orang itu tidak wajib Jumaat ke atasnya misalnya orang yang sedang musafir dan kaum perempuan.

Sementara sebahagian ulama lagi, antaranya Imam al-Mawardi, Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan Imam Khatib asy-Syarbini Rahimahumullâh berpendapat ia bukan hanya makruh tahrîm, bahkan hukumnya adalah haram.

Menurut Syeikh Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh, larangan ini termasuk juga ke atas mereka yang tidak mendengar khutbah. Jika dikerjakan juga, maka menurut pendapat yang paling awjah, tidak sah sembahyangnya itu. Menurut as-Sayyid Bakri Rahimahullâh, orang yang sudah duduk dalam masjid, lalu dia mengerjakan sembahyang ketika imam sudahpun duduk di atas mimbar, ini jelas menunjukkan keengganannya secara menyeluruh untuk mendengarkan khutbah. Ini kerana orang yang sedang bersembahyang, pada kebiasaannya tidak akan menumpukan perhatian terhadap perkara-perkara lain selain daripada sembahyangnya itu.

6. Orang Yang Baru Masuk Masjid Mengerjakan Sembahyang Ketika Khutbah Disampaikan

Bagi orang yang baru masuk masjid pula, sedangkan pada waktu tersebut khathib sudahpun mula menyampaikan khutbah, sunat baginya mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid dan makruh baginya meninggalkannya menurut kitab al-Majmû‘.

Perlu juga diingat bahawa sembahyang sunat Tahiyyat Masjid itu wajib dikerjakan secara takhfîf iaitu ringkas ataupun ringan. Menurut satu pendapat, takhfîf ini bukanlah bermaksud mempercepatkan sembahyang, akan tetapi ia bermaksud membataskan dalam menunaikan sembahyang itu kepada perkara-perkara yang wajib sahaja sepertimana yang dinukilkan oleh Imam Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh daripada Imam az-Zarkasyi Rahimahullâh dalam kitab Mughnî al-Muhtâj.

Menurut pendapat yang paling awjah pula, seperti yang disebutkan dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj, maksud takhfîf itu ialah tidak memanjangkan sembahyang. Maka menurut pendapat ini, Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh berkata bolehlah dibaca surah-surah pendek selepas membaca surah al-Fâtihah.

Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Telah datang Sulaik al-Ghathafani pada suatu hari Jumaat dan pada ketika itu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sedang berkhutbah lalu dia (terus) duduk. Maka Baginda pun bersabda kepadanya: “Wahai Sulaik! Bangunlah dan dirikanlah sembahyang dua rakaat dan kerjakanlah ia secara ringan (ringkas)”. Kemudian Baginda bersabda lagi: “Apabila seorang daripada kamu mendatangi (sembahyang) Jumaat padahal imam sedang berkhutbah, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang dua rakaat dan hendaklah dia mengerjakannya secara ringan (ringkas).” (Hadits riwayat Muslim)

Menurut as-Sayyid Bakri Rahimahullâh, selain daripada sembahyang sunat Tahiyyat Masjid, boleh juga dikerjakan sembahyang sunat Qabliyyah Jumaat jika ia belum dikerjakan, dan dalam hal ini adalah lebih utama disatukan niatnya bersama sembahyang sunat Tahiyyat Masjid (dalam satu sembahyang) dan dikerjakan sebanyak dua rakaat. Jika orang itu ingin mengerjakannya dengan satu niat sahaja maka adalah lebih awlâ diniatkannya sembahyang sunat Tahiyyat Masjid sahaja kerana ia akan luput jika tidak dikerjakan (sebelum duduk). Adapun sembahyang sunat Qabliyyah Jumaat pula, ia masih dapat dikerjakan sekalipun selepas sembahyang Jumaat dan boleh juga diqadha jika dikerjakan di luar waktu.

Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâh pula menambah, selain kedua-dua sembahyang sunat itu, boleh juga dikerjakan sembahyang qadha yang jumlahnya dua rakaat, misalnya sembahyang qadha Subuh. Adapun sembahyang qadha yang jumlahnya melebihi daripada kadar dua rakaat tidak boleh dikerjakan pada waktu ini, jika dikerjakan juga maka ia tidak sah. Begitu juga tidak sah jika dikerjakan lagi sembahyang-sembahyang yang lain selepas itu.

Manakala bagi orang yang datang ke masjid pada penghujung khutbah pula, jika dia takut apabila dia mengerjakan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid itu dia tidak akan sempat bertakbîratul-ihrâm bersama imam, maka dalam hal ini adalah lebih baik (sunat) baginya berdiri sahaja sehingga imam menunaikan sembahyang.

Adapun bagi mereka yang sedang bersembahyang, lalu ketika mereka sedang bersembahyang itu khathib pun naik dan duduk di atas mimbar, menurut ulama-ulama mazhab asy-Syafi‘e Rahimahumullâh, wajib ke atas mereka ini mengerjakan sembahyang mereka itu secara takhfîf walaupun sembahyang yang mereka kerjakan itu adalah sembahyang fardhu.

Kesimpulan

Daripada penjelasan di atas, jelas bahawa para ulama sangat menitik-beratkan penerimaan hati serta seluruh anggota tubuh badan terhadap khutbah yang disampaikan. Sehinggakan perbuatan ibadat seperti membaca al-Qur’an, berzikir dan seumpamanya pun dimakruhkan bagi orang yang dapat mendengar khutbah, apatah lagi berbual-bual mengenai perkara yang sia-sia. Bahkan, sekecil-kecil perbuatan yang boleh mengganggu tumpuan terhadap khutbah itu pun sudah dikira melakukan suatu perbuatan yang sia-sia yang akan mengakibatkan kerugian pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang Jumaat.

Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu katanya: “Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) menunaikan sembahyang Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah) telah berbuat sia-sia. (Hadits riwayat Muslim)

Maka sewajarnyalah seorang Muslim itu menumpukan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang disampaikan kerana selain daripada mengambil manfaat dan i‘tibâr daripadanya, khutbah juga sangat berkait rapat dengan kesempurnaan sembahyang Jumaat seseorang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6695