Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Awas! Jangan Lalu Di Hadapan Orang Sembahyang

Kekhusyukan dalam sembahyang iaitu menghadirkan hati ketika melaksanakan ibadat sembahyang amat penting kerana pada waktu inilah saat seorang hamba menghadap Tuhannya. Salah satu cara mendatangkan kekhusyukan dalam sembahyang ialah dengan sentiasa melihat tempat sujud sekalipun bagi orang buta dan sekalipun bersembahyang di dalam keadaan gelap. Namun adakalanya kekhusyukan dalam sembahyang itu hilang dengan sebab adanya gangguan sekeliling, umpamanya orang lalu atau berjalan di hadapan orang yang sedang bersembahyang.

Di sini timbul persoalan mengenai hukum orang yang lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang.

Sembahyang Dengan Meletakkan Sutrah (Pendinding/ Pembatas) Di Hadapan

Sunat bagi orang yang hendak melakukan sembahyang termasuklah sembahyang jenazah, membuat atau meletakkan sutrah (pendinding/pembatas) yang mengarah ke kiblat dan menghadapnya, seperti menghadap dinding atau tiang dan yang seumpamanya seperti kayu yang terpacak. Tinggi sutrah itu pula hendaklah sekitar 2/3 hasta iaitu kira-kira 30.5 sentimeter atau lebih, sementara jarak di antaranya dan sutrah tersebut adalah pada kadar 3 hasta iaitu kira-kira 137.2 sentimeter atau kurang.

Tujuan pembatasan tersebut adalah sebagai peringatan kepada orang lain agar menghormati tempat antara sutrah dan orang yang sedang bersembahyang.

Jika tidak ada dinding atau tiang, maka sunat baginya meletakkan tongkat atau barang-barang yang dikumpulkannya di hadapannya untuk dijadikan sutrah.

Jika tidak ada, sunat baginya menyediakan sutrah dengan membentangkan permaidani seperti sejadah atau membuat garisan pada kawasan di hadapan dengan garisan memanjang pada kadar 3 hasta iaitu kira-kira 137.2 sentimeter, atau kurang daripada kadar tersebut.

Cara ini adalah sebagaimana yang dijelaskan di dalam sebuah hadits riwayat Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu bersembahyang, maka hendaklah menjadikan (meletakkan) sesuatu di hadapannya. Jika tidak ada, maka tegakkanlah tongkat (di hadapannya). Jika tidak ada tongkat bersamanya, maka hendaklah dia membuat garisan. Dengan demikian, apa sahaja yang lalu di hadapannya, tidak akan memudharatkannya. (Hadits riwayat Abu Daud)

Walaupun kedudukan hadits ini dha‘îf, tetapi ia boleh dipakai di dalam perkara fadhâ’il A‘mâl kerana cara membuat sutrah termasuk di dalam perkara fadhail a‘mal itu.

Hukum Melintas Di hadapan Orang Yang Bersembahyang Dan Menghalangnya

Jika seseorang itu bersembahyang dengan meletakkan sutrah yang menepati syarat-syarat sebagaimana di atas, maka sunat baginya atau orang lain yang mengetahui sutrah tersebut untuk menghalang atau menolak orang yang hendak lalu di kawasan antaranya dan sutrah tersebut.

Dalam sebuah hadits riwayat Imam al-Bukhari Rahimahullâh, Abu Shalih as- Samman Radhiallâhu ‘anhu menceritakan bahawa dia telah melihat sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu sedang bersembahyang menghadap sesuatu yang membatasinya daripada (laluan) orang ramai. Lalu seorang pemuda keturunan Bani Abu Mu‘aith ingin lalu di hadapannya, maka Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu pun menghalangnya. Pemuda tersebut melihat sekeliling, namun tidak menjumpai jalan yang boleh dilalui kecuali di hadapan Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu yang sedang bersembahyang itu. Maka dia cuba lagi untuk lalu, namun dihalang oleh Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu. Setelah itu dia pergi menemui Marwan dan mengadu mengenai perlakuan Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu itu. Abu Sa‘id al- Kudriy Radhiallâhu ‘anhu datang dari belakang pemuda tersebut, lantas Marwan bertanya kepadanya tentang apakah yang berlaku antaranya dan anak saudaranya (pemuda tersebut). Abu Sa‘id al-Kudriy Radhiallâhu ‘anhu menjawab, bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu bersembahyang dengan menghadap sesuatu yang mendindingnya daripada orang ramai, jika ada seseorang yang hendak lalu di hadapannya maka hendaklah dia menghalangnya (semampunya). Jika dia engkar (tidak menghiraukan halangan itu), maka hendaklah menghalangnya sekalipun sampai membunuhnya. Maka sesungguhnya dia adalah syaitan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Ada dua tafsiran dengan apa yang dimaksudkan dengan ‘syaitan’ di dalam hadits di atas iaitu:

1. Orang yang lalu di hadapan orang sembahyang itu lalu bersama-samanya syaitan.

2. Dia adalah syaitan daripada kalangan manusia. Seseorang itu dianggap sebagai syaitan daripada kalangan manusia kerana dia telah melakukan perbuatan syaitan dengan menghalang seseorang daripada melakukan ketaatan.

Adalah haram bagi seorang mukallaf yang mengetahui kewujudan sutrah itu lalu atau melintas di antara orang yang sedang bersembahyang dengan sutrah itu. Imam ar-Ramli Rahimahullâh yang terkenal dengan gelaran asy-Syafi‘e ash-Shaghîr berpegang bahawa tidak ada perbezaan antara yang mukallaf dan bukan mukallaf, kerana kedua-duanya sunat dihalang jika lalu atau melintas di hadapan orang sembahyang. Begitu juga dengan sutrah yang diletakkan oleh orang lain di hadapan orang yang sedang bersembahyang adalah juga haram bagi sesiapa saja untuk lalu pada perbatasan itu.

Sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Abu Juhaim Radhiallâhu ‘anhu pernah ditanyakan mengenai apa yang didengarnya daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang orang yang lalu di depan orang bersembahyang, dan dia berkata:

Maksudnya: Seandainya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu tahu berapa beratnya dosa yang akan ditanggungnya kerana perbuatannya itu, tentunya dia akan berhenti (menanti) selama 40, lebih baik baginya daripada dia lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu. (Hadits muttafaq ‘alaih)

Berkata Abu an-Nadhr, salah seorang perawi hadits di atas: “Aku tidak pasti adakah Baginda mengatakan 40 hari, 40 bulan atau 40 tahun.”

Namun begitu tidak haram baginya untuk lalu di luar daripada kawasan yang diletakkan sutrah tersebut. Sembahyang seseorang itu pula tidak batal dengan sebab orang lalu di hadapannya.

Jika seseorang meletakkan sutrah di hadapannya, akan tetapi orang lain tidak mengetahui akan adanya sutrah tersebut, maka tidak haram bagi orang tersebut lalu di hadapannya. Walau bagaimanapun orang yang bersembahyang itu, hendaklah dia menghalangnya.

Jika dia tidak meletakkan sutrah, dia tidak boleh menghalang orang lain lalu di hadapannya. Oleh kerana itu tidak haram bagi orang lain untuk lalu di hadapannya, akan tetapi hukumnya makruh iaitu lebih baik untuknya tidak lalu di hadapan orang yang bersembahyang itu.

Cara Menghalang Orang Lalu Di Hadapan Orang Bersembahyang

Cara menghalang atau menolak seseorang yang lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang itu adalah dengan seringan-ringan gerakan. Menurut beberapa ulama mazhab asy-Syafi‘e, menghalang atau menolak orang yang lalu itu adalah dengan tangan dan dia hendaklah tetap di tempatnya tanpa perlu bergerak untuk menghalang.

Sutrah Ketika Sembahyang Di Tempat-Tempat Khas Untuk bersembahyang

Mendirikan sembahyang di tempat-tempat dikhususkan untuk bersembahyang, seperti di dalam masjid atau mushallâ, setiap saf adalah menjadi sutrah kepada orang yang berada di belakang saf itu, jika saf tersebut dekat dengannya. Ukuran dekat di sini ialah jarak di antara dua saf itu adalah 3 hasta iaitu kira-kira 137.2 sentimeter atau kurang.

Jika seseorang masuk ke tempat sembahyang dan dia mendapati ada tempat kosong pada saf yang pertama ketika orang sedang mendirikan sembahyang berjemaah, maka tidaklah mengapa baginya lalu serta berhenti di hadapan orang yang mendirikan sembahyang pada saf yang kedua dengan tujuan memenuhi saf agar tidak menjejaskan kesempurnaan berjemaah.

Adapun mendirikan sembahyang pada tempat-tempat yang selalunya menjadi laluan manusia, umpamanya pada jalan-jalan yang sering dilalui orang atau pada pintu-pintu masjid pada waktu-waktu sembahyang, maka tidak haram lalu di hadapan orang yang bersembahyang walaupun diberi batasan atau pendinding di hadapannya.

Daripada penjelasan di atas, maka jelaslah kepada kita tentang kedudukan dan nilai ibadat sembahyang di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Sebaik sahaja sembahyang itu didirikan di satu-satu tempat, maka tidak dibenarkan lalu atau melintas di hadapan orang yang sedang bersembahyang sehinggakan orang yang bersembahyang dibolehkan menggerakkan tangannya untuk menghalang orang yang lalu atau melintas di hadapannya itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6715