Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Hukum Mencium Jenazah

Menziarahi orang meninggal merupakan satu amalan yang sangat baik kerana terdapat banyak faedahnya; antaranya mengucapkan ta‘ziah kepada keluarga si mati, menunjukkan rasa simpati terhadap keluarganya dan menggalakkan amalan tolong-menolong ketika dalam suasana sedih dan musibah. Di samping itu, ia juga boleh mengingatkan kita kepada kematian.

Dalam suasana sibuk menguruskan pengendalian jenazah, seringkali juga terdengar para ahli keluarga, sama ada yang tua atau yang muda, dipanggil untuk mencium jenazah buat kali terakhir. Maka sebilangan mereka pernah bertanya apakah hukum perbuatan ini?

Mencium jenazah boleh dirujuk kepada perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sendiri dan juga perbuatan seorang sahabat dan khalifah, iaitu Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu. Ini berdasarkan kepada hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam mencium jenazah ‘Utsman bin Mazh‘un, iaitu saudara sesusuan Baginda.

Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mencium ‘Utsman bin Mazh‘un dan dia (ketika) itu sudah meninggal dunia dan Baginda menangis, atau katanya (Abdul Rahman): “Bahawa kedua-dua mata Baginda menitiskan air mata.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Sementara perbuatan Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu pula, sepertimana riwayat daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau mencium wajah Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam setelah Baginda wafat.

Maksudnya: Bahawa Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu telah mencium (kawasan) antara kedua-dua mata Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, dan Baginda (ketika itu) telah wafat. (Hadits riwayat al-Baihaqi dan an-Nasa’i)

Adapun perbuatan Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu tersebut tidak diingkari oleh sahabat yang lain pada ketika itu.

Hukum Mencium Jenazah

Hukum asal mencium jenazah adalah harus. Perkara ini tsabit sepertimana dalam dua riwayat yang telah dibawakan di atas. Oleh itu adalah harus hukumnya bagi ahli keluarga si mati dan selain mereka; umpamanya sahabat-sahabat, termasuklah juga suami atau isteri dan mahram kepada si mati, mencium wajah jenazah tersebut.

Walau bagaimanapun ulama berbeza pendapat mengenai hukum mencium jenazah sepertimana berikut:

▪ Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh berpendapat hukumnya adalah harus, sejajar dengan apa yang disebutkan dalam nash kitab fiqh. Manakala hukum sunat itu hanyalah untuk jenazah orang yang salih. Maka adalah sunat, sama ada bagi ahli keluarga, sahabat dan yang lainnya, untuk mencium jenazah orang salih itu kerana untuk mendapatkan keberkatan daripadanya. Berbeza pula hukumnya apabila jenazah tersebut bukan terdiri daripada ahli keluarga dan bukan sahabat ataupun bukan orang salih, maka hukumnya adalah menyalahi yang utama (khilâf al-awlâ).

▪ Menurut Imam ar-Ramli, Khathib asy-Syarbini dan juga merupakan pendapat as-Subki Rahimahumullâh, berdasarkan kepada dua hadits di atas; iaitu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mencium wajah saudara sesusuan Baginda dan Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu mencium wajah sahabat yang juga bapa mertua beliau, iaitu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, mereka berpendapat hukumnya adalah sunat bagi ahli keluarga si mati dan sahabat-sahabatnya mencium jenazah (walaupun si mati bukan orang salih), manakala hukum harus itu adalah untuk selain daripada mereka ini.

▪ Telah disebutkan pendapat dalam Zawâ’id ar-Raudhah bahawa tidak mengapa mencium wajah jenazah jika dia adalah orang salih. Jika dia bukan orang salih, maka seperti hukum asalnya, adalah harus. Adapun jika dia bukan orang salih dan diketahui bahawa si mati itu orang yang melakukan maksiat, maka hukumnya adalah makruh.

Selain itu antara perkara-perkara yang perlu diambil perhatian oleh orang yang bercadang atau disuruh untuk mencium jenazah ialah:

▪ Jika sekiranya dia bukan terdiri daripada ahli keluarga si mati atau mahramnya, maka hendaklah antara orang yang hidup dengan si mati tersebut daripada jantina yang sama. Maka tidak boleh perbuatan ini dilakukan antara perempuan dengan lelaki ajnabiy dan sebaliknya.

▪ Janganlah perbuatannya (orang yang hidup) mencium jenazah itu akan mengakibatkan hilang maruah ataupun merendahkannya.

Di samping itu perlu juga diketahui bahawa kesemua hukum mencium jenazah yang telah disebutkan di atas adalah bagi mereka yang tidak mudah tersentuh perasaan dan boleh mengawalnya. Adapun jika sebaliknya; iaitu jika perbuatan mencium jenazah itu boleh menyebabkan timbulnya perasaan dukacita dan kesedihan yang keterlaluan dan seterusnya tidak dapat mengawalnya; sepertimana kebiasaan halnya bagi kaum perempuan, maka pada ketika itu adalah haram hukumnya mencium jenazah tersebut.

Ini kerana, perbuatan menangis dengan suara yang kuat atau meratap walaupun tanpa air mata adalah haram dan jelas dilarang dalam Islam sepertimana yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Athiyyah Radhiallâhu ‘anhâ:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang kami daripada perbuatan meratap. (Hadits riwayat Abu Daud)

Manakala dalam sebuah hadits daripada Buraidah Radhiallâhu ‘anhu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tidak termasuk di dalam golongan kami orang yang memukul-mukul pipinya, mengoyak-ngoyak koceknya, berteriak-teriak seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Adapun sedih atau mengalirkan air mata secara thabi‘i kerana kesedihan, tersentuh hati dan keinsafan tanpa diiringi ratapan adalah harus dan tidaklah dilarang, kerana kesemua itu boleh menyedarkan kita akan hakikat kematian yang boleh membawa kepada keinsafan. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga mempamerkan kesedihan Baginda serta mengalirkan air mata ketika anaknya Ibrahim meninggal dunia. Menurut riwayat Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu bahawa sebelum Ibrahim menghembuskan nafasnya (yang terakhir) dengan tenang, sambil menitiskan air mata Baginda bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya mata ini menitiskan air mata dan hati ini bersedih, (namun) kami tidak akan mengatakan kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya kami merasa sedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Bahagian Anggota Jenazah Yang Dicium

Jika dilihat pada nash yang dibawakan dalam kitab fiqh, secara umumnya mengatakan bahawa harus hukumnya mencium wajah jenazah. Demikianlah juga yang diriwayatkan dalam hadits bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mencium wajah jenazah saudara susuan Baginda. Di samping itu, ada beberapa pendapat yang lain, antaranya:

▪ Telah disebutkan dalam riwayat ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa kawasan atau tempat yang dicium oleh Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu ialah pada kawasan antara kedua-dua mata Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

▪ Pendapat yang mengatakan bahawa mencium kawasan tempat sujud (dahi) adalah awlâ (lebih utama) dan sebaiknya dilakukan tanpa ada lapik.

▪ Pendapat yang mengatakan bahawa harus mencium anggota badan jenazah seperti tangan dan selainnya selama mana tidak menimbulkan syahwat.

Namun dalam hal ini adalah dibataskan kepada bahagian wajah sahaja kerana itulah yang wârid. Ini memandangkan antara sebab untuk mencium jenazah adalah kerana untuk mendapat keberkatan, rasa kasih atau kerana kasihan ke atasnya.

Di samping itu disunatkan menutup wajah jenazah dan tidak membiarkannya terdedah. Daripada Abu Salmah bahawa ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata kepadanya:

Maksudnya: (Ketika mendengar berita kewafatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam,) maka Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu datang dari rumahnya di Sunh dengan berkenderaan kuda. Sesampainya di pintu masjid, beliau pun turun dan segera masuk ke rumah ‘Aisyah tanpa bercakap-cakap dengan seorang pun yang ada dalam masjid sehinggalah beliau menemui ‘Aisyah. (Kemudian) beliau menuju kepada (jenazah) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang telah diselimuti dengan sehelai jubah hibarah (iaitu sejenis jubah atau pakaian Yaman bercorak jalur yang diperbuat daripada kapas

atau ‘linen’). Setelah itu beliau membuka (kain) di bahagian wajah Baginda, lalu Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu pun menurunkan kepalanya dan mencium (kening) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam seraya menangis…” (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Batalkah Wudhu Apabila Mencium Jenazah?

Jika kita memperkatakan tentang hukum wudhu bagi jenazah tersebut, maka perbuatan ini tidak membatalkan wudhunya.

Adapun hukum wudhu bagi orang yang hidup (yang menyentuh jenazah tersebut), maka perlu diperhatikan apakah dia mahram kepada jenazah tersebut ataupun tidak? Ini kerana antara perkara yang membatalkan wudhu itu ialah bersentuhan kulit seorang lelaki dengan perempuan ajnabiyyah (bukan mahram) tanpa berlapik (antara keduanya).

Menurut jumhûr (majoriti) ulama, hukum memegang atau menyentuh mayat perempuan atau lelaki yang ajnabiy (bukan mahram) adalah membatalkan wudhu. Ini berdasarkan kepada hukum sentuhan antara kedua mereka (perempuan dan lelaki yang ajnabiy) pada ketika hidup adalah membatalkan wudhu.

Berbeza dengan mahram, iaitu perempuan yang haram dinikahi sama ada mahram secara nasab keturunan atau sesusuan atau perkahwinan, maka persentuhan kulit antara lelaki dengan perempuan yang merupakan mahramnya tidak membatalkan wudhu. Maka begitulah juga hukum bagi mereka yang sama jantina.

Sebagai kesimpulan, hukum mencium jenazah itu asalnya adalah harus, bahkan sunat jika si mati adalah terdiri daripada golongan orang salih. Namun perlu diingat bahawa keharusan itu boleh berubah kepada haram, iaitu jika perbuatan mencium jenazah itu boleh membuat seseorang itu hilang kesabaran dan kawalan kerana terlalu sedih atau dukacita dan sehingga membawa kepada ratapan atau tangisan yang kuat.

Di samping itu, perlu juga diambil kira bahawa hukum harus atau sunat tadi adalah bagi ahli keluarga, mahram dan mereka yang sama jantina dengan si mati. Maka tidak boleh perbuatan ini dilakukan oleh lelaki dan perempuan yang ajnabiy. Adapun sebagai pilihan lain, maka bolehlah mengucapkan takziah kepada ahli keluarga si mati dan mendo‘akannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6758