Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Jauhi Permainan Masa Kini Yang Berunsurkan Judi

Judi bermaksud permainan dengan menggunakan wang dan lain-lain sebagai pertaruhan. Bermain judi adalah perbuatan yang amat dicela dan termasuk antara dosa-dosa besar. Ini kerana keburukan akibat perbuatan ini lebih besar berbanding manfaatnya.

Perbuatan berjudi ini sudah wujud sejak zaman sebelum kedatangan Islam lagi. Judi adalah suatu kesukaan orang-orang Jahiliah. Mereka mempertaruhkan wang, harta benda malahan mempertaruhkan isteri mereka dalam permainan-permainan mereka seperti permainan at-tajzi’ah dan al-mukhâtharah. Contohnya dalam permainan al-mukhâtharah, pemain yang terdiri daripada dua orang lelaki atau lebih menjadikan isteri dan harta masing-masing sebagai pertaruhan dan kesudahannya pihak yang menang akan mengambil isteri dan harta pihak yang kalah sebagai hadiah untuknya. Begitulah antara cara masyarakat Jahiliah mempertaruhkan sesuatu dalam permainan judi mereka.

Walaupun corak atau cara perjudian yang berlaku masa kini atau jenis permainannya berlainan, akan tetapi unsur yang ada di dalamnya tetap sama.

Dalil Pengharaman Judi

Pengharaman judi ada disebutkan dengan jelas dalam al-Qur’an. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah: 219)

Dalam ayat di atas, disebut tentang dosa yang terdapat pada arak dan judi. Walaupun kedua-duanya mempunyai beberapa manfaat kepada manusia, namun sebagaimana yang ditegaskan dalam ayat di atas dosa atau keburukan kedua-duanya lebih besar sehingga syari‘at Islam melarang penganutnya menghampiri kedua-duanya.

Dosa yang nyata daripada perbuatan berjudi ialah memakan harta orang lain dengan bâthil iaitu dengan cara yang salah. Perbuatan ini kemudiannya akan menjerumuskan mereka kepada permusuhan dan kebencian.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam ayat yang lain pula:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib (dengan batang-batang anak panah) adalah semata-mata kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)

Dalam ayat di atas, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan supaya tidak mendekati arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah kerana semua perkara yang disebutkan itu merupakan perbuatan syaitan yang wajib dijauhi oleh orang-orang yang beriman.

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil. (Surah al-Mâ’idah: 91)

Allah Subhanâhu wa Ta‘âlâ menjelaskan kepada hamba-hambaNya bahawa syaitan menginginkan untuk mencetuskan permusuhan dan kebencian di kalangan manusia dengan sebab arak dan judi serta melalaikan manusia daripada mengingati Allah dan meninggalkan sembahyang umpamanya seseorang itu mabuk kerana meminum arak maka fikirannya menjadi tidak waras untuk mengingati Allah dan seseorang itu terlalu leka berjudi sehingga meninggalkan sembahyang atau lain-lain kewajipan, bahkan sanggup melakukan

Sesuatu yang keji dan ditegah oleh syara‘ hanya kerana terlalu ketagih berjudi atau dibebani hutang judi.

Keburukan Berjudi

Antara keburukan akibat berjudi itu ialah:

1. Memakan harta orang lain secara bâthil iaitu dengan cara yang salah.

2. Para pelakunya lebih banyak mengalami kerugian daripada keuntungan. Manfaatnya hanya dapat dikecapi oleh pihak yang menang, manakala pihak yang kalah pula akan mengalami kerugian dan kedukaan kerana kehilangan harta yang dipertaruhkan.

3. Berjudi menyebabkan seseorang itu menjadi malas untuk berusaha dan hanya mengharapkan nasibnya (baik) agar menang dalam permainannya.

4. Berjudi merupakan perbuatan syaitan yang keji dan tercela.

5. Berjudi menyebabkan pelaku-pelakunya saling membenci di antara satu sama lain hingga menimbulkan permusuhan akibat rasa tidak puas hati di kalangan mereka, malahan ada yang sanggup berbunuhan sesama sendiri.

6. Berjudi boleh menyebabkan pelakunya lalai daripada mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan lalai daripada kewajipan-kewajipan syara‘ kerana leka dengan permainan demi untuk memperolehi hasil yang banyak pada waktu yang singkat tanpa perlu berpenat lelah.

7. Orang yang sudah ketagih dengan judi mengalami kemiskinan dan hilang tumpuan bekerja.

8. Berjudi menyebabkan seseorang sanggup melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan aqidah, seperti berjumpa bomoh untuk mendapatkan nombor yang kononnya membawa tuah kepadanya. Ada juga yang sanggup memuja-muja pokok, pungsu (busut), pergi ke kubur-kubur malahan ada yang sanggup mencabut nombor lesen kereta yang terlibat dengan kemalangan hanya untuk mendapatkan nombor yang dianggap boleh mendatangkan kemenangan untuknya.

9. Dengan berjudi seseorang akan terdorong untuk melakukan jenayah-jenayah lain seperti menipu, mencuri, berhutang dengan menjanjikan janji-janji manis dan sebagainya.

Apakah Unsur Judi?

Islam mengharamkan segala bentuk perkara yang berunsurkan perjudian. Unsur judi itu ialah adanya pertaruhan, berdasarkan nasib semata-mata dan hanya sebahagian pihak sahaja yang mendapat keuntungan daripada hasil pertaruhan itu. Antara unsur-unsur judi itu ialah:

1. Pertaruhan.

Pertaruhan itu seperti wang dan lain-lain yang digunakan dalam perjudian. Jumhûr ulama berpendapat bahawa unsur penting dalam al-maisir (perjudian) itu adalah pertaruhan. Pada pandangan mereka, adanya unsur pertaruhan ini merupakan ‘illah (sebab) bagi haramnya al-maisir tersebut. Oleh yang demikian, setiap permainan yang mengandungi unsur pertaruhan adalah al-maisir dan hukum melakukannya adalah haram.

2. Kemenangan yang ditentukan oleh nasib.

Berjudi hanya bergantung pada nasib semata-mata. Allah Subhanâhu wa Ta‘âlâ mengharamkan setiap hasil pencarian yang diperolehi oleh manusia berdasarkan nasib walaupun tujuannya untuk disumbangkan kepada orang-orang fakir dan miskin atau bagi tujuan kebajikan.

3. Adanya pihak yang untung dan pihak yang rugi.

Apa yang dipertaruhkan dalam satu-satu permainan judi itu hanya dapat dinikmati oleh pihak yang menang sahaja, manakala yang kalah tidak mendapat apa-apa melainkan hanya kerugian. Pihak yang menang mendapat keuntungan daripada kerugian pihak yang kalah. Gambaran seumpama ini dianggap sebagai memakan harta orang lain secara bâthil dan ia jelas ditegah dalam Islam sebagaimana Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Baqarah: 188)

Antara Contoh-Contoh Permainan Masa Kini Yang Berunsurkan Judi

1. Penganjur mengadakan permainan kuiz yang dibukakan kepada para peserta melalui penghantaran sistem pesanan ringkas atau SMS. Sesiapa yang banyak menghantar atau mula-mula sekali meneka jawapan itu dengan tepat akan mendapat hadiah yang dijanjikan oleh pihak penganjur.

Permainan yang berbentuk kuiz melalui SMS ini amat berleluasa dan sambutan yang diberikan juga tidak kurang hebatnya. Banyak peserta yang membelanjakan sejumlah wang mereka untuk membayar caj penghantaran SMS dengan tujuan untuk memperolehi kemenangan.

Permainan ini dikategorikan judi kerana terdapat unsur-unsur perjudian yang terkandung di dalamnya, iaitu:

i. Pertaruhan wang peserta yang dijadikan sumber hadiah bagi bakal pemenang.

ii. Pihak yang menang dalam peraduan kuiz ini mendapat untung daripada wang peserta-peserta lain, sedangkan pihak yang kalah akan mendapat kerugian kerana perlu membayar caj SMS yang digunakannya.

iii. Kemenangan berpihak kepada peserta adalah melalui nasib kerana pemilihan untuk menang adalah dari sudut-sudut tertentu seperti siapa yang terbanyak, terpantas dan sebagainya.

Melalui permainan ini, pihak penganjur mengumpul sejumlah besar wang daripada para peserta dengan berbagai cara, antaranya;

▪ Mengenakan caj perkhidmatan penghantaran SMS lebih tinggi daripada kadar biasa;

▪ Mengenakan bayaran bagi setiap SMS yang dikirim oleh penganjur kepada peserta;

▪ Mengenakan bayaran pendaftaran untuk memasuki peraduan melalui kredit peserta dan sebagainya.

Bayaran daripada peserta inilah yang sebahagiannya dijadikan hadiah yang ditawarkan atau dijanjikan penganjur kepada peserta yang bakal memenangi peraduan tersebut dan sebahagiannya menjadi keuntungan bagi penganjur.

Perlu diingat, sekalipun penghantaran SMS bagi permainan ini dikenakan dengan kadar caj biasa, namun sekiranya bayaran caj tersebut dimasukkan dalam nilai hadiah maka ia tetap dianggap perjudian.

1. Sebuah kumpulan ingin mengadakan satu perlawanan dan setiap peserta diarahkan untuk menyediakan wang masing-masing dengan kadar tertentu. Di akhir permainan sesiapa yang menang akan memperolehi semua wang hasil kutipan daripada semua peserta tadi atau mendapat hadiah yang dibeli menggunakan wang kutipan tersebut. Perkara seumpama ini dianggap sebagai judi kerana terdapat unsur-unsur judi iaitu adanya pertaruhan dan hanya seorang sahaja atau sebahagian pihak sahaja mendapat keuntungan hasil pertaruhan, manakala yang sebahagian pula tidak mendapat apa-apa.

Walau bagaimanapun jika salah seorang daripada peserta menyediakan ganjaran untuk perlawanan tersebut, maka tidak ada unsur perjudian dalam pertandingan tersebut. Misalnya peserta yang menyediakan hadiah tersebut berkata: “Jika engkau mengalahkanku, maka bagimu ganjaran ini” atau “jika aku mengalahkanmu, engkau tidak perlu memberiku ganjaran apapun.”

Jika wang yang dikutip daripada semua peserta bertujuan untuk kegunaan perlawanan tersebut seperti membeli minuman untuk para peserta, membayar pengadil atau hakim perlawanan dan yang seumpamanya selama mana ia tidak membabitkan ganjaran kepada peserta yang menjadi pemenang perlawanan, maka tidaklah ia dianggap judi.

Begitulah antara contoh perkara-perkara yang berunsurkan judi. Walaupun perlaksanaannya berbeza dengan perlaksanaan judi yang dilakukan di tempat-tempat perjudian dan tidaklah mengundang kepada perkelahian, akan tetapi ia merupakan salah satu cara untuk mendapatkan harta orang lain secara tidak sah. Cara seperti ini diharamkan oleh syara‘.

Penutup

Larangan berjudi sudah jelas disebutkan dalam ayat-ayat di atas. Jika al-Qur’an al- Karim telah mengharamkan arak dan judi itu, maka sudah tentu perkara itu besar bencananya kepada umat manusia. Selain daripada itu akal yang waras pun tidak boleh menerimanya, kerana kesannya yang buruk pada ekonomi, kesihatan dan pergaulan manusia.

Oleh itu, sebelum melaksanakan sesuatu peraduan atau perlawanan pihak penganjur hendaklah memastikan bahawa peraduan atau perlawanan itu hendaklah bersih daripada unsur judi iaitu pertaruhan. Dengan menyediakan hadiah, sama ada yang disediakan oleh para penganjur sendiri atau yang ditaja oleh orang lain, tanpa membabitkan pengutipan wang daripada para peserta adalah cara untuk mengelakkan berlakunya permainan yang berunsurkan judi.

Masyarakat pula perlulah sentiasa peka sebelum menyertai mana-mana peraduan atau permainan. Ini kerana perjudian boleh saja berlaku dalam bentuk yang terselindung. Melalui penjelasan ini, masyarakat boleh menilai sama ada peraduan atau permainan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak bersih daripada unsur judi atau sebaliknya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6788