Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأخلاق والآداب

Dalam Tandas Pun Ada Adab-Adabnya!

Tandas ialah suatu tempat khas yang dibina di dalam sesebuah rumah atau bangunan yang pada kebiasaannya digunakan untuk qadha’ hajat.

Tandas yang bersih, lebih-lebih lagi yang selesa, merupakan suatu keperluan. Kerana itu tidak hairanlah jika sebilangan individu tidak menggemari tandas awam, kerana menganggapnya sebagai antara tempat-tempat yang kotor, menjijikkan atau kurang menyenangkan.

Apapun gambaran yang dibayangkan terhadap tandas, ia tidak mengurangkan dan menjejaskan pandangan Islam terhadap kepentingannya. Oleh kerana itu, telah digariskan beberapa adab yang mudah untuk diamalkan ketika menggunakannya, ketika qadha’ hajat dan setelah selesai qadha’ hajat. Antaranya ialah:

1. Ketika Menggunakan Tandas:

i. Tidak membawa sesuatu yang tertulis padanya perkataan yang mulia seperti ayat-ayat al-Qur’an, bahkan sunat ditanggalkan. Ini termasuklah lafzh al-Jalâlah, Asmâ’ al-Husnâ, nama nabi-nabi sekalipun dia bukan Rasul, nama malaikat dan kesemua nama-nama mulia; sama ada nama-nama yang dikhususkan untuk seseorang yang mulia ataupun nama tersebut mempunyai persamaan seperti ‘al- ‘Aziz’; kerana nama ini digunakan untuk Asmâ’ al-Husnâ dan juga selainnya. Begitu juga ‘Ahmad’ yang menunjukkan nama Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan juga untuk selainnya. Adapun jika nama tersebut dimaksudkan secara umum, maka tidaklah makruh.

Ini berdasarkan kepada hadits Anas Radhiallâhu ‘anhu, iaitu perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menanggalkan cincin Baginda yang telah diukir dengan perkataan ‘Muhammad Rasûlullâh’.

Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila Baginda (hendak) masuk ke tandas Baginda menanggalkan cincin Baginda. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Sekiranya seseorang itu terlupa atau tidak sempat untuk menanggalkan cincin yang mengandungi perkataan mulia tadi, maka hendaklah digenggam dengan telapak tangan atau dimasukkan ke dalam serban dan seumpamanya (disembunyikan atau ditutup). Perbuatan seperti ini adalah adab yang dituntut.

Adapun membawa masuk Mushhaf ke dalam tandas tanpa dharurat, maka hukumnya adalah haram. Begitu juga dengan cincin yang ada perkataan mulia dipakai pada tangan kiri yang digunakan untuk beristinjâ’ (bercebok), kerana sudah pasti akan terkena najis padanya.

ii. Jangan masuk tandas dengan kepala dan kaki yang terdedah (tidak bertudung/berlapik). Hadits mursal daripada Habib bin Shalih Radhiallâhu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam jika (hendak) masuk ke tandas, Baginda memakai alas kaki dan (juga) menutup kepala Baginda. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

iii. Sunat mendahulukan kaki kiri apabila masuk tandas, sekalipun bukan dengan tujuan untuk qadha’ hajat seperti menyimpan atau mengambil barang.

iv. Sunat mendahulukan kaki kanan apabila keluar dari tandas atau beredar dari tempat qadha’ hajat.

v. Sunat menyediakan air yang akan digunakan untuk beristinjâ’ lebih awal jika tiada kemudahan paip air untuk beristinjâ’.

vi. Sunat membaca do‘a sebelum masuk tandas sepertimana riwayat daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika hendak masuk tandas Baginda berdo‘a:

Maksudnya: Dengan nama Allah, ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada syaitan khubutsi (lelaki) dan syaitan khabâ’its (perempuan). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

vii. Sunat membaca do‘a setelah keluar dari tandas antaranya riwayat daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ dan Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah mengucapkan:

Maksudnya: Aku memohon keampunanMu. Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kesusahan (berak dan kencing) daripadaku dan menjadikan aku sihat wal‘afiat. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Adapun perkataan “ َ غُفْرَانَك ” itu, maka sunat dibaca sebanyak 3 kali.

vii. Sunat mengangkat pakaian satu demi satu ketika hendak duduk qadha’ hajat, melainkan jika ditakuti terkena najis maka memadailah mengikut kadar yang sepatutnya. Begitu juga setelah selesai qadha’ hajat, sunat menurunkan atau melepaskan pakaian satu demi satu sebelum sempurna dia berdiri tegak. viii. Makruh berlengah-lengah (duduk lama-lama tanpa keperluan) dalam tandas.

ix. Disunatkan untuk tidak makan dan minum.

x. Haram menghadap atau membelakangi qiblat ketika qadha’ hajat khususnya pada tempat yang luas atau terbuka dan tanpa ada pendinding (yang boleh menutup aurat), kecuali jika tempat itu berada dalam suatu bangunan atau binaan dan memang disediakan sebagai tempat qadha’ hajat seperti tandas yang dibina dalam rumah atau bangunan. Maka hukumnya adalah dibolehkan; tidak haram dan tidak makruh dan tidak menyalahi yang utama (khilâf al-awlâ).

Ini dapat difahami daripada hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ katanya:

Maksudnya: Aku naik ke atas rumah Hafshah untuk sesuatu hajat (pekerjaan), lalu aku melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sedang qadha’ hajat (buang air besar), iaitu Baginda (dalam keadaan) membelakangi qiblat (dan) menghadap negeri Syam. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Setelah qadha’ hajat, jika dia ingin berpindah ke tempat lain untuk beristinjâ’, maka tidak haram atau makruh untuk dia menghadap atau membelakangi qiblat.

2. Ketika Qadha’ Hajat:

i. Disunatkan supaya berat anggota badan dibebankan ke bahagian kiri dan mengangkat atau meringankan bahagian kanan. Kemudian merapatkan kedua-dua paha untuk memudahkan lagi qadha’ hajat.

ii. Makruh buang air kecil dalam keadaan berdiri kecuali ada keuzuran. Pada ketika itu hukumnya tidak makruh dan tidak menyalahi yang utama (khilâf al-awlâ). Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:

Maksudnya: Barang siapa yang mengatakan kepada kamu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam buang air kecil dalam keadaan berdiri, maka janganlah kamu mempercayainya. (Sesungguhnya) Baginda tidak membuang air kecil kecuali dalam keadaan duduk. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

i. Disunatkan supaya tidak melihat kemaluan, tidak memandang ke arah langit, tidak memerhatikan apa yang keluar dari dua kemaluan kecuali kerana mashlahat, tidak mengoyang-goyangkan atau memain-mainkan tangan (tanpa faedah atau tujuan) dan tidak (banyak) menoleh ke kiri dan ke kanan.

ii. Ketika sedang qadha’ hajat, makruh berkata-kata walau apapun bentuknya sama ada zikir ataupun bukan; seperti perkataan biasa, kecuali kerana dharurat umpamanya memberi amaran kepada orang buta yang hampir jatuh ke dalam perigi dan seumpamanya. Bahkan kadang-kadang dalam keadaan seperti ini dihukumkan wajib (untuk berkata-kata dan memberi amaran).

Larangan ini difahami daripada sebuah hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Janganlah dua orang lelaki pergi (untuk) memasuki satu tandas, (lalu) kedua-duanya membuka aurat mereka (untuk qadha’ hajat sambil) berbual-bual. Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla benci dengan (perbuatan) demikian itu. (Hadits riwayat Abu Daud)

Sekalipun bukan dalam keadaan qadha’ hajat, disunatkan juga ketika berada dalam tandas agar tidak membaca sesuatu zikir atau ayat al-Qur’an. Adapun kata-kata biasa sahaja tidaklah makruh (karâhah).

Apabila seseorang itu bersin, maka memadailah dia mengucapkan tahmîd dalam hati sahaja tanpa melafazkannya. Namun jika dia menggerak-gerakkan lidahnya tetapi tanpa mengeluarkan suara, perbuatan seperti ini tidak dihukumkan makruh. Sekiranya dia menyaringkan juga suaranya untuk mengucapkan tahmîd dan didengar pula oleh orang lain, maka tidak dituntut bagi orang yang mendengar tadi untuk mentasymît (mendo‘akan orang bersin yang telah mengucapkan tahmîd, dengan kebaikan dan keberkatan dengan mengucapkan “ ُ لر َْحَُك َ هللا”.

Manakala hukum berdehem dan berbisik-bisik pula tidak makruh, seperti berdehem apabila pintu tandas diketuk untuk memberi makluman atau isyarat bahawa dia berada di dalamnya.

Di samping itu dapat difahami daripada hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa menjawab salam juga tidak dituntut:

Maksudnya: Bahawa seorang lelaki telah berjalan melintasi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan Baginda (pada ketika itu) sedang buang air kecil, lalu dia pun memberi salam (kepada Baginda). Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak menjawab salamnya itu. (Hadits riwayat Muslim)

i. Disunatkan tidak bersiwak (membersihkan gigi) sambil qadha’ hajat.

ii. Disunatkan tidak meludahi kencingnya.

iii. Disunatkan tidak duduk terlalu lama (tanpa keperluan) kerana Luqman al-Hakim pernah mengatakan bahawa perbuatan tersebut boleh mengakibatkan penyakit limpa/hati dan menyebabkan buasir (penyakit yang disebabkan urat darah pada dubur membengkak). Pesanannya, duduklah (untuk qadha’ hajat) dengan selesa kemudian (segeralah) keluar.

3. Setelah Qadha’ Hajat:

Setelah selesai qadha’ hajat, perkara yang perlu dibuat ialah beristinjâ’ dan hukumnya adalah wajib. Antara adab-adabnya ialah:

i. Sunat beristinjâ’ dengan tangan kiri dan makruh menggunakan tangan kanan. Daripada Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu daripada bapanya bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jika salah seorang daripada kamu kencing, maka janganlah sekali-kali dia memegang zakarnya dengan tangan kanannya dan (begitu juga) janganlah dia beristinjâ’ dengan tangan kanannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

ii. Sunat memulakan membasuh kemaluan (hadapan) kemudian barulah dubur jika beristinjâ’ dengan air.

iii. Sunat menggunakan jari tengah ketika beristinjâ’ pada dubur.

iv. Sunat dibasuh tangan yang digunakan untuk beristinjâ’ dengan tanah dan seumpamanya (seperti sabun) kemudian dengan air. Kemudian membaca do‘a selepas beristinjâ’:

Ertinya: Ya Allah sucikanlah hatiku daripada sifat nifâq dan peliharakanlah kemaluanku daripada perkara-perkara keji.

Inilah antara adab-adab yang telah disepakati oleh para ulama dan dituntut untuk diamalkan ketika menggunakan tandas. Sekalipun hukumnya hanyalah sunat untuk dikerjakan atau ditinggalkan, namun adalah rugi jika diabaikan kerana adab-adab tersebut sangat mudah dan praktikal. Manakala mereka yang mengamalkannya pula adalah orang yang beruntung kerana mendapat ganjaran pahala di samping mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Tidak dinafikan juga mungkin terdapat banyak lagi hikmat yang tersembunyi di sebaliknya yang tidak diketahui dan tidak disebutkan di sini.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6792