Tidak Masuk Syurga Memutuskan Silaturrahim
Kesempurnaan iman seseorang didukung oleh banyak faktor, bukan setakat beriman kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan Hari Akhirat sahaja, bahkan hubungan sesama insan juga menjadi kayu pengukurnya.
Islam amat menuntut umatnya untuk menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia, kerana akibat memutuskan silaturrahim itu amat besar risikonya bukan hanya setakat di dunia sahaja bahkan juga di akhirat kelak.
Lazimnya, gejala memutuskan silaturrahim berpunca daripada pertengkaran atau perselisihan yang disebabkan oleh harta benda, harta pusaka, hutang piutang, hasutan, fitnah, sifat sombong dan mementingkan diri sendiri. Hatta perkelahian antara sesama anak atau jiran tetangga pun boleh menyebabkan terputusnya ikatan silaturrahim, di mana kedua-dua pihak saling salah-menyalahkan, didorong lagi jika kedua-duanya tidak mempunyai kesabaran dan sikap terbuka serta mengalah untuk memohon maaf atau saling bermaafan.
Permusuhan dan pergeseran seperti ini boleh berlaku secara berpanjangan jika tidak ada kesedaran dalam diri kedua-dua pihak atau tidak ada orang lain yang mahu meleraikan atau mendamaikan pihak yang bermusuhan ini.
Perlu diingat bahawa tanggungjawab untuk membina semula silaturrahim yang terputus, bukan sahaja terletak kepada dua pihak yang bermusuhan. Tetapi sanak saudara atau kawan-kawan yang mengetahui tentang perkara ini juga boleh memainkan peranan yang penting selaku orang tengah dalam mendamaikan dan menyambung semula silaturrahim yang terputus.
Oleh itu binalah ikatan silaturrahim sesama insan dalam apa jua kesempatan. Mungkin suasana Hari Raya merupakan kesempatan yang baik untuk memulakan hubungan yang baik, tetapi menunggu Hari Raya mungkin mengambil masa yang lama. Oleh itu, gunakanlah kebijaksanaan dalam mencari waktu yang sesuai pada bila-bila masa sebagai satu wadah untuk memperkukuhkan lagi tali silaturrahim.
Persoalannya, apakah hukum dan kesan memutuskan silaturrahim ini? Maklumat ini perlu diketahui supaya dapat dilupakan segala punca pertelingkahan demi mencapai keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Pengertian Silaturrahim
Perkataan shilah dari segi bahasa bererti gabung atau kumpul dan makna rahmi pula ialah kaum kerabat yang dekat.
Dari segi istilah pula silaturrahim ialah berlaku ihsan kepada kaum kerabat sama ada daripada pihak si penghubung dan yang dihubungkan.
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu telah meriwayatkan sebuah hadits Qudsi, bahawa Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menciptakan makhluk sehingga apabila selesai sebahagian mereka, maka tampillah Rahim dan berkata: “Ini adalah tempat orang yang berlindung daripada terputusnya hubungan kekeluargaan,” Allah berfirman: “Ya, jadi apakah kamu rela kalau Aku menyambung orang yang menyambungkanmu (mendapat belas kasih daripada Allah) dan memutuskan orang yang memutuskanmu (tidak mendapat belas kasih daripada Allah)?” Ia berkata: “Ya.” Allah berfirman: “Maka demikianlah untukmu (Allah menyambungkan rahim orang yang menyambungkan rahim dan memutuskan rahim orang yang memutuskan rahim).”
Berkata Imam an-Nawawi bahawa menurut ulama, hakikat shilah itu ialah kemesraan dan belas kasihan. Manakala hubungan silaturrahim Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hamba-hambaNya ialah dengan melimpahkan kemesraan dan belas kasihanNya kepada hambaNya dengan ihsan dan ni‘mat atau dengan melapangkan dada-dada hambaNya kerana taat kepadaNya.
Kaum kerabat yang wajib dieratkan ikatan silaturrahim itu termasuklah kerabat mahram dan yang bukan mahram.
Dalam kitab az-Zawâjir karangan Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ ada menyebutkan bahawa kaum kerabat itu terbahagi kepada dua iaitu kaum kerabat mahram dan yang bukan mahram:
1. Kaum kerabat mahram ialah saudara yang haram bernikah dengannya seperti bapa, ibu, adik beradik lelaki dan perempuan dan anak-anak mereka, bapa saudara dan emak saudara sebelah bapa dan emak.
2. Kaum kerabat bukan mahram ialah saudara yang halal bernikah dengannya seperti anak bapa dan ibu saudara sebelah bapa serta anak-anak mereka, anak bapa dan ibu saudara sebelah emak dan anak-anak mereka.
Hikmat Pensyariatan Silaturrahim
Hikmat bersilaturrahim ialah dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur sebagaimana disebutkan dalam hadits Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Barang siapa yang suka dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya maka hendaklah dia menyambungkan kekeluargaan (silaturrahim).
Begitu juga bersilaturrahim itu boleh menambahkan penghormatan dan pahala selepas kematiannya kerana orang-orang akan mendo‘akannya setiap kali disebut kebaikannya.
Hukum Mengeratkan Silaturrahim
Tidak ada perselisihan ulama bahawa mengeratkan silaturrahim sesama saudara hukumnya wajib sebagaimana perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam ayat di bawah ini:
Tafsirnya: Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (Surah an-Nisâ’: 1)
Kewajipan mengeratkan silaturrahim itu juga disandarkan dengan rasa keimanan kepada Allah sebagaimana disebutkan dalam hadits Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia mengeratkan kekeluargaan (silaturrahim). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hukum Memutuskan Silaturrahim
Memutuskan silaturrahim pula hukumnya haram dan dikira melakukan maksiat besar sehingga mendapat laknat dari Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: (Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan - jika kamu dapat memegang kuasa - kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya. (Surah Muhammad: 22-23)
Orang yang memutuskan silaturrahim ini tidak masuk syurga, sebagaimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.
Bagaimana Menghubungkan Silaturrahim?
Menurut Ibnu Abu Jamrah bahawa hubungan silaturrahim boleh dieratkan dengan memberi harta, memberi bantuan dan pertolongan dalam menyampaikan hajat, menolak kemudharatan, bersemuka, mendo‘akan, mengeratkan dengan apa yang termampu daripada perkara kebajikan dan menolak apa yang termampu daripada keburukan.
Sementara bagi mereka yang jauh bolehlah juga berhubung dan berkirim salam dengan berutus surat, akan tetapi jika mampu adalah afdhal untuk menziarahi mereka.
Begitu juga dengan mendermakan harta kepada kaum kerabat. Bersedekah kepada kaum kerabat adalah lebih afdhal daripada orang lain, sebagaimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Memberi sedekah kepada orang miskin dikira satu sedekah, dan memberi sedekah kepada mahram dikira dua iaitu sedekah dan mengeratkan hubungan. (Sunan ad-Darimi)
Bolehkah Menjalinkan Hubungan Silaturrahim Dengan Orang Kafir?
Dalam hal ini, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak melarang berbuat baik kepada orang kafir sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah al-Mumtahanah: 8) Keistimewaan Atau Kelebihan Mengeratkan Silaturrahim 1. Orang yang mengeratkan silaturrahim akan mendapat sepuluh kelebihan yang terpuji sepertimana disebutkan dalam kitab Bujairimi ‘ala al-Khathib: 2. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ redha kerana Dia memerintahkan supaya mengeratkan silaturrahim. 3. Membawa kebahagiaan. 4. Para malaikat gembira dengan eratnya silaturrahim itu. 5. Memperolehi pujian yang baik daripada orang. 6. Mengisi kesedihan Iblis. 7. Dipanjangkan umur. 8. Memperolehi keberkatan rezeki. 9. Orang yang meninggal dunia mendapat kebahagiaan kerana keturunannya gembira dengan eratnya silaturahim itu. 10. Bertambah-tambah kehormatannya.
Bertambah-tambah pahala selepas matinya kerana orang-orang mendo‘akannya setiap kali disebut kebaikannya.
Oleh yang demikian, eratkanlah silaturrahim dalam mencapai keistimewaan yang tersebut di atas dan jauhilah daripada perkara yang boleh memutuskannya. Tanganilah masalah keluarga dengan perasaan rasional dan eratkanlah semula perhubungan yang sudah retak itu dengan rasa kesedaran serta keinsafan, apatah lagi kerana mereka yang tidak mahu berdamai itu akan dipertangguhkan keampunannya, sepertimana hadits Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Dibuka pintu-pintu syurga itu pada hari Isnin dan Khamis. Setiap orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun akan diampuni, kecuali seseorang yang sedang dalam permusuhan dengan saudaranya. Dikatakan: “Tangguhkanlah kedua-duanya sampai mereka mahu berdamai. Tangguhkanlah kedua-duanya sampai mereka mahu berdamai. Tangguhkanlah kedua-duanya sampai mereka mahu berdamai.”
Begitu juga mendamaikan di antara dua pihak yang berselisih itu hendaklah dengan adil dan saksama dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak yang berselisih, kerana semua orang yang beriman itu bersaudara dan bertanggungjawab dalam mendamaikan saudaranya yang lain sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua-dua saudara (kamu yang bertelingkah) itu. ujurât: 10H-(Surah al
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6796
